“Suara Rakyat, Suara Rakyat, Suara Rakyat Laungkan! Kita Bangun, Kita Bangun, Kita Bangun dan Lawan!”
Lagu ini sudah lama saya tidak nyanyikan. Akan tetapi, saya tidak pernah melupai lagu ini yang selalu dinyanyikan oleh rakan seperjuangan saya. Pada 9 Julai, kami telah laungkan lagu ini dengan sekuat-kuatnya di jalan raya bandar Kuala Lumpur.
Di bawah Perlembagaan Persekutuan perkara 10(1)(b) menunjukkan bahawa sebagai seorang warga negara Malaysia, kami adalah berhak untuk berhimpun secara aman dan tidak bersenjata di mana-mana tempat jua. Untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang warga Malaysia, kami telahpun bersetuju dan merancang untuk turun di jalan raya sebelum pilihan raya walaupun perhimpunan tersebut digelar sebagai perhimpunan yang haram oleh Kerajaan Barisan Nasional.
Dalam konteks saya, setiap individu di Malaysia mempunyai hak sendiri untuk berhimpun. Tetapi, individu tersebut harus bertanggungjawab dengan perkara-perkara yang dilakukan oleh diri sendirinya. Bagaimanakah kita mengorganisasikan atau menganjurkan satu perhimpunan yang aman? Bagaimanakah kita memastikan kawasan perhimpunan atau perarakan tidak dikotorkan dan tidak dirosakkan oleh orang ramai? Bagaimanakah kita memastikan pendemonstrasi (demonstrators) selalu dalam keadaan selamat dan tidak melakukan provokasi yang terlampau batas?
Perkara-perkara di atas adalah penting untuk diambil kira semasa sesuatu perhimpunan diadakan.
Perhimpunan yang lalu, kita hanya mempunyai pasukan sekuriti dan marshall untuk memastikan pendemonstrasi dalam keadaan selamat yang sebanyak mungkin. Mereka selalunya berada di garisan yang paling depan dan bertembung dengan pasukan polis dan juga Federal Reserve Unit yang dikenali sebagai FRU. Selain daripada pasukan sekuriti, kita terdapat juga pasukan guaman yang terdiri daripada peguam dan peguam sukarela yang selalu bersedia untuk berunding dengan pihak polis dan bersedia untuk membela pendemonstrasi yang ditahan sebelum, semasa atau selepas perhimpunan atau perarakan. Maka pada 9 Julai, selain daripada pasukan sekuriti dan pasukan guaman yang jalan bersama-sama, kita mempunyai pasukan pertolongan cemas bersedia untuk kecederaan yang tidak dijangka serta kumpulan pembersihan juga!
Kami adalah tukang ‘Bersih’!
Sebelum perhimpunan Bersih 2.0, saya bersama dengan beberapa kawan telah merancang untuk menjadi tukang ‘Bersih’ untuk membersihkan sepanjang jalan perarakan. Dengan itu, kami telahpun menyediakan beberapa keping beg plastik untuk mengutip sampah di sepanjang jalan perarakan tersebut. Tujuan kami sanggup menjadikan sebagai tukang ‘Bersih’ adalah ingin menunjukkan orang ramai bahawa kami bukan sahaja seorang pendemonstrasi, bahkan seorang warganegara yang bertanggungjawab ke atas perbuatan (demonstrasi) yang kami lakukan.
Di sepanjang jalan raya, kami berjalan sambil membawa beg-beg plastik di tangan untuk mengutip sampah sarap yang bertaburan di sepanjang jalan perarakan. Sambil mengutip, kami sambil melaungkan, “Bersih! Bersih! Kita sama-sama bersihkan Malaysia!” Ya! Membersihkan Malaysia bersama-sama! Perbuatan kami telah mendapat tepukan dan sambutan oleh orang ramai (pendemonstrasi). Terdapat juga pendemonstrasi-pendemonstrasi yang menyertai barisan aksi tukang ‘bersih’ kami dalam sepanjang jalan itu. Tidak boleh dinafikan, sebagai seorang warganegara Malaysia, kita seharuslah mengambil kira alam sekitar sebagai elemen yang penting dalam kehidupan kita. Dengan itu, kita perlulah bertanggungjawab ke atas alam sekitar walaupun kita sedang berdemo.
Turun ke jalan raya sebelum pilihan raya. Kita jalan untuk pilihan raya yang bersih dan adil. Kita jalan untuk demokrasi negara, kita jalan demi generasi yang akan datang.
saya suka aktiviti bersih dalam gambar tu… next bersih 3.0, saya nak offer diri jadi tukang bersih…