Snowbound | Credit: http://www.flickr.com/photos/beth19
Snowbound | Credit: http://www.flickr.com/photos/beth19
Snowbound | Credit: http://www.flickr.com/photos/beth19

S melutut, terpaku, berhadapan dengan nisan kaku yang disaluti ubun-ubun pagi yang melihatkan sisa dari salji semalaman. Salji yang merintik ringan semalaman hampir semuanya ghaib, meluwap dan disejati suria yang menunjukkan muka girangnya sebentar. Tetapi, S tidak girang semalam, dan mungkin tidak lelap juga matanya. Pagi suram yang belum menampakkan fiil sang suria mungkinnya sudah menyelami jiwa S yang menyimpan kemas rintihan tanpa suara.

Sudah lebih 20 minit S melutut di situ, tanpa suara yang keluar dari sebarang lobang derianya. Tubuhnya seiras sekujur patung yang terpacak di hadapan kubur-kubur lain yang lebih kemas dan molek hiasannya. Tiada tubuh panas yang lain di persekitarannya, walaupun kicauan unggas yang bangun awal pagi boleh kedengaran kejauhan.

Jika mendekati S untuk melihat perilakunya yang tersembunyi dari pandangan, boleh kelihatan beliau memegang sejambak kecil bunga geranium yang pagi ini telah dituntas dari sebuah taman bunga dalam perjalannya ke pusara. Geranium itu duduk di dalam genggaman kemasnya, tiada angin untuk mengusap kelopak-kelopaknya yang halus.

Selapas 20 minit terpaku, tersaksi gerakan kecil dari S. Dia letak jambangan kecil geranium itu tegak, mencondong, pada batu nisan itu. Kemudian, beliau menggunakan jari telunjuk kirinya untuk melakar huruf-angka yang terpahat pada batu kapur licin yang menjadi nisan itu.

C

1 September 1979  – 9 Februari 2010

Mailakat yang pernah menginjaki bumi

Walaupun nyawa tercolong, keanggunannya menjiwai mereka yang mengenalinya

Sahabat, pencinta ilmu, pengait, kekasih, pengasih dan pendidik yang tiada kata akhir untuknya.

Titisan yang hampir terbenam mulai gugur perlahan dari genangan air di lopak mata sebelum semakin deras. S memerengkan dahinya kepada batu nisan, tangannya meramas lembut bunga geranium yang masih mencondong pada kaki batu nisan itu.

“Aku sayangkan kau, C,”  bisik perlahan S pada batu nisan itu.

S telah datang ke negara AS enam tahun lepas dengan alasan mahu menyambung pelajarannya pada peringkat pasca-siswazah, dalam bidang sejarah. Dia baru berumur 26 tahun pada masa itu, dan telah bekerja selama lebih kurang tiga tahun dengan satu organisasi yang cuba membela nasib orang asal di Malaysia. Dalam emel yang telah dihantarkan kepada seorang professor di sebuah universiti di Carolina Utara, beliau telah mengkhabarkan minat beliau dalam mengkaji sejarah orang asal yang menetap di selatan AS dan salingkaitan antara perkembangan kebudayaan mereka dengan komuniti lain yang berjiranan.

Realitinya, beliau juga mahu melarikan diri daripada situasi yang begitu menekannya di Malaysia.  Walaupun beliau berfikir untuk menyambung belajar dalam setahun itu dan telah memulakan proses ke arah itu, apa yang berlaku dalam hidupnya dalam setahun sebelum dia pergi menguatkan nekad beliau untuk keluar.

Ibunya telah meninggal dunia dari kanser payu dara dua tahun sebelumnya. Kekasihnya untuk tiga tahun tertiba mengumumkan kepada beliau yang dia akan mengahwini seorang jejaka yang telah dikenalinya selama setahun. S tidak terlalu terperanjat kerana dia mensyaki sesuatu dari sikap kekasihnya yang semakin berahsia. Disebabkan kesibukkan bertugas, S tidak banyak masa untuk memikirkan perkara itu atau berkonfrontasi dengan kekasihnya, sehinggalah pengumunan itu. Tetapi beliau tidak bersedia menghadapi kenyataan itu. Sebelum pengumuman itu, hubungan merek masih erat, walaupun ketegangan halus menjadi latarnya. Kekasihnya telah berkata; mereka tiada harapan untuk meneruskan perhubungan sebegitu. Dia mahu berumahtangga dan beranak, dan S tidak mampu memberikan kesemua itu kepadanya. Hubungan tiga tahun yang terbina dengan impian indah menghempas dan pecah.  Tambahan, S agak regang dengan ayahnya yang tidak pernah mahu memahami kecenderungan beliau.

Je te déteste (mais je t'aime) | Credit: http://www.flickr.com/photos/twistiti
Je te déteste (mais je t’aime) | Credit: http://www.flickr.com/photos/twistiti

Selepas kekasih meninggalkannya pada lewat 2003, S mulai menghadapi pelbagai masalah di tempat kerjanya. Beliau telah mendapat pengarah baru yang lebih cenderung bermain politik daripada melihat kepada kebajikan komuniti yang menjadi tanggungjwab organisasi tersebut. S melepaskan tekanan dengan menyiapkan  permohonan melanjutkan pelajarannya itu, menjalankan tanggungjwab kerja mengikut takat mampunya, dan membantu dalam Pilihanraya Besar 2004.  Bila lapang, beliau akan mencipta lagu dan bermain gitar di bilik atau pertunjukkan kecil untuk melepaskan kekangan dan kekosongan yang dirasai.

Dalam pilihanraya 2004, parti yang disokongnya kalah, menambahkan perasaan muram dan ketidakyakinan beliau.  Dalam masa itu, beliau telah mendapat tahu yang beliau telah berjaya masuk ke salah sebuah universiti di Carolina Utara yang akan memulakan semester pada awal September tahun itu. Beliau telah meletak jawatan dan berhenti kerja pada akhir bulan Jun. Bulan Julai dihabiskan dengan membuat visa dan menyediakan segala kertas kerja yang diperlukan untuk pemergiannya, menjual barang-barang yang tidak lagi diperlukan, membahagikan barangannya kepada badan-badan kebajikan dan berkemas. Awal bulan Ogos, beliau telah berpindah keluar dari bilik sewanya dan terbang ke Singapura dan Australia untuk duduk dengan kawan karibnya dan beberapa sepupu yang rapat sebelum akhirnya menyambung perjalannya ke AS. Dia bertekad untuk tidak akan pulang ke Malaysia untuk selama yang perlu. Dia bercadang, pada masa itu, untuk memohon kad hijau untuk terus tinggal di AS.

Hidup di AS, terutamanya di pekan kecil di Carolina Utara, tidaklah sebegitu mudah mula-mulanya. Walaupun beliau pernah belajar di Australia, kebudayaan sosial dan belajar di Amerika Syarikat agak beza. Dia dapati dirinya sepanjang hari perlu menghadiri seminar dan juga menjadi pengajar penulisan akademik kepada pelajar-pelajar kolej tahun pertama yang boleh sampai lima-puluh pelajar dalam satu kuliah. Disebabkan beban bacaan dan kerja yang berat, S tidak banyak masa untuk melakukan apa-apa aktiviti di luar kampus. Bila ada masa, beliau akan cuba menghadiri pelbagai seminar universiti atau akademik yang berkaitan dengan bidang minatnya, dan juga untuk menimba ilmu lebih yang beliau berharap akan menyumbangkan idea bernas yang akan akhirnya membentuk tesis disertasi beliau.

Prison Break | Credit: http://www.flickr.com/photos/chrisk4u/
Prison Break | Credit: http://www.flickr.com/photos/chrisk4u/

Pada satu minggu, setelah masuk tahun kedua beliau menetap di sana, seorang kawan sejabatan telah menghantar emel bertanya siapakah yang berminat untuk menjadi pengajar di sebuah penjara untuk wanita yang kira-kiranya 6 batu dari kampus mereka. Mereka secara spesifiknya mahu mencari wanita-wanita pembantu yang boleh menjadi model kepada banduan-banduan ini. Pada masa itu, S terasa agak bosan kerana hidupnya hanya berkitarkan belajar, mengajar dan aktiviti-aktiviti akademik, dengan sekali-sekala menghadiri majlis sosial, terutamanya untuk orang-orang seperti beliau. Beliau terasa kesunyian. Beliau teringin untuk kembali kepada satu masa seperti bila beliau masih bekerja untuk NGO. Beliau baru-baru ini membeli sebuah kereta lama untuk lebih senang berjalan di pekan yang tidak mempunyi pengangkutan awam yang kerap. Dia menawarkan diri.

Jadualnya sebegitu. Beliau dan beberapa orang sukarela (lebih kurang 10 jumlahnya) akan bergilir datang antara hari khamis sehingga ahad untuk mengajar kelas kepada wanita-wanita banduan ini. Kelas-kelas ini terdiri daripada kelas membaca, menulis, dan ilmu hisab (peratusan besar wanita-wanita ini tidak pernah menghabiskan persekolahan melebihi sekolah rendah, dan ramai yang hampir buta-huruf), serta pelbagai kemahiran hidup daripada mengait dan menjahit, memasak, bertukang, membaiki basikal dan kereta kepada tutorial subjek-subjek lebih akademik kepada mereka yang mahu mengambil diploma yang membolehkan mereka lulus daripada sekolah menengah. S menawar untuk mengajar kemahiran 3M dan sejarah.  Dia juga mencadangkan juga diadakan satu kelas penulisan untuk wanita-wanita ini, tidak kira tahap kebolehan mereka. Bagi S, ini membolehkan wanita-wanita ini merakamkan warna hidup mereka dan memberi suara kepada mereka yang biasanya diketepikan, diseksa dan dijadikan alat sepanjang hidup mereka. Bagi S, ini juga merupakan peluang untuk beliau untuk lebih mengenali kehidupan wanita-wanita ini dan apakah yang menyebabkan mereka terjebak sampai ke penjara.

Opened Up His Little Heart | Credit: http://www.flickr.com/photos/beth19
Opened Up His Little Heart | Credit: http://www.flickr.com/photos/beth19

Pada pagi satu Sabtu, S untuk pertama kalinya berdiri di hadapan kelas menulis yang beliau bertanggungjawab untuk gerakkan.  Lebih kurang lapan orang wanita duduk mengelilingi beliau. Kelas ini akan berlangsung dua kali sebulan.

“Selamat pagi semua. Nama saya S”

Dalam desiran suara-suara wanita-wanita hadir yang tersekat-sekat, kedengaran satu suara yang merdu dan lancar

“Selamat pagi, S.”

Kemerduan suara itu membuat S berpaling. Duduk di hujung kiri adalah seorang wanita yang sukar dikenalpasti rasnya, walaupun beliau berambut perang.

“Selamat pagi,” ujar S, “Kau…?”

“C,” dia balas, separa tersenyum. Kemudian, dia menundukkan kepalanya dan merenung kepada kertas kajang kosong yang terpugau di meja tulis.

Hari itu bermula perkenalanan antara dua wanita yang sungguh berbeza ini. S dapat menhayati kehidupan C melalui prosanya. C, walaupun terpaksa berhenti sekolah sebelum berjaya menghabiskan sekolah disebabkan latar belakang keluarganya yang sukar sekali, merupakan seorang yang pintar dan mempunyai bakat bercerita.

C juga cekap mangait

Walaupun S tertarik dengan keperibadian C yang terserlah antara kesemua wanita-wanita yang hadir, balasan C terhadap S tidaklah sebegitu mesra. Setiap kali S cuba menarik C keluar untuk menceritakan subjek yang menjadi topik penulisannya, C hanya membalas dengan sopan tetapi ternyata ia enggan memberikan maklum-balas lanjut.

Selepas tiga bulan, tinggal hanya empat wanita dalam kelas itu. C adalah antara seorang daripada mereka. S agak hampa dengan sambutan terhadap kelasnya itu yang beliau cuba sedaya-upaya untuk jayakan. Dalam masa sama, beliau gembira yang C masih berminat untuk teruskan

Pada suatu hari Sabtu, seperti biasa S telah ke penjara itu untuk memberi tutorial sejarah dunia kepada banduan-banduan yang mengambil kelas itu. Bila kelas habis, dia telah ke keretanya mahu memandu pulang. Nasibnya malang. Enjin keretanya enggan hidup.

Such Fragile Broken Things | Credit: http://www.flickr.com/photos/beth19
Such Fragile Broken Things | Credit: http://www.flickr.com/photos/beth19

Disebabkan penjara itu menyediakan kelas mekanik auto, dua orang banduan, di bawah penyeliaan guru dan dua orang pegawai, telah dipertanggungkawab untuk memeriksa kereta beliau. Hari ini Sabtu, maka sukar sedikit untuk mencari bengkel kereta yang buka di pekan kecil.

Ketua penjara itu mengajak S untuk pergi berehat di bilik riadah sementara menunggu keretanya.

Di situ, S ternampak beberapa banduan wanita sedang menonton TV. Ada yang bermain ‘pool’ dan beberapa sedang menulis surat, mengait dan bermain daun terup. S tahu yang banduan-banduan yang dapat bergerak lebih bebas ini adalah mereka yang berkelakuan baik dan sedang menjalani sisa-sisa kehunian mereka di penjara itu. Beliau terpandang C sedang duduk mengait di hujung bilik, jauh daripada banduan-banduan lain. Walaupun beliau ingin ke situ, beliau memilih untuk duduk dan menyertai bantuan-bantuan lain yang sedang menonton TV.

Selepas 10 minit, S terasa bosan sebab dia memang kurang minat menonton TV. Beliau berkeputusan berjalan keluar ke taman yang di sebelah sahaja. Selepas memberitahu ketua penjara akan niat beliau agar mudah dicari kemudian, S keluar.

Di situ, dia melihat beberapa orang banduan yang sedang berkebun di kawasan-kawasan yang telah disediakan khas untuk mereka menanam apa yang mereka suka.

Sedang S mengelamun, beliau terdengar suara dari jauh yang semakin mendekatinya.  Agak tersentak apabila beliau melihat C di sebelahnya.

“Aku mahu bercakap dengan kau,” ujar C dalam suara yang rendah, “Tetapi aku segan mahu bercakap banyak di hadapan perempuan-perempuan lain dalam kelas. Boleh juga kita ke hujung sana, lebih ruang untuk berbicara tanpa gangguan?”

S mengikut C ke tempat yang ditunjukkannya.

Dari situ bermulalah perkenalan yang benar antara mereka. Walaupun kereta S berjaya dibaiki (masalah fius dan bateri kereta yang kena diganti), dalam sejam itu, mulai hari itu, S akan menghabiskan dua jam setiap hari Sabtu lepas kelas untuk berbual dan menemani C.

C telah dihukum penjara tiga tahun kerana membunuh sepupunya yang telah merogolnya berkali-kali ketika dia belasan tahun. Alasannya ialah dia tidak mahu anak gadia sepupunya itu yang akan meningkat akil baligh untuk menerima nasib yang serupa. Walaupun sudah lama tidak berhubung dengan sepupunya itu, dalam sebulan sebelum C membunuhnya, dia terserempak dengan sepupu itu ketika menghadiri pengebumian seorang ahli keluarga dan mendapat tahu yang sepupunya itu duda dan mempunyai seorang anak perempuan berumur 11 tahun.

“Mereka tidak percayakan aku bila aku laporkan pada mereka. Penyeksaan itu berterusan selama dua tahun sehinggalah dia masuk Marines pada umur 18 tahun. Aku lari dari rumah lebih kurang setahun kemudian.”

Under Neon Loneliness | Credit: http://www.flickr.com/photos/vardhana
Under Neon Loneliness | Credit: http://www.flickr.com/photos/vardhana

“Aku tahu dia tidak berubah. Cara dia merenung aku semasa kami berjumpa. Dan senyumannya yang sinis dan jahat. Aku juga boleh lihat cara dia melihat gadis-gadis belasan tahun yang hadir di majlis itu, dan juga cara interaksinya dengan anaknya. Anaknya nampak kurang senang dengan si ayah. Tapi siapa akan percayakan aku yang lelaki itu jahat, bangsat yang tidak akan lepaskan anaknya sendiri, sama seperti dia tidak lepaskan aku walaupun aku berkali-kali merayu dengan dia. Dia hanya ketawa, meluahkan kata-kata yang aku tidak akan sesekali ulangi di sini, dan menampar aku. Dia telah menjadi seorang yang berjaya dalam dunia perniagaan. Aku ini, hanya seorang tukang cuci rumah orang lain yang pernah ditangkap polis kerena melacur semasa aku belasan tahun, selepas lari dari rumah.”

C dari keluarga menengah rendah. Ayahnya meninggal ketika dia masih kecil. Ibunya telah kahwin lain bila dia berumur 8 tahun, dan meninggalkan C dengan neneknya untuk dipelihara. Walaupun dia hidup dengan gembira dengan neneknya, neneknya meninggal ketika umurnya 11 tahun lebih, dan dia telah diambil masuk oleh pamannya, yang merupakan ayah kepada sepupu perogol itu.

“Nenek aku yang mengajar aku mengait,” cakap C sambil tersenyum bila aku tanyakan kenapa dia kerap mengait.

“Hidup aku bagai neraka selepas itu. Jelas keluarga paman aku tidak suka aku, tetapi mereka jenis angkuh. Mereka tak boleh tahan jika ada saudara mereka yang jadi yatim dalam system sosial sini. Mak aku tidak mahu apa-apa hubungan dengan aku langsung.  Mereka akan menyeksa aku dalam pelbagai bentuk mungkin. Sekolah menjadi tempat aku rasa selamat, tetapi paman dan isterinya tu melarang aku mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti sekolah yang tidak wajib.”

Semasa pembicaraan, juri dan para hadirin terdedah dengan cerita hidup C yang menyedihkan. Juga, semasa beliau telah berkonfrontasi dengan sepupunya itu di pejabat sepupu itu, sepupunya itu telah seperti mahu mengganasinya semula. Maklumlah, waktu itu waktu petang dan kebanyakkan pekerja telah pulang. C tidak sedar sehingga terlambat yang sepupunya telah meminta setiausaha beliau untuk pulang awal agar dia akan keseorangan dengan C. C yang sentiasa membawa pistol di mana jua dia pergi, telah keluarkan pistol dari tas tangannya dan menembak sepupunya di muka.

Iced | Credit: http://www.flickr.com/photos/beth19
Iced | Credit: http://www.flickr.com/photos/beth19

Ini tahun terakhir C dalam penjara. Dia akan keluar dalam beberapa bulan lagi. Hakim telah menghukum C dengan seringan mungkin, dan menempatkannya di penjara yang membolehkannya belajar kemahiran-kemahiran hidup.

C juga suka bertanyakan aku tentang kisah silam S. Tentang kehidupan S dahulunya di Malaysia. S akan cerita sebolehnya, walaupun beliau kerap tinggalkan butir-butir yang lebih pedih pada dirinya. Tetapi, dia rasa kepedihan hidupnya tidak setara dengan apa yang C pernah dan telah lalui.

“Engkau tidak mahu pulang lagi?” tanya C

S senyap.

“Kau patut pulang. Kau ada masa depan cerah dengan semua pendidikan yang kau terima ini. Aku cemburu dengan kau. Kau masih ada kawan dan keluarga di Malaysia.  Hargai mereka sebelum kau kehilangan segalanya. Aku faham bagaimana perasaan itu,””sambung C dengan lebih lemah.

C telah kehilangan seorang anak yang telah dirampas oleh Jabatan Kebajikan semasa dia ditangkap melacur. Anaknya masa itu berumur setahun lebih. Dia tidak tahu di mana anaknya sekarang, kecuali anaknya itu telah dijadikan anak angkat satu keluarga. Dia doakan keselamatan dan kesejahteraan anaknya itu setiap hari.

“Di mana kau nak tinggal bila keluar nanti,” tanya S untuk mengubah topik.

“Entah, tapi aku tahu penjara menyediakan kediaman khas untuk beberapa bulan untuk banduan yang keluar sehingga mereka boleh bermandiri.”

Pada suatu hari, beberapa bulan selepas  S  mengajar dalam kelas menulisnya yang sekarang menampakkan 10 orang banduan disebabkan galakkan daripada banduan-banduan lain yang telah mengambil kelas beliau, C telah menghadiahkan selendang yang dikaitkannya kepada S.

“Terima ini sebagai hadiah terima kasih saya. Sebab rela berkawan dengan saya dan memberi saya peluang untuk belajar menulis. Aku tahu kau dari Malaysia. Jadi kau kurang biasa dengan cuaca sini yang kekadang boleh agak ekstrim.”

“C, kau datang duduk dengan saya lepas kau keluar nanti. Aku akan carikan sebuah rumah dengan dua bilik. Aku akan pindah sebulan dari sekarang, dan kau akan keluar dalam lebih kurang masa itu juga. Datanglah duduk dengan aku.”

C nampak tersentak. Dia tidak bersuara sebentar.

“Aku sayangkan kau, C,” terkeluar dengan tergopoh-gopoh kata-kata ini dari S. Muka S menjadi merah-padam sebentar.

C tersenyum pada S dan memegang erat tangan S.

“Aku sayangkan kau juga,” ujar C selamba.

Hati S melambung.

Akan bersambung..

Clarissa Lee adalah seorang pascasiswi di sebuah universiti di Amerika Syarikat. Dia akan mengambil peperiksaan komprehensifnya dalam dua bulan lagi dan melihat karya kreatif sebagai cara lepaskan tekanan, atau penambah kepada tekanan sebab melalaikan kerja wajipnya dalam proses berkarya. Dia percaya bahasa cerita adalah cara terbaik untuk menyampaikan idea yang sukar disampai terus, dan juga sebagai penyampai bentuk alegori dan satira. Beliau memblog di http://scandalousthoughts.wordpress.com dan sedang menulis novel bersiri (yang tidak keluar dengan cukup kerap) di http://www.jalantelawi.com

8 replies on “Ia yang Indah (Part 1) #LoyarBerkasih”

  1. Was inspired by what some grad students did here, teaching in the prison system. Hope to do it myself one day soon :)

  2. Wanted to ask, Clarissa – is part of this based on your actual experience? e.g. teaching in a prison? FYI, I'd ask this in Malay but as Avie wrote, I don't want to risk my crazy Malay. haha.

Comments are closed.