Sebelum saya dianggap ignoran (ada ke perkataan ni?) atau tidak faham bahasa, biar saya jelaskan bahawa saya sesungguhnya tahu yang pemilihan ke Majlis Peguam pada setiap tahun hanya boleh dilakukan oleh peguam dan bukannya orang awam.

Namun begitu, kepentingan Majlis Peguam telah berkembang dari setahun ke setahun sejak ia ditubuhkan sehinggakan ia bukan sahaja menjadi saluran untuk para peguam sahaja tetapi ia adalah tempat untuk orang awam mendapat keadilan apabila keadilan tidak dilayan oleh sistem yang ada.

Tanpa Majlis Peguam, mungkin tidak ada sesiapa yang akan memberi komentar kepada pelbagai undang-undang yang dibahas di dalam Parlimen atau melawan habis-habisan sebarang ketidakadilan yang berlaku di pelbagai segmen masyarakat di Malaysia.

Apakah sebenarnya peranan Majlis Peguam? Badan Peguam adalah satu badan yang ditubuhkan di bawah statut yang kini dikenali Akta Profesion Undang-Undang 1976.

Ia adalah badan berkecuali yang bertujuan menegakkan peraturan undang-undang dan keadilan serta melindungi profesion undang-undang dan orang awam. Semua peguam yang mempunyai sijil amalan guaman secara otomatik menjadi ahli biasa Badan Peguam. Di bawah Akta tersebut, Majlis Peguam mentadbir Badan Peguam.

Dalam kiraan terakhir Badan Peguam mempunyai lebih dari 13,000 orang ahli. Semua peguam-peguam ini layak mengundi dan menjadi calon ahli jawatankuasa Majlis Peguam.

Malaysian Bar Annual Report 2009-10

Majlis Peguam mempunyai 36 ahli Majlis yang 12 darinya dipilih melalui pemilihan tahunan melalui undi pos yang diedarkan kepada semua ahli biasa Badan Peguam. 11 pula adalah Pengerusi Jawatankuasa Peguam Negeri-Negeri Semenanjung dan 11 wakil yang dipilih semasa pemilihan Jawatankuasa Peguam Negeri-Negeri Semenanjung. Dua lagi ahli Majlis adalah bekas Presiden dan bekas Naib Presiden tahun yang baru lalu.

Proses pemilihan Majlis adalah mudah di mana setiap ahli menerima sampul yang mengandungi biodata setiap calon yang layak dan kertas undi yang mempunyai nombor siri. Satu sampul yang telah ditaip alamat Majlis Peguam juga disertakan dan sesiapa yang mempunyai masa untuk melihat dan ingin mengundi hanya perlu memangkah kotak di sebelah nama-nama calon tersebut.

Secara amnya, ini semua amat mudah. Namun begitu, ahli biasa Majlis Peguam yang menghantar semula kertas undi yang telah diisi amatlah menyedihkan. Menurut Kempen Candidate Watch oleh Jawatankuasa Peguam-Peguam Muda Kuala Lumpur, hanya 23% dari 13,000 ahli Badan Peguam menghantar semula kertas undi mereka.

Ini sebenarnya amat memalukan untuk satu badan yang ingin pilihanraya umum diadakan dengan lebih bersih, menggalakkan demokrasi serta pemahaman perlembagaan yang lebih baik.

Bukankah jika mandat yang diterima oleh calon-calon dan akhirnya yang terpilih menjadi ahli Majlis Peguam adalah dari sekurang-kurangnya 50% dari ahli Badan Peguam, ia akan menunjukkan bahawa Majlis Peguam disokong kuat oleh ahlinya. Jika 100% atau lebih dari kadar keluar mengundi pilihanraya umum, itu akan menunjukkan satu perkembangan yang lebih baik! Ini nampaknya hilang di benak pemikiran peguam-peguam yang ada.

Namun begitu, peguam-peguam tidak boleh dipersalahkan secara total. Kebanyakan dari mereka terasa mereka dianaktirikan dengan program-program yang diadakan oleh Majlis Peguam sendiri. Walaupun Majlis Peguam menyatakan bahawa ia melindungi peguam, ia jarang diperlihatkan oleh tindakannya.

Kebanyakan peguam menganggap Majlis Peguam hanya mengawalselia insurans indemniti profesional dan sijil amalan guaman mereka. Selain dari itu, Majlis Peguam lebih bertindak sebagai polis kepada peguam dengan usaha mereka menangkap peguam yang bersalah dalam menyalahi pentadbiran wang pertaruhan atau dalam pemberian diskaun kepada anakguam mereka.

Hanya sejak dua, tiga tahun kebelakangan ini barulah Majlis Peguam mengadakan program pembelajaran seperti “Getting Started” dan pentadbiran pejabat peguam yang lebih efektif agar peguam-peguam sedar yang mereka mungkin pandai menjadi peguam tetapi belum tentu pandai mentadbir urus pejabat guaman yang mereka miliki.

Tidakkah Majlis Peguam sedar yang pencegahan adalah lebih baik dari penyembuhan?

Masih ramai peguam-peguam yang ingin berkhidmat tetapi merasakan Majlis Peguam dikuasai oleh golongan peguam elitis yang menyebabkan ia sukar ditembusi. Calon-calon yang menawar diri mereka sebagai ahli Majlis pada tahun ini pernah berada di dalam Majlis Peguam sejak mereka masih muda dan ada yang semenjak tahun 1980-an lagi!

Tidak adakah peguam-peguam muda yang sanggup mengorbankan masa dan melakukan kerja secara sukarela tanpa bayaran (peguam di dalam Majlis Peguam tidak dibenarkan dibayar elaun atau imbuhan kecuali elaun perjalanan). Mungkin inikah yang menjadi halangan untuk Majlis Peguam mempunyai nafas baru.

Atau adakah perjuangan mendapatkan keadilan untuk pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia seperti orang asli, pesalah juvana dan pelarian politik dengan penubuhan pelbagai jawatankuasa dan jawatankuasa kecil yang banyak di bawah Majlis Peguam menyebabkan Majlis Peguam tidak mampu memberi perhatian yang adil di dalam usahanya mentadbir hal-ehwal peguam sambil memantau undang-undang dan kerajaan yang ada.

Saya tidak pernah mendengar rakan peguam saya yang dengan rela hati pergi ke Majlis Peguam apabila menghadapi masalah di dalam perniagaan atau pentadbiran kes anakguam mereka. Mereka akan lebih percaya nasihat rakan-rakan peguam mereka. Peguam juga mempunyai masalah terasa lebih pandai dari semua profesion yang wujud kerana hakikatnya peguam memang perlu pandai dalam semua bidang untuk menjadi peguam yang efektif.

Oleh itu, adakah pemilihan ahli Majlis Peguam penting untuk peguam dan masyarakat? Di zaman di mana tanggungjawab sosial korporat menjadi sebarang entiti korporat yang wujud di mana sahaja, tidak syak lagi, ia adalah penting.

Soalannya sekarang, kenapa susah sangat peguam hendak mengundi dan memilih siapa yang boleh mengetuai mereka. Peguam-peguam muda pernah menuntut agar dibenarkan menjadi ahli Majlis Peguam. Di manakah mereka? Dari 32 calon di tahun 2009, tahun ini hanya 26 calon sahaja yang menawar diri untuk dipilih.

Mana semangat sukarelawan peguam di Malaysia? Yang tidak bertanding kerana sebab tertentu telah menyatakan kenapa mereka berbuat demikian, tetapi yang tidak pernah menawar diri mereka langsung? Atau berada di dalam mana-mana jawatankuasa? Macamana nak jadi calon kalau tak pernah menjadi ahli jawatankuasa?

Ya, memang tidak mudah untuk menjadi apa jua di dalam apa jua badan terutama secara sukarelawan. Mungkin kita boleh anggap ia satu cara kita memberi semula kepada masyarakat.

Dan mungkin, sekiranya kita ikhlas dan kita dapat berkhidmat bersama-sama, nama kita akan harum bukan sahaja di kalangan peguam tetapi masyarakat. Barulah, jika kita dapat gelaran “Dato'”, ia memberi makna.

Khairul atau kruel74 (yang digunakannya di dalam Twitter) merasakan dia lebih dikenali sebagai seorang ahli perniagaan dari seorang perguam walaupun namanya ada di papan tanda sebuah pejabat peguam PJ. Dia gemar bersosial di dalam sosial media yang selalunya dibawa ke dunia luar kerana dia percaya hidup ini terlalu pendek untuk dilalui seorang diri. Ikutilah Khairul di Legal Cat-asthrophe.

6 replies on “Pemilihan Majlis Peguam: Kuasa Golongan Peguam Elitis Sukar Ditembusi”

  1. Saudara/Saudari uowj,

    Terima Kasih saya ucapkan atas sokongan anda. Manifesto saya berdasarkan kepada prinsip transperensi dan kejujuran. Walaubagaimanapun, jikalau-lah saya bernasib baik diundi masuk Majlis Peguam, suara saya hanyalah satu. Tetapi saya berasa yakin bahawa ada calon-calon lain yang bersependapat dengan saya.

    Mungkin uosj sudi melawat blog saya untuk melihat keselurahan jawapan saya kepada projek 'Candidate Watch' Jawatankuasa Peguam Muda Kuala Lumpur. Saya berharap jawapan-jawapan saya disana dapat memberi gambaran kepada uosj akan prinsip-prinsip saya.

    http://the-independent-spirit.blogspot.com/2010/1

    Terima Kasih.

    rw

  2. Pada hemat saya, Majlis Peguam bukanlah majlis elitis. Tetapi imej Majlis Peguam kadang-kadang ternapak elitis.

    Dalam beberapa tahun kebelakangan in, Majlis Peguam telah bertukar, and lebih berorientasi terhadap isu-isu semasa.

    Majlis Peguam juga, dari apa yang saya prihatin; cuba membantu peguam-peguam dalam beberapa isu. Seminar 'Getting Started' adalah antara projek Majlis Peguam yang positif.

    Walaubagaimanapun, Majlis Peguam boleh melakukan lebih lagi untuk Peguam-peguam. Malahan saya perpendapat bahawa Majlis Peguam patut lebih prihatin kepada isu-isu yang menyelubungi kerja-kerja harian kami.

    Artikel saudara Khairul ini amat positif sekali & saya berharap akan memberi inspirasi kepada lebih ramai peguam untuk menawarkan diri sebagai calon pilihanraya Majlis Peguam pada masa depan.

  3. Saudara Khairul

    Bagus, tapi boleh tanya siapakah saudara pilih>

    Mengapa kata ahli Majlis Peguam elitis? Bukti macam mana?

    Harap-harap calon-calon baca posting ni

Comments are closed.