Kami Melayu-Muslim, Kami Berhak

Ada apa pada Melayu-Islam?

Nota: Artikel ini asalnya diterbitkan di LoyarBurok.com dalam Bahasa Inggeris dan telah diterjemah ke Bahasa Malaysia oleh @TheMamuRises.

Jadi, anda sedang berpuasa. Mentari sedang bersinar terik dari atas kepala, dan perut anda sedang berkeroncong, tekak anda kehausan. Jam baru menunjukkan pukul 12.30 tengah hari. Anda masih punya beberapa jam lagi sehingga tiba waktu berbuka. Sekonyong-konyong melintaslah seorang insan bukan Islam di hadapan anda, menikmati setin minuman kola sejuk kegemaran anda. Dia kelihatan asyik betul menikmati minuman itu. Anda dapat bayangkan sensasi minuman sejuk itu mengalir di tekak dengan segala kebaikan kafein yang mengundang kencing manis. Anda lantas meradang. Berani manusia ini minum di hadapan anda? Tidakkah dia punya rasa hormat terhadap bulan Ramadan yang mulia ini, sehingga tanpa segan silu menghilangkan dahaganya di hadapan orang Islam? Tidakkah dia tahu yang majority rakyat negara ini adalah orang Islam, justeru mesti dihormati?

Ini premis biasa yang merebak di kalangan ramai Melayu-Islam di negara ini. Orang Islam merupakan majoriti, justeru mereka berhak dihormati. Sensitiviti Melayu-Islam tidak boleh diganggu-gugat; secara umum Melayu-Islam mesti dijaga daripada apa sahaja mara bahaya, kekeliruan dan segala jenis kejahatan dan bahaya yang boleh mengancam ummah. Mutakhir ini, sentimen yang begitu mengakar ini dibawa ke depan oleh politisi oportunis. Jadi ia kelihatan seolah-oleh orang Melayu-Islam ini makin tidak boleh tahan dengan masyarakat minoriti.

Melayu-Islam berhak untuk tidak mempunyai kuil Hindu di dalam kawasan perumahan mereka. Melayu-Islam berhak untuk menentukan nama apa yang boleh digunakan orang lain untuk merujuk kepada Tuhan. Melayu-Islam berhak untuk memberhentikan penjualan minuman berakohol dan menghalang pembukaan panggung wayang di kawasan majoriti Melayu.

Setiap hari Jumaat, Melayu-Islam berhak untuk mengabaikan segala kesedaran sivik mereka dan dengan sesuka hatinya meletak kereta mereka di mana saja mereka suka. Melayu-Islam berhak untuk menyiarkan dengan nyaring ceramah-ceramah agama ke serata pelosok kejiranan, hatta sehingga lewat tengah malam. Perdana Menteri mesti Melayu-Islam, perkhidmatan awam mesti diisi dengan Melayu-Islam dan badan kerajaan dilihat sebagai institusi Melayu, dengan tanggungjawab utama untuk menjaga hak dan kepentingan orang Melayu dan Islam.

Premis keberhakan juga telah digunakan untuk menghalalkan penganiayaan dan diskriminasi terhadap golongan minoriti seksual dan agama, kononnya kerana Perkara 3 memperuntukkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Jadi kita kata para LBGT tidak dapat menikmati perlindungan Perlembagaan kerana orientasi seksual mereka bertentangan dengan Islam, walaupun kita senang-senang lupa bahawa perkara lain seperti berjudi turut menjadi perkara terlarang dalam Islam tetapi masih sah di sisi undang-undang dalam negara ini. Buku-buku dirampas dan diharamkan, dan fatwa dijadikan perkara yang tidak boleh dicabar. Dalam penghakiman terkini, Mahkamah Persekutuan telah pergi sejauh mengatakan bahawa keutuhan agama harus dipelihara tanpa mengira apa jua harganya. Adakah ‘harga’ tersebut termasuk kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara ini?

Jangan salah sangka, ini bukan mengenai Islam. Ini mengenai bagaimana kita menghalalkan diskriminasi, penganiayaan dan penafian mentah-mentah terhadap hak asasi, semuanya atas nama agama. Ini adalah tentang bagaimana kita melihat dan melayan orang lain sebagai makhluk yang lebih hina berbanding kita, hanya kerana kita merasakan kita berhak berbuat demikian. Kita membenarkan kesalahan-kesalahan ini kerana kita terlalu taksub akan sangkaan bahawa Melayu-Islam, kerana dia Melayu dan bergama Islam, berhak ke atas segala yang terbaik dari negara ini, kerana mereka menduduki maqam yang lebih tinggi berbanding lain-lain rakyat di luar sana.

Tidak ada dasar undang-undang atau perlembagaan untuk dakwaan ini. Perkara 3 tidak menjadikan Malaysia ini sebuah negara Islam, dan Perkara 4 secara jelas meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara ini. Perkara 8 memperuntukkan bahawa semua rakyat adalah sama-rata di mata undang-undang dan boleh menikmati perlindungan undang-undang yang serupa. Perkara 153 yang sering disebut-sebut itu pula tidak menjadikan mana-mana Melayu-Muslim lebih mulia secara nyata atau lebih hebat di mata undang-undang, ia hanya memperuntukkan hal kuota untuk orang Melayu serta pribumi Sabah dan Sarawak dalam hal-hal tertentu.

Jadi apa ertinya kalau orang Islam itu majoriti? Kita mempunyai kefahaman demokrasi yang pincang, seolah-olah dalam demokrasi, hak-hak minoriti itu kurang penting ketimbang hak-hak majoriti. Itu sebabnya kita ada Perlembagaan Persekutuan, yang memelihara dan menjamin hak asasi rakyat kesemuanya daripada tirani majoriti.

Kita sering marah melihat nasib minoriti Muslim di negara-negara lain seperti Thailand, Filipina, Myanmar dan China. Kita menyeru kepada kebebasan beragama apabila kita dengar bahawa menara masjid dilarang di Switzerlan atau burqa diharamkan di Perancis. Tetapi jika hak muslim minoriti mesti dipertahankan apabila ditentang majoriti, kenapa tidak punya semangat serupa untuk membela hak minoriti bukan Islam? Kenapa hak orang lain hanya boleh dilaksana jika kita merasakan hak itu wajar dilaksanakan?

Jadi sebelum anda ingin marah kepada seseorang yang sedang minum di hadapan anda tatkala anda sedang berpuasa, cuba bersabar seketika dan fikirkan tentang agama anda. Letak ke tepi rasa keberhakan dan fikirkan, hanya kerana anda berpuasa, adakah itu bermakna semua orang lain mesti menyorokkan makanan dan minuman mereka?

Ingatlah apa yang telah agama Islam semaikan ke dalam diri anda, bukan apa yang diberitahukan oleh orang Islam kepada anda.

Sumber gambar: The Nut Graph

Tags: , , , , , , , , , , ,


Syahredzan Johan adalah seorang peguam muda dan seorang rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Dia melihat dirinya sebagai seorang pengkritik politik dan pengulas sosial. Tetapi dia sebenarnya hanyalah seorang warga Malaysia yang mempunyai terlalu banyak pendapat. Dia adalah seorang yang patriotik, walaupun bukan dengan cara biasa seperti mengibar bendera. Dia percaya Malaysia mempunyai potensi yang hanya dapat direalisasi sekiranya rakyatnya belajar bersatu-padu dan bukannya berpecah-belah. Ikutilah Syah di Refleksi Minda.

Posted on 16 July 2013. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by .

Read this first: LB Terms of Use

15 Responses to Kami Melayu-Muslim, Kami Berhak