Satu peristiwa yang menggembirakan tidak selalunya berpanjangan. Satu peristiwa yang pada satu ketika diabaikan kini harus kami tumpukan perhatian sekali lagi.

Pada 28 Jun 2012, saya bersama peguam-peguam Edmund Bon, Mohd Afiq Noor dan New Sin Yew ke Kamunting untuk melawat tahanan-tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA). Sebelum bertolak, saya cukup bersemangat dan gembira kerana dapat melawat Kamunting. Selepas lawatan selama empat jam itu, saya tidak sempat berfikir apa yang saya perlu buat sebab saya telah letih dan penat. Namun pada ketika saya menyediakan laporan temubual tentang 12 orang tahanan tersebut, banyak peristiwa lama berkenaan ISA mengimbas kembali dalam ingatan saya.

Semasa saya masih seorang pelatih dalam kamar, antara tugas yang diberikan kepada saya ialah untuk menyediakan satu laporan ringkas berkenaan ISA. Saya telah membaca beberapa afidavit berkenaan permohonan habeas corpus. Afidavit-afidavit ini menceritakan antara lainnya, kejadian-kejadian penangkapan dan penahanan tanpa sebab dan asas oleh pihak polis. Namun pada ketika itu, saya tidak mempunyai perasaan yang kuat untuk menentang ISA kerana bagi saya, menyediakan laporan hanya satu  tugas yang perlu saya lakukan sebagai pelatih.

Pada malam 15 September 2011, saya bersama dengan penggerak-penggerak UndiMsia berada di PusatRakyatLB (atau dikenali sebagai The Malaysian Centre for Constitutionalism & Human Rights (MCCHR)) untuk menyiapkan perlancaran pembukaan rasmi UndiMsia sempena Hari Malaysia pada keesokan pagi. Tepat pukul 8.30 malam, kami merebut-rebut menonton ucapan Perdana Menteri Najib Razak kami. Suasana menjadi hangat dengan tepukan gemuruh semasa Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan ISA dan tiga lagi Ordinan Darurat. Kami sungguh gembira dan mengucapkan tahniah ke atas segala usaha Majlis Peguam dan pelbagai pihak NGO seperti Gerakan Mansuhkan ISA yang sekian lama ini memperjuangkan pemansuhan ISA.

Dua tiga hari kemudian, kawan saya bertanya di kantin Mahkamah Kuala Lumpur, “Apakah pandangan kamu bahawa Edmund Bon akan kehilangan kerjanya kerana ISA kini dimansuhkan dan beliau sebagai seorang peguambela yang menentang ISA tidak ada lagi kes-kes untuk membela sesiapa di Mahkamah?”

Saya menjawab, “Saya tidak tanya beliau apa pendapat beliau, tetapi saya percaya pengumuman sebegini akan menyokong semangat beliau untuk terus berjuang menegakkan isu-isu hak asasi manusia kerana beliau percaya, setiap perjuangan menentang pencabulan hak asasi manusia memerlukan tenaga dan jangka masa yang panjang. Perjuangan memansuhkan ISA telah mengambil 50 tahun dan akhirnya ia dimansuhkan. Ini bermaksud apa-apa undang-undang yang zalim, yang menentang hak asasi juga mampu dimansuhkan pada satu hari nanti atas hasrat rakyat yang kuat.”

Selepas itu, saya terus sibuk bekerja. Saya tidak ambil tahu apa-apa cerita berkenaan ISA.

Pada 17 November 2011 Ketua Polis, Ismail Omar mengumumkan 13 orang telah ditahan di bawah seksyen 73(1) ISA di mana 10 daripada mereka berasal dari Tawau, Sabah.

Sekarang, saya tanya dan terus bertanya berulangkali: adakah perjuangan untuk memansuhkan ISA telah berakhir? Jawapannya: Tidak. ISA masih wujud.

Saya akan berusaha membela mereka yang ditahan di bawah ISA dan saya tidak akan mengabaikan lagi kewujudannya ataupun kewujudan apa-apa undang-undang yang seumpamanya.

Never dreamt of becoming a lawyer but decided to read law to kill time. Now practising in a law firm, learning to do public interest litigation, and dreams of submitting one public interest case before...

One reply on “Perjuangan ISA yang TIDAK berakhir”

Comments are closed.