LoyarBorak memaparkan diskusi pelbagai isu dalam format bertulis, video, atau audio.
Tidak lama dahulu, dua ahli Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam, Aston Paiva dan Fyrol Ikram Othman telah berdebat melalui e-mel. Debat mereka merangkumi pelbagai isu. Walaupun kedua-dua mereka tidak bersetuju dengan pendapat satu sama yang lain, mereka tetap menghormati pendapat yang diutarakan, mendukung prinsip kebebasan bersuara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ini adalah bahagian 2 daripada 6 bahagian. Pembaca dijemput berborak bersama melalui ruang komen di bawah. Jika anda ingin menjadi seorang LoyarBorakker, sila e-mel Marcus di [email protected]
Aston:
Isu buang bayi ini berleluasa oleh kerana ketiadaan pendidikan seks yang secukupnya ketika persekolahan golongan muda.
Fyrol:
Laporan sebuah akhbar tempatan:
KUALA LUMPUR – Satu kajian yang dibuat oleh seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun lalu mendapati 60 peratus kes perzinaan berpunca daripada menonton bahan-bahan lucah.
Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja UKM, Dr. Khaizil Ismail berkata, Kajian Remaja Berisiko Tinggi yang dijalankan selama enam bulan itu dijalankan di pusat-pusat pemulihan akhlak di seluruh negara merangkumi kira-kira 600 responden yang berumur antara 15 dan 20 tahun.
“Biasanya gadis yang sudah berzina dengan pasangan akan mengandung dan kemudian mengambil keputusan membuang bayi yang dilahirkan bagi mengelakkan rasa malu atau diketahui keluarga.
“Perzinaan yang berlaku akan menyebabkan terhasilnya anak luar nikah. Jadi, saya menyokong kenyataan bahawa kes-kes buang bayi yang semakin banyak sekarang ini adalah berpunca daripada menonton bahan-bahan lucah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Aston:
Terima kasih untuk artikel ini.
Tetapi kita tidak patut sampai ke kesimpulan dahulu sebelum membaca hasil penyelidikan itu dengan sepenuhnya.
Mari kita deconstruct apa yang telah dikatakan:
“. . . 60 peratus kes perzinaan berpunca daripada menonton bahan-bahan lucah. . .
Biasanya gadis yang sudah berzina dengan pasangan akan mengandung dan kemudian mengambil keputusan membuang bayi yang dilahirkan bagi mengelakkan rasa malu atau diketahui keluarga.
“Perzinaan yang berlaku akan menyebabkan terhasilnya anak luar nikah. Jadi, saya menyokong kenyataan bahawa kes-kes buang bayi yang semakin banyak sekarang ini adalah berpunca daripada menonton bahan-bahan lucah,”katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. [penekanan saya]
Jadi apa yang dikatakan oleh Pakar tersebut adalah seperti berikut:
Premis 1: Menonton video lucah menyebabkan zina
Premis 2: Zina menyebabkan kes buang bayi
Kesimpulan: Menonton video lucah menyebabkan kes buang bayi.
Saya tidak boleh bersetuju sama sekali dengan kesimpulan ini.
Isu 1
Saya setuju bahawa zina merupakan satu dosa di agama Islam tetapi kenapa “biasanya gadis-gadis ini mengandung“?
Adakah mereka tidak tahu mengenai kondom ataupun pil hamil ataupun contraceptives lain?
Sekiranya tidak, kenapa mereka tidak tahu mengenai perkara-perkara ini sedangkan perkara-perkara ini melibatkan kesihatan fizikal, mental and emosi seseorang itu?
Isu 2
Kenapa mereka membuang bayi?
Adakah oleh kerana video lucah ataupun “bagi mengelakkan rasa malu atau diketahui keluarga”?
Adakah terdapat stigma yang dihasilkan oleh masyarakat ke atas golongan muda ini yang jelas tidak mempunyai kesedaran mengenai seks/kesihatan?
Adakah masyarakat perlu prihatin dan mengambil langkah yang lebih berperikemanusiaan dan tidak sebaliknya mencela golongan yang kurang matang ini?
Adakah masyarakat harus lebih peka kepada isu-isu yang berkaitan dengan seks/kesihatan agar tidak ‘secara tidak terus’ memaksa seorang wanita muda untuk membuang bayinya semata-mata untuk dilihat sebagai seorang yang moral atau alim?
Sememanganya saudara Fyrol ini bukannya soalan-soalan yang mudah dijawab dan adalah mengambil jalan keluar yang senang sekiranya kita hanya menunding jari kita ke video lucah.
Isu buang bayi ini adalah satu isu yang penting yang melibatkan nurani masyakarat Malaysia.
Ia adalah isu yang penting kerana cara kami menyelesaikan isu akan menentukan bahawa adakah kita masyarakat Malaysia, satu masyarakat yang matang dan berperikemanusiaan serta yang menghormati martabat (dignity) seorang individu ataupun kami tidak mempunyai sebarang belas kasihan dan hanya ingin memberikan satu imej bahawa kami merupakan satu masyarakat yang “alim”.
Pilihan tersebut berada di tangan kita saudara Fyrol.
Fyrol:
Saya juga merasakan sesuatu perlu dibuat untuk memastikan gejala ini dihentikan.
Saya tiada masalah dengan pendidikan seks.
Tetapi kita perlu memastikan bahawa silibus pendidikan ini bukanlah untuk menggalakkan perzinaan selamat sebaliknya memberitahu mengenai hal-hal kesihatan, menghormati peribadi berlainan jantina dan kesan-kesan tidak elok perzinaan agar golongan muda dapat pula mengelakkan dari ianya berlaku.
Sebenarnya di dalam Islam terdapat juga disentuh tentang pendidikan seks ini yang meliputi: tentang kejadian bayi, tentang pengasingan anak-anak lelaki dan perempuan apabila mencapai umur 10 tahun, tentang tidak boleh tidur satu selimut walau sesama jantina, tentang ciri-ciri baligh, darah haid dan perkahwinan. Selain itu Islam juga mengajar supaya tiada percampuran di antara lelaki dan perempuan tanpa muhrim, tentang menutup aurat dan menjauhi zina.
Walaupun begitu, benda-benda/perkara-perkara yang boleh merangsang untuk perkara seperti ini berlaku juga hendaklah dikekang.
Firman-Allah yang bermaksud: “Dan Janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk.” (Al-Isra’: 32)
Hukuman juga hendaklah dikuatkuasakan. Menurut hukum Islam seseorang yang telah akil baligh boleh dipertanggungjawabkan.
Memang tiada jaminan bahawa ini akan menyelesaikan terus kes ini kerana Arab Saudi sebuah Negara fundamental Islam juga menghadapi kes-kes seperti ini.
Berdasarkan pengalaman peribadi saya, kaedah kontraseptif bukanlah 100% selamat. Terdapat kes ekstrim seperti tiub fallopio yang telah dipotong dan diikat tetapi tetap berlaku kehamilan.
Berdasarkan perkembangan maklumat yang mudah diakses, ramai remaja kini yang tahu tentang penggunaan kondom. Tetapi tahukah kita bahawa pelajar bidang perubatan juga membuang bayi luar nikah. Adakah pelajar tersebut tidak tahu kaedah kontraseptif?
Oleh yang demikian, selain memberikan pendidikan seks kepada mereka, kita perlu memastikan perkara-perkara yang menggalakan zina turut dikekang.
Aston:
Saudara Fyrol, pada pendapat saya, keinginan untuk melakukan seks atau have sex adalah semulajadi; ia adalah asas biologi seorang manusia.
Kita tidak boleh membuat anggapan bahawa mempunyai nafsu berahi itu merupakan satu kesalahan ataupun jenayah. Tidak sama sekali. Kita sebaliknya mesti tahu cara-cara untuk mengawal nafsu berahi kami dan mengekspresinya dengan cara yang selamat dan terkawal.
Saya tidak percaya bahawa kita boleh menafikan seseorang itu daripada melakukan seks kerana itu merupakan pilihan dan hak mereka tetapi saya percaya kita boleh mendidik mereka mengenai cara-cara yang terbaik untuk melakukan seks tanpa sebarang akibat yang buruk.
Saya faham bahawa berbuat demikian mungkin akan mengakibatkan konflik kepada nilai-nilai agama saudara tetapi itu merupakan nilai-nilai agama saudara, ia bukannya nilai-nilai orang lain. Setiap individu itu merupakan hakim kepada dirinya sendiri serta nilai-nilainya.
Kami perlu memberikan didikan kepada wanita-wanita yang sudah hamil tentang pilihan-pilihan mereka; adakah untuk menyimpan bayi mereka, untuk memberikan bayi mereka kepada rumah anak angkat ataupun untuk menjalankan prosedur pengguguran anak (kesahan pengguguran anak secara undang-undang perlu juga diperdebatkan dulu).
Memperketatkan undang-undang tidak akan menyelesaikan isu ini tetapi peningkatan kesedaran di antara masyarakat, saya percaya, akan dapat membasmi isu ini dengan sepenuhnya.
Aston suka berbasikal, bermain dengan mancis dan memakan rojak. Kadang-kadang dia suka membuat ketiga-tiga aktiviti tersebut pada masa yang sama.
Fyrol adalah seorang anak muda yang suka mengkritik mengenai politik dan sosial. Meletakan Islam dan keadilan sebagai keutamaan. Berusaha kearah politik tanpa perkauman, namun tidak akan membiarkan bangsa dan agamanya dihina. Bercita-cita untuk untuk memastikan Islam sebagai ad-deen dan bahasa Melayu mekar dan megah digunakan oleh semua rakyat Malaysia. Pandangannya tentang politik dan sosial boleh dilihat di http://penakiri.blogspot.com namun kini lebih rajin berfesbuk. Masih mempunya tiga kuata kekesongan, ayah kepada sepasang cahaya mata ini sebenarnya tidak menang tangan dengan kerja sukarelawan dan tanggung jawab hakiki mencari rezeki lebih-lebih lagi sejak Rosmah meminpin negara.
Rencana di atas merupakan pandangan peribadi penulis-penulis yang juga merupakan ahli Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan, Majlis Peguam Malaysia yang pada masa ini sedang menganjurkan Kempen PerlembagaanKu. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kempen ini, ikuti kami di laman web ini.
Ini adalah bahagian 2 daripada 6 bahagian LoyarBorak #3. Ikuti bahagian-bahagian berikutnya setiap Isnin & Khamis di blawg ini.
Informasi yang menarik. Terima kasih kerana kongsi info
Post yang menarik. Terima kasih kerana sumbangkan ilmu