Wajarkah pendidikan dipolitikkan? Komen mengenai salah seorang mahasiswa UKM 4, Woon King Chai, yang digugurkan dari senarai dekan justeru dinafikan anugerah ke atas pencapaian akademik cemerlang beliau.

raccoon-chicken8

Dengan nama Tuhan yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Aku berlindung dengan Tuhan semesta alam dari syaitan yang direjam, dan dari kenakalan Cawangan Khas serta kejahatan aparat kerajaan.

Jumaat malam, aku dan teman-teman hadirkan diri ke sebuah forum anjuran Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia. Tajuk menarik lagi kontroversial menggamit kami ibarat kelkatu tergoda dengan api pelita. Forum tiga panelis membincangkan tajuk boleh tahan panas: Wajarkah guru dibenarkan berpolitik?

Berikut adalah syarah yang aku susun dalam kepala otak untuk diajukan kepada sidang panel sebelum dimaklumkan bahawa majlis perlu habis awal, dan cuma ada ruang masa untuk satu soalan sahaja. Penyesalan tidak menjadi orang pertama bertanya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Aku sebenarnya tidak menyangka bahawa profesyen guru memerlukan “kebenaran” untuk berpolitik. Aku ingatkan hanya mahasiswa yang menerima kekangan dan memerlukan izin kebenaran segala sebelum bekecimpung dalam sistem demokrasi negara ini. Bagi aku, secara prima facie; hanya sistem fasisme sahaja yang mengenakan kawalan ketat ke atas keterlibatan politik anggota negaranya, dek kerana ketakutan dan faham jumud fasisme itu yang sentiasa mahu kekal kuasa.

Maka untuk bertanya seputar “kewajaran” dan “kebenaran” atau “izin” berpolitik itu adalah ibarat menyangkul air sungai. Itu kerja dangkal lagi sia-sia. Bertanya tentang kewajaran guru dan bakal guru berpolitik samalah seperti bertanya samada saintis politik dan pelajar sains politik wajar berpolitik.

Berpolitik itu hak rakyat yang tidak boleh dinafi. Penafian hak berpolitik adalah petanda demokrasi di dalam sesebuah negara itu sebenarnya adalah demokrasi tidak matang atau demokrasi yang tidak difahami secara tepat. Tidak sangat fasisnya kekangan itu, tetapi menjurus hampir ke situ. Kekangan Orwellian begini bukan perkara normal dalam praktis demokrasi berparlimen. Adalah menjadi satu kejanggalan sebenarnya untuk meletakkan kekangan politik ke atas mana-mana grup atau kumpulan-kumpulan tertentu. Praktis mengekang secara fasis ini adalah praktis yang mendiskriminasi dan wajib ditentang. Jika tidak mahu ditentang, maka tidak perlu ada parlimen. Cukup sekadar ada satu parti politik dan regimnya tanpa ganggu gugat serta ‘check and balance’ dalam kerajaan.

Tanpa perlu syarah panjang pun kita tahu, sepatutnya itu bukan amalan lazim negara yang demokrasi. Maka aku tak perlu syarah panjang.

Soalan kewajaran dan keizinan ini adalah soalan yang tidak patut ditanya. Aku berpendapat bahawa soalan yang lebih tepat ialah: Sejauh mana guru boleh berpolitik? Atau yang lebih kontemporari dan relevan dengan isu semasa, Wajarkah pendidikan dipolitikkan?

Aku akan syarah tentang soalan nombor dua, kerana soalan itu sangat relevan dengan situasi semasa dan sangat berkait dengan tuan rumah forum tersebut, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Persoalan mempolitikkan pendidikan ini sangat hangat kerana pendidikan dilihat menjadi alat regim politik kerajaan untuk tujuan indoktrinasi dan pembonsaian fikir pelajar sekolah dan mahasiswa. Aku sebut juga mahasiswa kerana pensyarah itu juga sebenarnya berada dalam profesyen keguruan juga. Dan lagi, mahasiswa akhir-akhir ini menjadi mangsa kepada proses pembonsaian dan tekanan otoriti aparat indoktrinasi kerajaan, sehinggakan pendidikan dan perkara-perkara yang berkait dengannya menjadi alat untuk menekan dan menghukum golongan yang tidak sehaluan dalam faham politik dan polisi kerajaan.

Semalam Universiti Kebangsaan Malaysia telah membuat kekhilafan besar dengan menggugurkan nama seorang pelajar daripada senarai Anugerah Dekan, kononnya kerana pelajar itu tidak memenuhi kelayakan anugerah tersebut. Pelajar yang aku maksudkan ini pula ialah salah seorang mangsa kekejaman legislasi kelakar yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan; Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 atau lebih manja dengan nama AUKU.

Pelajar yang aku maksudkan ini telah berjaya mendapat CGPA 3.65, ditambah dengan keterlibatan sosial yang amat membanggakan. Malang bagi UKM, mereka barangkali sedikit rabun atau telah menerima nasihat undang-undang yang salah sehingga menggugurkan nama pelajar terbabit daripda senarai anugerah tanpa mengikut prosedur yang tepat seolah-olah sengaja mahu menghukum pelajar ini untuk semua trangresinya terhadap sistem yang zalim dan mengekang.

Dari temuramah LoyarBurok - kad menunjukkan prestasi King Chai sehingga semester ke-4.
Dari temuramah LoyarBurok - kad menunjukkan prestasi King Chai sehingga semester ke-4.

Tambah malang, pelajar ini ialah Woon King Chai; salah seorang dari kolektif terjal lagi berani, UKM 4, yang sedang bermatian bergasak dengan AUKU.

King Chai telah digugurkan dari senarai anugerah dalam sebuah mesyuarat yang diadakan sekitar bulan Ogos, sewaktu perintah injunksi masih lagi berjalan. King Chai dimaklumkan sehari sebelum majlis anugerah melalui telefon, tanpa sebarang dokumentasi dan tanpa mengikut prosedur yang tepat. King Chai, pelajar cemerlang yang dinafikan mileage akademiknya kerana kononnya punya pending court case.

King Chai dipolitikkan pendidikan dan masa depan akademiknya, kerana ketakutan dan kerisauan melampau tanpa asas yang jelas dan tanpa mengikut lunas undang-undang atau peraturan yang tersedia. King Chai jadi mangsa salah guna kuasa dan kekhilafan prosedur serta opresi politik pendidikan kerana berani mencabar ketidakadilan. King Chai dihina dan dimalukan serta dinafikan hasil usaha inteleknya untuk sebab-sebab yang samar dan tak pasti, hasil politiking melampau dan kekeliruan polisi yang entah apa-apa.

Maka inilah yang terjadi hasil mempolitikkan pendidikan. Yang berlainan faham politik, hatta walau pelajar sains politik, bisa jadi mangsa politik dalam sistem Orwellian yang jijik dan jahat.

King Chai bersama rakan-rakan UKM 4 ketika menghantar memorandum di Parlimen
King Chai bersama rakan-rakan UKM 4 ketika menghantar memorandum di Parlimen

Sewaktu aku di sekolah, aku telah dengan jayanya didoktrinkan oleh sekalian guru yang bangkit sekitar zaman Reformasi 1998 untuk membaca dan menyoal tentang polisi dan sistem. Waktu itu internet tak laju macam sekarang. Facebook dan blog juga tidak ada. Blackberry dan twitter apatah lagi. Dalam zaman itu, guru merupakan alat agung untuk membentuk fikrah dan mendidik cara fikir untuk menerima faham-faham politik yang berbagai. Maka kewajaran berpolitik tidak timbul waktu itu. Cikgu aku semuanya PAS belaka.

Guru-guru dan pendidikan tidak boleh tidak, mesti melibatkan diri secara terus dalam sistem politik. Kegagalan bersetuju dengan perkara itu akan melahirkan generasi yang politically illiterate seperti yang boleh kau lihat sekarang. Namun pendidikan tidak harus dipolitikkan untuk kemaslahatan sesetengah pihak. Memaksa dan menggunakan kakitangan akademik untuk menggerak jentera plihanraya contohnya adalah praktis yang wajib dibongkar dan dirobah. Negara ini tiada tempat untuk fasisme dan praktik tidak demokratik, serta ketidafahaman melampau yang membodohkan rakyat dari fungsi kerajaan dan pembangkang.

Hasil pembodohan sebegitu melahirkan kes-kes seperti King Chai yang dimangsakan sistem dan administrasi yang dipaksa supaya percaya bahawa hanya satu parti sahaja yang benar dan mampu menyelamatkan negara. Konon parti yang sama membentang belanjawan untuk lebih 50 tahun.

King Chai harus ketawa dengan humor ini.

Bila semua ini selesai nanti, kita semua harus ketawa.

Lagi ditekan, lagi lawan!

Akhir kalam, sungguh kita ini ibarat timun. Menggolek luka, digolek pun luka. Tetapi biar luka dan terseksa, dari jadi zalim dan hina. Sudahlah bodoh, sombong pula. Sungguhpun undang-undang itu buta (satu lagi yang buta selain cinta); undang-undang punya hati dan rasa. Kita perlu terus yakin dan maju terus.

Hentikan mempolitikkan pendidikan. Kembalikan otonomi dan kebebasan akademik! Tolak kezaliman sistem. Bersama kita robah Malaysia ke arah yang lebih sejahtera. Bukan takat bina monumen mega dengan wang berjuta. Atau beri bajet menggila untuk PERMATA. Tetapi perlu dididik jiwa dan akal merdeheka. Demi masa depan negara.

Ewah ewah!

5 replies on “Mempolitikkan Pendidikan itu Kerja Gila”

  1. So university students can't be involved in politics, while those officially graduated, who may only be 1 year older and none the wiser (or more mature), can?

    Can't see the whole point; as it's totally ridiculous.

    So is the whole Malaysian attitude of denying those in the process of pursuing education from flexing their full rights as mature, responsible and free-thinking adults; treating them as children instead. In setting down the country's educational policies, it is urgent that we eliminate such a mindset; unless we want it to become a self-fulfilling prophecy.

    The writer also extends her condolences to King Chai as well; and hopes that actions can be taken to correct this grave injustice.

  2. jap2 kao kata cgpa budak tu 3.65 pastu 3.75 plak. mana satu la panda ammaaa…

    btw, izmil. jgn buang masa la. pergi habiskan degree kao tu dulu ok.

  3. ibarat kisah ulat, apabila sudah tiba masa menjadi rama-rama, ia akan keluar dari kepompong, itu adalah hukum semulajadi, ketentuan alam, hukum Tuhan, kita tidak mampu merubahnya..begitu juga dengan kisah mahasiswa dan politik, dikekang, dicantas, dihukum, apakah itu menghalang mahasiswa dari berpolitik? mustahil untuk terjadi. mahasiswa yang diperkasakan dengan ilmu dan pengetahuan, mereka hanya menunggu masa untuk bebas dari kepompong kerajaan. perjuangan Mahasiswa dan AUKU adalah perjuangan yang tidak akan selesai dam kita akan mampu merubahnya.

    -biru mata hitamku-

  4. Bagus artikel tu. Tapi lupa lagi nepotisme dan oligarki and POLITIK patronasi. Tuan, anda akan endores tiga di bawah item juga:

    1) Kebebasan dari Apartheid / Fasisme

    2) Kebebasan dari Agama-Persecusi/Agama-Supremasi

    3) Kesetaraan untuk semua etnik dan system agama dalam semua aspek dasar, Hukum dan Perlembagaan.

Comments are closed.