Suatu refleksi berkenaan hak untuk berhimpun dengan aman dan tanpa senjata dan penafian hak ini oleh pihak berkuasa.

egypt-kl2

Apabila saya mendengar bahawa akan diadakan demonstrasi, saya dengan serta merta dapat menggambarkan apa yang  akan berlaku. Demonstrasi itu tidak akan mempunyai permit polis. Polis akan memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menghadiri protes tersebut. Polis akan membuat sekatan jalanraya untuk menghalang pemprotes daripada turun memprotes. FRU akan dipanggil. Meriam air dan gas pemedih mata akan digunakan ke atas pemprotes. Kemudian, tangkapan akan dibuat.

Apa yang berlaku adalah seperti yang dijangkakan.

Ada yang mempersoalkan mengapa protes tersebut harus dilangsungkan. Menurut mereka, tujuan protes itu diadakan tidak mempunyai merit.

Bagi saya, tujuan sesuatu protes, demonstrasi atau perhimpunan itu tidak penting dan tidak relevan. Apa yang saya pentingkan adalah hak untuk berbuat demikian. Kebebasan asasi untuk berhimpun dengan aman dan tanpa senjata.

Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan memperuntukan bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk berhimpun dengan aman dan tanpa senjata. Ini selaras dengan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) yang memperuntukan bahawa setiap orang mempunyai hak untuk berhimpun dengan aman dan untuk berpersatuan.

Hak untuk berhimpun dengan aman adalah hak asasi yang dijamin Perlembagaan dan juga merupakan suatu kebebasan politik dan sivil. Menurut Lord Denning, hakim Inggeris yang terkenal, setiap individu harus dibenarkan untuk melaksanakan hak ini tanpa halangan. Ini kerana perhimpunan aman selalunya merupakan cara tunggal untuk mengetengahkan rungutan atau bantahan kepada perhatian pihak berkuasa.

Perlembagaan Persekutuan tidak membezakan di antara tujuan atau merit mana-mana perhimpunan awam. Seseorang itu mempunyai hak untuk berhimpun samada ianya untuk mendesak pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menyeru kebebesan badan kehakiman, mendukung apa yang sering dikatakan sebagai ‘hak Melayu’ ataupun untuk membantah ketidakteraturan yang kononnya berlaku di dalam pemilihan dalaman sebuah parti politik. Kita tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara mana yang boleh diprotes dan yang mana tidak. Tetapi inilah pendirian yang diambil oleh pihak berkuasa, bagi mereka demonstrasi terhadap serangan Israel ke atas kapal Mavi Marmara adalah halal tetapi perarakan untuk menyampaikan memorandum isu air di Selangor pula adalah haram.

Benar, hak berhimpun ini bukanlah mutlak. Hak ini wujud selagi perhimpunan itu aman. Perkara 10(2)(b) Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukan bahawa Parlimen boleh mengenakan “apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persektuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam”.

Ini bermaksud Parlimen boleh menggubal undang-undang yang menyekat hak berhimpun bagi kepentingan keselamatan negara atau ketenteraman awam. Sekatan terhadap hak ini di atas apa-apa tujuan lain adalah tidak berpelembagaan.

Apa-apa perbincangan mengenai hak berhimpun di  dalam negara ini sudah tentu akan melibatkan persoalan mengenai Seksyen 27 Akta Polis, yang menyatakan bahawa apa-apa perhimpunan, perjumpaan atau perarakan di tempat awam harus terlebih dahulu mendapat permit daripada Ketua Polis Daerah (OCPD) daerah tersebut. Sekiranya permit tidak diperolehi, perhimpunan tersebut dianggap haram.

Pendirian Majlis Peguam adalah bahawa keperluan mendapat permit untuk berhimpun adalah tidak berperlembagaan. Saya tidak berniat untuk menyelami isu ini dengan terperinci dan memberi hujahan undang-undang yang panjang lebar. Cukuplah sekiranya saya menyatakan bahawa Mahkamah telah memutuskan bahawa apa-apa sekatan yang dikenakan ke atas hak individu untuk haruslah berpatutan dan bersekadar (proportionate) terhadap matlamat sah yang mahu dicapai. Keperluan mendapat permit polis ini terlebih dahulu meletakkan sekatan ke atas hak seseorang warganegara untuk berhimpun berdasarkan kepada budibicara OCPD. Ini adalah sekatan yang tidak berpatutan atau larangan langsung ke atas hak yang dijamin oleh Perlembagaan serta merupakan langkah yang tidak bersekadar bagi melindungi keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Hak untuk berhimpun ini tidak boleh disekat oleh pihak berkuasa hanya kerana ia akan menyebabkan kesusahan. Ada yang mengatakan bahawa demonstrasi jalanan menyebabkan kesesakan trafik dan menghalang hak warganegara lain untuk menjalani kehidupan seharian mereka.  Walaupun begitu, apa-apa campurtangan pihak berkuasa untuk tujuan ini tidak mempunyai justifikasi mengikut Perlembagaan. Apatah lagi apabila kesesakan trafik seringkali adalah disebabkan oleh sekatan jalan raya yang didirikan oleh pihak polis bagi menghalang perhimpunan daripada berlangsung dan bukannya disebabkan oleh perhimpunan itu sendiri. Sekiranya pemprotes dibenarkan untuk berhimpun atau berarak dengan pihak polis memantau keadaan bagi memastikan ianya aman, sudah tentu ia akan seleasai dengan cepat dan tanpa insiden.

Ya, sudah tentu ada jalan-jalan yang akan ditutup disebabkan oleh demonstrasi tersebut. Tetapi jalan-jalan ditutup tiap-tiap hari atas pelbagai alasan. Kuala Lumpur adalah bandar yang dinamik dan bertenaga, pasti ada sahaja acara yang dilangsungkan yang mewajibkan penutupan jalan. Perarakan Maulidur Rasul dan Thaipusam juga menyebabkan kesulitan kepada orang rami, adakah ini bermakna kedua-dua perarakan tersebut harus diharamkan?

‘Tetapi negara ini bukan dimiliki oleh beberapa ribu orang yang berdemonstrasi, ianya dimiliki oleh 27 juta orang!’, ada yang berhujah. ‘Demokrasi menyatakan bahawa hak majoriti harus mengungguli hak minoriti’.

Ini merupakan pemahaman songsang sesetengah pihak tentang demokrasi. Demokrasi tidak menghalalkan kezaliman majoriti terhadap minoriti dan tidak bermaksud bahawa hak minoriti harus diketepikan atau dinafikan. Demokrasi bukanlah majoritarianism. Malahan, ianya menjadi tuntutan demokrasi supaya minoriti diberikan hak untuk menyuarakan bantahan mereka dan ianya harus diberikan pertimbangan yang sewajarnya.

Saya bukanlah peminat demonstrasi jalanan. Ramai yang berkongsi sentimen dengan saya. Tetapi, walau apapun pendapat peribadi kita tentangnya, kita tidak boleh menafikan hak mereka yang ingin berdemonstrasi di tempat awam. Kita tidak boleh memberitahu mereka bahawa mereka seharusnya memprotes di sebuah stadium atau dewan, contohnya. Siapakah kita untuk menentukan bagaimana mereka mahu mengamalkan hak mereka? Sudah tiba masanya kita mendukung Perlembagaan itu secara menyeluruh dan bukan hanya memilih untuk mengagungkan peruntukan yang memberi manfaat atau kelebihan kepada kita.

*rencana ini adalah merupakan adaptasi rencana asal di dalam bahasa Inggeris yang diterbitkan di dalam aplikasi iPad the Star pada 16 Disember 2010.

Syahredzan Johan adalah seorang peguam muda. Dia sudah lama tidak menulis untuk LoyarBurok, walaupun nukilannya di dalam bahasa Inggeris boleh dibaca di dalam aplikasi iPad the  Star pada setiap dua minggu.

Syahredzan Johan adalah seorang peguam muda dan seorang rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Dia melihat dirinya sebagai seorang pengkritik politik dan pengulas sosial. Tetapi dia sebenarnya...

3 replies on “Sekatan Halal dan Himpunan Haram”

  1. @cyril

    Thank you. Indeed, that is balance we need to find.

    @Wenger J Khairy

    Yes, we should allow Perkasa and the likes to protest all they like, as long as it is peaceful. Of course, that should not stop us from criticizing their cause if need be.

  2. Dear Blogmaster,

    A good piece and a sad state of affairs as you correctly pointed out. But it also means that we must tolerate Perkasa demos.

  3. Dear Mr Syah,

    A very good piece highlighting the problems in the exercise of the freedom of assembly in Malaysia. At the end of the day, the whole issue seems to narrow down to arriving at a balance between the freedom to assemble and the threat if any which is brought as a result of exercising that right. Any restriction on the freedom of assembly must not be such so as to make the freedom of assembly a mere illusion.

Comments are closed.