Jurang Yang Sukar Dirapati

Dialog antara dua generasi yang sekampung – antara pandangan dahulu dan harapan masa depan.

“Pakcik rasa anak ni sudah lupa asal usul,” kata Pakcik sambil menghirup kopi.

Aku tersentak dari lamunan. Daripada sembang pasal perihal orang kampong, tiba-tiba Pakcik mendakwa aku sudah lupa asal usul pula.

“Sebenarnya tujuan Pakcik ajak anak datang minum kopi dengan Pakcik ni sebab Pakcik hendak memberi nasihat sikit. Tunjuk ajar. Maklumlah, Pakcik ni dah banyak makan garam dah,” ujarnya lagi.

Nampaknya Pakcik ni ada agendanya tersendiri. Apalah agaknya sampai kata aku dah lupa daratan.

“Ye Pakcik. Apa dia? Mesti la saya nak dengar apa Pakcik nak kata. Pakcik mesti banyak pengalaman,” kataku.

Nasihat dan pedoman selalunya menarik.

“Sejak anak pulang dari England, Pakcik seperti sudah tak kenal lagi anak. Anak sudah berubah. Pakcik risau anak meniti jambatan yang rapuh. Semalam anak kata sama rakan-rakan anak di kedai kopi ini yang anak hendak memansuhkan tindakan afirmatif untuk Melayu. Apa ni?” katanya perlahan.

“Yelah Pakcik. Di England tu, semua bangsa mendapat hak sama rata. Mana ada tindakan afirmatif untuk mat salleh. Kesama rataan sepatutnya impian negara ini,” kata aku dengan lemah lembut.

“Anak ni bangsa apa?”

Asal lak tiba-tiba dia tanya pasal bangsa aku? Ni soalan retorik ke?

“Err, bak kata Dr Mahathir, bangsa Malaysia la Pakcik,” jawabku.

“Haaa. Ni yang tak betul ni. Anak ni Melayu. Darahnya Melayu. Moyangnya Melayu.”

“Tapi saya ada darah Siam sikit la Pakcik,” aku mencelah.

“Tak kisah. Asalkan majoritinya darah Melayu. Rupa pun dah Melayu. Agamanya Islam. Adat pun Melayu. Ni ha, dok asyik makan nasi lemak je. Melayu la tu.”

“Okay Pakcik. Apa maksud Pakcik ni?”

“Maksud Pakcik. Bila Melayu ni, buat cara orang Melayu. La ni, Melayu dah lemah. Bila orang macam anak nak memansuhkan tindakan afirmatif orang Melayu, lagi la Melayu lemah!”

Berapi-api pulak Pakcik ni. Setahu aku, Pakcik ini tak pernah macam sebegini. Pendiam orangnya dan jarang melenting. Kenapa tiba-tiba dok cakap pasal Melayu pulak.

“Pakcik, walaupun saya ni Melayu, saya ni manusia. Si Ah Chong atau Ramasamy pun manusia jugak. Tak ada bezanya. Semua manusia wajib ditadbir dengan sama rata. Inilah equality.”

Aku terkejut dengan apa yang terkeluar dari mulut aku. Kenapa terkeluarnya nama Ah Chong dan Ramasamy? Mengapakah aku kena menggunakan esentialisma dalam hujahanku? Aku bertarung idea dalam gelaran yang diguna pakai Pakcik ini.

“Anak kena paham. Impian anak ni indah sangat, sampai bukan realiti. Malaysia bukan seperti England. Inilah Tanah Melayu, kepunyaan orang Melayu. Mereka ada China atau India. Kalau Melayu bukan pemimpin tanah ini, kita nak ke mana? Melayu ni baik sangat. Orang datang rumah sebagai tetamu, kita jadikan mereka tuan rumah kita lagi!”

“Pakcik tak payah cakap macam tu. Rumah ini untuk dikongsi untuk semua orang yang mahu jadikan tempat ini rumah mereka, tak mengira bangsa. Kita mesti amalkan sikap keterbukaan.”

“Terbuka sampai Melayu tergadai! Senang la anak cakap. Pakcik dah hidup lama ni, Pakcik tau. Untuk orang bukan Melayu, kalau tak suka Malaysia, depa pi berhijrah. Tak suka kerajaan, depa pergi negara lain. Depa tak mau memajukan negara Malaysia.”

“Mana ada la Pakcik. Bila saya kat UK selama tiga tahun, saya jumpa ramai orang Melayu pun sudah berhijrah ke sana. Depa kata depa takmau balik. Kerajaan terlalu korup dan tiada kebebasan.”

“Tapi orang Melayu akan sentiasa kembali ke Tanah Melayu. Percayalah, nak. Pakcik tahu. Pakcik lagi tua.”

Aku terdiam. Dia dah kata dia lagi tua. Aku nak kata apa? Aku tiada basis moral untuk mengatakan bahawa dia perlu lapangkan pemikirannya.

“Pakcik sedih melihat keadaan oang Melayu. Melayu jangan lawan Melayu. Orang seperti anak nilah yang melemahkan orang Melayu. Anak ini hidup dalam mimpi. Anak rasa orang bukan Melayu pikir macam anak ke? Apabila depa berbahasa Cina atau Tamil, anak akan rasa terpinggir. Mereka akan sentiasa membela bangsa mereka. Syarikat Cina takkan terima orang yang tak boleh berbahasa Cina. Pakcik tak bodoh. Pakcik banyak membaca,” sambungnya.

“Pakcik banyak baca apa?”

“Utusan.”

“Oh… Tapi kita mesti mencuba….”

“Kenapa anak ini buta sangat? Cuba tengok Singapura yang dulu sebahagian daripada Tanah Melayu. Habis terjatuh ke tangan orang Cina! Anak tengok negeri kita Pulau Pinang! Sejak DAP menguasainya, habis orang Melayu.  Mana ada penjaja Melayu di Pulau dah? Orang Melayu kena keluar pulau sebab harga barang dan tanah mahal sangat. Orang Hong Kong dan Singapura beli rumah kat sana!” Nadanya semakin keras.

“Pakcik, ini semua persepsi. Orang Melayu masih kuat di sisi politik dan berkembang di ekonomi.”

“Sudah! Pakcik takmau lagi dengar hujahan tawar hang ini. Anak kena sedar diri dengan realiti orang Melayu yang semakin mundur. Azan Maghrib dah bang dah. Pi ambik air sembahyang kat surau. Pakcik jadi imam.”

“Errr, ye Pakcik…” kataku degan sedikit keberatan.

 

Featured image is from WikiCommons and was taken by Nubli bin Syamsul.

 

Tags: , , , , , , , ,

Posts by

@aerierahman

Posted on 24 August 2013. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by .

Read this first: LB Terms of Use

5 Responses to Jurang Yang Sukar Dirapati