Amer Hamzah

Ini adalah artikel kedua Amer Hamzah Arshad (salah seorang LoyarBurok) dalam kolum ‘Paksi Kata’ di akhbar Suara Keadilan yang menyentuh mengenai krisis perlembagaan negeri Perak dan kepentingan perlembagaan di dalam kehidupan seharian. Ianya juga menerangkan mengapa rakyat seharusnya menghadiri pelancaran Fasa 2 Kempen PerlembagaanKu ‘Institusi Perlembagaan & Pemisahan Kuasa’ pada Januari 15, 2010 di Sunway University College, pukul 4 petang.

Pada kali ini kita melihat bagaimana krisis perlembagaan negeri Perak, telah menyedarkan rakyat Malaysia bahawa perlembagaan adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan kita.

Tunjang pemerintahan demokrasi, peranan dan limitasi kuasa institusi Sultan sama ada Tuanku mempunyai kuasa untuk memecat Menteri Besar semuanya adalah isu yang berkaitan dengan perlembagaan dan ia mempunyai kesan terhadap kehidupan seharian kita.

Contohnya hak untuk bersuara, berhimpun atau demonstrasi secara aman, semuanya merupakan sebahagian dari hidup kita. Adalah salah sekiranya rakyat berpendapat mereka tidak perlu tahu mengenai perlembagaan Malaysia dan membiarkan perkara ini kepada ahli politik, peguam ataupun hakim.

Sekiranya rakyat tidak mahu mengambil tahu tentang perlembagaan ataupun terus lupa bahawa ia adalah milik kita maka perlembagaan akan terdedah kepada elemen subversif.

Ini berlaku apabila perlembagaan kita dimanipulasikan untuk kepentingan politik sesetengah pihak. Perkara ini telahpun berlaku dan akan terus berlaku seandainya rakyat Malaysia terus leka dan tidak mahu berfikir dan memahami perlembagaan.

Sekiranya, rakyat berilmu mengenai perlembagaan, mereka tidak akan ditipu. Mereka akan berani untuk menuntut dan menegakkan hak-hak mereka. Bukan sahaja rakyat akan mengetahui apakah hak-hak mereka di bawah perlembagaan. Malah mereka juga akan menyedari bagaimana beberapa perlindungan yang perlu ada di dalam sebuah negara demokrasi telah dihakis oleh golongan tertentu.

Krisis kehakiman dan pindaan perlembagaan pada 1988 menjadi bukti terhadap penghakisan perlindungan yang sepatutnya wujud.

Selanjutnya, sekiranya rakyat hanya memahami perlembagaan dari mulut ahli politik yang ‘racist’ maka mereka akan senang dimanipulasi dan akan terus menggunakan ‘retorik’ ahli politik tersebut sebagai prinsip perlembagaan seolah-olah ianya adalah prinsip yang sebenarnya.

Ini akan menyebabkan pemahaman yang salah dan akan mewujudkan suatu suasana yang palsu terhadap hak rakyat. Contohnya, isu ‘Melayu’ seperti mana yang telah dinyatakan dalam penulisan saya sebelum ini.

Kegagalan rakyat memahami perlembagaan maka hak-hak yang diperuntukan kepada orang Melayu di bawah Perkara 153 Perlembagaan Malaysia umpamanya dimanipulasi oleh golongan ‘oportunis’ .

Kebodohan rakyat yang tidak mahu memahami secara tepat mengenai perlembagaan telah menyebabkan wujudnya golongan yang berterusan mendakwa bahawa mereka adalah ‘tuan’ dan yang lain adalah ‘golongan kelas kedua’.

Keengganan atau kegagalan untuk memahami perlembagaan akan menyebabkan rakyat gagal untuk mempertahankan struktur-struktur asas di dalam perlembagaan yang berfungsi untuk melindungi mereka.

Krisis kehakiman pada 1988 adalah contoh yang nyata di mana rakyat telah gagal untuk mempertahankan ‘doktrin pengasingan kuasa’ yang merupakan salah satu struktur asas perlembagaan Malaysia.

Apa yang penting adalah keperluan rakyat Malaysia memahami perlembagaan bukan sahaja dari segi apa yang tertera di dalamnya tetapi harus memahami susur galur yang telah dilalui oleh perlembagaan kita.

One reply on “KRISIS PERAK BUKA MINDA RAKYAT”

  1. Pegasingan kuasa atau tidak, di Malaysia ternampak hanya satu parti yang berkuasa saja, dan saya amat berniat menukarkan ini dari terjadi lagi.

Comments are closed.