Bangsaku
Janji yang kita meterai lama dahulu
Di kala kita bertungkus membina sebuah negara
Bahu ke bahu
Bersama sebagai saudara
Lupa kita pada janji kita ini?

Bebas daripada rantai perhambaan
Bisa menempa cita-cita
Bisa menentu hala dan tuju
Bisa mencapai impian
Satu bangsa Merdeka

Ah, jauh sungguh dikotakan
Janji bangsaku ini
Tidakkah kita punya impian untuk merai kepelbagaian?
Namun perbezaan dijadikan alasan
Membahagi diri mengikut garis-garis pemisahan
Terpesong dengan tanggapan perbedaan

Bukankah kita sudah diam bersama sekian lama?
Bukankah kita sudah tempuhi begitu banyak dugaan?
Bukankah kita sudah punya suatu identiti tersendiri?
Namun mengapa kita begitu sukar untuk menerima
Bahawasanya kita semua adalah benih-benih pertiwi

Kita pernah berikrar untuk bersatu dan berpadu
Membina sebuah tanahair Merdeka
Di mana minda tidak dikekang prasangka
Dan ilmu itu tidak punya harga
Di mana kebenaran lahir dari perigi kata-kata
Dan tindakan berpandu pada kompas saksama
Di mana buah kejayaan dapat dirasai
Bukan kerana nama atau harta benda
Bukan kerana warna atau agama
Tetapi atas usaha gigih dan daya upaya

Janji bangsa ini
Yang masih belum dikota
Oleh mereka yang berjanji
Bangsaku, bangsa Malaysia

Syahredzan Johan adalah seorang peguam muda dan seorang rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Dia melihat dirinya sebagai seorang pengkritik politik dan pengulas sosial. Tetapi dia sebenarnya...

4 replies on “Janji Bangsaku”

  1. ikrar baru bagi negaraku:

    Kami, warganegara Malaysia,

    berikrar dengan sehati and sejiwa,

    tanpa kira bangsa, bahasa atau agama,

    untuk membina satu masyarakat yang demokratik

    berdasarkan atas keadilan dan kesetaraan

    supaya mencapai kebahagiaan, kemakmuran dan kamajuan negara.

  2. aku hiba juga mengingati perjuangan bersama kawan saya

    yang kini tiada lagi, masa dia sudah tamat,

    tapi janji kita bersama untuk memperjuangkan tanah air kita

    takkan ku lupa, takkan ku tinggalkan,

    janji kita pasti dikotakan,

    perjuangan mesti diteruskan,

    takkan ku putus asa

    sehinggalah negara kita merdeka

  3. Sedihku melihat dan mendengar tangisan tanah airku,

    di mana yang berkuasa berdolak-dalih tidak mencari kebenaran,

    ku hiba tanpa kebebasan, ku merenung, apakah masa depan

    negara tanah tumpahnya darahku

    sekarang, aku EMO mendengar seruan Syah,

    Lepas Sesi Anand Grover,

    Ku mundar-mandir befikir hala tuju saya, serta bangsa

    Malaysia yang ku sayangi

Comments are closed.