Maka kerajaan membuat keputusan untuk memansuhkan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Dasar tersebut, yang dimulakan pada tahun 2003, telah mendapat bantahan dan kritikan dari banyak pihak. Ada pihak yang berpendapat bahawa PPSMI akan menjejaskan status bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Mereka berhujah bahawa PPSMI adalah bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan bahawa bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan. Ada pula pihak yang mengatakan bahawa PPSMI menafikan hak anak-anak mereka untuk belajar dalam bahasa ibunda.

Saya tidak bersetuju dengan pandangan-pandangan ini.

Bagi saya, PPSMI bukanlah suatu “penderhakaan” terhadap bahasa kebangsaan. PPSMI tidak membelakangi Perlembagaan Persekutuan dan tidak menafikan hak sesiapa untuk mempelajari bahasa ibunda. Bahasa Malaysia akan tetap menjadi bahasa kebangsaan yang digunapakai di seluruh negara dan dalam semua urusan rasmi. Bahasa ibunda juga akan tetap dipelihara sebagai hak setiap komuniti di Malaysia.

Saya berpendapat bahawa PPSMI adalah suatu dasar yang baik untuk masa depan anak-anak kita. Oleh itu, saya pada dasarnya menyokong PPSMI.

Namun seperti biasa, dasar yang nampak baik di atas kertas akhirnya terpaksa ditukar oleh sebab implementasi yang lemah.

Saya tidak percaya bahawa keputusan untuk menghentikan PPSMI ini diambil atas dasar politik. Ia bukanlah sesuatu isu yang dijangka akan membuai pola pengundian. Malahan, pungutan suara yang diadakan oleh Merdeka Centre baru-baru ini menunjukkan bahawa sebanyak 58% daripada responden menyokong penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar dalam matapelajaran Sains dan Matematik.

Oleh itu, kita boleh membuat kesimpulan bahawa keputusan untuk memansuhkan PPSMI diambil kerana dasar tersebut telah gagal mencapai matlamatnya. Menteri Pelajaran sendiri telah mengakui bahawa para pelajar tidak menunjukkan peningkatan yang signifikan sejak PPSMI diperkenalkan. Beliau juga telah mendedahkan statistik yang menunjukkan bahawa terdapat penurunan prestasi pelajar dalam matapelajaran berkenaan dan peningkatan jurang di antara pelajar di kawasan bandar dan pelajar luar bandar kerana PPSMI.

Persoalannya adalah, mengapa kita memperkenalkan dasar tersebut sekiranya ia tidak akan mendatangkan kesan yang diinginkan? Adakah kita sudah membuat kajian yang menyeluruh, dari semua aspek, sebelum kita menggunapakai PPSMI?

Saya lihat terdapat dua masalah yang timbul kerana pelaksanaan PPSMI.

Pertama, tenaga pengajar kita tidak mampu untuk mengajar matapelajaran tersebut dalam bahasa Inggeris. Pemantauan yang dijalankan oleh Kementerian Pelajaran menunjukkan bahawa secara purata, penggunaan bahasa Inggeris adalah hanya pada sekitar 53% hingga 58% dari keseluruhan masa mengajar. Guru-guru kita terpaksa menukar medium pengajaran mereka kerana dasar tersebut telah diperkenalkan dengan terlalu drastik. Mereka sendiri terpaksa bersusah-payah untuk berbahasa Inggeris, bagaimanakah mereka dapat memberikan tumpuan untuk mengajar? Kita juga tidak boleh menyalahkan mereka, selama ini mereka telah diajar dan mengajar dalam bahasa Malaysia. Seharusnya kita memastikan bahawa para guru sudah cukup bersedia untuk mengajar dalam medium tersebut sebelum ia diperkenalkan.

Masalah kedua adalah kesukaran yang ditempuhi oleh pelajar luar bandar. Kebanyakkan mereka tidak pernah didedahkan kepada penggunaan bahasa Inggeris. Mereka akan terkial-kial dengan bahasa penghantar yang digunakan, di samping terpaksa berhempas-pulas memahami matapelajaran yang berkenaan.

Oleh itu, PPSMI tidak seharusnya diperkenalkan terus di peringkat sekolah rendah. Sebaliknya, kita harus meningkatkan pembelajaran bahasa Inggeris secara intensif di peringkat ini untuk memastikan bahawa asas bahasa tersebut dapat difahami oleh anak-anak kita. PPSMI hanya diperkenalkan di peringkat sekolah menengah, di mana dengan pendidikan intensif di peringkat rendah, pelajar-pelajar kita akan mempunyai asas yang kukuh dalam bahasa Inggeris dan tidak akan mempunyai masalah untuk diajar dan belajar dalam medium tersebut.

Masalah-masalah ini sebenarnya boleh diatasi sekiranya kita tidak mengambil keputusan yang melulu ketika memperkenalkan PPSMI. Ia dapat dikenalpasti dan diselesaikan sekiranya kita mempunyai pelan jangka panjang dalam pelaksanaan PPSMI.

Kita tidak boleh nafikan bahawa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat Malaysia masih berada di tahap yang rendah. Kita tentunya pernah mendengar rungutan para majikan mengenai graduan kita yang mempunyai keputusan yang cemerlang tetapi tidak mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik. Walhal bahasa Inggeris itu merupakan bahasa perdagangan, bahasa sains dan teknologi dan juga bahasa internet. Penguasaan bahasa Inggeris yang lemah akan menjejaskan peluang kita di dalam dunia yang semakin kecil akibat globalisasi.

Oleh itu, saya percaya kita semua bersetuju bahawa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat haruslah dipertingkatkan. PPSMI berpotensi untuk menjadi dasar yang boleh mencapai matlamat tersebut.

Malangnya, PPSMI kini terpaksa dihentikan. Satu dasar yang sepatutnya membawa banyak faedah akhirnya gagal akibat pelaksanaan yang tidak memuaskan dan perancangan yang tidak menyeluruh. Begitu banyak yang telah kita belanjakan untuk melaksanakan PPSMI kini hanya sia-sia.

Dan yang paling merana akhirnya adalah anak-anak kita, keliru dan dibuai dari satu dasar ke dasar yang lain. Sampai bila kita akan gunakan mereka kita sebagai “tikus-tikus ujian” dalam eksperimen-eksperimen kita?

Syahredzan Johan adalah seorang peguam muda dan seorang rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Dia melihat dirinya sebagai seorang pengkritik politik dan pengulas sosial. Tetapi dia sebenarnya...

9 replies on ““Tikus-tikus ujian” PPSMI”

  1. Bolehkah kita mempelajari nahu Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu menerusi pengajaran subjek Sains dan Matematik. Adakah memadai mempelajari suatu bahasa hanya di sekolah, iaitu suatu pembelajaran terhenti atau tidak berterusan hingga ke tua? Ikuti pandangan YM. Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid di YouTube (klik di sini)
    Yang mana kita perlukan Resolusi Bahasa atau Revolusi Bahasa? Revolusi Bahasa adalah satu ideologi, cadangan dan juga desakan oleh seorang bekas hakim bernama Mokhtar Hj. Mansor menerusi suratnya kepada PM dan menteri-menteri sekitar tahun 1990 yang mendesak supaya pelajaran subjek Sains dan Matematik diajarkan dalam Bahasa Inggeris. Dakwaannya bahawa pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dapat melonjakkan prestasi pelajar dalam kedua-dua subjek ini mula mendapat perhatian umum terutama menteri-menteri menerusi bukunya “Revolusi Bahasa Bahasa Revolusi” (Utusan Malaysia 17 hb Julai 1991).
    Sedikit mengenai pembohongan Mokhtar Hj Mansor, sila layari blog ini : http://mokhtarmansor.blogspot.com/.

  2. Ada sedikit kekhilafan di dalam artikel saya. Ejaan 'kebanyakan' hanya ada satu 'K', bukan dua.

  3. Betul. Saya setuju. PPSMI gagal dlm mencapai objektifnya; drastik dan tidak menyeluruh. Contoh yg terdekat, adik saya sendiri. Sudah darjah lima, matematik tak dapat, sains tak dapat, bahasa inggeris pun x dapat.

  4. Pandapat saudara tak tepat malah menyasar dari sasaran.

    Kenapa orang negara lain boleh maju tanpa belajar matematik dan sains dlm nahasa Inggeris? Kenapa….. kenapa ……..kenapa?

    Kenapa kita di Malaysia ni kena buat mcm Tun Mahathir punya idea?

  5. i strongly & personally agree with the recent decision. it'd be dicided and made long time ago. Infact, the 'experiment' had 'successsfully' widened the gap between the rural & urban pupil/students.

    Nevertheless, we couldnt deny the important of ENGLISH in todays world. Hence, the Ministry -in-charge gotta sit-back,discuz and emplement new and revised theory / practical in our existing english subject in order to strengthen our students fundamentals in english.

    I 'm of the opinion that a module of COMMUNICATION should be included in our English subject.

  6. saya setuju dgn pemansuhan ppsmi kerana byak anak-anak melayu yang tidak dapat menguasai pembelajaran bhsa inggeris.jika dilihat negara Jepun dapat meningkat maju walaupun tidak banyak rakyatnya yang blh berbahasa inggeris.perdana menteri Korea sendiri tidak mahir berbahasa inggeris.knpa perlu kita mengagung-agungkan b.ingeris,sdgkan masih ramai anak-anak melayu tidak mampu menguasai b.melayu.

  7. Pingback: Loyarburok

Comments are closed.