Kenapa Harus Dipilih Si Tuan Mulia Bobo #LordBoboForKajang

Tertulisnya karya penulisan ini dalam semangat si tuan mulia Bobo Barnabus; menggeletar saya saat namanya disebut. Menjadi yang baru dikalangan yang bawah, hati nurani terusik oleh roh si tuan mulia untuk menulis kepada penentu undi akan kenapa mereka yang berada di Kajang seharusnya memberikan kepercayaan kepada si tuan mulia.

Tanggalnya dua puluh tujuh haribulan pertama, sang penyandang kawasan kecil Kajang bernama Lee Chin Cheh beri kata putus, hentinya dia daripada menjadi wakil kawasan. Kata putus itu bertujuan membuka laluan kepada si tuan tua Anwar Ibrahim, tercapai dek kerana Pakatan Rakyat; umumnya Parti Keadilan Rakyat sedang merencana suatu perancangan besar. Perancangan besar diberi nama ‘Gerakan Kajang’ (sama namanya, namun Gerakan di Kedah sudah binasa).

Hati saya terdetik lalu bertanya pada si tuan mulia, apa katanya berkenaan rencana politik ini; kerna si tuan mulia seorang yang bijaksana, mudah sahaja tutur katanya. “Rencana besar pastinya untuk diturunkan harga sate Kajang, seraya diguna makanan itu mengubat luka dalaman parti.” Tertawan oleh kebijaksanaan dan kefasihan berbicara si tuan mulia, kami si bawahan pohonkan pada si tuan mulia, apa tidaknya si tuan mulia bangun dan ikut serta pemilihan kecil Kajang. Diterima dengan rendah hati serta baik budi oleh si tuan mulia.

Jadi, panggilan saya kepada penentu-penentu undi di Kajang, pilihlah si tuan mulia Bobo!

Sekiranya tiada kepercayaan terhadap si tuan mulia, marilah kita sejenak mengembara menyelusuri kisah si tuan mulia.

Ada yang berkata si tuan mulia atau dipanggil sahaja si tuan Bobo (mana mungkin marah si tuan dipanggil namanya) hanyalah sekadar bayang-bayangan atau mitos monyet memakai rambut palsu berwarna putih kepunyaan peguam. Ada yang berkata si tuan Bobo wujudnya semata-mata di alam siber.

Apapun dia, kami yang di bawahan mampu berkata tanpa ragu dan malu bahawa si tuan mulia itu adalah seorang pejuang, seorang pencinta, seorang pelindung keadilan, dan juga simbol tanggungjawab dan kebertimbangrasaan.

Adanya si tuan Bobo bersama rakyat kerana kisahnya dalam masa depan kita semua. Hendaknya dia Malaysia yang lebih maju dari apa yang ada kini. Impian si dia melihat rakyat Malaysia yang berbudi bahasa dan baik hati, menolong yang tidak berupaya dan yang memerlukan, bertutur dengan kasih dan hormat, tanpa ada sebarang jolokan nama yang hina atas nama bangsa dan agama.

Ayuh penentu undi, pilihlah si tuan mulia; nescaya kamu tidak akan kedengaran nama-nama seperti ISMA, PERKASA atau RAKSASA yang lain. Adanya Raksasa Biskut terkecuali dari dinyahkan, maklumlah siapa yang tidak cinta?

Adanya si tuan mulia kerana dia ingin menentang ketidakadilan. Ingin ditendangnya kesemua idealisme yang berunsurkan rasuah, ketaksuban perkauman dan korupsi. Sesiapa yang menyeleweng harta rakyat jelata akan dihukum dan diminta untuk keluar negara. Yang setia dan mulia, akan dibayar oleh si tuan mulia dengan pisang yang keunguan. Percayalah, ini lebih berharga dari diberi BR1M. *kenyit mata*

Kelayakan lain si tuan mulia yang wajar diangkat adalah ketinggian ilmunya yang diketahui serata alam. Jika Azmin Ali merasa perlunya dia menayangkan gambar sedang membaca hikayat Mao’s Last Revolution sebagai bukti dia seorang pembaca, askar-askar si Loyarburok bersiap-sedia memberi bukti bahawa si tuan mulia memiliki edisi lengkap Jurnal undang-undang Malaysia, dalam akal mindanya. Mampunya si tuan Bobo menghafal seluruh artikel perlembagaan persekutuan.

Inilah bukti terunggul bahawa si tuan mulia sangat layak untuk bertanding, kerana tahunya dia akan hak-hak kita semua, dan mahunya dia berjuang untuk hak-hak itu.

Jadi ayuhlah si penentu undi, pilihlah si tuan Bobo kerana dia hanya mahukan yang terbaik untuk kalian. Mahu si tuan mulia menjadi sang tuan yang berbelanja hanya untuk pembangunan rakyat jelata, bukannya bermewah membeli nombor kereta yang cantik bergaya. Dihapusnya sistem ‘’gerrymandering’’, agar dipastikan oleh si tuan mulia akan sistem pilihanraya yang adil dan saksama. Si tuan Bobo mencurah bakti hanya untuk kalian, dan kalian sahaja. Dan boleh dipulang budi yang ditabur berupa pisang yang keunguan, atau undi penentu sekalian.

Ya, dalam karya imaginasi ini Tuan Bobo akan bertanding (dan memenangi!) pilihanraya Kajang. Tuan Bobo juga bergiat berkempen menentang amalan gerrymandering di Malaysia. Sahutlah panggilan pendekar Si Mulia di sini.

Projek ini dibawa khas oleh Sekolah Aktivisme. Layangilah laman web, facebook, dan twitter kami.

Artikel yang berkaitan: “Why You Should Vote For Lord Bobo!” dan “Dear Paprika: Lord Bobo For Kajang!


Tags: , ,

Posts by

Law student by day, babysitter by night. Don't worry, I don't encourage biting and scratching.

Posted on 7 March 2014. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by .

Read this first: LB Terms of Use

One Response to Kenapa Harus Dipilih Si Tuan Mulia Bobo #LordBoboForKajang

  1. Pepper Lim

    Nice!