Refleksi mengenai kes UKM 4 di mana empat orang mahasiswa mencabar Akta Universiti dan Kolej Universiti sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan diumumkan esok, Selasa, 28 September 2010.
Setelah selamat kita semua berpuasa dan beraya sakan sampai tak ingat nak balik kampus atau pergi kerja kerana seronoknya beraya; adalah sangat penting untuk kita diingatkan tentang kepayahan mahasiswa dan anak muda.
Sesetengah dari kita mungkin menyimpan sedikit prejudis terhadap golongan muda ini sebagai komuniti perosak dan rendah akhlak. Demikian respon yang aku dapat dari tulisan aku tempoh hari. Banyak yang berpendapat bahawa anak muda dan mahasiswa adalah generasi penjahanam dan generasi buta sejarah.
Aku biarkan komen itu semua supaya yang membaca boleh berfikir dan memberi respon sendiri, agar polemik dan wacana intelek seputar idea itu boleh bercambah dan dinilai dari sudut yang tidak bermain sentimen dan romantisme. Nyatanya ada juga yang mampu melihat isi tulisan itu dari sudut pandang yang cerah dan tidak pekat dalam kebodohan terancang. Tahniah untuk mereka itu.
Namun yang pasti, apa sahaja persepsi masyarakat terhadap mahasiswa dan anak muda, persepsi hanya kekal persepsi jika tiada sebarang statistik dan penghujahan bernas dibawa untuk menyokong dan menegaskan persepsi tersebut. Seandainya mereka ini membuka mata lebih luas, pastinya mereka akan lebih memahami situasi dan tidak akan melabel para mahasiswa dan anak muda durhaka ini sebagai penjahanam dan sebagainya.
Barangkali kerisauan yang mereka punyai ialah kerisauan terhadap keberanian anak-anak muda ini untuk melawan institusi yang mereka percaya sebagai institusi yang maksum dan perlu dipelihara dari sebarang teguran dan pelanggaran. Barangkali mereka juga risau bahawa ide dan faham lapuk yang mereka bawa sudah tidak punya daya tarikan di mata anak muda dan mahasiswa.
Aku memahami kerisauan ini sebagai kerisauan dan ketakutan yang punya asas yang kukuh. Namun begitu, ada masanya mereka ini perlu redha dengan perkembangan ilmu dan intelek anak muda. Lantas menerima hakikat bahawa masa sudah merubah terlalu banyak perkara sehinggakan ide dan sentimen lama itu semua sudah tidak lagi relevan dengan rentak kontemporari.
Jika kita belek kembali sejarah lalu yang tidak ditapis-tapis, kita bakal ketemu sejarah gerakan mahasiswa yang pernah menterbalikkan institusi kerajaan dan memberi laluan kepada demokrasi untuk mekar berbunga dengan perubahan-perubahan pentadbiran yang penting. Mahasiswa sejak dari dulu telah menjadi agen jurubicara rakyat untuk membawa perubahan drastik dalam pentadbiran negara supaya harapan rakyat itu menjadi kenyataan. Malangnya, ide perubahan dan demokrasi tulen itu tidak begitu difahami di Malaysia.
Barang diingat bahawa Malaysia ini bukanlah sebuah negara fasis yang hanya memberi ruang kepada satu regim kerajaan, malah sebenarnya adalah negara yang berdiri atas prinsip-prinsip demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Justeru tidak hairan jika akan ada pihak-pihak yang sanggup membodohkan rakyat tentang akar prinsip demokrasi sehingga rakyat yakin dan percaya bahawa dalam Malaysia ini hanya ada satu kerajaan dan semua pembangkang itu musuh yang perlu diperangi. Ini nyata pendirian yang cuba disemai supaya tidak ada perlawanan ide, dengan harapan untuk kekal berkuasa seratus tahun lagi.
Maka lahirlah gerakan-gerakan mahasiswa puluhan tahun lampau dengan pimpinannya dahulu, kini memegang jawatan-jawatan penting dalam kerajaan dan parti-parti politik. Dari semangat demokrasi itu hadir pelbagai grup anak muda dengan gagasan masing-masing untuk menjana transformasi dan perubahan ke arah Malaysia yang lebih baik. Mana ada manusia berakal yang mahukan perkara buruk-buruk menimpa negaranya. Kalau kau rasa pembangkang itu semua sentiasa mahu menghancurkan negara, kaulah makhluk paling pendek akal atas muka bumi.
Dengan rancaknya arus perubahan dan kesedaran, timbul pula anak-anak muda yang luas pembacaan dan daya fikirnya sehinggakan berani bersuara dan bertanya mempersoalkan dasar dan praktik yang dibawa pihak-pihak yang menerima amanah dari rakyat. Andainya mereka ini bertanya di dalam forum-forum yang mengangkat dan menyokong, maka mereka ini hebat dan perlu dipayung. Jika sebaliknya mereka mempersoal dan mempertikai, maka mereka ini dijadikan musuh dan dilabel perosak, penjahanam dan tidak mengenang budi.
Ini tidak adil sama sekali. Apa gila jika bakal pemimpin negara mahu dibonsaikan mindanya sehingga pola pemikirannya kekal seperti orang tua-tua yang hanya bijak bermain sentimen dan memandang kaum-kaum lain dengan ekor mata. Kepada mereka ini wajar dikatakan “1Malaysia kepala otak kau.” Apa yang berpadu jika soal kesepakatan dan kesefahaman itu masih lagi berbaur prejudis?
Aku sudah lari jauh dari tajuk. Akan patah balek, sekarang. Maaf.
Yang aku mahu perkatakan dalam tulisan kali ini ialah tentang ketakutan pihak-pihak tertentu sehinggakan jika anak muda mahasiswa mahu belajar pun harus dikekang dan dihalang-halang.
Kes UKM4 adalah contoh jelas kecacatan AUKU dalam menjana pemikiran mahasiswa yang kritis selari dengan kehendak dan aspirasi bangsa; di samping menjadi alat dan mekanisme kawalan yang menafikan hak mahasiswa untuk belajar secara hands-on kerana ketakutan awal yang melahirkan provisi yang melanggar aspirasi akademik serta hak asasi pelajar secara berdepan.
Persoalan hak asasi dan kebebasan telah menjadi ketakutan besar kerajaan-kerajaan awal. Tambah merisaukan ialah soal hak otonomi akademik yang ada kalanya melampaui limitasi-limitasi perlembagaan. Pelik sebenarnya jika difikirkan kalau ada limitasi terhadap ilmu. Ada ilmu yang boleh dipelajari, ada pula yang tidak. Ada buku yang boleh dibaca, ada pula yang tidak. Ini yang aku sebut sebagai pembodohan terancang. Pembodohan dalam sistem Orwellian yang perlu digasir sedikit demi sedikit sehingga hilang terus, supaya manusia boleh hidup dengan akal yang murni tanpa kekangan-kekangan tidak perlu, yang sebenarnya cuma wujud di situ untuk menjaga kepentingan pihak-pihak tertentu.
Di dalam kes UKM 4, empat orang mahasiswa jurusan sains politik telah ditahan kerana berada di Hulu Selangor sewaktu berlangsungnya pilihanraya kecil parlimen tersebut. Yang menentang budak-budak berempat ini selalunya adalah pihak yang takut kepentingannya diacah-acah dengan idea kebebasan dan hak untuk belajar tanpa had. Kenapa perlu tunggu sampai sudah graduasi baru mereka ini boleh ke Hulu Selangor? Adakah salah sebenarnya untuk mereka berada di kawasan pilihanraya menurut peruntukan AUKU? Jika begitu, perlukah semua mahasiswa dibawa keluar negara ketika berlangsungnya pilihanraya umum?
Dan di kala mengundi itu, (jika seorang mahasiswa sudah layak mengundi) adakah dia melakukan kesalahan dengan mengundi mana-mana parti politik yang dia simpati? Lagipun mereka ini mahasiswa sains politik. Sangat kelakar jika mahasiswa jurusan ini dibiar duduk dalam kampus tanpa pendedahan tentang politik di lapangan. Macam membiarkan mahasiswa jurusan katering duduk di perpustakaan membaca buku resipi tanpa sekali pun masuk ke dapur.
Sila gelak guling-guling sekarang.
AUKU memang legislasi yang kelakar. Hatta selepas pindaan pun, AUKU tetap kelakar.
Bicara AUKU ini, adalah bicara yang penuh humor. Sejak kelahiran pra-matangnya, AUKU itu sudah diketawakan komuniti akademik sedunia. AUKU secara terang nyata melanggar provisi Perlembagaan Persekutuan secara berdepan. Macam sebuah kereta Kancil meluncur laju ke arah sebuah keretapi, tapi keretapi yang hancur.
Pelanggaran ini salah, dan perlu diperbetulkan. Polisi dan dasar untuk membisukan anak muda yang berilmu itu adalah polisi yang dirangka dalam ketakutan tidak berasas. Mat rempit seusia mereka yang kerjanya menghantar surat, punya lebih hak untuk berpolitik dan membawa bendera beramai-ramai di Hulu Selangor itu; hanya kerana dia tak masuk universiti.
Semacam satu trend sekarang ini, pembodohan jadi budaya arus perdana. Yang cerdik dan belajar dibisukan dan diikat tangan kakinya. Yang tak berapa cerdik, bebas ambil upah angkat bendera dan melaungkan slogan-slogan parti-parti yang punya kuasa. Hancur musnah negara aku dek kerana budaya begini.
Namun meminjam kata-kata seorang teman, yang bodoh itu penting untuk membezakan yang mana yang cerah dan yang mana tidak. Maka perlu pandang positif dari sudut itu. Yin dan Yang kehidupan ini memang komplikated.
Justeru, pada Selasa, 28 September sekitar jam 2 petang, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan membuat keputusan tentang persoalan pelanggaran AUKU terhadap Perlembagaan Persekutuan dan memutuskan samada pihak UKM wajar diberi izin untuk membawa budak-budak berempat ini ke perbicaraan tata tertib dan seterusnya mensabitkan kesalahan mereka yang hanya ke Hulu Selangor untuk menuntut ilmu.
Aku mengimpikan untuk melihat solidariti mahasiswa dan anak muda untuk sama-sama mendoakan mereka dari jauh atau dekat (di lobi Mahkamah Jalan Duta sebagai contoh) supaya hak dan semangat anak muda Malaysia yang mendapat amanat rakyat untuk menuntut ilmu dan memimpin negara satu hari nanti tidak direntap tangan rakus orang tua-tua yang tamak kuasa.
Doakan sekali tukang-tukang komen yang tenggelam dalam gelap pembodohan yang bakal komen tulisan ini. Aku tak salahkan mereka. Mereka hanya mencari makan.
Maka tunjukkan solidariti untuk UKM4; kes landmark AUKU lawan Perlembagaan Persekutuan yang akan menjadi tunjang perdebatan kelas-kelas Consti di fakulti undang-undang segenap kampus.
Jangan Kita Lupa. Mahasiswa negara, pemimpin hari ini juga.
Teruskan perjuangan!!!
Dorang bising2 buat apa..
Dosa sendiri masing2 tanggunglah kan?
"Semacam satu trend sekarang ini, pembodohan jadi budaya arus perdana. Yang cerdik dan belajar dibisukan dan diikat tangan kakinya. Yang tak berapa cerdik, bebas ambil upah angkat bendera dan melaungkan slogan-slogan parti-parti yang punya kuasa. Hancur musnah negara aku dek kerana budaya begini."
Kalau betul-betul cerdik dan belajar, pasti tidak akan dibisukan, meskipun diikat tangan kakinya.
Bagaimana pula dengan parti-parti yang tidak punya kuasa?
Adakah yang diupah mengangkat bendera cerdik-cerdik belaka?
"Doakan sekali tukang-tukang komen yang tenggelam dalam gelap pembodohan yang bakal komen tulisan ini. Aku tak salahkan mereka. Mereka hanya mencari makan."
Ya, doakanlah. Saya juga mendoakan yang terbaik untuk aktivis-aktivis pelajar ini. Harap mereka tidak dimanipulasi dan dipergunakan untuk kepentingan haluan politikus kiri dan kanan. Buatlah perkara yang benar, dan tinggalkanlah/lawanlah perkara yang salah, meskipun benar atau salah itu dipersoalkan. Selamat berpolitik.