Menyambung artikel pertama berkenaan insiden 13 Mei 1969.

Kekacauan yang dimulakan oleh kumpulan pemuda tahan lasak Umno di Kampung Baru malam lewat malam 12 Mei sehingga awal pagi 13 Mei 1969 di bawah pimpinan Harun Idris mungkin dapat dielakkan jika rakyat mendapat maklumat yang seimbang dan jika rakyat tahu bagaimana untuk bertindak mencegah jenayah daripada berlaku.

Harun Idris kemudiannya dipilih menjadi Ketua Pemuda Umno pada tahun 1971 dan kemudiannya menjadi Menteri Besar Selangor di zaman  Perdana Menteri  Ke-2 Allahyarham Tun Hussein Onn. Anehnya jasa-jasa Harun Idris adalah memulakan kekacauan di Kampung Baru yang akhirnya menyebabkan banyak nyawa yang tidak berdosa melayang maka sebab itulah artikel pertama saya mencadangkan Suruhanjaya Di Raja untuk menyiasat dengan terperinci insiden malang 13 Mei 1969. Satu lagi jasa Harun Idris ialah membantu  Perdana Menteri Ke-2 Allahyarham Tun Razak Hussein membawa masuk kembali ke pangkuan Umno Perdana Menteri Ke-4 Tun Dr Mahathir Mohamad yang dipecat oleh  Perdana Menteri Pertama, Al Marhum Tunku Abdul Rahman.

Namun ketegasan Tun Hussein Onn melawan rasuah meranapkan cita-cita Harun untuk menjadi Perdana Menteri selepas Harun dihantar ke penjara berkenaan kes rasuah perlawanan tinju legenda Muhammad Ali dan Joe Frazer di Kuala Lumpur. Hanya Suruhanjaya Di Raja sahaja yang dapat membongkar segala-galanya kerana banyak persoalan masih belum terungkai jika cuma merujuk Kertas Mageran yang dikeluarkan secara rasmi oleh Kerajaan ketika itu. (Untuk rekod, Dato Onn Jaafar, YM Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj dan Tun Hussein Onn meninggal dunia di luar  parti Umno.)

Berbalik kepada fokus artikel kedua sempena PRU-13 ini mengenai citizen arrest. Sebagai Muqaddimmah, umumnya Akta Polis 1967 (Akta 344) dan lain-lain peraturan berkaitan memberi kuasa pada pasukan PDRM serta juga polis bantuan untuk bertindak mengikut pelbagai peruntukan undang-undang dalam menjalankan tugas. Command and control pasukan PDRM terletak sepenuhnya pada YDH Tan Sri IGP. Walaubagaimanapun dengan rakyat yang melebihi 29 juta orang dan kekuatan pasukan PDRM yang tidak sampai 200 ribu orang mungkin amat sukar untuk pasukan PDRM berada di semua lokasi jenayah 24 jam kerana tiada siapa dapat menduga di mana jenayah akan berlaku kecuali di kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti sahaja.

Disinilah pentingnya penglibatan rakyat Malaysia setiap lapisan membantu pasukan keselamatan dengan secara sah di sisi undang-undang tanpa perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Untuk menyenangkan tugas pihak PDRM yang sentiasa cergas dengan lagu penuh semangat ‘Polis sedia berkhidmat’ adalah dicadangkan pihak PDRM memantau aktiviti-aktiviti sebuah pertubuhan yang telah dikategorikan sebagai kumpulan samseng Melayu oleh pihak Cawangan Khas sendiri.

Juga yang patut PDRM pantau sempena PRU kali ini beberapa pertubuhan ekstrim isu-isu bangsa serta beberapa individu tertentu di dalam pertubuhan-pertubuhan tertentu; sekurang-kurangnya satu pertubuhan seni mempertahankan diri yang diwarnai pelbagai kontroversi lewat tahun 70an dulu dan kini berkokok kembali untuk mendapat dana Kerajaan dari masa ke semasa. Bukti-bukti provokasi dan keganasan golongan berkenaan tersebar luas di dunia siber khususnya dalam bentuk audio visual yang pelbagai di YouTube.

Perlu juga ditekankan di sini pihak PDRM dalam menguatkuasakan undang-undang tidak perlu berasa terhutang budi mahupun berasa tertakluk pada mana-mana ahli politik sekalipun yang sedang memerintah Kerajaan Persekutuan sekarang ini. Jenayah tetap jenayah dan jenayah tidak boleh berubah jadi halal semata-mata ianya dilakukan oleh ahli politik berpangkat Menteri ataupun lebih tinggi lagi. Peringatan ini penting bagi menghormati anugerah Di Raja yang dikurniakan pada Polis Di Raja Malaysia pada tahun 1958. Rakyat  dan anggota serta pegawai PDRM akan sentiasa menghormati PDRM berdiri teguh menyokong kepimpinan PDRM di bawah YDH Tan Sri IGP berlandaskan tindakan PDRM yang adil, tegas dan  bersifat non-partisan.

Beberapa seksyen terpilih dan Jadual Pertama Kanun Acara Jenayah (Akta 593) memberikan hak pada rakyat untuk menahan serta-merta bila melihat jenayah dilakukan. Namun apakah bentuk jenayah yang dizinkan untuk citizen arrest dilakukan di bawah Kanun Acara Jenayah? Jawapannya: sebarang bentuk jenayah yang jika penahanan dilakukan oleh anggota polis ianya tidak memerlukan waran. Jika tiada anggota polis dan rakyat nampak percubaan mencetuskan kacau-bilau atau mencederakan seseorang atau mencetuskan keadaan tidak aman maka rakyat diberi hak eksklusif di bawah Kanun Acara Jenayah untuk menahan penjenayah berkenaan.

Bagaimana cara menahan? Criminal Procedure Code atau Kanun Acara Jenayah seterusnya mensyaratkan cuma menggunakan kekerasan yang munasabah terhadap penjenayah. Malah Kanun Acara Jenayah seterusnya mengingatkan rakyat agar tidak membunuh penjenayah yang melakukan kesalahan yang hukumannya bila dibicarakan bukan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Sebagai peringatan  pada semua yang ingin lakukan citizen arrest jika tiada keperluan untuk berlaku kasar, cuma tahan dan serahkan pada pihak berkuasa, itu saja. Kayu pengukur untuk menentukan samada rakyat punyai hak untuk menahan penjenayah adalah samada perbuatan jenayah berkenaan bersifat seizable maksud jenayah yang serius yang boleh membuatkan rakyat menahan si penjenayah serta-merta demi kepentingan umum.

Bagaimana dengan penipuan pilihanraya? Penipuan adalah satu bentuk jenayah berat yang merupakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) yang sebenarnya lebih serius daripada kesalahan-kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Pilihanraya. Disebabkan penipuan adalah jenayah serius di bawah Kanun Keseksaan maka sesiapa yang terlibat menipu atau bersubahat menipu, rakyat boleh menahan serta-merta si pelaku. Adalah dicadangkan sebelum diserahkan pada pihak polis, rakyat boleh mengambil butir-butir si penjenayah serta mengambil gambar mahupun rakaman video.

Pada 23 Februari 2013, saya bertemu dengan Justice Shankar yang telah bersara sebagai Hakim di mana beliau telah memberikan pandangannya yang rakyat boleh memastikan agar pihak polis menahan reman si penjenayah tanpa melepaskan mereka begitu saja. Untuk rekod, Shankar pernah menjadi ahli panel Suruhanjaya Di Raja Mata Lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Suruhanjaya Di Raja VK Lingam.

Apa lagi yang boleh rakyat buat untuk mengecewakan penjenayah pilihanraya? Di bawah Kanun Acara Jenayah juga, rakyat boleh mengadu kepada Majistret di kawasan di mana jenayah berlaku dan Majistret boleh memerintahkan penahanan si penjenayah untuk dibicarakan.

Itu sajakah yang Majistret boleh buat di bawah Kanun Acara Jenayah? Jawapannya: ada lagi yang lebih penting. Kanun Acara Jenayah mengizinkan Majistret tempatan yang menyaksikan sendiri jenayah dilakukan untuk melakukan penahanan atau untuk meminta kerjasama sesiapa sahaja untuk menahan si penjenayah. Jadi jika para Majisret seluruh negara ingin berjasa pada negara bersedialah memantau jenayah berkaitan pilihanraya yang seizable dan bersedialah melakukan penahanan atau meminta kerjasama sesiapa saja jika ketiadaan pihak polis untuk memberikan bantuan menahan. Namun, sepertimana yang termaktub di bawah Kanun Acara Jenayah, perbicaraan kes berkenaan nanti hendaklah didengar oleh Majistret lain.

Bagaimana jika pihak polis ada tetapi enggan menahan si penjenayah pilihanraya yang melakukan jenayah yang seizable? Selepas mengadu pada pegawai atasannya, hantar butir-butir anggota berkenaan kepadaLembaga Tatatertib Bukit Aman serta Suruhanjaya Integriti di samping badan-badan lain termasuk SUHAKAM.

Walaubagaimanapun jika perlu, rakyat masih boleh melakukan citizen arrest dan menyerahkan si penjenayah pada balai polis lain atau anggota polis lain atas alasan ianya satu tanggungjawab rakyat yang diberi kuasa menahan penjenayah di bawah Kanun Acara Jenayah.

Sebagai peringatan, rakyat tidak perlu membantah dengan bahasa yang kesat atau kasar terhadap keengganan sebarang penjawat awam bertindak ini kerana rakyat boleh didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan sebagainya. Jadi sekalipun tak berpuas hati, ikutlah kempen budi bahasa yang dipromosi oleh Dato Seri Utama Dr Rais Yatim; sentiasa senyum dan bersopan-santun sekalipun tidak perlulah sampai ke peringkat berpantun-pantun pula.

Siapakah lagi selain daripada rakyat biasa yang dizinkan melakukan penahanan atau membantu pihak berkuasa melakukan penahanan oleh Kanun Acara Jenayah? Jawapannya: Jaksa Pendamai (Justices of the Peace).

Apakah rakyat hendak buat jika penipuan dilakukan oleh beberapa pegawai tinggi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sendiri? Demi kepentingan umum, rakyat boleh melakukan citizen arrest terhadap mereka yang berkenaan seperti yang dizinkan dibawah Kanun Acara Jenayah kerana menipu, cuba menipu atau bersubahat menipu atau cuba menipu adalah jenayah-jenayah di bawah Kanun Keseksaan.

Akta Pilihanraya 1958 (Akta 19) dan Akta Kesalahan Pilhanraya 1954 (Akta 5) Pindaan 2012 walaupun mempunyai pelbagai kesalahan pilihanraya tidak boleh mengatasi Kanun Keseksaan dan Kanun Acara Jenayah yang juga mendapat kuasa menerusi Perlembagaan Persekutuan dalam isu-isu jenayah samada penipuan, huru-hara, kekacauan, samseng, mencederakan orang, membakar harta-benda bertujuan mencetuskan keadaan tidak aman dan sebagainya.

Jadi jika rakyat Malaysia mengetahui hak-hak serta tindakan yang mereka boleh lakukan dalam mencegah jenayah di sisi undang-undang sebagai tambahan kepada pasukan polis, tidak mungkin insiden malang yang dicetuskan pemuda tahan lasak Umno diketuai Allahyarham Harun Idris pada 13 Mei 1969 berlaku.

Allahyarham Tan Sri P Ramlee pernah mendendangkan ‘barang yang lepas jangan dikenang’ dalam filem ‘Nasib Si Labu Labi’. Maka untuk melangkah ke hadapan menuju Wawasan 2020 malah lebih dari itu menuju wawasan mengadap Allah swt kemestian pada setiap yang bernyawa, adalah amat penting sekali rakyat Malaysia saling berkerjasama membantu antara satu sama lain bagi menjamin pilihanraya yang adil serta aman. Bantuan dan kesediaan pihak pasukan keselamatan PDRM dan ATM serta bekas-bekas dan persara-persara polis dan tentera termasuk bekas pegawai tinggi pasukan masing-masing ditambah dengan para Majistret, Penghulu dan Jaksa Pendamai mengikut lokaliti bidangkuasa masing-masing di seluruh Malaysia, InsyaAllah akan dapat menghalang penipuan serta kekacauan terancang daripada berlaku secara efektif.

Akhir sekali, bagaimana dengan pengundi hantu dan mereka yang mendapat kad pengenalan secara tidak sah? Jawapannya: tetap asasnya jenayah menipu di bawah Kanun Keseksaan. Menahan pengundi hantu atau mereka yang mempunyai kad pengenalan yang diperolehi secara tidak sah akan mengakibatkan mereka yang mengkhianati negara ditahan dengan hukuman yang lebih berat.

Apakah yang boleh dibuat terhadap pegawai tertinggi tertentu SPR yang disebut terlibat dengan jenayah mengkhianati negara dalam Suruhanjaya Di Raja Projek IC di Sabah? Laporan polis secara menyeluruh di seluruh negara patut dibuat terhadap pegawai berkenaan dan pihak polis patut menyiasat dan menahan reman untuk merungkai segala misteri; lebih-lebih lagi apabila pelbagai kenyataan kebelakangan ini menjurus kepada kenyataan yang berat sebelah seolah-olah mencerminkan SPR tidak dapat berlaku adil semasa pilihanraya.

Apakah yang boleh dibuat oleh peniaga barangan tertentu untuk menghalang kekacauan terancang? Peniaga terutamanya peniaga tayar terpakai serta peniaga bahan bakar seperti minyak gas, petrol dan sebagainya patut melaporkan kepada pihak berkuasa serta-merta jika terdapat pembelian mencurigakan secara pukal sebelum, semasa dan selepas pilihanraya. Laporan kejadian yang sama patut dibuat kepada pelbagai pihak polis, Majistret, Penghulu, Jaksa Pendamai dan parti-parti yang bertanding.

Sebagai penutup, agama Islam menjadi lebih dihormati oleh rakyat bukan Islam sekiranya kita penganutnya mempertahankan kebenaran mengikut lunas-lunas yang di ajar agama kita di mana Nabi Muhammad saw bersabda (Hadith Sahih Muslim):

Barangsiapa dari kamu telah melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangan, jika tidak sanggup dengan tangan maka dengan lisan (bersuara) dan jika masih tidak sanggup maka memadailah membantah di dalam hati saja dan yang demikian itu yakni membantah di dalam hati adalah Iman yang paling lemah.

Islamic Finance | Financial Crimes Practitioner | Corporate Advisor | Arbitrator | Mediator | Part-time Law Lecturer | Admitted to the Bar 23 August 1991 | Presenter | Panelist | Trainer | Currently completing...