PMN 11.1.11

PMN 2011: Mahasiswa seluruh Malaysia turun padang Parlimen! Sambutlah seruan ini wahai mahasiswa, dengan menjadikan diri kamu salah seorang daripada 11.1.11. Ayoh mahasiswa seluruh Malaysia, turun pada 11.1.11!

Hanya ada beberapa hari sahaja lagi sebelum Perhimpunan Mahasiswa Negara 2011 (PMN 2011) akan berlangsung, iaitu pada hari Selasa, 11 Jan 2011 atau lebih popular dikenali di kalangan mahasiswa sebagai 11.1.11. Dewasa ini, kita telah melihat banyak perhimpunan-perhimpunan atau “perjumpaan” mahasiswa yang dianjurkan oleh universiti dan oleh mahasiswa sendiri. Dan setiap “perjumpaan” itu pula dipenuhi dengan berbagai misi dan visi di dalam proses mencari solusi kepada banyak persoalan dan permasalahan berkaitan dengan mahasiswa terutamanya dalam hal akademik dan sosial. Rata-rata “perjumpaan” sebegini selalunya menemui kebuntuan dan gagal mencari jalan keluar kepada permasalahan mahasiswa tersebut. Bahkan akhirnya keputusan yang diambil tidak pun memihak kepada mahasiswa sendiri.

Dari sebuah majlis “perjumpaan” yang kelihatan elit hinggalah ke majlis yang agak santai, hasilnya tetap sama. Pengisian “perjumpaan” mahasiswa masih kurang memberi kesan dan hanya dihadiri dikalangan “ahli”, dihadiri oleh beberapa kerat mahasiswa yang prihatin dan juga oleh mahasiswa yang berkepentingan. Bagi mahasiswa yang hadir pula, masih kurang di dalam memberi sumbangan berupa idea serta pandangan. Dan jarang pula menghasilkan tindakan susulan yang jelas terhadap persoalan yang dibangkitkan di dalam “perjumpaan” mahasiswa tersebut.

Maka, artikel ini melihat bahawa PMN 2011 yang akan berlangsung pada 11.1.11 nanti juga terpaksa memikul beban dan kesan terhadap “perjumpaan” yang pernah wujud sebelum ini. Mari kita lihat apa yang ada di PMN 2011 itu nanti.

PMN 2011 yang akan berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur/Selangor (KLSCAH) ini akan dijalankan di dalam bentuk ala-Parlimen yang dipanggil sebagai Parlimen Mahasiswa. PMN 2011 ini juga dijangka akan disertai 300 peserta (kalau boleh lagi ramai) daripada 85 institusi pengajian tinggi awam (IPTA), swasta (IPTS) dan kolej-kolej.

Sebelum Parlimen Mahasiswa dijalankan, mahasiswa-mahasiswa yang hadir akan diberikan masa selama dua minit untuk berkongsi masalah yang mereka hadapi. Kemudian, perhimpunan tersebut akan menyenarai-pendekkan lima isu dari isu-isu yang telah diutarakan untuk dibincangkan oleh lebih kurang lima kumpulan yang akan dibentuk seterusnya menggariskan pelan tindakan untuk dibahaskan dalam Parlimen Mahasiswa selepas itu.

Mahasiswa yang hadir pada 11 Januari ini juga akan sebulat suara memutuskan dan menentukan hala tuju perhimpunan tersebut yang mana rancangan asalnya adalah untuk menubuhkan Kesatuan Mahasiswa yang akan dianggotai oleh semua mahasiswa seluruh Malaysia. Sejarah baru mahasiswa Malaysia bakal tercipta melalui aksi tersebut.

Menurut laman web rasmi PMN 2011, perhimpunan ini telah dicadangkan oleh 33 orang muda yang terdiri dari mahasiswa-mahasiswi IPTA, IPTS dan kolej serta bekas mahasiswa yang berbilang bangsa dan kepercayaan. Mereka juga adalah antara ahli jawatan kuasa untuk PMN 2011 pada 11.1.11 itu nanti. Mereka berharap untuk menghidupkan kembali Kesatuan Nasional Mahasiswa Malaysia (KNMM) dan seterusnya untuk membawa mahasiswa-mahasiswa seluruh Malaysia di bawah satu badan penyatu. Kebanyakan ahli jawatankuasa PMN 2011 ini tidak memegang sebarang jawatan/posisi khas dalam bidang masing-masing dan telah berkumpul serta berbincang bersama-sama atas dasar kepercayaan KESATUAN MAHASISWA.

Untuk menjadikan PMN 2011 ini satu kenyataan, mereka telah menjana kewangan sendiri dan sentiasa mengambil keputusan secara kolektif dalam usaha menjadikan PMN 2011 suatu kenyataan. Apa yang menarik, PMN 2011 adalah jalan tengah untuk mahasiswa yang sangat menginginkan kesatuan. Ini kerana PMN 2011 akan menyediakan pentas kepada para pelajar yang tidak menyokong kumpulan mahasiswa pro-Mahasiswa mahupun kumpulan mahasiswa pro-Kerajaan. Perhimpunan kali ini adalah jalan tengah untuk mahasiswa Malaysia yang nyata kecewa dengan sistem kepimpinan mahasiswa yang sedia ada.

Jika mahasiswa yang membaca artikel ini mengharapkan sesuatu yang baik dari PMN 2011 dan tidak mahu ianya sama dan tidak ubah seperti “perjumpaan” mahasiswa yang ada sebelum ini, maka, turunlah di PMN 2011 pada 11.1.11 kerana perhimpunan ini memerlukan orang seperti anda. Perhimpunan ini mahukan perubahan, perhimpunan ini mahukan nafas baru, idea-idea baru, penyelesaian yang lebih realistik terutamanya kepada permasalahan yang sudah lama berbangkit dan berbagai lagi perkara yang boleh mahasiswa bincangkan bersama dan pelbagai idea boleh mahasiswa curahkan pada PMN 2011 itu nanti. PMN 2011 ini adalah milik mahasiswa sepenuhnya.

Selain itu, manifesto PMN 2011 yang dikeluarkan agak sedikit berbeza dari manifesto mahasiswa yang pernah dilihat sebelum ini. Ianya bukanlah janji-janji kosong yang pernah ditabur, bukan juga kata-kata mengampu yang sudah lama disaji, tetapi manifesto ini adalah seruan semangat yang ingin ditiup ke telinga dan diharap akan sampai ke hati setiap insan bernama mahasiswa. Semangat untuk bersatu dan berubah, dengan mengenepikan segala kepentingan serta fahaman, meruntuhkan apa jua bentuk benteng perbezaan dan bersatu di bawah satu KESATUAN MAHASISWA yang terhasil dari usaha mahasiswa sendiri.

Sambutlah seruan ini wahai mahasiswa, dengan menjadikan diri kamu salah seorang daripada 11.1.11. Ayoh mahasiswa seluruh Malaysia, turun pada 11.1.11!


MANIFESTO Perhimpunan Mahasiswa Negara 2011

Kita bukan pemimpin masa hadapan.

Kita adalah pemimpin hari ini.

Kita bukan punca masalah.

Kitalah penyelesainya.

Kita merungut tentang sistem.

Kita mengadu tentang bagaimana kita tidak dilayan seperti orang dewasa.

Kita menunggu masa untuk bertindak.

Nah sekarang masanya kita tunjukkan.

Bukan masanya kita menanti pembangkang untuk mewakili suara kita.

Bukan masanya kita menunggu kerajaan untuk berbuat sesuatu.

Usah gentar ketakutan.

Kita punya mulut dan tangan.

Mari bersama lakukan.

Ayuh bersatu.

Kita wujudkan kembali kesatuan mahasiswa kebangsaan yang telah lama bersemadi.

Ia kebuntuan menunggu untuk diberi nyawa baru oleh orang-orang muda.

Mari kita tubuhkan kesatuan yang berdiri dengan usaha sendiri.

Sebuah pertubuhan berdikari.

Bukan memohon-mohon.

Bukan merayu-rayu.

Tapi berubah…!!!

Ayoh ke PERHIMPUNAN MAHASISWA NEGARA 2011!

Tarikh: 11 Januari 2010 (11.1.11)

Hari: Selasa

Tempat: Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur/Selangor (KLSCAH), Kuala Lumpur (sebelah stesen monorail Maharajalela)

Daud Mili (Dee Moro) berumur 24 tahun dan baru sahaja menamatkan pelajaran Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di UiTM Shah Alam. Beliau sangat percaya mahasiswa harus diberi peranan yang lebih besar dalam proses pembangunan negara. Bukan sekadar belajar untuk mendapatkan pekerjaan sahaja. Oleh itu, beliau menyokong segala bentuk usaha untuk mewujudkan gerakan mahasiswa yang kuat.

UiTM tidak mempunyai pergerakan mahasiswa yang berdikari sendiri. Yang ada hanyalah Majlis perwakilan Pelajar (MPP) yang dikawal penuh oleh pihak pengurusan universiti. Serta wujud pelbagai persatuan dan kelab yang sibuk menjalankan aktiviti dan sibuk menyiapkan laporan untuk dihantar ke pihak pengurusan nanti. Dan MPP sepenuhnya adalah pro-Aspirasi atau pro-Kerajaan. Pro-Mahasiswa yang juga dikenali kepada pro-Pembangkang tidak dibenarkan memasuki dan bertanding di dalam Pilihanraya kampus. Maka, tiadalah berlaku kritikan-kritikan dan jauh lagi percambahan idea di dalam sistem kepimpinan mahasiswa UiTM. Yang ada hanyalah “ikut sahaja”.

Daud tidak menyokong mana-mana pihak (Kerajaan atau Pembangkang), tetapi beliau sangat mengharap agar UiTM akan lebih terbuka di masa depan supaya dapat melahirkan suasana kepimpinan yang lebih hebat di UiTM. Ramai mahasiswa UiTM mahukan bentuk kepimpinan yang lebih segar dan agresif.

2 replies on “SIRI PMN 2011: Mahasiswa Seluruh Malaysia Harus Turun Pada 11.1.11 [d/VIDEO]”

Comments are closed.