Berkicau di alam Twitter

Glosari:

Twitter – perkhidmatan rangkaian sosial dan mikro-blog yang terbaru dan semakin mendapat sambutan. Tweet – catatan atau entri di Twitter. @[username] – nama pengguna yang digunakan di Twitter.

Contoh, @syahredzan adalah nama pengguna saya. @loyarburok adalah nama pengguna LoyarBurok.

Tanggal 1 Oktober 2009 merupakan hari yang bersejarah di dunia siber Malaysia. Pada hari tersebut, pengguna-pengguna perkhidmatan Twitter di Malaysia telah bertutur dalam bahasa Malaysia.

Ia mula diperkenalkan oleh @stephendoss, seorang pengguna Twitter yang kerap memberi ulasan sosio-politik di Malaysia. Melalui Twitter, inisiatif untuk menggunakan bahasa kebangsaan di alam Twitter pada setiap 1 dan 15 haribulan setiap bulan telah merebak dengan cepat. Dalam sekelip mata, begitu ramai pengguna Twitter di Malaysia mendapat tahu tentang inisiatif tersebut dan mula bertutur dalam bahasa kebangsaan. Ia semakin mendapat sambutan apabila ahli-ahli politik seperti @niknazmi, @elizabethwong dan @khairykj juga menyokong daya usaha tersebut.

Twitter merupakan perkhidmatan mikro-blog di mana pengguna membuat catatan dalam 140 huruf atau kurang. Selaras dengan tahap penembusan internet di peringkat kebangsaan, kebanyakan pengguna Twitter di Malaysia merupakan penduduk bandar dari kelas menengah atau atasan. Jumlah pengguna Twitter jauh lebih kecil dari jumlah pengguna perkhidmatan rangkaian sosial yang lain seperti Facebook atau Friendster. Pengguna Twitter yang efektif dan mempunyai banyak pengikut adalah pengguna yang selalu membuat catatan yang menarik. Keupayaan mereka berartikulasi dan memberi ulasan serta pendapat terhadap sesuatu perkara, tidak kiralah samada perkara itu perkara normal seperti makan di sebuah restoran mahupun ulasan tentang berita politik yang mutakhir, bermakna sebahagian besar daripada mereka adalah golongan terpelajar dan cenderung untuk berbahasa Inggeris untuk membuat catatan. Oleh itu, penggunaan bahasa kebangsaan oleh sebahagian pengguna Twitter pada hari tersebut telah menukar wajah alam Twitter di Malaysia.

Antara halangan pertama para pengguna Twitter adalah mencari perkataan bahasa Malaysia untuk perkataan “tweet”. Sebenarnya “tweet” dalam konteks Twitter tidak mempunyai terjemahan, maklumlah ia merupakan perkataan baru. Ada yang memberi cadangan supaya menggunakan perkataan “tuit”, tetapi telah dibangkang kerana ia hanyalah mengambil perkataan Inggeris dan menukarkannya kepada perkataan bahasa Malaysia. Sudah terlalu banyak perkataan sebegitu, walhal terdapat perkataan bahasa Malaysia yang boleh digunapakai. Lihat sahaja perkataan “informasi” (maklumat), “konklusi” (kesimpulan) dan “translasi” (terjemahan).

Kemudian, pengguna Twitter @Arianti telah mencadangkan “kicau”, iaitu terjemahan literal bagi perkataan “tweet” yang merujuk kepada bunyi vokal yang dikeluarkan oleh burung. Penggunaan perkataan “kicau” ini dipersetujui oleh sebahagian besar pengguna Twitter dan sekali lagi ia merebak dengan cepat. Maka satu perkataan lama telah diberikan makna yang baru, tanpa perlu menunggu ia dimasukkan ke dalam Kamus Dewan (walaupun mengikut Kamus Inggeris-Melayu Dewan, terjemahan yang tepat bagi perkataan “tweet” adalah “ciak-ciak, ciap-ciap”).

Usaha menggunakan bahasa kebangsaan ini telah disambut baik oleh pelbagai lapisan pengguna Twitter, tidak mengira bangsa mahupun agama. Ada pengguna yang tidak begitu biasa berbahasa Malaysia, apatah lagi untuk membuat ulasan, tetapi mereka tetap meneruskan usaha mereka dengan semangat untuk menjayakan inisiatif tersebut.

Bukan mudah untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan, selain daripada bahasa pasar yang sering digunakan. Malahan, mereka yang menggunakannya sebagai bahasa utama juga akan terkial-kial untuk bertutur dengan betul. Kita sudah terlalu biasa mencampur-aduk perkataan-perkataan Inggeris dalam perbualan kita, sehinggalah apabila kita harus bercakap dalam bahasa Malaysia, kita terpaksa mencari terjemahan bagi perkataan-perkataan tersebut.

Lihat sahaja perkataan “gentleman” dalam bahasa Inggeris. Pengguna-pengguna Twitter telah berbicara dengan panjang lebar tentang terjemahan yang harus digunakan bagi perkataan tersebut. Perkataan-perkataan seperti “lelaki budiman”, “lelaki pekerti”, “lelaki sopan”, “lelaki mithali” dan “tuan” telah dicadangkan. Malahan, seorang pengguna Twitter telah membuat kekhilafan yang besar dengan membuat terjemahan literal kepada “lelaki (man) lembut (gentle)”. Pengguna malang tersebut tidak lekang diusik oleh pengguna Twitter yang lain.

Bagaimana pula istilah-istilah yang biasa digunakan di alam siber? “Re-tweet” atau “RT” menjadi “Kicau Semula” atau “KS”. “Facebook” ditukar kepada “Buku Muka” (atau istilah yang saya lebih gemari, “Kalam Wajah”). “LOL” (Laugh Out Loud) ditukar kepada “KKK” (Ketawa Kuat Kuat). Istilah “LMAO”? Ianya ditukar kepada “GSPT” (sila cari terjemahan untuk istilah tersebut sendiri, ia diperkenalkan oleh @Aisehman).

Kejayaan inisiatif menggunakan bahasa kebangsaan di alam Twitter pada 1 Oktober 2009 membuktikan bahawa bahasa Malaysia diterima oleh semua rakyat Malaysia, tidak kira samada ia adalah bahasa ibunda atau bahasa utama mereka ataupun tidak. Saya melihat ia sebagai satu proses pendemokrasian bahasa kebangsaan, di mana pengguna-pengguna Twitter mengambil semula bahasa tersebut dari genggaman sesetengah pihak yang mengakui bahawa merekalah “pembela” bahasa Malaysia. Ia adalah peringatan kepada semua bahawa bahasa tersebut adalah kepunyaan semua rakyat Malaysia, tidak terbatas kepada mana-mana bangsa atau kaum. Jika bahasa itu jiwa bangsa, maka bahasa Malaysia adalah jiwa bangsa Malaysia.

Ia juga membuktikan bahawa inisiatif rakyat kadangkala jauh lebih berkesan dari kempen yang dianjurkan oleh kerajaan. Pengguna-pengguna Twitter yang menjayakan usaha tersebut tidak perlu dipaksa untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan. Mereka melakukannya dengan rela hati, walaupun kadangkala sukar. Bak kata @timmysay, ia bagaikan berpuasa bahasa Inggeris; susah dan perit tetapi seronok!

Ayuh, kita berkicau dalam bahasa kebangsaan pada setiap 1 dan 15 haribulan setiap bulan!

Ikutilah LoyarBurok di Twitter.


Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,


Syahredzan Johan adalah seorang peguam muda dan seorang rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Dia melihat dirinya sebagai seorang pengkritik politik dan pengulas sosial. Tetapi dia sebenarnya hanyalah seorang warga Malaysia yang mempunyai terlalu banyak pendapat. Dia adalah seorang yang patriotik, walaupun bukan dengan cara biasa seperti mengibar bendera. Dia percaya Malaysia mempunyai potensi yang hanya dapat direalisasi sekiranya rakyatnya belajar bersatu-padu dan bukannya berpecah-belah. Ikutilah Syah di Refleksi Minda.

Posted on 2 October 2009. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by .

Read this first: LB Terms of Use

2 Responses to Berkicau di alam Twitter

  1. June

    My friend Oliver and I were talking about his ex girlfriend the other day and he went, "She uses Twitter. She tweets all the time. I guess that makes her …a Twit"

  2. satu artikel yang bernas – sila kicau pada hari bulan 1 & 15 sebagai peringatan. saya boleh menjadualkan kicauan tersebut agar ianya terbit di twitter pada tarikh-tarikh tersebut. hantar mesej terus kepada saya jika perlukan sebarang bantuan. sedia membantu dengan hati terbuka. @nileshbabu