Masam Manis Pemansuhan PPSMI

Originally published at CeritaOrangGilak.

Hari ini merupakan hari yang masam. Semasam bagai nikah tak suka, bak kata orang tua bila aku kena menapak sejauh 1 kilometer ke Mahkamah Jalan Duta akibat jalan-jalan yang ditutup dan banyaknya kenderaan yang mencuri tempat parkir peguam demi menunjukkan sokongan pada Bapa Reformasi Malaysia (ada ke gelaran tu?). Oh ya… harap-harap Tuan Haji Sulaiman cepat sembuh.

Tapi ada juga yang masam-masam manis.

Pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Manis.

Tapi, hanya akan berkuatkuasa pada 2012. Masam.

Bak kata Puan Ainon yang memberi komen pada status Facebook aku, “Semasa hendak melaksanakan PPSMI dulu, tak menyempat-nyempat, hendak memansuhkannya bukan main lama terpaksa menunggu…”.

Bercerita sikit tentang bahasa.

Bahasa jiwa bangsa. Orang berbudi, kita berbahasa. Bahasa molek, orangnya cantik. Jadi kalau tak berbahasa Melayu, tak berjiwa Melayukah kamu? Kalau guna bahasa kasar, hodohkah kamu? Jawapan yang bersifat peribadi-ya.

Soalan seterusnya-penting sangatkah jiwa Melayu? Jawapan yang bersifat peribadi-penting jugalah… kalau nak dilihat dari konteks ketamadunan seni dan budaya tempatan. Dari konteks pemikiran pula, macamana? Yang itu, korang pandai-pandailah jawab sendiri :p

Kemudian ada pula provisi di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa antara ciri-ciri Melayu ialah berbahasa Melayu dan beragama Islam. Maka berhujahlah seorang Professor itu suatu ketika dulu bahawa orang Melayu yang murtad, adalah bukan lagi Melayu.

Maka Tuan Professor, saya dengan rendah diri ingin bertanya, kalau ada kes di mana seorang Melayu itu tidak boleh berbahasa Melayu atau sengaja tidak berbahasa, maka bukan Melayukah dia?

Setahu aku, apabila terdapat kes buang bayi, etnik bayi itu masih dapat dikenalpasti melalui ujian di hospital, kan? Atau, nak paksa bayi tu bercakapkah?

Polemik penggunakan bahasa ibunda, bahasa bangsa atau apa-apa sahajalah ini bukan hanya tercetus di kalangan orang beretnik Melayu, tetapi juga di kalangan etnik lain.

Bagi orang Cina, istilah ‘banana’ atau pisang selalu ditujukan kepada orang Cina yang tidak tahu berbahasa Cina tetapi hanya tahu berbahasa Inggeris atau bahasa Malaysia. Seorang rakan ‘banana’ aku pernah mengaku bahawa beliau hanya akan masuk restoran Cina yang menggaji pekerja Indonesia sebab senang nak ‘order’. Hahaha.

Tapi, semua tu bukan isu sebenar bagi aku. Aku tak ada masa nak layan isu-isu berkenaan puak, kaum, bangsa dan keturunan ni. Sikap perkauman adalah tidak ‘cool’.

Sebenarnya, tidak ada salahnya belajar bahasa Inggeris. Apalagi dengan keadaan sekarang yang mana buku-buku berbahasa Inggeris menguasai pasaran tempatan. Bukan sahaja buku pendidikan sains, malah buku-buku agama pun lebih banyak yang dibahasaInggeriskan daripada yang diArabkan.

Akan tetapi, pada saat ini, perkara yang lebih menyinggung perasaan aku ialah apabila orang mengaitkan bahasa Inggeris itu dengan ‘pandai’, dan bahasa Melayu serta bahasa-bahasa ibunda etnik-etnik lain dengan ‘bodoh’.

Kata saudara Apanama sedikit masa dulu, kalau PPSMI dimansuhkan, orang Melayu pada masa akan datang, akan jadi bodoh. Ye ke?

Mengikut pengalaman aku, yang bersekolah di sekolah separuh swasta (kononnya), budak-budak Melayu yang speaking bagai nak rak tu selalunya (bukan semua) ialah anak-anak orang kaya yang duduk di kelas-kelas corot, dan kebanyakan (bukan semua) budak-budak Melayu yang pandai datangnya dari program Yayasan Selangor atau Felda. Mereka ni berbahasa Melayu je aku tengok. ‘Cool’ je. Dan baik hati. Setakat nak bagi aku tiru jawapan ‘Add Math’ atau formula Kimia yang aku lupa nak hafal tu, bila-bila masa je boleh. Ooops.

Bahasa Inggeris adalah bahasa mantan penjajah atau lebih dikenali sebagai orang putih. Ia digunakan di tanahair kita sejak orang putih masuk ke sini berpuluh-puluh tahun dulu sehingga ia diakui sebagai bahasa rasmi kedua Malaysia. Manakala, bahasa ibunda ialah bahasa pertuturan pertama dan utama sejak lahir. Di negara kita, bahasa ibunda adalah bahasa etnik-etnik yang membina bangsa Malaysia. Salah satu bahasa ibunda utama iaitu bahasa Melayu ialah bahasa rasmi negara. Semua orang wajib tahu bahasa ini sebagai bahasa perantaraan di kalangan rakyat Malaysia.

Aku tak faham kenapa orang yang sama memperkenalkan ‘dasar pandang ke timur’, beria-ia sangat nak mempertahankan bahasa Inggeris atas alasan supaya anak-anak cucu kita jadi pandai. Padahal, penduduk dan orang bijak pandai di negara-negara timur yang maju seperti Jepun dan Korea dan bakal maju seperti China, tidaklah fasih berbahasa Inggeris pun.

Ini semua kerana globalisasi dan ‘networking’lah.

Kata orang, kalau nak dapat kerja yang bagus di syarikat-syarikat multinasional atau badan-badan bertaraf antarabangsa, fasih dalam bahasa Inggeris menjadi kriteria yang utama. Ye-lah, kalau ayam bercakap dengan itik, sampai bila pun kerja takkan selesai, betul tak?

Justeru, belajar bahasa Inggeris hingga fasih adalah sangat digalakkan bagi orang yang mahu pergi jauh dalam bidang masing-masing. Itu, aku tak nafikan.

Tapi.

Adakah wajar sains dan matematik di negara kita diajar dalam bahasa tersebut? Jawapan yang bersifat peribadi-tidak. Ikut logiklah, kalau subjek bahasa Inggeris tu pon tak semua yang lulus, apatah lagi subjek-subjek lain yang diajar dalam bahasa tersebut?

PPSMI bukan sahaja memberi kesan kepada adik-adik dan anak-anak kita, tapi juga kepada guru-guru kita. Sepatutnya, kerajaan perlu berusaha menghasilkan guru-guru yang lebih berkualiti, yang mampu mengajar Sains dan Matematik dengan berkesan dalam apa jua bahasa sekalipun. Lepas tu, barulah implementasikannya terhadap anak-anak murid. Ini tidak. Dibuatnya kedua-duanya serentak. Bagai ketam yang mengajar anak-anaknya berjalan. Ditambah pula dengan wang rakyat yang diguna untuk menukar buku-buku teks. Rugi dan membazir.

Beberapa tahun dulu, aku tersenyum senget bila saudara Apanama kata yang semua orang kena fasih berbahasa Inggeris kerana semua buku-buku ilmiah yang terkini di pasaran adalah di dalam bahasa itu. Kalau nak terjemahkan semua ke bahasa ibunda, tak sempat. Natijahnya nanti, kita hanya akan memperoleh ilmu-ilmu yang ketinggalan beberapa tahun.

Pertama sekali, aku akui kebenaran fakta itu. Tapi permasalahan yang timbul itu, bukannya takde jalan penyelesaian. Gajilah penterjemah. Banyakkanlah para cendekiawan tempatan, bagilah dana supaya mereka boleh menulis dan menerbitkan buku dalam bahasa ibunda. Daripada membazir melabur dalam Perwaj… ooops.

Pada masa yang sama, perkasakanlah pembelajaran bahasa Inggeris di kalangan budak-budak sekolah melalui kaedah pembelajaran yang lebih berkesan bagi subjek bahasa itu. Tak ada salahnya.

Keputusan pemansuhan sudah keluar. Tapi, aku masih sinikal. Isu PPSMI ini belum basi, kerana pemansuhan hanya akan dilaksanakan 3 tahun dari sekarang. Jadi setakat ni, ia hanya masam-masam.

Di portal-portal berita maya, berduyun-duyun wartawan menemuramah saudara Apanama itu bagi mendapatkan reaksi balasnya terhadap keputusan kerajaan yang memansuhkan idea asalnya.

(Kenapa tak ada wartawan yang menemuramah saudara itu bagi isu kepulangan Chin Peng ya? Bukan dia ke yang tandatangan surat kebenaran tu?) Ooops.

Maafkan aku yang merapu. Aku sedang mabuk coklat.


Tags: , , , , , , , ,


Puspawati Rosman ialah seorang loyar. Sebelum itu, beliau mendapat pendidikan hak asasinya di SUARAM. Beliau merupakan salah seorang pengasas Lawyers For Liberty. Beliau juga ialah seorang kolumnis Malaysiakini (edisi BM). Kadang-kadang di Merdekareview.com (edisi BM) dan di beberapa buku komik kelolaan Zunar sebelum ia diharamkan. Buat masa ini, hobi beliau ialah menonton klip video K-Pop. Sila baca rintihan hatinya di belognya, CeritaOrangGilak.

Posted on 9 July 2009. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by .

Read this first: LB Terms of Use

2 Responses to Masam Manis Pemansuhan PPSMI

  1. tsunami unleashed

    yang tak manisnya asyik tukar bahasa. kejap tu, kejap ni. macam advertisement coklat. sekejap ada, kejap takda. apakah benda tu. polici asyik tukar… pemimpin asyik dari parti tuuu aja…

    sepatutnyalah bagi pilihan. sapa nak bahasa tu dia orang belajarlah, nak tu belajar lagi…

  2. abisyazwan

    Kenapa perlu 3 tahun untuk tukar ke sistem asal?

    Adakah sebab nak bagi peluang guru utk "TUNE" semula? Atau

    Ada orang yg hilang untung sebab buku bahasa inggeris dah banyak buat tapi tak dapat jual sebab pemansuahan serta merta? Agaknya ni, Atau

    Nak suruh budak sekolah tu "TUNE" semula?

    Perlu diberi perhatian bahwa ada juga alasan PPSMI ialah sebab adanya perkataan yg tidak ujud dalam bahasa malaysia, jadi kenalah pakai bahasa inggeris.

    Alasan yg bodoh ni. Mcmana Jepun, Korea, China, dll, boleh guna bahasa mereka yg memang takde yg boleh ganti bahsa inggeris sebab dia orang ni tak abjad tapi bentuk.