Berikut adalah wawancara bersama saudara Paramananthan Sigamoni, seorang bekas pekerja United Malaya Sdn. Bhd yang telah memperoleh keputusan mahkamah yang berpihak kepadanya, namun di Malaysia syarikat perniagaan seakan-akan lebih berkuasa dan tidak menghormati keputusan mahkamah. Persoalanya mengapa keputusan Mahkamah Buruh boleh dianggap enteng oleh para majikan, kemana hilangnya kuasa mahkamah, dan adakah mahkamah di Malaysia sekadar suatu mekap keadilan yang tiada wibawa?

Encik Param memegang keputusan mahkamah.

Kes ini sedang berjalan selama 1 tahun setengah. Pekerja-pekerja United Malaya Sdn. Bhd. diberhentikan kerja dengan tiba-tiba dan tanpa apa-apa notis dan surat pemberhentian kerja. Majikan juga tidak memberikan apa-apa pampasan bagi pemberhentian tersebut. Berikutan itu, Encik Param dari Nilai, Negeri Sembilan dan 4 orang rakan kerja lamanya telah mengambil tindakan terhadap majikan mereka dan telah memenangi kes tersebut. Mahkamah Buruh mendapati bahawa majikan United Malaya bersalah dan diperintah untuk menjelaskan segala pampasan pekerja. Walaubagaimanapun, selepas 6 bulan semenjak perintah mahkamah, pekerja-pekerja ini tidak mendapat pampasan mereka. Berikutan adalah temubual dengan wakil bekas pekerja-pekerja syarikat United Malaya.

Q : Berapa lama saudara param berkerja di syarikat United Malaya Sdn. Bhd. dan apakah pekerjaan utama anda disana?

A : Saya bersama syarikat ini selama 7 tahun dan kerja utama saya adalah memandu lori untuk menghantar barang ke kedai-kedai serata Malaysia. Syarikat ini hanya mengendalikan hantaran barang-barang ke kedai kasut Bata dan mempunyai 8 biji lori untuk menjalankan penghantaran di serata semenanjung.

Q : Bagaimanakah hidup anda semasa berkerja dengan syarikat itu?

A: Sebenarnya pada masa itu hidup saya lebih stabil berbanding sekarang. Gaji yang dibayar adalah cukup untuk menampungi hidup seharian bersama isteri dan 3 orang anak. Walaupun bukan banyak tetapi pada masa-masa tertentu seperti musim buka sekolah atau musim perayaan, kami membuat banyak penghantaran dan boleh mengharapkan gaji yang tinggi sedikit. Kami tidak mendapat banyak masalah daripada majikan asalkan tugas kami dikendali dengan betul. Kemasukkan gaji dan sebagainya pun tidak ada masalah.

Q : Bagaimana dengan pemotongan EPF, SOCSO dan sebagainya?

A : EPF telah dipotong dan ada pembayaran daripada majikan juga tetapi SOCSO tidak dipotong dan kami tidak diberitahu perkara ini. Pada masa itu kami beranggapan bahawa majikan sedang menjalankan apa yang perlu tetapi tidak sangka bahawa majikan tidak menyediakan apa-apa perlindungan untuk pekerja. Slip gaji kami pun serba tidak cukup informasi mengenai potongan dan kiraan gaji.

Q : Saya difahamkan bahawa syarikat United Malaya Sdn. Bhd. ini memberhentikan kesemuaan pekerjanya yang memandu lori dengan tiba-tiba dan tanpa pampasan. Apakah yang berlaku?

A : Walaupun kami tidak seratus peratus pasti, tetapi kedengaran bahawa syarikat ini mempunyai perniagaan yang lain selain penghantaran barang Bata. Ada desas-desus mengatakan bahawa, Bata ingin memperbaharui kontrak dengan syarikat United Malaya dan kontrak baru ini mengandungi syarat-syarat yang akan mengurangkan keuntungan syarikat tersebut. Oleh itu, majikan mengambil keputusan untuk membatalkan kontrak dengan Bata dan menutup perniagaan ini. Kesemuaan pekerja diarahkan untuk memulangkan lori dan berhenti dengan serta-merta. Apabila kami bertanya tentang pampasan, majikan mengelak dengan mengatakan bahawa ia akan di bayar dalam sebulan atau dua.

Q : Ada tak saudara Param dan rakan-rakan sekerja mendapat surat pemberhentian dan bagaimana dengan pampasan saudara?

A : Tidak. Kami tidak menerima apa-apa surat pemberhentian kerja dan tiada khabar tentang pampasan. Selepas beberapa minggu, saya dan rakan sekerja saya pergi ke pejabat majikan untuk menuntut pampasan kami. Pada masa itu, majikan mentertawakan kami dan memberitahu bahawa pampasan tidak akan dibayar. Kami pun rasa kecewa dengan sikap majikan yang tak mengendahkan keperitan kami dan bercadang untuk melaporkan pada jabatan-jabatan berkenaan.

Q : Selepas insiden itu, iaitu kira-kira 2 bulan selepas diberhentikan kerja, saudara Param bersama 4 orang rakan sekerja yang lain telah melaporkan isu ini di pejabat buruh. Bagaimana pengalaman saudara melalui proses itu?

A : Proses itu adalah sangat sukar terutamanya kepada para pekerja. Keseluruhan proses ini adalah sulit dan memakan banyak masa dan tenaga. Tidak terdapat suatu penerangan yang jelas diberikan oleh mana-mana pihak. Pertama kami mengunjungi jabatan Buruh di Bangi dan di arahkan ke Seremban. Kami membuat satulaporan di Seremban dan dirujuk pula ke Pejabat Buruh Jalan Ampang. Di situ, laporan kami di terima dan penyiasatan bermula. Di sepanjang penyiasatan itu memakan masa 6 bulan dan empat kali kami berulang-alik ke mahkamah buruh. Akhirnya pada bulan Mei tahun lalu, Mahkamah Buruh telah mengeluarkan perintah kepada majikan lama kami untuk membayar pampasan kepada kelima-lima pelapor dengan segera.

Q : Tetapi sudah lebih 6 bulan sejak tarikh perintah dikeluarkan tetapi saudara masih tidak mendapat pampasan. Apakah masalahnya?

A : Masalahnya adalah, majikan langsung tidak mengendahkan keputusan Mahkamah Buruh dan Mahkamah Buruh tidak mempunyai kuasa untuk penguatkuasaan perintahnya. Dalam kes ini, majikan telah melakukan sebuah kesalahan kriminal dengan tidak mengendahkan perintah Mahkamah. Majikan itu didapati bersalah setelah penyiasatan yang berpanjangan tetapi tiada gunanya sebab majikan masih bebas.

Q : Adakah saudara melakukan apa-apa aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja?

A : Ya, kami melaporkan kepada Pejabat Buruh di Ampang dengan sebuah surat rasmi tetapi tiada apa-apa respon dari sana. Berikutan itu, kami berlima berkunjung ke Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya untuk mengadu pada menteri. Malangnya menteri telah keluar dan penolong Menteri menerima surat aduan kami. Selepas itu, 3 surat amaran di hantar oleh Pejabat Buruh Jalan Ampang ke majikan dan sampai sekarang tiada khabar tentang pampasan kami.

Q : Apakah langkah-langkah seterusnya?

A : Seterusnya, kami menerima surat daripada Mahkamah Buruh untuk mendaftarkan kes kami di Mahkamah Majistret untuk menuntut pampasan kami dalam bentuk saman. Kami telahpun mendaftarkan kes ini tetapi langkah-langkah seterusnya adalah tanggungjawab kami sendiri dan Pejabat Buruh tidak dapat membantu kami. Kami perlu membelanjakan lebih duit dan masa kami untuk mendapat suatu keadilan dari segi undang-undang. Kami perlu mencari peguam dengan sendiri dan mungkin kes ini akan mengambil masa lebih setahun untuk selesai.

Q : Bagaimana dengan kemampuan saudara untuk meneruskan perjuangan ini?

A : Semenjak diberhentikan kerja di kilang tersebut kira-kira 2 tahun dahulu, saya dan rakan-rakan sekerja saya menghadapi masalah untuk mendapatkan punca pendapatan yang baik. Kebanyakkan syarikat enggan untuk mengambil orang yang sudah berusia dan hanya memberikan kerja kontrak. Saya secara peribadi sedang menghadapi krisis disebabkan oleh gaji yang sangat murah. Saya tidak dapat menjalankan kehidupan seperti dahulu. Pada masa ini, duit pampasan yang sebenarnya hak saya itu boleh memberikan pertolongan bagi saya dan keluarga saya untuk membaikkan keadaan kami. Walaupun keadaan amat tidak menggalakkan, saya tetap akan cuba untuk menuntut hak kami sebagai yang dipersetujui melalui undang-undang kita semua. Saya berharap agar kami tidak perlu melalui lebih kesusahan dari sini.

Q : Apakah pendapat saudara Param tentang sistem pengendalian kes buruh di Malaysia? Adakah ia efektif?

A : Adalah sangat tidak efektif. Kami tidak mendapat apa-apa panduan daripada pihak Pejabat Buruh di sepanjang kes ini. Kami mendapati bahawa pihak Pejabat Buruh tidak menggalakkan kami untuk meneruskan kes ini dan kadang-kadang menyebelahi pihak majikan. Proses pengendalian juga memakan masa yang amat lama. Berbulan-bulan ditunggu untuk satu surat sahaja. Kesemuaan ini akan melemahkan semangat pekerja yang ingin berjuang menuntut hak mereka. Di sebabkan itu, banyak pekerja tidak melaporkan atau tidak meneruskan kes terhadap majikan yang dengan jelas bersalah. Kami juga berpendapat bahawa Mahkamah Buruh yang merupakan badan kerajaan yang penting tidak dapat menguatkuasakan perintahnya. Sepatutnya, pihak MahkamahBuruh perlu ada lebih kuasa untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Q : Terima kasih Encik Param. Semoga perjuangan saudara akan membuahkan hasil tidak lama lagi.

 

Lingswaran Singh has been a LoyarBurokker since he was 5. He speaks an open but disinterested language, dictated not by passion but that of humanity. Independence is his happiness. His country is the world,...

3 replies on “Majikan Tidak Endah Keputusan Mahkamah”

  1. To be fair, should you also not do a Q&A session with Labour Officer, to help understand and educate people who read your blog of the Labour System?

  2. Good share. The voice of Param and other people oppressed by bureaucracy and the system should be heard.

Comments are closed.