Malaysiaku yang berumur 57 tahun, tiadanya Malaysia, tiadanya kita semua

Bulan Ogos lalu, negara Malaysia telah mencapai hari kemerdekaan yang ke-57. Sebagai seorang anak Malaysia, saya seharusnya berasa bangga atas pencapaian negara kita selama ini. Namun, dengan jujurnya, kesedihan saya adalah lebih daripada kebanggaan.

Tengoklah perkembangan negara khususnya hubungan etnik kita di Malaysia, selain mengeluh, saya memang tidak dapat mencari perkataan yang lebih sesuai untuk menggambarkannya. Yang menakutkan, kejadian ini dipercayai akan bertambah buruk pada masa akan datang.

Sebagai contoh, baru-baru ini, suatu kes kemalangan jalanan antara seorang wanita Melayu yang bernama Kiki dengan seorang lelaki tua Cina pun boleh digambarkan sebagai sebuah perkara perkauman. Harus kita ingat, kes ini hanya merupakan kes kemalangan, yang kebetulan melibatkan dua orang manusia yang berlainan bangsa. Yang menyedihkan, masyarakat kita melihatnya dari sudut perkauman, iaitu pertempuran antara Melayu dan Cina.

Ini menunjukkan betapa sengitnya permikiran kita. Lebih-lebih lagi, Menteri Belia dan Sukan kita, KJ mengaitkan kes kemalangan ini dengan satu lagi kes yang saya memang tolak perbuatan tersebut – kes Kelvin Yip yang menindas agama Islam. Sebelum saya mengecam perbuatan Kelvin Yip yang tidak bertanggungjawab itu, ingin saya  beri sedikit cadangan kepada orang yang dihormati KJ.

Menurut KJ, Kelvin Yip harus didakwa di mahkamah walaupun dia telah memohon maaf, Ini adalah kerana Kiki masih didakwa di mahkamah meskipun dia telah memohon maaf. Jadi, kedua-dua pihak ini harus didakwa. Namun, graduan Oxford ini nampaknya tidak memahami perbezaan antara dua isu ini.

Bagi saya, kes Kiki hanya merupakan suatu kes yang melibatkan buli jalanan, kes ini langsung tidak berkaitan dengan isu perkauman, manakala dengan kes Kelvin Yip, kes ini jelas merupakan diskriminasi dan pernindasan terhadap agama orang lain. Pada asasnya, kedua-dua kes ini adalah tidak sama sekali. Jadi saya hairan kenapa KJ boleh membuat komen sedemikian.

KJ haruslah membezakan kes Kelvin Yip dan Kiki

Walaupun begitu, saya percaya ada ramai lagi orang Malaysia yang berpendapat seperti Menteri kita. Inilah sebab saya kata konflik antara kaum dan agama makin hari makin serius. Harus saya tekankan di sini, perbuatan Kelvin Yip adalah amat tidak bertanggungjawab dan membodohkan. Dia tidak sensitif dan seharusnya didakwa seterusnya dipenjarakan. Inilah pendirian saya.

Ada banyak lagi kes-kes yang pada asasnya tidak berbau perkauman namun telah ‘diperkaumkan’ oleh masyarakat kita. Salah satu contoh ialah Pilihan raya umum (PRU) yang ke-13 yang berlangsung pada tahun 2013. Selepas keputusan PRU 13 diumumkan, yang menyedihkan dan mengecewakan saya, masyarakat Tionghua telah dijadikan sasaran serangan pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.

Paparan utama Utusan Malaysia ‘Apa lagi Cina mahu?’ yang bertarikh 7 Mei 2013 telah menunjukkan mentaliti sesetengah pihak yang sangat naïf. Akhbar ini dengan jelasnya menyalahkan kaum Tionghua atas kekurangan sokongan terhadap kerajaan Barisan Nasional pada PRU 13.

Masyarakat kita sentiasa lihat sesuatu perkara dari sudut perkauman

Kes ini dijadikan elemen rencana saya adalah kerana kes ini jelas menunjukkan betapa seriusnya isu perkauman di negara Malaysia. Harus kita fahami bahawa pada suatu pilihan raya, setiap warganegara Malaysia berhak mengundi sesiapa sahaja.Sekiranya rakyat dipaksa mengundi sesetengah pihak, tiada maknanya kita adakan pilihan raya, kan? Lebih-lebih lagi, kita sering berasa bangga dengan sistem demokratik kita, kalau rakyat disalahkan apabila tidak menyokong suatu pihak, tidak perlulah kita terus amalkan sistem demokrasi di negara kita.

Sebagai seorang anak Malaysia yang cintakan tanah air ini, saya berharap pada suatu hari nanti, ketegangan antara kaum ini tidak akan lagi dilihat. Inilah salah satu sebab saya menulis dalam Bahasa Melayu, agar ideologi dan fikiran yang sihat dapat disampaikan ke setiap perosok negara, satu tanda saya menghulurkan tangan persahabatan kepada orang Malaysia.Janganlah kita sentiasa lihat suatu perkara dari sudut kaum, cubalah lihat secara menyeluruh. KITA SEMUA ORANG MALAYSIA.

 

 

 

Anak Malaysia. A Malaysian youth who has a dream for his beloved nation.

3 replies on “Sampai Bila Baru Kita Nak Hentikan Perkauman?”

  1. Statement yg cukup baik. Saya amat bangga kerna
    Ada rakyat malaysia seperti kamu. Selepas baca statement ini saya amat merasa sangat lega. Terima kasih!

  2. Sampai bila baru nak hentikan perkauman ? .

    Perkauman tetap akan wujud ,selagi pendidekan satu sekolah tidak dihapuskan . Walaupun ianya tidak dapat menghapuskanya ,setidak-tidaknya ,ianya satu langkah yang sangkat pratikal dan positive kearah matalamat itu , dibandingkan dengan sologan-slogan dan seruan ,yang sehinga kini tiada nampak kesan.

    Pengorbanan wajib bagi semua pehak ,kalau itu iklas matalamatnya .

Comments are closed.