Di kalangan ‘ultra-ultra’ sekalian, Daniel Teoh muncul untuk mengulas tentang isu Menteri Cina.
Penulis ingin mengulas artikel encik yang diterbitkan di Utusan Malaysia, yang bertajuk ‘Perlukah menjadi secina-cinanya?’
Sebelum itu, izinkan penulis memberikan jawapan kepada soalan yang encik utarakan : Tidak. Tidak perlu menjadi secina-cinanya.
Artikel encik membawa beberapa perkara menarik untuk dibincangkan. Penulis mendapati diri penulis bersetuju dengan sesetengah perkara yang dibangkitkan, cuma hati penulis berat untuk meyokong setiap olahan dan ulasan yang encik kemukakan. Mungkin artikel ini lebih mudah dan senang dibaca sekiranya perkataan ‘ultra’ dikurangkan penggunaannya atau digugurkan terus.
Amalan hormat-menghormati perlu dijadikan teras dan pegangan,supaya ia jadi suatu perkara wajib dalam diri masing-masing, terutama sewaktu menjalani proses diskusi dan pencerahan isu-isu yang melibatkan rakyat Malaysia. Barulah mudah nak berbual dan bertukar pendapat.
Tahu tak Encik Ridhuan, bahawa bukan semua alumni sekolah cina bersetuju dengan semua cadangan yang datang dari Dong Zong dan Hua Zong? Kebanyakan alumni ini muda-muda, dan mereka tidak begitu terikat dengan nilai sentimental, walaupun masih cinta pada sekolah lama mereka.
Beberapa orang rakan penulis pernah menyuarakan pendapat di laman sosial bahawa sesetengah permintaan Dong Zong agak keterlaluan dan tidak munasabah, dan mereka ini juga menghargai pendekatan ikhlas dan sabar Menteri Pendidikan.
Bukan semuanya ultra, Encik Ridhuan.
Malah ramai yang mahu sekolah kebangsaan negara kita berkembang maju dan pesat supaya anak-anak Malaysia dapat belajar bersama. Sudah tentu perpaduan lebih senang dipupuk.
Ibu bapa Cina dilihat seperti lebih pragmatik dan pratikal. Seandainya ini betul, mereka akan menjadi antara yang pertama menghantar anak-anak kesayangan mereka ke sekolah kebangsaan, jika mutu kurikulum sekolah tersebut cukup menyakinkan.
Seandainya ini terjadi, populariti sekolah vernakular sebagai alternatif pendidikan akan menurun. Persoalannya, Encik Ridhuan, bukanlah bahasa pengantara, tetapi persepsi kualiti pengajaran kurikulum sesebuah sekolah yang dijadikan kayu ukur. Kualiti menjadi daya tarikan sebuah institusi pendidikan, tidak kira bahasa pengantara yang dipilih.
Penulis juga agak kecewa dengan cara Encik Ridhuan memerli Ahli Dewan Undangan Negeri dan Parlimen yang kurang fasih dalam menggunakan bahasa rasmi — Bahasa Malaysia. Kebanyakan daripada mereka ini menguasai lebih daripada satu bahasa, encik; mungkin menjadi satu kebiasaan sekiranya satu frasa kata menghindari fikiran sekejap. Ini sesuatu yang biasa bagi mereka yang mampu berbahasa lebih daripada satu, dan ada sesetengah frasa lebih tepat maksudnya dalam bahasa lain.
Sekiranya encik menghormati demokrasi, hormatilah juga mereka yang telah dipilih rakyat. Apabila Datuk Mary Yap dikritik kerana tidak tahu berbahasa Mandarin, Encik Ridhuan mempertahankan beliau dengan kenyataan bahawa yang penting ialah dia kena buat kerja. Penulis berharap encik akan berfikirsecara konsisten juga untuk wakil rakyat yang tidak terjumpa atau terlintas perkataan dalam Bahasa Melayu sewaktu mereka sedang berhujah.
Bukankah encik juga menggunakan Bahasa Inggeris untuk cuba menyampaikan sesuatu, di perenggan kedua artikel encik? Perkataan ‘tip-top’ yang digunakan encik juga kelihatan pada perenggan kelima dari bawah.
Bekas Pengerusi Republik China, mendiang Encik Deng Xiao Ping, pernah berkata bahawa tidak kira sama ada kucing itu hitam atau putih, ianya kucing yang baik sekiranya pandai menangkap tikus.
Ungkapan ini menjadi semangat dalam pembangunan moden negara komunis itu yang majoriti penduduknya berbangsa Han. Beliau dengan berkata demikian telah mengajar bangsa Han supaya menilai seseorang individu itu berdasarkan kemampuannya, bukan warna kulit. Secara tidak langsung, nasib kaum minoriti di Tanah Besar itu turut terbela.
Hal ini menjadi sebab penulis bersetuju dengan encik apabila encik bertanya perlukah sangat menteri Cina untuk menjaga kebajikan orang Cina. Penulis hairan dengan beberapa episod politik kebelakangan ini, apabila bangsa seseorang exco negeri itu dijadikan topic dan kriteria. Pada penulis, bangsa seseorang itu tidak seharusnya menjadi sebab seseorang individu mendapat, atau tidak mendapat, sesuatu, tetapi kemampuan dan kehebatan individu yang wajar menjadi penentu. Sudah tentu Encik Ridhuan akan akur dengan penulis dalam perkara ini.
Penulisan encik juga memberi persepsi bahawa yang bukan-Melayu turut menggila-gilakan jawatan tertentu dalam kerajaan (baca: TPM dan PM). Penulis berasa bahawa ini tidak tepat dan bagi majoriti bukan-Melayu, kami senang dengan pimpinan yang baik dan adil, tidak kira pemimpin itu daripada bangsa apa pun.
Encik kelihatan agak celaru berkaitan beberapa perkara yang melibatkan Dong Zong dan orang Cina. Ini bukan salah encik sekiranya maklumat hanya diperolehi dari akhbar Utusan dan blog-blog picisan.
Memandangkan encik begitu ambil berat akan hal ehwal masyarakat Tiong Hua, nasihat penulis: bergaullah dengan orang Cina di luar sana, dan di luar muka surat akhbar Utusan Malaysia.
Penulis berjanji, kaca mata encik akan dibersihkan semula.
Gambar lampiran dari laman Deutsch Bank.
Ridhuan Tee ni anak dia pun sekolah cina juga.
Orang Melayu juga akan menjadi 'ultra kiasu jika memperjuangkan hak2 Melayu di negara-negara luar spt di negara China. Tapi kalau di negara sendiri itulah dinamakan jatidiri
Saya setuju dengan perkara-perkara yang disentuh dalam artikel ini.
1. Kenyataan sesetengah individu tidak boleh digunakan sebagai ukuran bagi majoriti. Dong Zong tidak boleh dijadikan ukuran seluruh rakyat Malaysia yang berbangsa Cina, sama sepertimana Ibrahim Ali tidak boleh dijadikan ukuran seluruh rakyat berbangsa Melayu. Bukan semuanya ultra.
2. Encik Ridhuan mengkritik Ahli Dewan Undangan Negeri dan Parlimen yang kurang fasih dalam menggunakan bahasa rasmi — wakil rakyat yang berbangsa Melayu pun ramai yang mempunyai tahap penguasaan bahasa rasmi yang lemah. Seringkali kedengaran mereka mengeluarkan kenyataan dengan kesalahan lazim seperti 'semua perkara-perkara', 'saling bantu-membantu', dan sebagainya. Hakikatnya, fungsi bahasa yang dituturkan itu bukanlah untuk kepersisan penggunaan, tetapi untuk menyampaikan maksud dengan efektif. Selama mana maksud itu tidak disalah tafsir, penggunaan bahasa itu tidak sepatutnya menjadi isu. Lainlah jikalau dalam bentuk penulisan.
3. Encik Ridhuan mengkritik orang yang diberi panggilan 'ultra kiasu' kerana memperjuangkan isu yang spesifik kepada orang Cina. Namun, pada perenggan terakhirnya, Encik Ridhuan menyeru orang Melayu untuk melakukan perkara yang sama yang dikritik mengenai orang 'ultra kiasu' itu.
"Agenda Melayu (Islam) mesti diteruskan. Jati diri mesti diperkasakan. Melayu tidak boleh hanyut dalam arus sekular. Hati Melayu tidak boleh mati."
Maka kesimpulan yang dapat saya ambil dari perkara ini ialah, pada fikiran Encik Ridhuan, jika orang Cina ingin membantu orang Cina, ini disifatkan 'ultra kiasu'. Jika orang Melayu ingin membantu orang Melayu, ini disifatkan 'jati diri'. Maaf, Encik Ridhuan, tetapi saya berasa awak tidak berfikir secara konsisten di sini.
P/S Daniel, I enjoyed reading your article in Bahasa Malaysia. Well done.
Nice!