Muzik dan Aku

Rencana ini diadaptasi dan dikemaskini daripada siri rencana aku semasa menjadi (PM) PopMuda untuk PopIN beberapa tahun lepas. Siri rencana asal boleh didapati di sini bersama dengan Twitterview dengan kawan-kawan PopIN.

Sebab aku masih lagi belum bersedia untuk menghidangkan juadah intelek, biarlah aku membebel lagi hari ini. Satu topik yang senang bagi aku membebel adalah mengenai hobi-hobi aku. Aku sendiri ada banyak hobi – hobi tengok orang, hobi menggupas perangai orang, hobi tengok rim motorsikal, hobi mendengar muzik, hobi makan dan macam-macam lagi, tetapi untuk hari ini, aku akan bercerita mengenai hobi muzik aku.

Mendengar muzik senang kan? Pasang la radio, PC, MP3 player dan dengar. Telinga pun tak payah pasang, memang dah ‘standard issue’ (my apologies to the OKU activists). Naikkan volume sesedap telinga dan dengar saja. Mendengar pun aktiviti yang pasif – boleh baring, makan, minum, melompat sambil mendengar muzik.

Kaset! | Sumber: http://jillandkate.com/tag/cassette-tape/

Waktu aku masih di Miri lagi, (awal tahun 80-an) aku selalu mendengar muzik melalui radio, melalui siaran radio ataupun dari kaset muzik. Dari aspek siaran muzik, Miri agak bernasib baik kerana dapat siaran rancangan radio BBC dari Brunei. Kaset zaman itu pun baru RM6-RM8, walaupun tulen. Yang original copy lagi-lah murah. Citarasa aku zaman itu pun bukan la sofistikated sangat. Apa saja keluar dari corong radio, aku dengar. Madonna-lah, Wham-lah, Michael Jackson-lah, DeBarge-lah. Pendek kata, aku pendengar muzik pop.

Rock neber dai! | Sumber: http://melayurock.blogspot.com/

Zaman Rock

Apabila memasuki sekolah menengah pada tahun 1987, aku dikejutkan dengan kewujudan muzik baru, yang sekarang lebih dikenali sebagai ‘rock kapak’. Kawan-kawan di sekolah dan senior-senior rata-rata menjadi peminat Wings, Search, Melissa, Junction, Rusty Blade, Scorpions dan seangkatan dengannya. Ramai mengubahsuai seluar sekolah menjadi seluar fit dan ‘key’ yang diselit di poket belakang adalah satu kemestian.

Aku sebagai budak yang ada sifat ingin tahu bertanya dengan rakan-rakan, “Apa dengar kawu tok?” (What are you listening to?). Jawapan lazim selalunya, “Eh bodoh menar juak kawu tok pok. Tok rock-lah!” (Don’t you know anything? This is rock man!). Aku yang sememangnya peminat lagu bahasa Inggeris agak terkilan dengan jawapan ini, tapi oleh kerana tekad hendak tahu, cuba mendekati muzik rock ini. Dengan selidikan rapi, aku mendapati muzik rock adalah bingit, bising dan tak sedap. Betul! Itu lah hasil daripada selidikan aku dan aku terus menjauhkan diri aku dari mendengar muzik jahanam ini. Maklumlah, aku pendengar muzik pop kan?

Zaman Rap

Vanilla Ice bergaya | Sumber: http://dannysoldschool.blogspot.com/2011/01/vanilla-ice-to-extreme.html

Masuk Tingkatan 3 dan 4, dunia muzik aku dikembangkan dengan hadirnya muzik rap. Bukan hip-hop, tapi rap. Awal-awal aku dengar apa yang dihidangkan oleh radio, iaitu MC Hammer dan Vanilla Ice, tetapi tidak beberapa kemudian aku mula kenal dengan Beastie Boys (album Licensed to Ill), Run DMC (album Tougher Than Leather & King’s from Queens) and Public Enemy (album Fear Of A Black Planet).

Perlu diberitahu, bahawa zaman ini, aku agak skema, jadi muzik rap menanam benih rebellion dalam diri aku. Bukan aku kata aku rebel sangat, tapi mendengar rap adalah cara aku untuk menjadi lain dari lain. Semua orang muda ada kehendak ini kan? Hendak menjadi lain dari lain.

Chuck D dan Flavor Flav | Sumber: http://lovesoulbounce.tumblr.com/post/9883201003/classic-chuck-d-x-flavor-flav

Walaupun masih peminat muzik pop tegar, aku terus meneroka muzik rap dan kenal dengan kumpulan seperti Afrika Bambaataa, Public Enemy dan seangkatan. Lagi-lah rebel kan? Pada masa yang sama, aku masih ada cuba-cuba mendekatkan diri dengan muzik rock dengan membeli album Wings – Taman Rashidah Utama, tapi masih lagi tidak boleh menerima muzik rock secara keseluruhan.

Zaman Grunge

Selepas berhijrah ke Semenanjung Malaysia, hidup aku mengalami anjakan paradigma. Hidup tidak lagi senang dan innocent. Aku kehilangan ramai kawan dan terpaksa menyesuaikan diri dengan persekitaraan dan gaya hidup baru. Perasaan pengasingan mula menebal dalam diri dan muzik muncul sebagai pembimbing dalam hidup aku.

Seorang kawan mengenalkan aku kepada Soundgarden, dan atas dasar ingin tahu, Aku membeli album Badmotorfinger. Tiba-tiba aku faham kenapa aku merasakan hidup aku agak suck.

Badmotorfinger | Sumber: http://quasherthoughts.wordpress.com/2011/04/03/badmotorfinger/

Sebabnya? Sebab dunia ini penuh dengan penipuan! Haha.

Muzik baru ini, yang ramai orang senang melabelkan sebagai grunge telah membuka mata aku kepada keadaan dunia yang penuh dengan penipuan, ketidakadilan dan macam-macam lagi unsur negatif. Marah kepada dunia mula menjadi default mode Aku. Aku semakin minat kepada grunge dan mula meneroka kumpulan lain seperti Pearl Jam dan Alice In Chains. Aku semakin melayan perasaan depressed sebab aku tahu, dunia ini kejam dan tidak adil dan aku tidak boleh menggubahnya.

Ini baru hidup! Muzik menjadi satu kawan yang sentiasa ada disitu, hanya perlu tekan play – sepasang kawan yang melayan perasaan tidak berdaya melawan status quo dunia.

Zaman Tool

Tool art | Sumber: http://xanisfiles.blogspot.com/2007/11/pot-tool-la-mejor-canci-y-letra-del.html

Siapa tak kenal Tool? Tak kenal? Tak kisah, mereka pun bukan kemaruk sangat nak dikenali. Tapi bagi aku, Tool-lah yang akhirnya memberi aku arah tuju dalam hidup aku. Kemarahan yang dibangkitkan oleh grunge telah diasah dan diberikan tujuan oleh Tool. Setiap hari aku mungkin mendengar lagu lebih dari 3 jam lagu Tool. Tool telah digambarkan oleh Patrick Donovan sebagai “…the thinking person’s metal band. Cerebral and visceral, soft and heavy, melodic and abrasive, tender and brutal, familiar and strange, western and eastern, beautiful and ugly, taut yet sprawling and epic, they are a tangle of contradictions.”. Maaf, aku malas nak terjemah, jadi pandai-pandai lah.

Apa tarikan Tool bagi aku? Lirik lagu-lagu yang membawa dan memberi pelbagai makna dan sususan muzik yang terlalu kompleks untuk digambarkan. Itu belum lagi cerita pasal album art! Senang diceritakan, Tool memberi aku kehendak untuk menggubah situasi kehidupan aku. Mood jahat dan risau dalam lagu-lagunya menjadi penggerak untuk perbuatan yang sebahagian besarnya aku harap perbuatan baik.

Apa point bebelan aku?

Point aku senang.

Cari-lah ‘Tool’ kau sendiri. Bukan semestinya muzik. Mungkin agama akan menjadi tool kau (double meaning ni hehe). Mungkin buku. Mungkin teman wanita/lelaki. Mungkin keluarga. Mungkin diri sendiri?

Kau muda? Kau marah? Kita semua sedar ada banyak benda yang tak patut berlaku di dunia ini. Tipu, seleweng, songlap dan lain-lain lagi. Buat-lah sesuatu untuk mengubah status quo. Yang penting, jangan duduk di atas punggung dan jangan biarkan dunia ‘menang’.

 

Rencana ke-tiga dalami siri ini boleh didapati disini.
Rencana asal di PopIN boleh didapati di sini.


Tags: , ,


Bekas pembela rambut panjang berjaya. Kadang-kala membebel di twitter @hasbeemasputra. Belum lagi ditahan polis walaupun sudah 3 tahun bergerak sebagai aktivis.

Posted on 3 January 2013. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by .

Read this first: LB Terms of Use

3 Responses to Muzik dan Aku

  1. Lateralus and Aenima were huge for me when I came across them in my teens. Still listen to those albums till today. Great stuff!

  2. Aston Paiva

    Lateralus and Aenima were huge for me when I came across them in my teens. Still listen to those albums till today. Great stuff!

  3. Pepper Lim

    Nice!