Cinta Sekeping Sandwic | Credit: mimjamil
Cinta Sekeping Sandwic | Credit: mimjamil

Kisah cinta sekeping sandwic antara aku dan Sharon Loh.

I.

KRINGGG! KRINGGG! Loceng berbunyi menandakan waktu rehat sudah bermula. Rakan sekelas aku ligat berlari menuju ke kantin. Aku? Malas, letih, sugul dan lesu. Pembelajaran dalam kelas matematik tadi langsung tidak aku fahami. Aku masih tidak faham mengapa..

“Cikgu Daus, kenapa 6 itu kena bahagi 2? Kenapa kita tak tolak 3 sahaja?” tanya aku sebentar tadi.

“Kamu jangan banyak soal, dalam exam kamu jawab saja macam ni!” pintas cikgu.

Tapi..arghhh! Kusut! Lantas aku tinggalkan kelas, menyeret tapak kasut menuju ke blok makmal. Di bawah rimbunan pokok itu kelihatan seorang gadis, memakai baju kurung putih dengan kainnya berwarna biru gelap. Semua perempuan di sekolah ini memakai pakaian yang sama namun aku tidak tahu mengapa jikalau dikenakan pada Sharon, segalanya kelihatan berlainan. Adakah kerana putih bajunya itu memang menyerlah kerana memakai sabun yang ‘ngap’ segala kotoran? Ataupun kainnya dicuci dengan pelembut tanpa lemak haiwan? Aku tidak pasti. Sesuatu yang aku yakin, setiap hari aku akan ke sini selepas rehat. Bersama dia. Sharon Loh.

“Tadi kelas sains kami belajar pasal fotosintesis ohhh,” kata Sharon, bunyi seakan-akan bongkak namun sebenarnya itulah gaya cakapannya dari dulu, gaya bongkak semula jadi.

“Tadi kelas matematik, saya langsung tak faham apa-apa. Adoi,” kata aku, sedikit kerisauan sambil menendang ranting pokok yang tak bersalah.

“Tak apa, awak jangan risau ya. Ini kan baru minggu pertama persekolahan, nanti segalanya akan pulih,” kata Sharon yang membuatkan aku bersemangat semula.

“Nah, makan ni,” kata Sharon sambil menyuapkan ke mulutku sekeping sandwic yang dibawa dari rumahnya.

Hmm. Sedap rasanya, rasa bilis. Lagi sedap jikalau disuap oleh Sharon Loh. Hati aku cair buat hari itu. Jalan umpama terapung di atas angin. Ala-ala Dragon Ball.

II.

KRINGGG! KRINGGG! Ah, aku lapar! Aku terus bergegas meninggalkan kelas lalu terus menuju ke kantin. Pantas aku mencelah untuk berada di hadapan sekali; beratur membeli air.

“Air anggur dua bang!”

“80 sen, adik.”

Aku berjalan berhati-hati, menuju ke tepi makmal, seperti biasa. Kali ini lain pula gayanya, hari ini aku bawa minuman pula untuk gadis hatiku itu. Dah macam dalam movie orang putih di kaca TV pada Sabtu malam.

“Nah, untuk awak,” kata aku kepada Sharon yang rambutnya diikat tocang dengan getah rambut berwarna pink.

“Wah, terima kasih! You are so sweet,” okay sumpah aku dah meremang bulu roma waktu ini.

Dengan muka yang serba kemerahan, aku kunyah sandwic yang disuap Sharon dengan bersungguh-sungguh. Hari ini sardin pula menjadi santapan perutku. Ahhhh, dahsyat sungguh rasanya! Macam makan di syurga, tambahan pula aku sweet.

“Awak paling suka sandwic apa?” tanya gadis di hadapan aku itu sambil mengibas-ngibas pinafore biru gelapnya itu.

“Tuna!” jawabku, tersengih.

III.

“Ah! Dah lewat!” jerit aku apabila melihat Baby-G aku menunjukkan jam tepat 10 pagi.

Sharon pasti dah lama menunggu aku. Mesti sandwich tu dah berkulat. Ataupun dah dibaham helang. Sharon selamat atau tak di sana? Oh, tak perlu risau, Sharon ambil kelas Taekwondo. Erm.. Sharon mesti sunyi tanpa aku (hehe).

“Wah, lewatnya hari ini,” tanya Sharon pada aku.

“Ha’ah, tadi ada kelas agama, kami kena masuk kelas lain, bergabung dengan budak Muslim sana. Tak boleh campur kan semua?” kata-kata aku seperti dah dilatih selama dua minggu; jelas dan teratur.

I do not understand. Why they want to separate the students? Everyone can learn your religion kan?” ayat Sharon ini buat aku rasa nak cakap; betul juga tu.

“Entahlah. Mungkin pada setiap kelas ada mesej rahsia kot nak disampaikan. Ataupun ini semua komplot supaya kita tak bersama, diorang jealous tengok kita duduk di sini! Diorang nak saya datang lewat!” kata aku, sedikit tersengih. Sharon cuma tersenyum. Namun mujur senyumannya tak kambing.

“Apa yang awak belajar tadi?” tanya Sharon sambil membuka bekas plastik yang mengandungi beberapa keping sandwic. Kuat baunya, aku pasti ini memang inti tuna tapi aku berlagak cool. Control baik beb.

“Tadi kami belajar pasal makanan. Orang Melayu dilarang makan kedai Cina sebab mungkin kedai Cina tak halal. Walaupun ada logo halal, jangan pergi makan juga, sebab mungkin diorang saja nak letakkan sikit benda haram dalam makanan, nak kenakan orang Melayu,” jawab aku, sebiji macam apa yang ustaz cakap. Orang Melayu kena hati-hati!

Tiba-tiba, riak wajah Sharon berlain. Lantas dia tutup bekas plastik itu. Bau tuna tadi telah hilang. Tidak lama kemudian, Sharon juga menghilangkan diri. Aku tertanya-tanya. Aku bingung.

IV.

KRINGGG! KRINGGG! Ah, kali ini aku awal! Dalam hati, aku gelak ala-ala ahli politik, gembira. Loceng baru berbunyi tapi aku dah menerima baki 20 sen dari abang jual air. Hari ini aku bawa air oren, kegemaran Sharon. Aku terus menuju ke tempat biasa, harap-harap Sharon akan bawa tuna juga hari ini. Tak sempat aku merasa semalam. Namun Sharon tiada di situ. Pelik.

..lama pula dia ni menghilang..

..dia tak datang sekolah ke?

..mana ni?

..dia marah aku ke?

..Sharon?

..hmmm..

KRINGGG! KRINGGG! Loceng berbunyi menandakan waktu rehat sudah tamat. Rakan sekelas aku ligat berlari menuju ke kelas. Aku? Malas, letih, sugul dan lesu. Pembelajaran dalam kelas agama semalam langsung tidak aku fahami. Mengapa perlu begitu?

Aku masih tidak faham mengapa Sharon terus menyepi.

Aku cuma sayangkan dia.

Dan aku mahu dia suap aku lagi dengan sandwicnya.

Mim Jamil ialah seorang kaki lomo dan penulis blog tegar. Dia sekarang sedang mencuba sedaya upaya mencari jalan supaya Mei Yi tidak selalu merajuk dengan sendirannya yang serba tajam. Dia amat berharap juga Sharon akan bahagia di alam fantasi dan para pembaca tidak akan mencuba lagak berani mati untuk melamar Sharon di alam fantasi yang sangat indah dengan sandwic tuna.

Seorang pelajar. Kadang-kadang mencarut di @mimjamil.

5 replies on “Cinta Sekeping Sandwic #LoyarBerkasih”

  1. Aku dah agak dah, memang Ustaz aku dulu penyebab semua pompuan tinggalkan aku.

    Terima kasih Mim kerana menjelaskan segalanya.

    Mwah.

    p.s. i loike your artikel

Comments are closed.