Perlembagaanku

Inilah sajak Syahredzan Johan yang dideklamasikan ketika acara UndiMsia! pada 16 September 2011. Kerana sajak ini, beliau memenangi pertandingan “Tasty Title” malam itu dan pulang ke rumah dengan trofi wok yang direbut kontestan selebriti yang lain. Sajak inilah yang menyebabkan bulu roma semua hadirin terus naik, dan beberapa orang (termasuk lelaki gagah) menangis kerana penuh emosi. Bacalah. Deklamasikan dengan semangat. Lord Bobo sangat puas sekali dengan sajak ini.

Kau kata
Kau daulat undang-undang
Kau dukung demokrasi
Kau hormat hak asasi
Kau luhur Perlembagaan ini

Tahukah engkau?
Ini bukan warkah main-main
Bukan suhuf picisan
Ini kitab suci
Ini tawarikh junjungan
Ini kontrak sosial
Kovenan pemerintah
Dan yang diperintah
Yang mengangkat rakyat menjadi raja
Merakyatkan Raja pada paksi Perlembagaan ini

Namun kau carut dan kau cabul
Kau ludah
Dan kau kencing
Kau halalkan yang haram
Dan haramkan yang halal
Kau gubah ikut tepukan dada dan selera
Bagai kau yang punya Perlembagaan ini

Tidak lagi!
Kami mahu berpesta demokrasi!
Kami mahu ke jalanan berhimpun, berarak, berdansa
Kami mahu menghirup hak yang maktub
Yang hakiki di bawah Perlembagaan ini

Kami tidak gentar
Walau dengan tomahan bacul
Walau dengan momokan khianat
Walau dengan canister gas
Walau dengan dengan meriam air
Walaupun dengan das-das peluru
Tidak, kami tidak gentar

Juang kami demi rakyat
Pedang kami hujah
Lembing kami fakta
Perisai kami keyakinan
Azimat kami Perlembagaan ini

Sudah sekian lama kau jadikan ini Perlembagaanmu
Tiba masa kami jadikannya Perlembagaanku

Tags: , ,


Syahredzan Johan adalah seorang peguam muda dan seorang rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Dia melihat dirinya sebagai seorang pengkritik politik dan pengulas sosial. Tetapi dia sebenarnya hanyalah seorang warga Malaysia yang mempunyai terlalu banyak pendapat. Dia adalah seorang yang patriotik, walaupun bukan dengan cara biasa seperti mengibar bendera. Dia percaya Malaysia mempunyai potensi yang hanya dapat direalisasi sekiranya rakyatnya belajar bersatu-padu dan bukannya berpecah-belah. Ikutilah Syah di Refleksi Minda.

Posted on 17 September 2011. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by .

Read this first: LB Terms of Use

10 Responses to Perlembagaanku