Buku terbaru Loyarburokker dan Profesor Andrew Harding, ‘The Constitution of Malaysia: A Contextual Analysis’ akan dilancarkan secara rasmi pada 23 Februari 2013, 11 pagi, #UndiMsiaChats 36 di PusatRakyatLB. Semua dijemput hadir bersembang dan berbincang dengan Harding dan rakan-rakannya berkenaan Perlembagaan Malaysia. Dan mengapa anda harus membaca buku ini?


Sebagai seorang penuntut undang-undang, kadangkala amat sukar untuk saya cari dan temui buku berkaitan perlembagaan yang mengupas Perlembagaan Malaysia lebih dari hanya sekadar isu-isu penting keperlembagaan dan natijahnya kepada dinamik Perlembagaan tersebut. Namun dalam buku terbaru Profesor Andrew Harding, satu anjakan yang menarik berkenaan pemahaman Perlembagaan telah disusun dalam satu buku ringkas.

Buku ‘The Constitution of Malaysia: A Contextual Analysis’ ditulis dari perspektif seorang pakar dalam bidang kajian undang-undang Asia dan analisis perlembagaan. Harding adalah seorang penulis yang penting dalam bidang undang-undang perlembagaan Malaysia dengan beberapa bukunya menjadi rujukan wajib untuk pelajar undang-undang di negara ini. Buku ini adalah sebahagian daripada siri ‘Constitutional Systems of The World’ terbitan Hart Publishing yang mengumpulkan ahli cendekia yang pakar dalam perlembagaan sesuatu negara untuk membincangkan topik ini dengan implikasi sejarah dan budaya.

Semua topik dan bab-bab kecil dalam buku ini dimulakan dengan peribahasa-peribahasa Melayu dan juga petikan-petikan dari prosa-prosa serta puisi yang terkenal di kalangan rakyat Malaysia yang relevan dengan topik yang bakal dibincang. Contohnya, Harding memulakan topik Dewan Rakyat dengan peribahasa ‘gajah berhati, kuman pun berhati juga’. Ini adalah satu peribahasa Melayu yang membawa maksud bahawa selain pemerintah, rakyat juga mahu menyatakan suara mereka dalam pentadbiran negara. Jarang sekali kita akan melihat cara penulisan yang begitu dekat dengan budaya dalam penulisan bersifat akademik.

Dalam keringkasan buku ini, tidak terlepas untuk kita menyusuri kembali peristiwa-peristiwa sejarah yang telah memberi kehidupan kepada Perlembagaan Persekutuan seperti yang kita kenal pada masa ini. Bermula daripada Perlembagaan Kota Melaka sehingga ke tuntutan BERSIH, pembaca akan menerapkan penghayatan yang lebih tinggi terhadap sentuhan-sentuhan halus yang membawa kepada reformasi undang-undang dan polisi negara.

Apa menakjubkan dalam buku ini adalah penceritaan tentang faktor-faktor sejarah dan politik yang agak terperinci jika dilihat pada saiz buku. Contohnya pada muka surat 106, Harding menceritakan sejarah operasi komiti-komiti Parlimen penting yang pernah wujud serta permasalahan yang berlaku. Harding tidak terlepas untuk merujuk kepada perkembangan baru komiti Parlimen seperti reformasi pilihanraya yang dipersetujui oleh Parlimen pada Julai 2011.

Antara nukilan yang paling menarik dalam buku ini adalah perbincangan mengenai hak asasi manusia dan kesahihannya dalam satu sfera negara autoritarian. Topik ini jarang dikupas dalam buku-buku arus perdana dan entri topik ini dalam buku Harding adalah satu permulaan yang memberangsangkan. Pencerahan yang baik telah dihasilkan dalam melihat satu per satu artikel-artikel penting dalam Perlembagaan mengenai hak asasi dan implikasi sejarah terhadap dakapan undang-undang tentang artikel-artikel tersebut.

Satu overview tentang keadaan Malaysia dalam posisi hak asasi manusia diberikan secara ringkas dan menyeluruh menyentuh elemen-elemen politik dan budaya Asia sendiri mengundang satu interpretasi holistik mengenai keadaan sebenar di negara ini. Contoh-contoh relevan seperti perluasan interpretasi kuasa-kuasa darurat di bawah kes Stephen Kalong Ningkan v Government of Malaysia sehingga pemansuhan undang-undang darurat yang masih beroperasi meluaskan pandangan terhadap topik ini.

Selain itu, buku ini juga menyentuh tentang badan kehakiman dan kuasa-kuasa hakim serta konflik agama dan Perlembagaan Persekutuan. Selain topik-topik konvensional tentang kehakiman seperti konflik Tun Salleh Abbas dan pilihanraya UMNO, Harding juga menumpukan fokus terhadap judicial activism tahun-tahun 1986-88 dan respon Majlis Peguam Malaysia terhadap konflik-konflik yang berlaku. Ini satu unjuran positif yang amat dialu-alukan.

Buku ini juga tidak terlepas untuk merujuk kepada kes-kes yang lebih baru untuk mengekalkan relevannya kerana semua pengamal undang-undang tahu bahawa undang-undang adalah dinamik dan diacu oleh kes-kes dan penghakiman semasa. Kes-kes yang dirujuk termasuklah kes Lina Joy, Abd Malek Bin Hussin dan Raja Segaran a/l Krishnan yang masih segar dalam ingatan para pelajar dan pengamal undang-undang. Satu perbincangan mengenai kuasa-kuasa dan peranan SUHAKAM dalam memelihara dan memantau perkembangan hak asasi manusia di Malaysia juga adalah satu prospek yang wajar disambut baik kerana kurangnya perbincangan mengenai topik ini serta kepentingannya dalam analisa operasi Perlembagaan Persekutuan.

Semua bab dalam buku ini mempunyai konklusi tersendiri untuk mengikat idea-idea yang telah dibincangkan dalam topik tersebut. Berkenaan kuasa-kuasa hakim, Harding menutup hujah dengan mencadangkan bahawa sistem kehakiman telah dimanipulasi untuk berfungsi seolah-olah ianya adalah badan Kerajaan Persekutuan. Juga telah dibincangkan pembangunan pasca-Mahathir yang telah memperlihatkan satu pergerakan kuat untuk mengembalikan kuasa-kuasa hakim.

Harding mempunyai satu kemahiran yang baik dalam mengikat topik-topik yang membuat para pembaca cepat untuk merujuk kepada hujah-hujah yang lebih awal tanpa perlu kucar-kacir untuk mencari kembali mukasurat yang dibaca. Sememangnya buku ini membuka skop yang lebih luas untuk pemahaman tentang dinamik Perlembagaan Persekutuan dan semua agen-agen perubahan yang  terlibat, seperti yang anda akan lihat dalam buku ini.

Saya mencadangkan untuk orang ramai tanpa mengira profesion dan khasnya penuntut undang-undang untuk membaca buku ini untuk memahami secara ringkas dinamik cabang-cabang negara yang membawa kepada interpretasi Perlembagaan Persekutuan. Daya tarikan utama buku ini adalah kebolehannya untuk terus membuka ruang pembaca untuk membentuk hujah-hujah sendiri dalam pemahaman mereka tentang Perlembagaan Persekutuan dan ini adalah satu langkah penting untuk meningkatkan minat untuk mendalami intipati-intipati dokumen ini yang menjadi definisi sesebuah negara.

Qayyum is a struggling law student who spends much of his time contributing to this struggle. He writes short stories, articles and is a social media aficionado. He's doing well online but sadly that is...

3 replies on “Cerita Epik Keperlembagaan”

Comments are closed.