Suatu pertimbangan tentang kelebihan dan pelajaran yang boleh diperolehi apabila mengendalikan kes-kes pro bono sendiri.

Pro bono lawyer atau peguam sukarela adalah satu istilah yang digunakan bagi merujuk kepada peguam yang berlesen berkhidmat kepada mana-mana klien tanpa sebarang upah atau fi guaman. Lazimnya, pro bono lawyer ini hanya dipampaskan untuk perbelanjaan sebenar yang dikeluarkan olehnya seperti perbelanjaan perjalanannya ke mahkamah, kos fotostat atau kos bayaran menfailkan dokumen.

Ramai peguam mengalami alergi apabila mendengar istilah ini. Serta-merta akan terbayang dalam kepala seorang peguam bahawa beliau terpaksa memperuntukkan sebahagian masanya yang berharga dalam mencari sumber kewangan bagi diri dan keluarga kepada satu kes yang tidak akan mendatangkan sebarang hasil mahsul kepadanya. Dalam kata lain, peguam ini hanya membuat kerja secara percuma tanpa ada imbalan dari segi wang ringgit. Jika beliau berkerja selama 20 hari sebulan (Isnin hingga Jumaat) dan memperolehi pendapatan sebanyak RM 4000.00 sebulan bermakna secara puratanya beliau memperolehi pendapatan sebanyak RM 200.00 sehari. Jika dibahagi dengan masa 8 jam berkerja sehari pendapatannya adalah kira-kira RM 25.00 sejam. Jika beliau mengambil satu kes secara pro bono, dan terpaksa menghabiskan masa untuk mendrafkan saman dan tuntutan selama 5 jam, research dan kajian kes selama 15 jam, menghadiri sebutan 10 kali (setiap kali sebutan 3 jam termasuk masa travel, cari parking, kereta kena block, tunggu kes dipanggil) = 30 jam dan bicara selama 5 hari (8 jam sehari) = 40 jam, menyediakan hujahan bertulis 15 jam, ini bermakna beliau telah kerugian masa selama 105 jam yang jika dikali dengan RM 25.00 bernilai RM 2,625.00. Bayangkan kerugian yang dialami jika pendapatan peguam itu sebanyak RM 10,000.00 sebulan maka beliau akan kerugian kira-kira RM 6,500.00.

Bayangkan dengan nilai sebanyak RM 2,625.00 itu beliau sudah boleh bercuti di hotel taraf sederhana mewah sebanyak 10 malam atau berulang -alik ke Sabah 8 kali (naik air asia) atau membeli nasi kari mamak yang bernilai RM 7.00 sepinggan sebanyak 375 pinggan = kos makan tengahari/malam selama kira-kira 187 hari. Memikirkan kerugian yang bakal dialami ini menyebabkan ramai peguam berfikir berkali-kali (atau langsung tak fikir?) untuk membuat kerja pro bono ini meskipun hatinya menyatakan bahawa menolong orang susah akan dapat pahala dan insyallah berkat rezeki anak beranak.

Ini adalah dilema biasa yang dialami dalam fikiran kebiasaan peguam. Majlis Peguam sendiri mewajibkan setiap pelatih dalam kamar untuk menjalani 14 hari latihan khidmat guaman percuma di penjara, mahkamah atau badan NGO yang berkaitan. Namun, latihan sebegitu nampaknya tidak memberikan dampak besar ke atas pelatih dalam kamar itu selepas tamat tempoh latihannya.

Namun, peranan peguam pro bono ini tidak dapat dinafikan kepentingannya. Dalam mana-mana masyarakat mesti ada rakyat yang miskin dan tidak berupaya dari segi kewangan yang memerlukan khidmat guaman. Ada berlaku perbalahan suami isteri dan isteri tidak berkerja dan isteri ingin menuntut cerai. Lantas, bagaimana isteri ini mampu mengupah peguam kerana beliau telah tidak berkerja mungkin untuk tempoh 10 tahun, tiada simpanan sendiri dan suaminya pula jenis kedekut hampas. Bagaimana pula dengan senario, ada isteri yang ditipu suami yang mana suami telah meminjam wang dan memalsukan tandatangan isteri sebagai penjaminnya lantas apabila hutang tidak dibayar pihak bank akan menyaman dan silap perkiraan si isteri boleh menjadi bankrap.

Keadaan sebegini tentu mendesak para peguam untuk membetulkan masalah sosial masyarakat ini. Meskipun kerajaan telah menubuhkan Biro Bantuan Guaman namun kadang-kadang ada had dan sekatan tertentu yang menyebabkan khidmat guaman percuma ini tidak dapat diberikan kepada yang berhak. Jadi, dalam hal ini para peguam harus bersedia untuk menyumbangkan tenaga, ilmu dan kepakaran yang mereka ada bagi membantu mereka yang tidak bernasib baik ini.

Saya ingin berkongsi beberapa pengalaman dalam menjalankan kerja pro bono ini. Sewaktu mula bertugas sebagai peguam, saya telah dihubungi oleh Pusat Bantuan Guaman, Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur yang meminta saya untuk meng’anak angkat’ beberapa fail pro bono. Saya pun berfikir seperti rakan peguam lain mengenai masalah dan kekangan kewangan yang bakal dihadapi kelak. Namun, saya keraskan hati juga dan bersetuju untuk jadi ‘bapa angkat’ kepada fail itu. Kes yang mula-mula saya ambil adalah kes di mana seorang wanita India yang ditangkap di dalam rumah bersama suaminya dan didakwa atas kesalahan memiliki dadah. Suaminya yang turut didakwa telah dituduh dan mengaku salah dan akhirnya telah dipenjarakan selama 6 bulan. Tetapi, sang isteri merasakan dirinya tidak bersalah kerana katanya dadah itu milik suaminya dan beliau memilih untuk mengaku tidak bersalah. Kesalahan itu adalah kesalahan boleh dijamin tetapi disebabkan kesempitan wang tiada penjamin yang sanggup menjaminnya. Akhirnya kes beliau telah disebut dalam tempoh 6 bulan dan suaminya pun telah selesai menjalani hukuman serta telah dibebaskan tetapi beliau masih meringkuk di dalam reman penjara. Kebetulan, saya dilantik sebagai peguam pro bono dan saya berbincang dengannya supaya beliau mengaku salah supaya beliau boleh dilepaskan dengan serta-merta berasaskan jika beliau dihukum penjara sama dengan suaminya dari tarikh tangkap bermakna beliau boleh terus dibebaskan.

Pada mulanya beliau bersetuju tetapi apabila fakta kes dibacakan dan jurubahasa mahkamah menerangkan fakta itu dalam bahasa Tamil beliau tidak bersetuju. Akibat itu, Puan Majistret pun menunjukkan kuasanya dan berang dengannya dan terus menghempaskan fail serta terus masuk dalam kamarnya. Semasa tangguhan itu saya telah menerangkannya semula kepada wanita India itu dan akhirnya beliau faham dan bersetuju untuk mengaku salah. Saya meminta kepada jurubahasa untuk memberitahu semula kepada puan majistret tentang hal itu namun puan majistret itu enggan memanggil semula kesnya. Saya memohon untuk berjumpa di dalam kamar tetapi beliau tetap enggan. Apa boleh dibuat kerana itu kuasa mutlak seorang majistret dan peguam pula mengharap ehsan seorang majistret! Akhirnya saya berjaya untuk memanggil kes itu semula dalam tempoh dua minggu dari tangguhan itu.

Setelah kes dipanggil semula iaitu kira-kira 3 hari sebelum perayaan Deepavali, saya telah membuat rayuan mitigasi dan menerangkan keadaan sebenar wanita itu dan akhirnya, alhamdulillah puan majistret bersimpati serta mula mencongak tempoh penjara reman yang dilaluinya. Puan Majistret bersetuju dengan rayuan mitigasi dan wanita itu langsung dibebaskan setelah mahkamah selesai bersidang. Saya melihat riak wajah wanita itu sangat gembira apatah lagi perayaan Deepavali juga sangat hampir. Saya juga melihat suami perempuan itu pun hadir prosiding itu dan wajah mereka amat bahagia sekali [malang sekali pada waktu itu slogan 1Malaysia belum lagi berkumandang!]. Satu perasaan puas menjalar di hati saya melihatkan keadaan begitu dan saya fikir perasaan itu tidak dapat dinilaikan dengan wang ringgit lagi.

Bertitik tolak dari situ saya merasakan bahawa kerja pro bono ini amat bernilai dan dapat melonjakkan bukan sahaja semangat kepeguaman malah menambahkan skil litigasi seseorang peguam. Sebenarnya, membuat kerja pro bono ini mendatangkan banyak faedah lain. Antara faedah yang boleh diperolehi adalah seseorang peguam boleh menambahkan skil advokasi secara percuma dan tanpa takut dimarahi klien. Skil kepeguaman akan bertambah apabila kita mengendalikan kes sebegini dan kita tidak berasa khuatir dengan keputusan kes itu kelak berbanding jika kita dibayar dengan wang maka kita khuatir klien akan mencemuh kita jika kita gagal untuk memberikan kemenangan kepadanya.

Selain itu, membuat kerja pro bono banyak memberikan peluang kepada peguam muda untuk bergaul dengan peguam veteran dan mempelajari daripada mereka teknik-teknik litigasi secara efisien dan berkesan. Bukan mudah bagi seorang peguam veteran untuk mencurahkan pengalaman dan ilmu mereka secara percuma tetapi melalui kes yang dibuat bersama maka kita akan dapat mempelajari taktik, teknik dan strategi menyerang atau bersikap defensif dalam sesuatu kes. Melalui kerja pro bono ini juga saya dapat melihat dan mempelajari sendiri advokasi peguam yang handal seperti YB Karpal Singh, Hj Sulaiman Abdullah, Datuk Shafee Abdullah, Tuan Mohd Hanipa Maidin, YA Mohd Ariff Yusoff, YAA Tun Zaki atau skil pendakwa yang hebat seperti Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Datuk Mohd Yusof dan Datuk Tun Majid sendiri. Pengalaman seperti ini tentu sekali tidak dapat dinilaikan dengan wang ringgit dan sebenarnya pengalaman ini lambat-laun akan menghasilkan wang ringgit juga apabila dengan menggunapakai skil mereka yang bijaksana ini dalam kes yang kita kendalikan. Dengan itu mutu kerja kepeguaman kita akan meningkat dan insyaalah akan membantu kita mendapatkan ‘retainer’ kerja dari mereka yang ber’wang besar’.

Akhirnya, saya berharap ramai rakan-rakan peguam di luar sana untuk menceburkan diri dalam lapangan kerja pro bono ini.

Saya yakin masih banyak kerja-kerja pro bono seperti ini yang memerlukan khidmat rakan-rakan semua.

Sekian.

[Nota Editor: Ada suatu ucapan dan kenangan peribadi mengenai kelebihan membuat kes-kes pro bono di sini.]

An ordinary lawyer who aspires to be an extraordinary lawyer in new democratic Malaysia

6 replies on “Peguam Pro Bono”

  1. Assalamualaikum tuan..
    Saya ingin bertanya, adakah seorang warganegara asing yang dituduh melakukan kesalahan jenayah di Malaysia boleh diwakli oleh Peguam 'Pro Bono" ini?
    JIka YA, apakah langkah yang perlu dilakukan untuk memohon peguam probono ini mewakili tertuduh?
    Terima kasih

  2. salam.. abg saya telah dituduh memiliki dadah di dalam rumah sewanya. Kami sekeluarga mahu tau berapakah kos untuk mengupah peguam dlm kes ni. Sebab mak saya hanya penjual nasi lemak dan abg saya yg mberi belanja bulanan kpd keluarga kami.

    1. Kes itu boleh dijamin sementara bicara. Jaminan biasa antara RM1-3k bergantung kepada Mahkamah tetapi kebanyakan dalam RM1k sahaja. Sementara bicara, boleh bekerja macam biasa

  3. i found the first word of 'pro bono' when i read 'the chamber'..interesting enough i think..i dun mind to be devoted with pro bono cases..but is it suit for a girl who just finished her pupillage to jump in pro bono matters?…i mean,..to think realistically,..freshie need to set up their life first…what is ur opinion?..i need little advice..

  4. peguam kebanyakkan memilih untuk mengendalikan kes-kes kecil seperti kes-kes trafik dll, tetapi apabila bercakap pasal kes "capital punishment" semuanya sanggup. apa salahnya berkhidmat untuk sesama insan yang memerlukan khidmat dan kepakaraan seseorang yang dikategorikan sebagai kes-kes pro bono. saya juga mengalami kesusuahan untuk mencari peguam bagi mewakili saya didalam tindakan tatatertib peguam (db). selalu yang saya terima …ohhh sesama sendiri.

    HY

Comments are closed.