Perkahwinan misyar, satu isu yang pernah hangat diperbincangkan pada sekitar tahun 2006, telah ditimbulkan semula oleh salah seorang rakan bijaksana saya dalam forum perbincangan kumpulan-e HRC bagi mencetuskan perbincangan di antara ahli-ahlinya, termasuk mereka yang bukan merupakan penganut Islam, dalam konteks hak asasi manusia.

Usaha beliau ini telah mendorong saya untuk berfikir berkenaan konsep perkahwinan misyar terutamanya dalam konteks masyarakat pada masa kini di mana golongan wanita mula menonjolkan bakat mereka dan keupayaan mereka untuk menyara diri.

Cadangan

Seorang pensyarah universiti dilaporkan telah mencadangkan supaya kaum lelaki dibenarkan mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin. Isu ini menjadi lebih menarik apabila mendapat sokongan daripada Tok Guru, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan mengatakan bahawa perkahwinan misyar dibolehkan dalam Islam asalkan seseorang wanita itu memberikan keizinan dan rela terhadap aturan sedemikian. Adalah perlu diingatkan di sini bahawa konsep misyar hanya terpakai pada umat Islam yang dibenarkan berpoligami. Oleh itu, golongan lelaki yang ditadbir di bawah undang-undang sivil yang hanya membenarkan perkahwinan monogami, adalah amat kesal sekali dimaklumkan bahawa anda semua “tidak layak” untuk menikmati “penawaran” ini.

Menurut beliau, perkahwinan misyar bermaksud, suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian, tetapi cukup hanya dengan memenuhi nafkah batin terhadap isteri.

Perkataan misyar berasal daripada perkataan arab – “sara”, “sira”, “sirah”, “tasayara”, “masar” dan juga “masirah”. Ia bermaksud – berjalan dan perjalanan. Ia juga boleh diertikan sebagai pemergian. Perkahwinan misyar ialah perkahwinan di mana pengantin lelaki tinggal di rumah pengantin perempuan tetapi pengantin perempuan tidak pula berpindah ke rumah pengantin lelaki. Ia selalunya berlaku ke atas isteri kedua kerana si lelaki mempunyai isteri lain (isteri pertama) yang tinggal di rumah si lelaki dan menerima nafkah daripada lelaki tersebut, sila lihat: al-Qaradawi, Hawl Zawaj al-Misyar.

Mesti ramai yang tertanya-tanya apakah bezanya dengan mengadakan perhubungan seks tanpa berkahwin. Sesungguhpun ia mungkin hanya merupakan satu isu dari segi moral bagi golongan masyarakat yang lain, tetapi haruslah sentiasa diingati bahawa persetubuhan di luar akad merupakan satu kesalahan hudud di bawah undang-undang Syariah. Oleh itu, perbezaan di antara duanya adalah amat besar dan akibat daripada perbuatan haram tersebut bukan suatu yang boleh diampuni di bawah hukum syarak.

Dalam Surah an-Nur Allah s.w.t. berfirman:

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hokum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. (an-Nur 24:2)

Terdapat beberapa definisi zina yang dikemukakan oleh para fuqaha. As-Syirazi dari mazhab Syafi’iy mendefinisikan zina sebagai “persetubuhan yang dilakukan oleh seorang lelaki Islam dan yang hidup dalam negara Islam dengan seorang wanita yang dianggap haram disetubuhinya tanpa akad atau seumpamanya dan tanpa hakmilik atau seumpamanya, sedangkan dia seorang yang waras, baligh, bebas memilih dan tahu bahawa perbuatannya itu adalah haram”. Sementara Ibn Qudamah dari mazhab Maliki mentakrifkan zina sebagai “persetubuhan seorang yang mukallaf pada faraj manusia tanpa hak milik padanya mengikut hokum dengan cara haram”. Walaupun terdapatnya berbagai-bagai definisi dan/ atau takrifan dikemukakan oleh para fuqaha, namun maksud yang hendak disampaikan ialah zina merupakan persetubuhan haram yang disengajakan.

Maksiat

Pensyarah tersebut seolah-olah menekankan bahawa muslimat merupakan punca masalah maksiat di kalangan umat Islam apabila dilaporkan membuat penyataan bahawa perkahwinan misyar mampu mengurangkan perlakuan maksiat di golongan muslimah. Adakah adil dan patut bagi pensyarah tersebut membuat penyataan sedemikian? Adakah golongan muslimah punca utama masalah perlakuan maksiat? Adakah golongan muslimah satu-satunya pihak yang harus dipersalahkan? Tepuk sebelah tangan tidak berbunyi, golongan lelaki turut harus dipertanggungjawabkan atas perlakuan haram tersebut. Ia adalah amat tidak adil menjadikan muslimat mangsa lemparan tuduhan sedemikian.

Kekeliruan membanjiri minda saya apabila terbaca penyataan pensyarah tersebut bahawa konsep perkahwinan misyar harus digalakkan dan dibenarkan kerana ia dapat mengatasi masalah peningkatan bilangan wanita tidak berkahwin dan/atau janda dalam negara ini. Adakah peningkatan bilangan wanita tidak berkahwin dan/atau janda dalam negara ini mengganggu hidupan harian beliau atau orang lain? Adakah ia menyalahi undang-undang untuk hidup berbujang? Adakah beliau pernah berfikir apakah punca yang membawa kepada fenomena ini? Adakah golongan lelaki juga bertanggungjawab terhadap pemilihan golongan wanita untuk tidak berkahwin terutamanya pada masyarakat kini yang kerap dilaporkan wanita dijadikan mangsa perkahwinan? Adakah beliau telah lupa hak dan kewajipan suami isteri dalam suatu perkahwinan itu?

Sesungguhpun perkahwinan misyar dibolehkan dalam undang-undang Islam asalkan rukun nikah dipenuhi, pada pendapat saya, ia tetap tidak harus digalakkan semata-mata untuk mengurangkan bilangan wanita tidak berkahwin atau untuk menangani masalah maksiat. Ia bukan merupakan alasan yang munasabah untuk mengharuskan perkahwinan sedemikian. Saya tidak menafikan bahawa dengan membenarkan perkahwinan misyar ia dapat mengurangkan perlakuan maksiat kerana persetubuhan tersebut tidak menjadi haram baginya kerana wujudnya akad. Akan tetapi adakah ia wajar untuk memasuki satu perkahwinan semata-mata untuk “menghalalkan” persetubuhan tersebut bagi memuaskan nafsu seseorang itu? Terdapatnya alternatif yang lebih baik diperuntukkan dalam Islam, seperti poligami untuk menangani dan mengelakkan perlakuan maksiat seperti zina. Perkahwinan misyar merupakan penyelesaian kepada masalah perbuatan maksiat yang paling teruk dan/atau jahil yang pernah terlintas dalam minda saya.

Berkenaan dengan penyataannya bahawa perkahwinan misyar dapat mengurangkan bilangan wanita tidak berkahwin, ia merupakan satu cadangan yang amat kreatif pada pandangan saya dan saya meneka bahawa beliau mungkin merupakan pelajar cemerlang dalam mata pelajaran matematik. Sekiranya formula beliau digunakan untuk membuat pengiraan, bingo!, memang bilangan wanita tidak berkahwin dapat dikurangkan kerana Muslimin yang dibenarkan untuk beristeri empat (sekiranya dapat berlaku adil di antara mereka dari segi zahir dan batin), tidak akan berhadapan dengan masalah pemberian keperluan zahir dengan adanya keizinan dan kerelaan wanita tersebut untuk melucutkan haknya terhadap pemberian keperluan zahir oleh si suami, dan dengan senangnya mereka memenuhi “kuota” yang dibenarkan itu.

Hak asasi manusia

Dari konsep hak asasi manusia, memang seseorang wanita itu mempunyai hak untuk memilih; hak untuk memasuki aturan dan/atau kontrak sedemikian. Akan tetapi, adakah itu suara hatimu? Adakah kamu betul-betul rela untuk dijadikan sebagai alat memuaskan nafsu seorang lelaki atau mendapatkan seorang suami untuk memuaskan nafsumu semata-mata? Adakah kamu benar-benar tidak memerlukan cinta dan kasih sayang daripada suamimu?

Lelaki dan wanita yang pada asalnya dilahirkan di bumi ini tanpa sebarang pertalian dijodohkan dan disatukan untuk mendirikan sebuah rumah tangga melalui perkahwinan. Perkahwinan itu bukan untuk memuaskan nafsu semata-mata. Perkahwinan merupakan satu perkara yang amat suci dan ia memerlukan percintaan, kasih saying dan keikhlasan dalam mengukuhkan pertalian akad tersebut. Lahirnya tanggungjawab dan komitmen yang perlu diberikan oleh satu pasangan tersebut hasil daripada satu perkahwinan itu. Satu perkahwinan itu tidak harus diasaskan atas sesuatu yang tidak sihat seperti dengan tujuan semata-mata untuk memuaskan nafsu seseorang insan tersebut. Perkahwinan itu bukan merupakan tuntutan seks semata-mata. Perkahwinan haruslah merupakan sesuatu yang sempurna seboleh-bolehnya di mana pasangan hidup bersama dan memikul tanggungjawab masing-masing sehingga ke akhir hayat.

Kesan

Adakah pensyarah tersebut pernah terfikir apakah kesan dalam membenarkan dan menggalakkan perkahwinan misyar? Adakah beliau sedar bahawa ia berkemungkinan besar membawa kepada peningkatan perceraian di antara pasangan suami isteri. Sekiranya penyatuan dua insan melalui perkahwinan adalah untuk “menghalalkan” persetubuhan untuk memuaskan nafsu mereka, tanpa perasaan cinta dan kasih sayang, maka suatu hari nanti sudah semestinya mereka akan berasa bosan dan hilang minat terhadap teman seks sah/halal mereka tersebut, dan hari itu-lah penghujung perkahwinan tersebut. Kitaran “perkahwinan – perceraian – penukaran calon teman seks halal untuk perkahwinan baru” akan berterusan sekiranya satu perkahwinan itu diasaskan atas elemen yang tidak sihat. Mereka ini boleh dengan senangnya kerap bertukar-tukar calon pasangan asalkan “terma” kontrak perkahwinan misyar dipersetujui, dan pada hakikatnya ia seolah-olah satu transaksi pelacuran yang telah “dihalalkan” oleh golongan yang menyalahgunakan konsep perkahwinan misyar. Adakah perbuatan sedemikian menjadi halal semata-mata kerana wujudnya akad antara dua insan tersebut yang membenarkan persetubuhan itu? Adakah mereka ini “selamat” dari dilaknat di akhirat nanti?

Kebahagian

Kebahagian merupakan sesuatu yang sepatutnya lahir dari satu perkahwinan itu. Apakah itu “kebahagian” berbeza untuk setiap insan yang berlainan. Akan tetapi, semestinya kepuasan nafsu itu bukannya satu kebahagian, tetapi hanya merupakan satu ilusi keseronokan dan/atau kegembiraan sementara yang akan lenyap bila-bila masa sahaja. Hargailah maruah dan sayangilah perasaan dan tubuh badan diri kita.

2 replies on “Misyar”

Comments are closed.