Penubuhan Parlimen Mahasiswa USM bermakna kampus itu bebas bersuara dan berdemokrasi?
Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan Institusi Pengajiaan Tinggi Awam (IPTA) yang pertama menubuhkan Parlimen Mahasiswa pada bulan Oktober 2010. Selepas pindaan Perlembagaan USM, namanya digubal menjadi Dewan Perundingan Pelajar (DPP). Menurut alasan yang dikemukakan oleh Pro Aspirasi, penubuhan tersebut bertujuan untuk mengumpulkan suara mahasiswa/i dan memantau Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Ada mahasiswa/i berpendapat bahawa pihak universiti dan kerajaan memberi kebebasan bersuara, Pro Aspirasi mengatakan bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang dipinda memberi hak bersuara dan pelbagai alasan yang bermotif untuk mengekalkan AUKU.
Satu per tiga kerusi boleh memantau?
Ahli parlimen biasanya dilahir melalui pilihan raya, ataupun dilantik atas identiti tertentu. Ahli DPP terdiri daripada MPP, wakil kelab dan persatuan. Semua ahli MPP menjadi ahli DPP secara automatik dan merangkumi dua per tiga kerusi. Satu per tiga kerusi dipenuhi oleh wakil kelab dan persatuan. Dari segi kuantiti, bagaimanakah satu per tiga kerusi dapat memainkan peranan pemantau? Tanpa mengira ahli MPP itu terdiri daripada Pro Aspirasi, Mahasiswa atau individu, dua per tiga kerusi ini mestilah “pro MPP” supaya kepentingan MPP tidak dijejaskan. Oleh itu, dari segi nisbah tersebut, sistem pemantauan DPP telah gagal.
Satu per tiga kerusi juga termasuk wakil Majlis Pelajar Desasiswa (MPD). Malangnya, ahli MPD dilantik melalui temuduga oleh pihak universiti sejak tahun 2004, maka peranan pemantauan yang harus dipermain oleh satu per tiga kerusi itu lagi terjejas. Majlis tertinggi kelab dan persatuan diberi kepentingan untuk menjadi wakil dalam DPP. Persoalannya adakah majlis tertinggi ini dipilih melalui sistem yang berkredibiliti dan dipantau oleh pihak ketiga? Ataupun dilantik secara rawak? Pihak universiti pun tidak galak semua mahasiswa/i untuk menghadiri proses pemilihan satu per tiga ahli DPP itu. Nampaknya pihak universiti lebih suka menguruskan hal pemilihan itu secara “humble”, kemudian mempromosikan DPP secara “high profile” dalam media.
Tidak boleh bincang isu sensitif
Apakah yang boleh dibincangkan dalam DPP? Mengikut peraturan, ahli DPP boleh membincang isu kebajikan seperti WiFi, desasiswa, perkhidmatan bas, dan isu masyarakat seperti penyalahgunaan dadah. Perkara yang paling paradoks yang dinyatakan dalam peraturan itu ialah, ahli tidak boleh membincangkan isu sensitif, perkauman, agama dan anti kerajaan. Definisi isu sensitif itu tidak dibuat dengan selanjutnya. Sebagai contohnya, punca utama penghisapan dadah belia ialah kegagalan perlaksanaan undang-undang yang harus dijalankan oleh agensi kerajaan, adakah isu ini tidak boleh dibincangkan dalam DPP? Isu sensitif harus dibincang secara umum dan aman untuk menambahbaikkan kefahaman antara satu sama lain. Jika tidak dibincangkan, mitos isu itu tidak dapat difaham, maka masalah itu pun tidak dapat diselesai.
Selain “white terror” menyebabkan mahasiswa/i tidak membincangkan isu yang dianggap sensitif, sistem pendidikan dan otoriti juga tidak menggalakkan mereka berbuat demikian. Faktor-faktor itu memperkosa naif pelajar dan murid yang suka tanya “kenapa”. Satu jawatankuasa yang ditubuhkan oleh mahasiswa/i akan menfilter semua usul yang dihantar oleh mahasiswa/i, tetapi, mengikut peraturan berkenaan, Lembaga Universiti yang dilantik oleh Menteri Pengajian Tinggi berkuasa untuk menfilter usul-usul yang akan dibincang dalam DPP. Pihak universiti dan Pro Aspirasi masih berbangga dengan mengatakan bahawa DPP ini berautonomi tanpa campur tangan pihak luar. Sebenarnya cara campur tangan yang diguna oleh pihak universiti adalah lebih teruk berbanding dengan spy, mereka campur tangan pengurusan DPP dengan jelas sekali.
Naib Canselor berkuasa membuat keputusan akhir
Diskusi memang boleh meningkatkan kebolehan berfikir, tetapi bincang itu masih bincang, ia tidak boleh dicampuradukkan dengan hak membuat keputusan sekali. Pro Aspirasi menyokong DPP dengan alasan seperti “meningkatkan kebolehan berbahas ahli”, “diskusi ahli adalah berdasarkan fakta dan hujah”. Selepas perbahasan, ahli-ahli harus mengangkat tangan untuk melulus atau membantah usul berkenaan. Selain dua per tiga undi yang pro MPP, usul tersebut harus diluluskan oleh Naib Canselor. Dia mempunyai kuasa yang terakhir terhadap kelulusan tersebut. Walaupun sehingga hari ini, tiada usul ditolak olehnya, tetapi kewujudannya akan berfungsi demikian jika perlu. Situasi ini seperti kewujudan AUKU di USM, ia bertindak untuk memberi amaran mahasiswa/i supaya berhati-hati sebelum sesuatu program dijalankan.
Secara ringkasnya, usul itu perlu dilepasi melalui tiga peringkat. Peringkat pertama: kelulusan usul untuk perbahasan (Lembaga Pengarah boleh campur tangan). Peringkat kedua: ahli meluluskan usul (Pro Aspirasi yang dibentuk oleh pihak universiti ataupun Hal-Ehwal Pelajar (HEP), kemudian menjadi dua per tiga ahli DPP, dan meluluskan usul yang dianggap sesuai). Peringkat ketiga: Naib Canselor membuat keputusan terakhir. Oleh itu, pihak universiti tidak perlu menggunakan Seksyen 15 yang dinyatakan dalam AUKU untuk menyaman mahasiswa/i yang dianggap bermasalah, maka ia hanya menggunakan Seksyen 4, iaitu Menteri Pengajian Tinggi berkuasa mutlak dalam pentadbiran kampus untuk memperbodohkan mahasiswa/i.
Selepas usul diluluskan, Menteri Pengajian Tinggi akan mengumumkan bahawa mahasiswa/i bersetuju dengan polisi kerajaan walaupun polisi itu tidak munasabah. Keadaan ini serupa-rupa dengan MPP Pro Aspirasi meminta kerajaan supaya tidak memansuhkan AUKU, inilah berlaku beberapa tahun yang lepas. Kalau pihak universiti berniat meningkatkan kebolehan perbahasan, dan mewujudkan diskusi yang berdasarkan fakta dan hujah, ia hanya perlu mengadakan pertandingan perbahasan setiap tahun pada peringkat antarabangsa, langsung tidak perlulah DPP ini.
Mahasiswa/i menundukkan kepala kepada otoriti
Kalau MPP bermesyuarat konsisten dengan kelab persatuan dan berdialog untuk menyelesaikan masalah kebajikan, mengadakan forum awam terhadap isu semasa, berhak sama rata dengan staf akademik, eksekutif dalam proses membuat keputusan, tidak perlulah Parlimen Mahasiwa yang bertopeng demokrasi. Masalah utama ialah mahasiswa/i ini dihasilkan oleh sistem pendidikan yang gagal. Hal ini kerana mereka terlalu menundukkan kepala kepada otoriti. Mereka mengikut apa jua sahaja yang ditentukan dalam peraturan dan undang-undang tanpa berfikir sebabnya, mereka juga tidak faham apa-apa hak yang boleh dipraktikalkan.
Pekerjaan lapan jam sehari merupakan hasil perjuangan golongan pekerja dan bukan hadiah yang diberikan oleh majikan. Tidak kiralah MPP ataupun DPP sama ada berhak atau tidak, sebagai mahasiswa/i yang bertanggungjawab harus berusaha untuk mengubah keadaan demikian. Sistem yang sempurna bukan diberikan secara percuma oleh kerajaan atau pihak universiti. Tanpa perjuangan mantan pemimpin gerakan mahasiswa yang memahami hak-hak asasi, tidak menunduk kepala kepada undang-undang zalim, dan berdemo untuk memberi tekanan kepada ditaktor. Kemungkinan besar pada hari ini, mahasiswa/i masih perlu mendapatkan “sijil kelayakan” daripada cawangan khas Polis Diraja Malaysia untuk belajar ke IPTA, membayar bunga/kos pentadbiran PTPTN sebanyak 6%!
Seng Hean belajar pemasaran dalam kuliah dan membantah penindasan golongan dalam sistem pemasaran di luar kuliah. Beliau tidak tahu secara mendalam tentang demokrasi, hak asasi manusia, politik dan ekonomi tetapi ingin hidup dalam dunia aman damai; oleh itu kewajipannya untuk tahu semua bidang-bidang ini. Lebih cenderung kepada teori Joker dalam tayangan “The Dark Knight” dan buku-buku sejarah tetapi tidak pernah lulus dalam mata pelajaran sejarah. Percayai bahawa semua orang mesti dilayan adil dan saksama serta rakyat harus membantah kapitalisme tetapi jangan ke kiri sangat.
Read this first: LB Terms of Use
15 Responses to Manakah Demokrasi Parlimen Mahasiswa USM?