Pengangkutan Awam dan Aku

Rencana ini diadaptasi dan dikemaskini daripada siri rencana aku semasa menjadi (PM) PopMuda untuk PopIN beberapa tahun lepas. Siri rencana asal boleh didapati di sini bersama dengan Twitterview dengan kawan-kawan PopIN.

Terima kasih kepada Mark Teh dan kawan-kawan di PopIN kerana memberi peluang kepada aku untuk membebel kepada rakyat jelata PopIN (dan kini rakyat jelata LoyarBurok) selama 5 hari. Aku sudah terlalu panik dan kelam-kabut semenjak bersetuju kepada permintaan Mark hari Sabtu lepas. Blog sendiri pun satu post sebulan susah, apa lagi 1 post sehari.

“Apa aku nak tulis?”’ adalah persoalan yang paling banyak aku ajukan kepada kawan-kawan rapat. “Sukati kau-lah” adalah konsensus umum, jadi hari ini, hati aku suka membebel mengenai pengangkutan awam di Kuala Lumpur/Selangor.

Sejarah Awal
Untuk memberi bebelan aku konteks, izinkan aku bercerita sedikit mengenai latarbelakang aku. Aku berhijrah ke Kuala Lumpur dari Miri pada awal dekad terakhir abad ke-20, khususnya pada hujung tahun 1991, selepas ujian SPM aku. Ya, tak muda sangat-lah, tapi Mark pun sudah agak terdesak untuk calon PM, jadi aku-lah calon tangkap muat.

Aku dan keluarga tersayang bermastautin di Seksyen 12, PJ untuk 2-3 bulan sebelum berpindah ke SS1 dan menetap di sana untuk beberapa tahun. Dalam masa itu, aku kerap-kali menggunakan sistem pengangkutan awam. Pada masa itu, LRT dan KTM Komuter belum wujud lagi dan pengangkutan awam terhad kepada bas mini (yang bermacam warna, kemudian warna pink), taxi hitam kuning (selalunya Opel Gemini enjin diesel) dan bas henti-henti yang dikendalikan oleh pelbagai syarikat seperti Leng Seng, Sri Jaya dan lain-lain (‘dan lain-lain’ itu frasa kontroversi kan? Aku minta maaf kerana terpaksa menggunakannya dalam bebelan aku).

Oleh kerana komitmen kerja (pada masa itu restoran McDonald’s di Seksyen 14 PJ), aku paling kerap menggunakan sistem bas mini, jadi aku akan menghadkan bebelan aku kepada perkhidmatan bas sahaja. Bas mini juga dikenali sebagai BMW, iaitu Bas Mini Wilayah.

Untuk pergi-balik kerja di Seksyen 14 PJ, aku mengggunakan BMW. Kalau ada rasa hendak ke bandaraya untuk melepak, pun menggunakan BMW. Sistemnya senang, naik mana-mana, turun mana-mana, tambang 50 sen. Naik di PJ, turun di KL, 50 sen saja. Kalau tertidur dan terlepas dari perhentian terakhir, jangan gusar, tambah saja 50 sen dan tunggu bas itu patah balik dan turun di perhentian yang idaman kalbu. Perkhidmatannya adalah “pengangkutan dari titik A ke titik B” dan harganya adalah 50 sen. Murah kan?

BMW Zaman Pink | Sumber: http://www.flickr.com/photos/[email protected]/9449799

Perlu di-ingatkan bahawa sistem bas mini dijalankan atas dasar sistem komisyen, yakni pemandu dan konduktor mendapat sebahagian daripada tambang yang dikutip, selain daripada gaji asas. Apa nama sistem ini? Senang disebut, kapitalis saja-lah.

Sistem sebegini ada baik dan buruknya. Yang baiknya, laluan yang ramai pengguna, banyak-lah bas dan tak pernah putus-putus. Yang buruknya? Ada segelintir pemandu bas yang terlalu ghairah menyediakan perkhidmatan cekap dan komprehensif telah menghantar penumpang mereka sampai ke dalam rumah, sekali dengan bas masuk rumah.

Pertengahan 90-an

Bayangan mimpi ngeri untuk pengguna sistem pengangkutan bermula dengan mimpi indah yang bernama Intrakota. Janji manis yang ditabur menjunjung Intrakota sebagai penyelamat mental pengguna bas mini yang acapkali terpaksa menjadi aksesori hiasan luaran bas mini apabila bas mini penuh. Intrakota juga menjanjikan perkhidmatan yang kerap dan tepat, siap berani mengeluarkan iklan dalam akhbar harian dengan iklan menjanjikan 1 bas setiap (kalau tak silap) 20 minit di semua laluan pada waktu kemuncak. Wow! Hebat!

Intrakota memulakan perkhidmatan dengan menghidangkan bas Pekan Rider yang boleh memuatkan 50 penumpang dengan tambang 90sen. Pada masa ini, tambang BMW (aku menggunakan bas mini 47 atau 33 yang boleh memuatkan 20-30 penumpang) sudah naik kepada 60sen. Bandingkan dengan Pekan Rider yang berharga 90sen untuk perkhidmatan yang sama, “pengangkutan dari titik A ke titik B”. Jauh beza kan?

Mari kita tengok bas mini dulu, khususnya peningkatan harga 10sen dalam tambang bas mini. 10sen, tak banyak kan? Nampak macam tak banyak, tapi kalau kita tengok dari aspek ekonomi, kadar peningkatan 10 sen dari 50 sen ke 60 sen adalah 20%. Kalau beras naik harga 20%, mungkin ramai menjadikan mee sebagai makanan ruji kan?

Pekan Rider yang Lembap | Sumber: http://www.forumforfree.com

Sekarang bandingkan peratusan perbezaan harga antara bas mini dan Intrakota untuk perkhidmatan yang sama. Harga baru-harga asal = perbezaan harga (90-60=30), perbezaan/harga asal x 100 (30/60 x 100=50%). Wow! 50%! Kalau beras naik harga 50%, mungkin ramai orang akan berusaha tanam padi sendiri. Apabila minyak naik harga ke RM2.70 zaman Pak Lah pun dia suruh kita bercucuk tanam di kawasan rumah kan? Macam mana pula kualiti perkhidmatan Intrakota? Senang cakap, indah khabar dari rupa-lah.

Masa Kini

Tahun 2001, aku berpindah ke Damansara Damai (dan masih menetap di situ) dan masih menggunakan sistem pengangkutan awam. Intrakota pun sudah tak wujud, sekarang RapidKL menjadi penyelamat baru pengguna pengangkutan awam. Sekarang berapa tambang bas pula? RM2 dua-hala, satu tiket pakai satu hari, naik-lah bas sampai lebam. Nampak macam munasabah kan?

Tapi ada catch. Bas RapidKL dari Damansara Damai ke bandaraya berhenti di Chow Kit. Kalau aku hendak ke Central Market atau ke Bukit Bintang, aku perlu mengambil satu lagi bas. Berapa tambang? RM2 juga. Jadi sekarang, perkhidmatan yang sama, – “pengangkutan dari titik A ke titik B” telah meningkat dari 90 sen ke RM4. Brapa pula peratusan peningkatan? Kita gunakan formula yang sama (400-90=310/90×100=344.44) dan kita mendapati bahawa peratusan peningkatannya adalah 344%!

Bas INTRAKOTA yang 'hebat' | Sumber: http://www.bernama.com/kpdnhep/news.php?id=173902&lang=my

344%!?

Kalau beras naik harga 344%, mahu huru-hara macam Ultraman lawan raksaksa menyerang Jepun.

Ultraman beraksi | Sumber: http://stuffpoint.com/ultraman/image/138601/ultraman-holding-gun-picture/

Masa Hadapan

Sekarang kita telah mula dengan projek pengangkutan awam terkini dan termahal dalam sejarah Malaysia – yang akan menelan belanja RM50billion. Berdasarkan track record kita, aku kurang yakin bahawa projek ini akan menyelesaikan masalah pengangkutan awam kita, tapi aku harap aku salah-lah.

Aku boleh lagi membebel lebih lama lagi, tapi takut akan hilang fokus (fokus aku dan korang-lah), sebab sudah terlalu lama memandang paparan komputer, jadi penutup aku ada dibawah.

Sekarang, persoalannya, bukankah beras dan pengangkutan itu keperluan asas penghuni bandar? Semua sedia maklum kualiti perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia, dan KL/Selangor khususnya kan? Berbaloi atau tidak peningkatan harga yang begitu tak masuk akal? Setimpal dengan kualiti perkhidmatan? Apa jadi dengan kuasa pembelian wang kita?

Untuk maklumat kau, kadar inflasi Malaysia adalah antara 2-6% antara tahun 1999 hingga 2011. Masuk akal tak kalau dibandingkan dengan kadar peningkatan harga untuk pengangkutan awam?

Sekian bebelen.

 

Tambahan – Sekarang aku sudah putus harapan dengan pengangkutan awam dan kini menggunakan motorsikal Kriss Modenas (second hand, bayar tunai – JANGAN HUTANG DENGAN BANK!) dan ingin menerokia dunia mat rempit.

Rencana kedua dalami siri ini boleh didapati disini.
Rencana asal di PopIN boleh didapati di sini.

Rujukan Tambahan:
http://financialindependent.blogspot.com/2008/03/fd-savings-inflation-and-epf-rates-in.html
https://www.cia.gov/library/publications/the-world-factbook/geos/my.html
http://www.forumforfree.com/viewtopic.php?p=4509&sid=e96ab303334c84745d845632033aadae&mforum=malaysianbus


Tags: , , , , ,


Bekas pembela rambut panjang berjaya. Kadang-kala membebel di twitter @hasbeemasputra. Belum lagi ditahan polis walaupun sudah 3 tahun bergerak sebagai aktivis.

Posted on 27 December 2012. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by .

Read this first: LB Terms of Use

2 Responses to Pengangkutan Awam dan Aku

  1. dbkl

    Ingat tak……? (Aku memang tak boleh dan tak akan lupe). Mase harge petrol naik hingge RM2.70 seliter. Pi Em mase tu beri alasan nak kurangkan subsidi. Dengan harge RM2.70 tu, kate nye, boleh menjimatkan subsidi kerajaan sebanyak RM15 billion. Kate nye lagi, penjimatan ini akan dibelanjekan untuk menaik-tarafkan pengankutan awam. Tak beberape ketike lepas tu ape yg jadi? Syarikat anak Pi Em tu dapat kontrak RM10 billion bekal bas untuk RapidKL.

    Inilah cara penyelesaian masaalah pengangkutan awam, bekal lebih banyak bas guna duit aku. KHINZIR!!!!!

  2. Pepper Lim

    Nice!