Kugan dan Kamunting – Lambat, Seperti Biasa

Dulu, pihak polis dan Kerajaan sering menafikan bahawa suspek-suspek yang ditahan dipukul dan didera semasa siasatan. Dulu, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan selalu menjustifikasikan kewujudan Kamunting dan undang-undang ISA dengan kewujudan Guantanamo Bay (GBay) dan undang-undang Patriot Act di Amerika Syarikat (AS). Kedua-dua kedudukan ini sering dicabar oleh NGO-NGO dan Badan Peguam atas dasar fakta-fakta, dan prinsip-prinsip hak-hak asasi manusia.

Berkenaan custodial deaths:

(1) Terdapat banyak kes di mana suspek-suspek telah mengadu bahawa mereka telah diseksa secara fizikal dan mental untuk mengaku salah atau untuk memberi maklumat kepada pihak polis. Ada yang telah mati. Advokasi oleh peguam-peguam seperti P. Uthayakumar dan N. Surendran dan badan-badan seperti Police Watch and Human Rights Committee dan SUARAM telah mengemukakan bahan bukti, dan banyak laporan polis telah dibuat. Tiada tindakan efektif dilihat.

(2) Dua Suruhanjaya Diraja telah ditubuhkan. Saksi-saksi telah dipanggil. Keterangan telah diambil. Laporan-laporan Suruhanjaya telah dikemukakan. Penubuhan IPCMC telah disyorkan. Tiada tindakan efektif dilihat.

(3) Undang-undang reman (di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah) telah dipinda. Bagi kesalahan di mana hukuman penjara adalah kurang dari 14 tahun, Majistret hanya boleh memberikan reman empat hari atas permintaan pertama polis dan tiga hari atas permintaan kedua polis. Bagi kesalahan di mana hukuman penjara adalah lebih dari 14 tahun atau hukuman mati, Majistret hanya boleh memberikan reman tujuh hari atas permintaan pertama dan tujuh hari atas permintaan kedua. Majistret bertanggungjawab memastikan bahawa tempoh reman sebelumnya diambilkira. Amalan perintah reman chain-smoking tidak boleh diteruskan. Suspek mesti diberikan peluang membuat representasi oleh peguamnya atau secara sendiri.

(Kalau laporan media berkenaan kes A. Kugan diteliti, beliau dikatakan telah ditahan reman untuk tempoh dua minggu. Tetapi jika kesalahan yang disyaki adalah kesalahan curi kenderaan di bawah seksyen 379A Kanun Keseksaan di mana hukuman maksimum adalah 7 tahun, bagaimanakah pihak polis boleh mendapatkan perintah reman untuk dua minggu?)

Di bawah seksyen 28A Kanun Acara Jenayah yang baru, suspek mesti diberikan peluang untuk mendapat nasihat peguam secepat mungkin, dan untuk memaklumkan saudara-mara atau kawan-kawan berkenaan reman beliau. Selanjutnya, suspek mempunyai hak untuk tidak membuat sebarang kenyataan kepada pihak polis apabila ditanya soalan semasa siasatan setelah seksyen 113 Kanun Acara Jenayah dimansuhkan.

Namun, masih ada banyak kes di mana polis dan Mahkamah gagal mematuhi spirit undang-undang baru. Oleh kerana ini, kita telah menyaksikan kes-kes seperti A. Kugan (yang telah mati) dan B. Prabakar (yang telah dilecur dengan air panas). Jangan lupa juga kes-kes seksaan terhadap mereka yang ditahan di bawah undang-undang ISA and EO, seperti kes Sanjeev Kumar Krishnan (yang kini dalam kerusi roda dan tidak dapat menggunakan tangan kiri dan kaki) dan Abd Malek Hussin (yang telah dipukul dan menang dalam kesnya terhadap pihak polis di Mahkamah).

(4) Bilakah Kerajaan akan benar-benarnya berpandang serius terhadap isu ini? Kelihatan cara kes A. Kugan kini diuruskan oleh pihak atasan sememangnya terdapat kekeliruaan atau ada pihak yang cuba menyembunyikan sesuatu. Adakah setiap kali kes-kes semacam ini timbul, NGO-NGO, peguam-peguam dan ahli-ahli politik perlu menyuarakan pendapat secara garang dan lantang serta menggunakan saluran media massa? Rakyat sudah bosan dengan seringkali terpaksa mengulangi mesej yang sama kepada pihak polis dan Kerajaan. Ia tidak seronok untuk melihat saudara-saudari rakyat Malaysia masih terseksa, dan tidak riang gembira selalu terpaksa menegur pihak atasan mengambil tindakan yang konstruktif.

Tetapi apa yang perlu dibuat mesti dibuat. Bolehkah kita tukar fikiran pihak polis, Peguam Negara dan Kerajaan? Bolehkan kita tukar sikap pihak polis, Peguam Negara dan Kerajaan? Jika boleh, bagaimana?

Berkenaan penahanan tanpa bicara:

(5) Hari ini (26 Januari 2009), the Star melaporkan di bawah artikel bertajuk Syed Hamid warns deputy ministers seperti berikut:

On a separate matter, Syed Hamid said the American-run Guantanamo Bay prison in Cuba should not be compared to the Kamunting detention camp for Internal Security Act detainees.

Unlike Kamunting, he said Guantanamo Bay was located on an island.

“Detainees in Guantanamo Bay have their legs shackled even when they are out for exercise. It is not a comparison,” he said when asked whether Malaysia would review its preventive detention laws in the light of American President Barack Obama’s decision to close the detention camp.

Syed Hamid added that the closure of Guantanamo Bay was the best thing that could happen, adding that the facility operated under such secrecy that nobody knew what went on inside.

On the fate of the two Malaysian detainees held captive there, he said he was not sure whether they were Malaysian nationals.

Kenyataan oleh Menteri yang pernah dididik dalam undang-undang sungguh memalukan. Dulu, Kerajaan menyifatkan undang-undang ISA sebagai contoh yang telah ditiru oleh AS, dan seperti penahanan tanpa bicara suspek-suspek di GBay, Kamunting adalah tidak berlainan. Sekarang, Presiden AS ingin menutup GBay, dan Menteri menyatakan GBay adalah tidak sama dengan Kamunting. Apakah perbezaannya? Suspek-suspek di bawah ISA (dan juga EO) pernah dipukul, diseksa dan didera, hak-hak mereka untuk perbicaraan terbuka masih dinafikan, tiada kepastiaan bila mereka akan dibenarkan keluar dari tahanan, atas alasan apa mereka ditahan dan/atau dilepaskan tidak jelas dan adalah suatu rahsia, ada yang masih tidak dapat berpeluk dengan isteri dan anak-anak mereka untuk tempoh lebih dari 5 tahun, dan alegasi-alegasi terhadap mereka yang ditahan masih belum dibuktikan. (Oh! Kamunting bukan sebuah pulau, saya lupa.) Tanyalah juga pihak polis bagaimana suspek-suspek ditahan dan diperlakukan semasa 60 hari sebelum dihantar ke Kamunting.

Penahanan tanpa bicara adalah salah. Itu prinsipnya. Samada GBay ditutup atau masih terbuka tidak relevan. Tetapi jika Kerajaan ingin memutar-belitkan isu ini melalui persamaan dengan GBay, ia harus konsisten sampai ke akhirnya, bukan sesuka hati menukar pendapat dan kedudukan. Rakyat pasti keliru.

(6) SUHAKAM telahpun pada tahun 2003 mengesyorkan supaya ISA dimansuhkan. Suruhanjaya Diraja telahpun mengesyorkan supaya ISA dipinda. Mahkamah Tinggi melalui Hakim-Hakim yang bijaksana dan nampaknya bebas dalam kes-kes Raja Petra bin Raja Kamarudin, Abdul Ghani Haroon dan Abd Malek Hussin telah menunjukkan betapa kejamnya dan tidak relevan ISA untuk negara ini. Mengapa Kerajaan masih tidak terburu-buru menutup Kamunting?

(7) Sokongan penuh diberikan kepada kenyataan Perdana Menteri menyeru AS mengembalikan rakyat Malaysia yang ditahan di GBay dan untuk mereka diberikan perbicaraan yang adil. Mudah untuk menyeru kerajaan asing, tetapi dalam taman belakang sendiri di Kamunting, nampaknya Kerajaan buta.

Jangan terlalu lewat meneliti keadaan dan perasaan rakyat yang semakin membara-bara. Peluang masih terbuka.

Soalannya, bilakah peluang ini akan diambil dan oleh siapa?


Tags: , , , , , , ,


Life's a sufferance. Lawyering a bore. As Edmund continues various escape techniques to be rid of Lord Bobo’s influence, he crusades with UndiMsia! movers to build strange youth love movements around the country. And so he tweets @edmundbon and practises the black magic art of advocacy at www.BONadvocates.com

Posted on 26 January 2009. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by .

Read this first: LB Terms of Use

One Response to Kugan dan Kamunting – Lambat, Seperti Biasa

  1. adijaya

    pemimpin jenis ini mementigkan perut buncit dan anak-bini-bini sendiri ajalahh…mana ada masa nak fikir masaalah dan kesusahan rakyat jelata,tak dosa ke pisahkan anak-isteri-suami/perkahwinan yang sah..tak de bukti nak dakwa kat mahkamah ke?nak kata bodoh…taraf pemimpin/menteri lak tu.nasib badan la rakyat malaysia..hidup dlm tamadun mana ni kite!