Kempen UBAH Minggu Haluan Siswa Universiti Malaya 2013

Vince Tan membentangkan kempen untuk memperbaiki minggu orientasi universiti tertua di Malaysia.

Kempen UBAH Minggu Haluan Siswa (MHS) 2013 telah dilancarkan oleh pelajar-pelajar Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya sebagai projek kelas International Humanitarian Rights Law  (IHRL) yang diajar oleh Dr Azmi Sharom. Sebagai sebahagian daripada projek kelas ini, kami telah dipimpin oleh peguam hak asasi manusia, En Edmund Bon yang telah membimbing kami berdasarkan pengalamannya dalam NGO UndiMsia.

Kempen ini bertujuan untuk mengubah dan mereformasi MHS Universiti Malaya yang merupakan minggu orientasi untuk pelajar baru di institusi pengajian tersebut. Beberapa aktiviti telah dijalankan, seperti ucapan di Speakers Corner, pengumpulan petisyen, pengedaran risalah, forum dan juga rundingan dengan badan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UM. Event yang utama merupakan penyerahan memorandum kepada badan HEP, dimana satu “solidarity gathering” telah dibuat dengan kerjasama dengan badan pelajar Pro-Mahasiswa. Antara tuntutan kempen ini adalah untuk menghapuskan indoktrinasi terhadap mahasiswa-mahasiswi semasa MHS.

Tahun-tahun sebelum ini telah menampilkan penceramah yang pro-kerajaan seperti Tun Dr Mahathir dan Raja Nong Chik untuk berucap di Dewan Tunku Canselor (DTC) di hadapan mahasiswa-mahasiswi yang baru. Peluang yang sama tidak diberikan langsung kepada ahli politik pembangkang, dan ini bertentangan dengan kebebasan akademik yang diperjuangkan oleh mahasiswa selepas pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), dimana mahasiswa bebas memilih pandangan politik yang dikira paling baik. Tindakan universiti ini bukan sahaja berat sebelah, tetapi seumpama memaksa pelajar menerima apa yang disampaikan oleh universiti dan penceramah jemputannya sebagai  “gospel truth” atau kebenaran sahih, dan ini menyekat keupayaan mahasiswa untuk berfikir dan membezakan antara betul dan salah. Kami meminta agar kampus ini sama ada bebas dari politik luar seperti yang diuar-uarkan oleh pihak universiti, ataupun membenarkan ahli-ahli politik pembangkang peluang yang sama untuk berucap di hadapan mahasiswa-mahasiswi, demi mewujudkan keseimbangan pendedahan politik para siswa-siswi.

Selain itu, kami juga menuntut budaya “cheers” dikurangkan dan digantikan dengan aktiviti yang lebih bermanfaat seperti “team building”. Mahasiswa dipaksa melatih cheers dengan masa yang lama serta tidak diberi masa tidur yang mencukupi. Setelah sepanjang hari melakukan aktiviti orientasi, mereka terpaksa melatih cheers lagi pada waktu malam, terutamanya selepas waktu tengah malam. Cheers ini bukan sahaja tidak membawa manfaat, malah ia juga dilihat sebagai membuang masa. Pihak kami memahami bahawa universiti ini ingin mengekalkan aktiviti cheers sebagai satu identiti universiti, maka kami menyarankan agar pihak universiti mengurangkan aktiviti cheers dan menggantikannya dengan aktiviti lain, ataupun meluangkan masa tidur yang lebih kepada mahasiswa yang letih setelah sepanjang hari menyertai aktiviti sukan dan program yang dianjurkan pihak universiti.

Kami juga meminta agar universiti mempertimbangkan cadangan untuk meletakkan slot bagi mempromosi kelab-kelab dalam universiti sepanjang MHS, serta memberi input kepada mereka dari segi tempat-tempat universiti yang penting yang  para siswa perlu kunjungi, seperti perpustakaan, klinik, Rimba Ilmu, tempat bersukan, gim, fakulti dan sebagainya. Ini kerana ramai di kalangan kami masih tidak tahu sepenuhnya lokasi semua tempat penting di universiti, dan ini secara tidak langsung menyebabkan pelajar tidak dapat menikmati sepenuhnya kemudahan universiti dan hanya kenal sesetengah tempat yang kerap di kunjungi mereka sahaja. Malahan ada pelajar yang tidak pernah mengunjungi kemudahan seperti klinik dan Rimba Ilmu.

Pihak universiti mengakui kelemahan sistem orientasi sendiri dan juga telah mengambil inisiatif untuk memperbaiki MHS. Kami berharap agar cadangan kami diterima baik oleh pihak universiti dan kami dapat melihat perubahan dari segi budaya MHS.

 

Vince Tan,

Pelajar Tahun 2

Fakulti Undang-Undang

Universiti Malaya.

 

 

Imej paparan oleh Wikimedia

Tags: , , , , , , , ,

Posts by

Political Strategist in the making, Lawyer to be, and Protagonist by choice. I believe in a better Malaysia. A Malaysian Malaysia.

Posted on 24 September 2013. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by .

Read this first: LB Terms of Use

5 Responses to Kempen UBAH Minggu Haluan Siswa Universiti Malaya 2013