Kehidupan Semula Untuk Lebih Memahami Peristiwa Misteri


Kematian Teoh Beng Hock adalah misteri yang sehingga kini tidak terungkai, misteri kematian beliau perlu dihayati demi menegakkan kemanusiaan dan membasmi ketidakadilan yang terus membelenggu negara yang kononnya tersenarai antara negara paling selamat didunia ini.

Rumah Anak Teater sebuah kumpulan yang dianggotai oleh penggiat muda seni persembahan dengan iltizam memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kesedaran diri, hak asasi dan keadilan membawakan Teater Beng Hock pada 6,7 dan 8 Julai lalu di Indicine, Kuala Lumpur Performing Art Centre (KLPAC) yang mana dipentaskan secara percuma sempena tahun ketiga tragedi berdarah yang berlaku kepada Beng Hock, pembantu khas wakil rakyat DAP Ean Yong Hian Wah yang dijumpai mati selepas jatuh dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam, Selangor.

Kematian Beng Hock adalah sama seperti kematian Ahmad Sarbani dan juga Amirulrasyid Amzah, dimana kecuaian pihak berkuasa sama ada secara sengaja, tidak sengaja, dirancang atau tidak dirancang telah memberi malapetaka kepada keluarga mangsa, sedangkan mereka yang bertanggungjawab di atas kematian tersebut masih bersenang-lenang tanpa dihadapkan dengan sebarang hukuman.

Teater Beng Hock diarahkan oleh Hariry Abdul Jalil dan diterbitkan oleh Faisal Mustafa, berdurasi selama 40 minit berteraskan ‘central staging’, iaitu sebuah konsep yang tidak memerlukan tirai, tidak ada pemandangan atau ‘scenery’ yang cacamerba dan audien boleh duduk dimana-mana. Pendekatan pengarah yang menerapkan konsep ini berjaya membawa audien secara langsung menghayati apa yang sedang dilakon dan dipentaskan. Dibantu persekitaran yang minima – hanya bangku di bawah mentol kuning – yang memberikan penonton menyelami dengan lebih intim ke dalam detik-detik terburuk penganiayaan peribadi seorang lelaki.

Pementasan teater ini adalah berdasarkan fakta yang terkandung didalam Laporan Suruhanjaya Diraja, kronologi disaat-saat akhir temubual yang bertukar menjadi interogasi yang akhirnya membawa kepada kematian seorang pemuda yang berada diambang perkahwinan.

Pementasan bermula dengan seorang pemuda segak berpakaian ala-ala pekerja profesional dan tidak diketahui profesi atau kerjanya sedang termenung, seolah-olah kecewa dan meratap sesuatu. Lalu beliau didatangi oleh seorang perempuan asing nan misteri yang mengusung sebuah kamus dewan disampingnya menghampiri ke arah bangku tempat beliau yang sedang meratap penuh kecewa. Perempuan itu cuba untuk menyelami apa yang terjadi terhadap pemuda segak itu, lalu diceritakan oleh pemuda segak bahawa dia baru saja diberhentikan kerja walaupun selama ini telah sedaya upaya dengan usaha yang keras membantu bossnya. Dari detik ini, beliau mula mempersoalkan ketidakadilan dan perempuan berkamus dewan selanjutnya mengatakan keadilan itu hanyalah kata-kata kosong dan keadilan itu tidak pernah wujud dimana-mana. Perempuan asing ini berkhutbah menyekolahkan beliau supaya semua menghargai setiap apa yang telah berlaku dan mengaitkannya teori kronologi pembunuhan Beng Hock.

“Anda mungkin telah dipecat, tetapi anda masih hidup … Teoh Beng Hock, di sisi lain, telah hilang dari mata tunangnya dan juga bayi yang bakal dilahirkan tunangannya,” katanya memberitahu pemuda segak yang sedang menangisi sebuah kekecewaan, yang kemudiannya membawa masuk imaginasi watak ‘Beng Hock’ kedalam dirinya dan membolehkan ‘Beng Hock’ bercakap didalam dirinya.

Untuk membuktikan bahawa kebenaran bahawa keadilan itu tidak pernah wujud dan hanya sebuah kata nista semata-mata, perempuan berkamus dewan bertanya pada pemuda segak, apakah beliau pernah mendengar cerita tentang Teoh Beng Hock?, oleh kerana pemuda segak tidak pernah mengetahui dan mengenali apa yang terjadi dan siapakah gerangannya Beng Hock maka bermulalah imbasan kembali naratif penceritaan kejadian yang menimpa Beng Hock yang memperkukuhkan kebenaran bahawa keadilan sememangnya tidak wujud dibumi yang kejam dan kotor ini.

Tempat kejadian, bilik soal siasat yang gelap dan malap adalah dunia kelam seolah-olah telah ternoktah bahawa bilik ini adalah taman tema percutian terakhir Beng Hock sebelum dicabut nyawanya ,berbeza dari tempat seorang pemuda meratap kecewa yang cerah, terang dan masih dipenuhi pengharapan disebalik kejadian yang menimpanya.

Kelihatan Teoh Beng Hock berada didalam bilik siasatan, beliau didatangi oleh seorang penyiasat SPRM yang datang untuk menanyakan tentang butir-butir keterangan diri beliau. Seterusnya seorang demi seorang penyiasat masuk ke bilik siasatan mengasak Beng Hock dengan pertanyaan-pertanyaan yang sama walaupun ianya telah berkali-kali dijawab oleh beliau. Bermulalah penderitaan dan penyiksaan mental serta fizikal ke atas Beng Hock, beliau dipaksa berkali-kali oleh pegawai penyiasat. Panggilan ke SPRM yang mulanya atas nama temubual bertukar menjadi interogasi, beliau diperlakukan oleh pegawai siasatan seolah-olah beliau adalah penjenayah paling besar dalam sejarah jenayah negara. Pendekatan yang kadang pasif, kadang agresif dari pengawal penyiasat dimana perwatakan dan kelakukannya berubah-ubah ditambah dengan watak baik seorang boss yang sering kali mengaitkan siasatan dari SPRM jauh lebih baik dari siasatan dari polis yang sememangnya jahat dan tidak bermoral, berjaya dilakonkan dengan baik.

Ironinya, segala pertanyaan bin siasatan dipaparkan dengan jawapan oleh Beng Hock tanpa kita ketahui apakah jawapan yang diberikan itu, jawapan yang diberikan sememangnya tidak dapat diketahui, hanya empunya diri saja yang mengetahuinya. Jadi Beng Hock diperlihatkan lebih banyak bermain dengan bahasa dan gerak tubuh, hasil gejolak dan tekanan mental yang diperlakukan keatas dirinya. Senario keseluruhan siasatan yang membawa kepada tragedi dari ibu pejabat SPRM Selangor ini membawa penonton merasai kesakitan dan keperitan Beng Hock dengan makian, cercaan, jeritan dari pegawai penyiasat SPRM.

Penonton dibawa ke alam suram cerminan refleksi ketidakadilan sebuah siasatan yang dari natijahnya sememangnya mahu ‘mematikan’ Beng Hock. Pencerobohan mental yang mengheret pencerobohan fizikal yang mendorong ketegangan dibingkaikan dan diperhalusi dengan baik dalam pementasan teater ini. Ia adalah satu peringatan yang jelas dan tepat bahawa pencerobohan dan penyiksaan sebegini yang ini boleh berlaku dimana-mana kepada sesiapa saja yang akhirnya mendatangkan sebuah tragedi tragik.

Dipenghujung pementasan, akibat dari kemarahan yang tidak dapat dikawal, Beng Hock akhirnya beliau dihumban keluar oleh pegawai-pegawai siasatan melalui tingkap telah terbuka. Apa yang tinggal hanyalah seorang lelaki kaku yang terbaring di atas lantai, dan secara serta merta watak Beng Hock keluar dari dalam diri pemuda segak meratap kekecewaan di sebuah taman.

Melihatkan kematian Beng Hock mengingatkan kita supaya sentiasa berhati-hati dan beringat bahawa kekuasaan tidak sentiasa berada dalam kawalan, dan dari kekuasaan yang melampau inilah yang akan melahirlah kekejaman dan kezaliman. Demokrasi sekalipun tidak pernah mampu menghalang kekejaman dan kezaliman.

Teater Beng Hock lakonan Amirul Afendi, Aloy Paradoks, Shufitri Suhardi, Azad dan Anne Nurbaya juga telah dipentaskan di Studio 1, PenangPAC pada 13 dan 14 Julai di Pulau Pinang.

Aliff merupakan jurnalis politik untuk Suara Keadilan & Keadilan Daily, juga merupakan penulis bebas yang selalu kelihatan merewang-rewang seorang diri di acara-acara kesenian dan kebudayaan tanpa...

One reply on “Teater Beng Hock ‘Kematian Adalah Kelanjutan Dari Kehidupan’”

Comments are closed.