Zaki Shukor bertanya, 5 Mei 2013 merupakan titik hitam pada sejarah demokrasi Malaysia?
“Demokrasi sudah mati!”
Satu frasa yang meningkat naik sejak keputusan penuh Pilihanraya ke-13 diumumkan lewat malam Ahad. Ramai menganggap insiden-insiden yang berlaku sepanjang proses demokrasi ini dijalankan mencemarkan terma demokrasi dalam konteks Malaysia. Insiden pengundi hantu, dakwat kekal tidak berkualiti, peti undi disembunyikan, penambahan peti undi, ketiadaan elektrik di pusat pengiraan undi, dan macam-macam lagi dilihat sebagai satu titik hitam dalam sejarah politik Malaysia.
Ya, saya tidak nafikan perkara sedemikian berlaku. Insiden-insiden yang dikatakan berlaku itu bukan sekadar khabar angin yang disebarkan kosong melalui media sosial, malah beberapa laporan polis telah dibuat berkaitan insiden-insiden tersebut.
Walaubagaimanapun, untuk mengatakan bahawa “Demokrasi sudah mati” saya kira agak keterlaluan. Waima tercemarnya proses demokrasi ini, tidak bermakna ianya sudah mati. Mengapa saya katakan demikian? Ayuh kita lihat dari sudut pandang positif.
Tepat jam 5.00 petang pada hari Ahad, selepas semua pusat mengundi ditutup, Suruhanjaya Pilihanraya melaporkan bahawa seramai 12,885,434 pengundi (80%) telah keluar mengundi. Ini merupakan jumlah paling besar dalam sejarah Malaysia, juga antara yang paling besar dalam sejarah dunia. Hal ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia semakin lama semakin bersungguh-sungguh untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi sebegini. Juga usaha berterusan badan-badan bukan kerajaan untuk mendidik masyarakat tentang proses demokrasi ini sedikit sebanyak memberikan impak yang positif terhadap peratusan rakyat yang keluar mengundi pada pilihanraya kali ini. Semoga usaha-usaha sebegini berterusan bagi memastikan partisipasi rakyat yang menyeluruh dalam politik Malaysia. Dalam hal ini, rakyat telah menang.
Demokrasi nazak, tapi masih belum mati. | Sumber: Foto dari penulis.
Walaupun pada pilihanraya kali ini kita tidak dapat melihat transisi kuasa pemerintahan, kita dapat melihat bertambahnya kekuatan pihak pembangkang. Hal ini dibuktikan melalui pertambahan kerusi Parlimen, DUN, dan juga penembusan kubu kuat parti pemerintah oleh pihak pembangkang. Dengan itu, perkara ini akan menyebabkan pihak kerajaan akan lebih berhati-hati dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan kerja pentadbiran kerajaan . Pihak kerajaan juga akan memberi perhatian kepada suara rakyat dan cuba sedaya-upaya untuk melunaskan setiap perkara yang dinyatakan dalam “AKUJANJI” agar tidak diserang oleh pihak pembangkang sama ada di Dewan Rakyat, mahupun secara terbuka. Secara peribadi, saya berpendapat bahawa sekiranya tidak wujud pihak pembangkang yang berkesan sebagaimana yang dijalankan oleh Pakatan Rakyat sejak tahun 2008, rakyat tidak dapat melihat proses semak dan imbang yang berkesan, sekaligus, transparensi dalam kerajaan tidak berlaku. Suatu lagi kemenangan oleh rakyat.
Bagi mengatakan bahawa demokrasi di Malaysia sudah berkubur itu sedikit keterlaluan. Namun, saya tidak menafikan bahawa proses demokrasi di Malaysia ini tercemar dek kerana peristiwa-peristiwa yang tidak diingini. Insiden-insiden yang telah berlaku memang jelek. Sebagai seorang rakyat, saya mengecam kesemua insiden yang mencemarkan proses demokrasi di Malaysia, tidak kiralah dalangnya daripada pihak parti pemerintah mahupun parti pembangkang. Insiden sebegini tidak seharusnya dibiarkan berlaku. Saya bersetuju bahawa 5 Mei 2013, merupakan satu lagi titik hitam dalam sejarah politik Malaysia. Insiden yang berlaku hampir membunuh demokrasi Malaysia, yang saya kira sudah nazak dan perlu alat bantuan untuk terus hidup – alat bantuan ini ialah rakyat. Rakyat perlu sedar tentang perkara ini dan tidak memandang remeh terhadap apa yang telah berlaku. Tindakan perlu diambil. Pendidikan pilihanraya harus diperkasakan. Semoga kita dapat bergerak ke arah demokrasi yang lebih matang.
Tags: 5 Mei 2013, 505, AKUJANJI, Barisan Nasional, GE13, PRU13, Pakatan Rakyat, Suruhanjaya Pilihanraya, Zaki Shukor, kerajaan, pembangkang, peti uni, rakyat
Zaki Shukor merupakan seorang pelajar Fakulti Undang-undang universiti tempatan yang bahasa rasminya merupakan Bahasa Malaysia. Sedang menambahbaik penggunaan Bahasa Malaysia dalam penulisan. Berselindung di sebalik twithandle @zakishukor.
Posted on 7 May 2013. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.
Read more articles posted by Zaki Shukor.
Read this first: LB Terms of Use
LoyarBurok - An online journal owned by Liberal Banter Sdn Bhd (Company No. 723502-K)
Creative Commons licence to posts | Full copyright in name and logo | *Please internalise our "Read this first!" carefully
One Response to Nazaknya Sebuah Demokrasi