… kacau-bilau mula dicetuskan oleh kaum Melayu di Kampung Baru dengan mencetuskan pelbagai provokasi. … Kaum Melayu berkenaan adalah penyokong Umno yang turut melibatkan Dato Harun. …

Pilihanraya 1969 menyaksikan YA Bhg Tun Dr Mahathir tewas pada calon PAS dan seterusnya dipecat dari parti Umno oleh Perdana Menteri ketika itu, YM Al Marhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, selepas surat tulisannya pada Tunku menimbulkan kemarahan Tunku. Menurut Tunku di dalam satu temuramah sekitar awal tahun 1990, salinan surat berkenaan telah juga dihantar pada pemimpin Umno seluruh Malaysia.

Dr Mahathir dilaporkan akan ditahan di bawah ISA ketika beliau berlepas dari stesen keretapi Kuala Lumpur menuju Seremban di mana ramai anggota polis sedang menunggu untuk menahan Dr Mahathir. Namun ditakdirkan sahabat baik Dr Mahathir daripada Istana Negeri Sembilan, Tunku Abdullah menyelamatkan Dr Mahathir dengan menurunkan beliau di hutan Nilai seterusnya menyembunyikan Dr Mahathir di Istana Melewar.

Tunku yang dimaklumkan polis tentang isu ini telah membuat keputusan untuk tidak izinkan polis ke Istana kerana Tunku tidak mahu mengeruhkan hubungannya dengan Istana.

Allahyarham Tun Razak Hussein akhirnya membawa Dr Mahathir kembali ke dalam Umno dan beliau mula berada di semua Kabinet sehinggalah beliau menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981 sekalipun beberapa hari sebelum perlantikannya seorang setiausaha akhbarnya ditahan ISA atas tuduhan terlibat dengan gerakan komunis yang kemudiannya difahamkan sebagai agenda Allahyarham Ghazali Shafie cuba menyekat perlantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Pilihanraya 1969 berkenaan juga menyaksikan kaum Cina mula mendapat lebih kerusi yang seterusnya mencetuskan rasa tidak senang hati pada segolongan penyokong-penyokong Umno yang dilaporkan menyebelahi Tun Abdul Razak Hussein supaya menggantikan Tunku secepat mungkin sebagai PM. Walaubagaimanapun Tun Razak tidak rasa perlu untuk tergesa-gesa menjadi Perdana Menteri sekalipun didesak oleh para penyokongnya.

Sebab utama kenapa Tunku ditentang ialah kerana Tunku di lihat lebih menyebelahi kaum Cina, ini tidak menghairankan kerana Tunku dibesarkan dan juga bekerja di dalam Kerajaan di persekitaran yang dikelilingi oleh kaum Cina. Malah Tunku juga berjaya mengadakan Rundingan Baling dengan Chin Peng pada tahun 1955 secara aman dan selamat yang mungkin ketika itu dilihat secara berhati-hati dan was-was oleh segolongan penyokong Umno.

Dokumen-dokumen serta saksi-saksi lisan mengesahkan kampung halaman Chin Peng di Sitiawan, Perak namun dinafikan Mahkamah negara kita dengan alasan yang amat lemah iaitu ketiadaan surat beranak. Persoalannya berapa ramaikah rakyat Tanah Melayu ketika itu mempunyai surat beranak selepas melapurkan kelahiran di rumah pasung (balai polis) berdekatan.

Secara terbukanya jika dikaji Chin Peng menentang penjajah British manakala Umno yang tunduk pada British atas alasan tidak perlu pertumpahan darah membiarkan saja British mengaut keuntungan besar daripada hasil bijih timah, getah dan lain-lain. Wang hasil bijih timah dan getah yang begitu substantial jumlahnya disimpan oleh Kerajaan British Tanah Melayu di bank-bank di Singapura dan kemudiannya dilaporkan diberikan sebagai pinjaman pada Amerika dengan dikenakan faedah untuk membiayai peperangan di mana Amerika mengambil bahagian.

Tunku Abdul Rahman pernah diserang hendap di stesen keretapi Tanjung Malim kerana komunis sangkakan ianya dinaiki oleh Pesuruhjaya Tinggi British Sir Henry Gurney. Komunis memohon maaf pada YM Tunku serta-merta setelah mendapati tiada Pesuruhjaya British cuma YM Tunku dan rombongannya.

Sir Henry Gurney yang kemudiannya dibunuh komunis di Bukit Frasers adalah orang yang bertanggungjawab membantu Israel bila Israel mula merampas tanah rakyat Palestin serta membunuh rakyat Palestin. Henry Gurney diberi tugas menasihati Israel isu-isu keselamatan semasa mencerobohi Palestin atas arahan majikannya Kerajaan British yang berpusat di London. Namun asasnya, komunis cuma membunuh Sir Henry Gurney sahaja dan membiarkan pemandu serta isteri Henry Gurney terus hidup.

Pembunuhan Henry Gurney dilakukan komunis atas alasan risalah yang mahukan Chin Peng hidup atau mati dengan ganjaran 250 ribu pound sterling yang bersamaan RM1 juta ketika itu. Lima sen amat benilai sekali di mana nasi lemak hanya 1 sen sebungkus. (Nota: British mengeluarkan syiling setengah sen dan suku sen semasa mentadbir Negeri-Negeri Selat yang terdiri daripada Pulau Pinang, Melaka dan Singapura yang nilainya lebih rendah daripada satu sen yang boleh digunakan untuk membeli kuih dan sebagainya.)

Dengan sedikit penerangan di atas maka nampak jelaslah sedikit hubungan baik Tunku dengan kaum Cina yang sentiasa berterusan semenjak zaman persekolahan sehinggalah zaman Tunku berkhidmat di pelbagai jabatan Kerajaan hinggalah menjadi Perdana Menteri yang pertama.

Berbalik pada malam 12 Mei menuju ke tengah malam iaitu awal pagi 13 Mei 1969 sepertimana yang diceritakan pada saya oleh seorang persara polis yang kini berkhidmat sebagai pemandu teksi. Kejadian yang membuatkan kaum Melayu marah mengikut fahamannya sebagai anggota polis ketika itu ialah pembunuhan wanita mengandung di luar panggung Capitol, Kuala Lumpur. Namun dengan merujuk kepada beberapa bahan yang telah diistiharkan oleh Kerajaan British sebagai tidak lagi sulit kita akan dapati kacau-bilau mula dicetuskan oleh kaum Melayu di Kampung Baru dengan mencetuskan pelbagai provokasi. Kaum Melayu berkenaan adalah penyokong Umno yang turut melibatkan Dato Harun.

Jelas kekecewaan penyokong Umno yakni penyokong Tun Razak yang mahukan Tun Razak segera menggantikan Tunku Abdul Rahman yang dilihat mereka sebagai pro-Cina. Namun Tun Razak tetap dilaporkan tidak bersetuju dengan idea untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman. Maka dengan ringkasnya untuk kefahaman yang mudah provokasi serta huru-hara 13 Mei dimulakan oleh segolongan penyokong Umno sendiri yang seterusnya mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa semata-mata atas prinsip Michaevelli ends justify the means untuk mencapai matlamat mereka sekalipun caranya salah dianggap mereka sebagai munasabah.

Perlu ditekankan di sini setakat tahun 2013 Amerika berhutang dengan negara Komunis China yang mana bila-bila masa sahaja Amerika mampu dibankrapkan oleh China. Allahyarham Tun Razak melawat China dengan mengadakan hubungan dua-hala dan tahun lepas Malaysia menandatangani pelbagai MOU di Malaysia dan Beijing. Juga Parti Komunis China datang ke Malaysia untuk menandatangani MOU dengan Pemuda Umno Malaysia yang disiar di muka depan lidah rasmi Umno, Utusan Malaysia.

Saya amat kesal dengan terkorbannya begitu ramai anggota pasukan keselamatan Tanah Melayu termasuk pasukan polis bantuan (APs), Home Guard Women, Special Constables dan sebagainya semasa menentang komunis. Al Fatihah untuk mereka. InsyaAllah, kita harapkan roh mereka di tempat bersama orang-orang beriman kerana mereka tertipu oleh British yang memerintah dengan memecah-belahkan kaum Melayu dan Cina hinggakan kaum Cina menentang British dari dalam hutan sebagai komunis (dasar pecah dan perintah). Jika dikaji perbuatan Umno menakut-nakutkan antara kaum kini saling tak tumpah seperti British dahulu. Jadi pihak pasukan keselamatan kini terutamanya PDRM dan ATM patut lebih bijak melihat senario ini dan tidak termakan umpan hasutan Umno di saat akhir sebelum PRU.

Pasukan keselamatan patut melihat semula nama-nama individu serta pertubuhan tertentu yang telah pun dikategorikan oleh Cawangan Khas sebagai satu kumpulan samseng Melayu dan amat menghairankan saya apabila PM bersama seorang Menteri Kabinet berkongsi pentas di Shah Alam setahun yang lepas di mana PM berucap berapi-api di majlis berkenaan. Apakah Cawangan Khas cuma mampu melihat sahaja situasi ini atau telah menasihatkan PM sebelum hadir ke majlis berkenaan berdasarkan maklumat awal kain-kain pemidang yang PM dijemput hadir?

Penutup artikel pertama yang amat ringkas ini ialah, amatlah perlu satu Suruhanjaya Di Raja ditubuhkan untuk menyiasat punca sebenar huru-hara 13 Mei yang jelas mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa berdasarkan kertas-kertas sulit Kerajaan British yang kini diklasifikasi semula sebagai tidak lagi sulit agar dapat menjadi teladan dan sempadan supaya ianya dapat dielakkan daripada berulang lagi. Pepatah Arab ada menyebut adalah tidak bijak jika kita dipatuk binatang berbisa dua kali dalam lubang yang sama. (Nota: Untuk bacaan tambahan insiden 13 Mei 1969, sila rujuk juga pada buku tulisan Dr Kua Kia Soong, ‘May 13’)

Selepas seminar pilihanraya di Universiti Malaya pada 19 Februari 2013 yang turut dihadiri YB Nurul Izzah, saya sempat berbincang dengan salah seorang ahli panel yang berpendapat ulangan episod 13 Mei amat mustahil untuk berlaku di zaman ini kerana jika dirancang sebagai lakonan ianya akan terbongkar hanya dalam beberapa minit atau saat lengkap dengan visual di internet maka rakyat serta-merta dapat membuat kesimpulan yang ianya adalah staged yang seterusnya menjadikan rakyat tidak terpengaruh dengan apa-apa provokasi palsu. Kata beliau lagi, zaman ini ada internet adalah amat benar sekali kerana Tunku Abdul Rahman mungkin tidak dapat dijatuhkan oleh penyokong Umno sendiri jika internet sudah meluas seperti hari ini.

Terima kasih kepada pengasas Multimedia Super Corridor (MSC), Perdana Menteri Malaysia Ke-4 YA Bhg Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah membawa nama-nama besar ICT ke Malaysia sedikit masa dulu termasuklah Bill Gates pada ketika yang sama semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi menjadi Timbalan Perdana Menteri. Terima kasih atas segala jasa-jasa Tun Dr Mahathir membawa Malaysia ke arah 2020 dan InsyaAllah jika diizinkan Allah swt, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan down to earth Pakatan Rakyat akan menyambung membuat jasa pada Malaysia dengan cara beliau pula – barulah kita semua dapat makan nasi dengan aneka lauk-pauk bukannya setiap hari makan kuzi ayam saja walaupun mungkin sedap tentu ada juga lauk-lauk lain yang lebih sedap lagi.

Saya percaya politik Pakatan Rakyat lebih terkehadapan daripada Barisan Nasional/Perikatan dimana umpamanya Tun Dr Mahathir tidak perlu risaukan akan dendam sesiapa berlandaskan temuramah Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan media antarabangsa selepas dibebaskan di zaman PM Tun Abdullah Badawi di mana Datuk Seri Anwar pernah berkata: we forgive … but let us not forget.

InsyaAllah apa yang benar dalam siri pertama artikel saya menjelang PRU ini datangnya daripada Allah swt dan apa yang terkurang adalah kelemahan saya sendiri.

Saya akhiri dengan satu persoalan yang sering ditimbulkan Umno: bagaimana kaum Cina boleh mengawal pemerintahan Malaysia sedangkan kerusi ditandingi DAP jauh lebih sedikit daripada kombinasi PAS dan PKR? Apakah pemimpin Umno lemah matematik? Atau adakah pemimpin Umno belajar matematik daripada editor berita di Utusan Malaysia dan TV3?

Wallahualam.

Islamic Finance | Financial Crimes Practitioner | Corporate Advisor | Arbitrator | Mediator | Part-time Law Lecturer | Admitted to the Bar 23 August 1991 | Presenter | Panelist | Trainer | Currently completing...

4 replies on “Toleh Semula Di Sebalik 13hb Mei 1969”

  1. Undisclosed Information about 55years old until now.. It is very informative.. Thanks :)

Comments are closed.