Kepercayaan Kita Terhadap Mahkamah Perlu Kekal Utuh

Walaupun seringkali dikecewakan, penantian dan kepercayaan kita kepada badan Kehakiman masih lagi berbaloi.

Source: delcapo.wordpress.com

Source: delcapo.wordpress.com

Kedaulatan undang-undang seperti yang kita maklum antara lainnya memerlukan kewujudan satu badan kehakiman yang benar- benar bebas[1]. Ini kerana hanya sebuah badan kehakiman yang bebas yang mampu untuk bertindak sebagai pelindung hak rakyat marhaen dan memastikan tindakan kerajaan tidak berada di luar batasan perlembagaan mahupun undang-undang.

Di Malaysia, kita semua sedia maklum yang ramai di kalangan kita yang beranggapan yang badan kehakiman kita tidak bebas dan dipengaruhi oleh badan eksekutif. Persepsi ini dikuatkan dengan pindaan perlembagaan 1988 yang mengalihkan kuasa kehakiman daripada Mahkamah dan menjadikan kuasa kehakiman tertakluk kepada undang-undang yang digubal parlimen.

Pada masa yang sama, badan kehakiman juga dilihat gagal secara keseluruhannya untuk melindungi hak asasi mahupun kepentingan rakyat berdasarkan keputusan- keputusan yang seringkali dilihat sebagai memihak kepada kerajaan pemerintah. Senario- scenario seperti ini dapat dilihat dalam krisis Menteri Besar Perak secara jelas di mana Mahkamah memberi pengesahan kepada sebuah kerajaan yang ditubuhkan berdasarkan tindakan lompat parti oleh beberapa ahli Dewan Undangan Negeri. Satu lagi contoh yang nyata dapat dilihat dalam kes- kes tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) di mana Badan Kehakiman masih enggan untuk menyemak tahanan yang dibuat Menteri dan hanya bersedia untuk membebaskan tahanan sekiranya adanya ketidakpatuhan prosedur sahaja. Kesemua scenario yang disebutkan di atas hanya mampu mendatangkan kekecewaan sahaja kepada kita semua yang mengharapkan Badan Kehakiman bertindak sebagai benteng terakhir melindungi hak asasi rakyat menentang kerajaan[2].

Walaupun Badan Kehakiman dilihat telah gagal untuk melaksanakan secara keseluruhannya peranan yang sepatutnya dimainkan olehnya, adakah ini bermaksud harapan kita semua untuk menuntut keadilan di hadapan Mahkamah akan luntur juga? Adakah ini bermakna kita semua akan berhenti berjuang dan duduk memerhatikan sahaja sementara lebih banyak pencabulan lagi dilakukan ke atas hak kita?

Saya dengan rendah diri berpendapat jawapannya tidak sama sekali. Ini kerana pada hari kita berhenti berharap yang keadilan akan diperolehi di Mahkamah, pada hari itulah kedaulatan undang-undang akan tamat dan digantikan dengan anarki. Saya akur ramai pihak yang mengatakan bahawa badan kehakiman tidak akan sama sekali berganjak dari kedudukan konservatif mereka yang cenderung untuk memihak dengan kerajaan dan mengabaikan hak asasi rakyat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Pada masa yang sama, akan ada juga pihak yang mengatakan yang sampai bila kita hendak menunggu badan kehakiman menjadi progresif dan aktif dalam benar-benar memainkan peranan yang sepatutnya dimainkan mereka iaitu sebagai pelindung rakyat dan sebagai satu “checkkepada kerajaan pemerintah?

Sebagai respons, saya dengan rendah diri hanya mampu menyatakan bahawa kita tidak boleh putus asa dan masih perlu meneruskan perjuangan kita untuk mendapatkan keadilan di Mahkamah tidak kira berapa kalipun kita menemui kegagalan. Ini kerana hanya dengan membawa masalah kita ke mahkamah yang masalah ini akan mendapat perhatian kerajaan mahupun mendapat liputan umum. Usaha kita memang akan memakan masa yang lama dan mendatangkan banyak kesusahan tetapi yang penting usaha kita untuk mendapatkan keadilan patut diteruskan. Seperti kata Ghandhi, “It is the effort rather than the result which is important“.

Sebagai contoh, lihat keadaan di Amerika Syarikat di mana walaupun perhambaan telah dihapuskan, amalan diskriminasi perkauman terhadap golongan berkulit hitam masih berleluasa sehinggakan Mahkamah Agung pada 1896 dalam kes Plessy[3] mengesahkan undang-undang Jim Crow yang membolehkan diskriminasi dilakukan atas dasar separate but equal. Ianya mengambil lebih separuh abad lagi untuk Mahkamah Agung dalam kes Brown[4] untuk menyatakan yang undang-undang Jim Crow tidak berperlembagaan dan tindakan pengasingan berdasarkan warna kulit tidak sah.

Lebih sedekad lagi akan berlalu sehingga Kongres meluluskan Akta Hak Sivil 1964 yang menuntut semua orang diberi layanan sama tanpa mengira warna kulit dan golongan berkulit hitam diberi hak asasi yang sama seperti orang kulit putih. Perkara ini membuktikan yang perjuangan untuk menuntut keadilan di mana-mana termasuk mahkamah sesuatu yang berterusan dan boleh mengambil masa yang panjang. Apa yang penting, perjuangan masih perlu diteruskan tidak kira berapa teruk rintangan yang dihadapi.

Seterusnya, kita juga tidak perlu terlalu risau yang badan kehakiman di Malaysia akan hanya mewujudkan duluan (precedent) yang buruk jika permasalahan kita dibawa ke Mahkamah dan beranggapan bahawa duluan ini akan hanya membantutkan usaha kita di masa hadapan dalam menuntut keadilan. Ini kerana saya yakin bahawa dalam jangka masa panjang, duluan buruk ini hanya akan menjadi tidak relevan ataupun akan diabaikan lambat laun oleh mahkamah pada masa hadapan.

Sebagai contoh, badan kehakiman kita dalam dekad-dekad awal negara kita mencapai kemerdekaan mengamalkan pendekatan yang sangat kolot dan rigid dalam mentafsir perlembagaan persekutuan sehinggakan kes Karam Singh[5] mentafsirkan bahawa seorang individu tidak berhak untuk mendapat keadilan prosedur di sisi undang-undang kerana undang-undang mengikut Karam Singh hanya terhad kepada undang-undang substantif tetapi tidak meliputi undang-undang prosedur. Jika saya mengulangi kata- kata ini di KLCC ataupun Dataran Merdeka sekarang, saya boleh menjamin kepada anda semua yang saya pasti akan disepak oleh orang ramai kerana adalah tidak logik untuk seorang individu untuk tidak mempunyai hak kepada keadilan prosedur. Bahkan, kes Karam Singh yang memutuskan sedemikian juga sudah tidak diterima lagi oleh mahkamah kini yang menyatakan seperti dalam kes Lee Kwan Woh[6] dan Sivarasa Rasiah[7] bahawa keadilan prosedur merupakan satu hak asasi dan tidak boleh diketepikan dengan begitu sahaja.

Satu contoh lain yang boleh saya ingati ialah kes Boonsom Boonyanit[8] di mana Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa kita boleh hilang hak ke atas tanah kita jika orang lain memalsukan geran tanah kita dan tanah itu kemudian menjadi milikan orang lain. Keputusan ini menjadi undang-undang untuk satu dekad dan memang tidak masuk akal sama sekali serta dikritik secara berterusan kerana ianya beerti seorang pemilik tanah berhadapan dengan risiko kehilangan tanah mereka pada bila-bila masa angkara tindakan mana-mana pihak tidak bertanggjungjawab yang bertindak memalsukan geran tanah mereka.

Dalam keadaan sedemikian, adakah mereka yang kehilangan tanah mereka hanya duduk merenung ke langit memikirkan nasib mereka memandangkan tiada harapan untuk mereka mendapat keadilan di mahkamah sebab mahkamah persekutuan sebagai mahkamah tertinggi sudah menetapkan undang-undang yang mereka tiada hak lagi ke atas tanah mereka apabila geran tanah dipalsukan dan tanah kemudian dimiliki oleh pihak lain? Jawapannya sudah tentu tidak kerana walaupun Mahkamah Persekutuan dalam Boonsom Boonyanit telah membuat satu keputusan yang tidak masuk akal, ramai pemilik tanah yang kehilangan tanah mereka masih lagi ke Mahkamah untuk mendapat keadilan. Mereka masih lagi menyimpan harapan yang satu hari nanti tanah mereka akan dikembalikan mereka. Walaupun hampir kesemua mereka gagal untuk mendapatkan kembali tanah mereka kerana badan kehakiman masih belum bersedia pada masa itu untuk mengabaikan keputusan terdahulu mereka yang salah, kita kini boleh menarik nafas panjang dan berasa lega kerana kes Boonsom Boonyanit sudah diterbalikkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Tan Ying Hong[9] dan diputuskan sebagai salah.

Saya sedia maklum yang ramai pihak mendakwa yang keputusan terbaru ini sudah terlalu lambat kerana “nasi sudah menjadi bubur” bagi mereka yang kehilangan tanah mereka dahulu kerana mereka tidak boleh mendapatnya semula. Namun demikian, kita boleh berasa lega kerana sekurang-kurangnya pemilik tanah yang lain bolehlah tidur dengan aman tanpa menghadapi risiko kehilangan tanah mereka. Walaupun contoh yang saya berikan ini lebih kepada undang-undang sivil dan tidak banyak melibatkan badan kerajaan, ianya menunjukkan yang satu keputusan mahkamah yang buruk tidak akan kekal dan pasti akan diabaikan kelak.

Saya akur yang contoh yang saya namakan di atas hanya kecil jumlahnya dan masih tidak mewakili pendekatan badan kehakiman secara keseluruhannya yang masih lagi konservatif dan enggan memutuskan kes menentang kerajaan lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan isu-isu yang dikatakan sebagai sensitif. Namun demikian, contoh-contoh kecil seperti inilah yang masih memberikan sinar harapan kepada kita bahawa masih ada lagi peluang di negara kita ini untuk mendapat keadilan daripada mahkamah.

Bagi mereka yang masih lagi ragu-ragu berkenaan dengan duluan-duluan mahkamah yang akan hanya memburukkan keadaan, saya ingin katakan kepada mereka, janganlah anda semua gusar. Walaupun duluan-duluan ini opresif kepada hak asasi rakyat secara amnya, ianya juga mampu memakan diri kerana ianya boleh terpakai kepada kerajaan kini andai kata mereka menjadi pembangkang kelak. Misalnya, jika krisis Perak kini membolehkan pemerintah negeri untuk memecat Menteri Besar tanpa perlu Menteri Besar melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri, saya tidak hairan jika perkara yang sama menimpa kerajaan negeri yang tidak diterajui pembangkang.

Secara kesimpulan, kepercayaan kita dengan sistem Mahkamah dan usaha kita perlu diteruskan untuk mendapatkan keadilan.

Cyril masih mengharapkan yang harinya akan datang di mana Badan Kehakiman menjadi sebuah badan yang diterajui seseorang seperti PN Bhagwati, Earl Warren ataupun John Marshall yang bukan sahaja berani membuat keputusan menentang kerajaan tetapi masih mampu menjaga intergriti Badan Kehakiman.


[1] Joseph Raz, The Rule of Law and Its Virtue, (1977) 93 LQR 195, muka surat 196

[2] Pengarah Tanah dan Galian, Wilayah Persekutuan v Sri Lempah Enterprise [1979] 1 MLJ 35 (Mahkamah Persekutuan)

[3] Homer A. Plessy v Ferguson 165 U.S. 537 (1896)

[4] Oliver Brown et. Al v Board of Education of Topeka et. Al  347 U.S 483 (1954)

[5] Karam Singh v Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri [1969] 2 MLJ 129

[6] Lee Kwan Woh v PP [2009] 5 CLJ 631

[7] Sivarasa Rasiah v Badan Peguam Malaysia [2010] 3 CLJ 507

[8] Adorna Properties v Boonsom Boonyanit [2001] 2 CLJ 133

[9] Tan Ying Hong v Tan Sian San [2010] 2 CLJ 269

Tags: , , , , , , , , , ,

Posts by

Cyril wonders when will Malaysians stop associating that the reduction of crime rated depends on the sentence imposed on the offender being stiff

Posted on 4 February 2011. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by .

Read this first: LB Terms of Use

6 Responses to Kepercayaan Kita Terhadap Mahkamah Perlu Kekal Utuh

  1. eddeved

    aku lawan sendiri Kerajaan Malaysia, last-last kena dismiss macam tu aje, mentang-mentang aku bukan lawyer, akhirnya aku puas hati sebab SFC memang bangang semua…tak boleh beza private law dengan public law, dia kata aku kena buang kerja mengikut public law, tapi punya bodoh nak mampus, masa semakan kehakiman hakim cakap aku kena buang kerja mengikut surat tawaran lantikan sebagai guru sandaran terlatih…public law abah dia!!! kantoi lepas tu mengadu dengan hakim macam budak mintak susu, hakim selamba dismiss case aku…tak pa aku jumpa kau orang semua di Mahkamah Akhirat….sediakan peguam korang yang handal ha ha ha!

  2. Cyril

    Dear NN,

    I have to agree with you on knocking the door hard if we want to achieve results no matter how long it takes. Do not however feel despaired as we are not yet doomed as there is still light at the end of the alley. As for your querry on the Tan Ying Hong case, it must be noted that third parties who have acquired land in bona fide (good faith) will not lose their land and this is specifically provided in the proviso to Section 340 (3), National Land Code.

  3. NN

    Dear Cyril,

    I am stuck in a house with only a door without a key. I am going to die. You know I'm inside. Would you save me? Do you knock on the door and hope that one day the door opens?or will you knock the door down to save me?

    It's good that you have faith in our judiciary system and our future. I have faith.but many are losing faith.yours truly might be too.are we doomed?its hard to say.

    WE can knock.but we must knock HARD.

    (p/s:Correct me if im wrong but it got me thinking, wouldnt the third party(who is as innocent as the owner of the land) be at loss now bcs of the decision in Tan Yin Hong?)

  4. cyril

    Dear SH,

    I have to agree with you as we need to keep knocking the court's doors if we want justice to prevail. It might take an entire life time for all you know, but it is worth a try.

    Thank You,

    Cyril

  5. SH

    good write. if you keep knocking, it will crack eventually, although it might take a hundred years. thanks for the inspiring thought.

  6. Pingback: Tweets that mention Kepercayaan Kita Terhadap Mahkamah Perlu Kekal Utuh | LoyarBurok -- Topsy.com