Malam itu aku bercadang untuk membawa kereta ke car wash yang berdekatan. Sudah tiga minggu aku tidak basuh kerata. Mataku sakit melihat tompok-tompok kotor di badan keretaku. Aku menelefon S (bukan nama sebenar) dan mengajaknya menemani aku sambil menunggu keretaku dibasuh. Malang bagiku, car wash yang ingin aku kunjungi sudahpun tutup. Aku membuat keputusan untuk singgah di restoran daun pisang bersebelahan dengan car wash tersebut. S tiba tidak lama kemudian. Aku memesan teh-o dengan pelayan restoran dan S pula segelas ais kosong.

Kami berbual kosong, bertanya khabar. Sudah dua minggu aku tidak bertemu dengan S, masing-masing sibuk dengan kerja dan hal peribadi. Sudah lama aku kenal S. Sejak dari bangku sekolah lagi. Aku rasa sudah lebih dari sepuluh tahun. Kami mula-mula rapat ketika di Tingkatan 4. Waktu itu, aku, S dan beberapa sahabat yang lain banyak menghabiskan masa bersama, samada untuk belajar mahupun untuk bermain. Lebih banyak bermain dari belajar, tetapi itulah lumrah kehidupan ketika bersekolah.

Perbezaan di antara kami memang wujud. Aku seorang Melayu-Muslim, S pula berbangsa India dan menganut agama Hindu. Sahabat-sahabat kami juga berlainan bangsa dan agama. Kami bukannya tidak menyedari akan perbezaan yang wujud. Aku sering diusik oleh S sebagai seorang lanun Bugis yang tidak bertamadun dan aku pula membalas dengan mengatakan bahawa S adalah seorang Malayalee yang kedekut. Tetapi kami tidak pernah mengambil hati kerana tidak ada niat buruk atau prejudis yang bermain di fikiran kami. Kami lebih mementingkan persamaan di antara kami. Tekanan menghadapi peperiksaan. Kepedihan libasan rotan ke atas punggung. Pencarian seorang teman wanita yang bagaikan tidak berakhir. Semua ini tidak mengenal warna kulit dan kepercayaan. Kami hadapi semuanya bersama, tanpa mengira bangsa mahupun agama.

Setelah tamat persekolahan, masing-masing mencari hala tuju sendiri dalam kehidupan. Namun kami masih rapat. Walaupun setelah aku merantau ke negara orang menuntut ilmu, walaupun setelah S menyertai tentera, kami tetap mencari masa untuk berjumpa. Setelah lebih kurang sembilan tahun meninggalkan bangku sekolah, aku kini seorang pengamal undang-undang manakala S pula bekerja sebagai eksekutif di sebuah bank tempatan. Kami masih sering berhubung dan berjumpa, walaupun kadangkala kehendak kerja dan peribadi tidak begitu mengizinkannya.

S menyalakan sebatang rokok dan memulakan topik, “So, how’s the country?”

Aku menggeleng kepala. Kami berdua tahu apa yang ingin dibincangkan. Isu demonstrasi kepala lembu.

Mereka sudah melampau, ujar S. Aku dapat lihat kekecewaan di muka rakanku itu. Diluahkan kepadaku perasaannya terhadap tindakan mereka yang berdemonstrasi di Shah Alam pada hari itu. Dia bagaikan tidak percaya bahawa ada pihak sanggup menghina agama orang lain. Bukankah penganut agama lain juga punya hak? Bukankah kita semua rakyat Malaysia? Bukankah sudah 52 tahun kita hidup bersama?

S juga mempersoalkan mengapa pihak polis tidak membuat apa-apa, hanya menonton apa yang berlaku bagaikan ianya sebuah tayangan gambar di pawagam. Mengapa mereka tidak dikenakan ditangkap di bawah ISA?

Aku tersenyum. Aku teringat suatu ketika dahulu kami berdua berdebat secara tidak formal tentang ISA. S percaya ISA masih relevan untuk keharmonian negara, walaupun dia amat tidak bersetuju dengan penyalahgunaan Akta tersebut. Aku pula tetap dengan pendirianku bahawa ISA itu suatu Akta yang zalim dan tidak wajar diteruskan.

Aku dan S banyak berbeza pendapat. Ketika HINDRAF membuat perhimpunan di Kuala Lumpur, S tidak bersetuju dengan apa yang mereka lakukan. S berpendapat bahawa dakwaan-dakwaan HINDRAF adalah keterlaluan dan bukanlah cara yang terbaik untuk menyelesaikan permasalahan masyarakat India. Aku pula berpendapat bahawa walaupun aku tidak menyokong HINDRAF itu sendiri, aku percaya bahawa sekiranya tidak diadakan demonstrasi, pihak atasan tidak akan mengendahkan isu-isu yang dibangkitkan.

Tetapi walau apapun perbezaan pendapat di antara aku dan S, ia tetap tidak menjejaskan hubungan kami berdua. Di kalangan sahabat-sahabat kami, perbezaan pendapat digalakkan dan kami sering berbual dan berhujah tentang isu-isu yang berbangkit dengan sivil dan ilmiah. Mungkin kerana itu kami tidak dapat menerima apa yang dilakukan oleh mereka yang berdemonstrasi dengan kepala lembu. Kami tidak menafikan hak mereka untuk protes, tetapi kami kecam tindakan mereka yang secara terang-terangan menghasut pertelingkahan kaum dan agama.

Aku memberitahu S bahawa apabila aku mula mendapat berita tentang demonstrasi tersebut, aku begitu marah sehingga urat di kepalaku berdenyut-denyut. Aku menyalahkan seorang Menteri Kabinet yang telah menyokong tindakan penduduk Seksyen 23 untuk membantah pemindahan kuil tersebut. Menteri Kabinet tersebut mendakwa bahawa pemindahan kuil tersebut ke tempat di mana majoriti penduduk adalah Melayu “bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan konsep 1Malaysia”. Walhal, kebebasan beragama telah jelas termaktub di dalam Perlembagaan. Tidak ada mana-mana undang-undang atau dasar yang menyatakan bahawa tempat ibadat bukan Muslim hanya boleh dibina di kawasan yang majoriti penduduknya adalah juga bukan Muslim. Pada pendapat aku, sokongan yang diberikan oleh Menteri tersebut, berdasarkan hujah songsang tentang Perlembagaan, telah “memberanikan” mereka untuk membuat tindakan yang melampau.

Aku juga luahkan kemarahanku terhadap mereka yang mencemarkan bulan Ramadhan yang suci dengan tindakan mereka yang biadap. Aku maklumkan pada S bahawa Islam melarang penganutnya daripada menghina agama dan kepercayaan orang lain, dan aku berang kerana mereka lakukan itu semua sambil menyebut nama Tuhanku!

“It only takes one spark, just for someone to retaliate and we’d have problems,” ujarku.

Kami berpendapat bahawa Kerajaan tidak boleh berkompromi dalam hal ini. Semua yang terlibat harus dikenakan tindakan. Kerajaan harus mengenepikan walau apapun pertimbangan politik yang ada. Sekiranya Kerajaan tidak mengambil tindakan yang tepat, rakyat akan mengambil pendirian bahawa terdapat “tangan-tangan halus” yang menjadi dalang di belakang tabir. Sekiranya Kerajaan cuba untuk membela atau menawarkan justifikasi terhadap tindakan mereka, rakyat akan mengaitkannya dengan politik.

Merdeka kali ini begitu malap pada pemerhatian S. Tidak kelihatan bendera mahupun semangat kemerdekaan. Adakah ianya kerana apa yang berlaku di Shah Alam tempoh hari, ataupun ianya merupakan kesan daripada polemik dan retorik perkauman dan agama yang sering dimainkan oleh sesetengah pihak? Kami tidak tahu jawapannya, tetapi apa yang pasti Merdeka tahun ini bagaikan tidak mendapat sambutan.

Aku sering dingatkan supaya berwaspada tentang masyarakat S dan kaum bukan Melayu yang lain. Dikatakan bahawa bukan Melayu sudah semakin berani. Ingin merampas hak aku sebagai seorang Melayu. Malah sesetengah pihak, didorong oleh media yang menyebarkan propaganda perkauman, ingin aku “bangkit” dan “membela” bangsa dan agamaku. Hubungan antara kaum diasak bertubi-tubi oleh golongan yang tidak bertanggungjawab, yang sanggup menyemarakkan api perkauman demi kepentingan politik. Kalau mengikut logika mereka, aku dan S tidak boleh duduk semeja, apatah lagi bersahabat.

Tetapi persahabatan aku dan S, serta rakan-rakan kami yang lain, membuktikan bahawa dakwaan-dakwaan mereka langsung tidak berasas.

S menghembuskan asap rokok keluar dari hidung dan mulutnya.

“We must keep calm. If not, then they win.”

Ya, memang benar. Kita tidak boleh menari ikut rentak mereka. Jika tidak, kita akan tewas.

Aku percaya, terdapat ramai “aku dan S” di luar sana. Yang mementingkan kesamarataan, penerimaan dan perpaduan. Yang cinta akan kedamaian. Yang saling-hormat menghormati. Yang percaya bahawa kita semua, tidak kira bangsa mahupun agama, punya tempat di tanahair ini. Yang dapat membuktikan bahawa dua orang anak Malaysia yang berlainan bangsa dan agama masih boleh memelihara persahabatan yang begitu utuh.

Sudah tiba masanya kami mengambil semula negara ini dari cengkaman puak-puak yang ingin meneruskan agenda perkauman yang sempit dan melemaskan.

Kami berdua terdiam, masing-masing memikirkan nasib negara yang tercinta. Ke mana hala tuju Malaysia?

Sedar ataupun tidak, sudah beberapa gelas air minuman yang telah kami pesan.

Syahredzan Johan adalah seorang peguam muda dan seorang rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Dia melihat dirinya sebagai seorang pengkritik politik dan pengulas sosial. Tetapi dia sebenarnya...

4 replies on “Aku, S dan beberapa gelas minuman”

  1. ahli politik hanya sekarang takut kehilangan takhta, tongkat dll…

    sy ingat lagi kejadian (ada belajar sejarah), apabila Dtk Onn b Jaafar(tak pasti title), hendak membuka UMNO kpd org bukan melayu, beliau ditolak, apabila beliau membuka satu parti baru utk semua bangsa, org melayu dan org bukan melayu, juga ditolak…apalah nasib negara kita ni?????

  2. syabas!tapi

    'Bukankah kita semua rakyat Malaysia? Bukankah sudah 52 tahun kita hidup bersama?'

    Malaysia bukan berusia 52 tahun.16 sept 1963 baru wujud negara Malaysia.do the math.but good article!

  3. saudara,selamana ada nya parti2 yg berasaskan perkauman selama itulah issu2 perkauman akan tetap di mainkan, sebab nya senang saja,kalau ikan bernyawa dgn ada nya air ,maka parti2 perkauman akan subur dgn fitnah 2 dan persengkitaan

    perkauman, sekali mereka tertekan ,suis2 perkauman di onkan melalui proksi2 mereka yg jahat,walau pon engan mengaku tapi kenyataan terbukti dgn jelas.

Comments are closed.