Apakah erti merdeka bagi kita?

Pertama sekali, selamat menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-56 dan Hari Malaysia ke-50 yang akan disambut pada 16 September nanti. Sesungguhnya aku berlindung hujan dan panas, mengalirnya darahku ini di bumi Malaysia.

Kita sudah merdeka selama 56 tahun, namun adakah usia itu benar-benar memerdekakan kita semua? Teringat lagu Tentang-tentang dari Butterfingers, “Apa benda yang medeka — jilat bontot depa, apa benda yang merdeka?”

Merdeka bukan bermakna kita bebas dari penjajah sahaja. Merdeka juga bermaksud bebas dari segala kongkongan, kawalan, ideologi. Dan kita mula berfikir balik, adakah semua perkara ini dapat kita rasai pada masa kini? Jika tidak, kita belum lagi merdeka sepenuhnya.

Antara isu terkini ialah berkenaan perjanjian TPPA. Perjanjian ekonomi diantara negara kecil dan negara besar. Kerajaan memberitahu bahawa perjanjian ini akan meningkatkan ekonomi negara. Namun sebaliknya perniagaan kecil, terutamanya perniagaan milik bumiputera, akan tenggelam di dalam perjanjian ini, di kawal dan dipermainkan syarikat perniagaan yang besar. Maksud lain disini, negara kita akan dikawal oleh negara besar, Negara maju. Malaysia bakal dijajah — dijajah dalam bentuk ekonomi. Sesungguhnya Malaysia tidak merdeka lagi.

Berhimpun sana sini, tangkap sana sini. Bercakap depan orang ramai, gari bawa ke balai polis. Rakyat sudah lagi tidak diberi kebebasan untuk melakukan apa saja. Hak-hak asasi telah dicantas dan hak-hak mengawal orang dilaksanakan pula. Kemana perginya hak-hak asasi yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia? Adakah kita ini dimiliki oleh orang yang diatas dan pihak berkuasa? Jika benar, kita ini hanyalah boneka semata-mata di negara ini. Dikawal oleh tangan-tangan besar diatas. Adakah itu maksud ‘merdeka’ yang sebenarnya?

Kebelakangan ini kita banyak mendengar berita tentang perselisihan kaum. Dari isu ucapan berbuka puasa hinggalah ke perobohan surau di Johor. Jika anda baca berita, anda pasti tahu — ramai Melayu yang bangkit berjuang dalam kes-kes ini. Melayu merasakan merekalah yang paling sempurna, maksum dan paling kuat di Malaysia.

Mempertahankan itu boleh. Namun janganlah sampai berlebihan, kerana ianya boleh membangkitkan perselisihan kaum. Masalah ideologi adalah puncanya. Kita tidak berfikir secara luas dan bebas dalam hal-hal ini. Begitu juga dengan filem yang ditayangkan baru-baru ini berkaitan dengan sejarah Malaysia hampir 50 tahun lalu. Rakyat Malaysia terutamanya kaum cina perlu berfikiran luas dan bebas ideologi ketika menonton filem ini. Janganlah kerana fakta sejarah kita bangkit untuk menentang. Janganlah kita berfikir mengikut ideologi kaum sendiri, kaum Melayu, kaum Cina , kaum India dan lain-lain. Berfikirlah sebagai kaum Malaysia.

Saya ada terbaca satu tajuk buku kebelakangan ini, iaitu ‘Sekolah bukan penjara, Universiti bukan kilang’. Tajuk yang sangat mendalam maksudnya. Kita di sekolah hanyalah diajar oleh guru tentang apa yang ada di dalam buku sahaja. Kita tidak pernah diajar tentang isu semasa, politik, dan lain-lain. Oleh sebab itu, pelajar sekolah tidak berfikiran jauh kerana kebebasan untuk berfikir dan belajar tidak ada. Manakala pelajar sekolah pula dipaksa untuk belajar siang dan malam untuk mendapatkan segulung ijazah. Selepas itu kita akan menjadi hamba untuk sesebuah syarikat yang hanya menguntungkan orang yang berkuasa dalam perniagaan sahaja. Persoalannya, adakah pelajar-pelajar juga sebenar-benarnya bebas? Diberi kebebasan untuk berfikir dan berpandangan jauh seterusnya memacu ekonomi negara pada masa depan?

Memang benar negara kita merdeka dari segi bahasa, namun dari segi konteks lain kita belum lagi merdeka sepenuhnya. Banyak usaha yang perlu dilakukan untuk mencapai kemerdekaan yang sebenar. Janganlah kita ‘jilat bontot mereka’ sahaja sehingga kita menjadi seorang yang bodoh.

Salam kemerdekaan kepada semua.

 

Lahirnya pejuang di bumi ini,

Darahnya mengalir tidak terhenti,

Aku akan mempertahankan Negara ini,

Kepada Raja tetap aku taati.

 

Foto merupakan hakmilik Mohd Nor Azmil Abdul Rahman

I'm 20 years old. From Pantai Dalam, Kuala Lumpur. I'm currently staying in Melaka to continue my study in Accounting course. Menulis sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia bagi mematabatkan bahasa kebangsaan.

One reply on “Merdeka. Merdeka. Merdeka.”

  1. Education is a continuous learning process, cannot stop at any stage of age. Through education we enhance our knowledge, abilities and wisdom. We cannot deny the importance of education in everyone life. We should learn advanced and skilful knowledge also get an education with heart and devotion.

Comments are closed.