LoyarBorak-1

LoyarBorak memaparkan diskusi pelbagai isu dalam format bertulis, video, atau audio.

Tidak lama dahulu, dua ahli Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam, Aston Paiva dan Fyrol Ikram Othman telah berdebat melalui e-mel. Debat mereka merangkumi pelbagai isu. Walaupun kedua-dua mereka tidak bersetuju dengan pendapat satu sama yang lain, mereka tetap menghormati pendapat yang diutarakan, mendukung prinsip kebebasan bersuara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini adalah bahagian 1 daripada 6 bahagian. Pembaca dijemput berborak bersama melalui ruang komen di bawah. Jika anda ingin menjadi seorang LoyarBorakker, sila e-mel Marcus di [email protected]

From the Jakarta Globe

Source: Jakarta Globe

Fyrol:

Yang mengancam orang Islam ialah siaran tv dan internet lucah yang berleluasa. Kita lihat hasilnya sekarang.

Aston:

Saya tidak bersetuju dengan saudara Fyrol.

Saya menyokong hak orang untuk menonton video porno dan saya percaya bahawa jika seseorang itu tidak suka kepada apa yang sedang ditayangkan, dia hanya perlu memadamkan peti televisyennya.

Kerajaan mesti memainkan peranan yang teramat kecil di dalam apa-apa isu yang melibatkan moraliti. Ini kerana soalannya adalah “Moraliti berdasarkan piawaian siapa?” (Morality on whose standards?)

Beberapa minggu yang lalu saya telah berjumpa dengan seorang aktivis kesihatan daripada negara Filipina yang memberitahu saya bahawa kondom tidak dapat dijumpai di mana-mana kedai di negara Filipina kerana moraliti Kristian telah diserapkan ke dalam pentadbiran Kerajaan.

Adalah sebab inilah mengapa moraliti agama tidak boleh dijadikan sumber pentadbiran Kerajaan. Jikalau kami tidak boleh secara saintifik atau secara objektifnya menunjukkan bahawa video porno menyebabkan lebih banyak jenayah berlaku, maka tidak terdapat sebarang justifikasi untuk mengharamkan atau melarangnya.

Fyrol:

Saya bercakap dari sudut persoalan tentang perkara yang mengancam orang Islam kini, merujuk kepada tindakan PERKASA yang membantah persembahan drama Kristian di dewan SCC Shah Alam.

Dalam Islam, pornografi ini sesuatu yang haram, samada kerana melihat aurat orang lain atau dari sudut merangsang keinginan seseorang yang kemudiannya menyebabkan seks bebas. Lihat hasilnya: pembuangan bayi berleluasa.

Saya juga tidak setuju jika anda ingin memisahkan agama dari kerajaan.

Jika anda gemar akan pornografi, atas apa tujuan sekalipun termasuk menganggapnya sebagai satu seni atau sains, terpulanglah, tetapi dari sudut seorang Islam, mazhab apa sekalipun ianya sesuatu yang haram dan salah disisi agama.

Aston:

Saya memang tidak mempertikaikan bahawa melihat aurat orang lain dan dengan itu pornografi adalah bertentangan dengan Islam.

Tetapi isunya sekarang saudara Fyrol adalah – adakah satu ‘perkara yang bertentangan dengan Islam‘ harus dijadikan prinsip/undang-undang am, di mana kesemua golongan dan lapisan masyarakat (termasuk yang bukan Islam) harus menurutinya?

Akan terdapat orang yang tidak bersetuju dengan pendirian bahawa menglihat aurat orang lain adalah salah. Akan terdapat juga orang Islam sendiri yang mungkin tidak akan bersetuju.

Perkara seperti ini saudara Fyrol adalah amat subjektif untuk dijadikan prinsip atau undang-undang am.

Saudara telah menyatakan bahawa terdapat satu pertalian di antara pornografi, seks bebas dan buang bayi.

Tetapi saudara tidak mempunyai/menunjukkan apa-apa kajian atau penyelidikan yang menunjukkan bahawa adalah pornografi yang menyebabkan kes buang bayi, maka pernyataan saudara hanyalah merupakan satu anggapan.

Fyrol:

Memang orang bukan Islam tidak perlu menurut apa-apa Hukum Islam apatah lagi apabila Negara ini tidak mengamalkan sepenuhnya hukum Islam. Walau bagaimanapun kita tidak harus menafikan sesuatu yang baik yang diajar oleh Islam, dan kebaikan itu pula sesuai untuk semua. Saya merasakan adalah tidak salah untuk sesuatu yang baik, dari mana-mana agama pun diambil sebagai asas moral.

Saudara Aston perlu ingat, Rukun Negara yang pertama ialah kepercayaan kepada Tuhan. Oleh itu kerajaan ini berhak meletakan agama sebagai asas dalam pentadbirannya.

Namun demikian, saya tidak mengatakan adalah satu kewajipan untuk bukan Islam untuk dipaksakan menurut hukum Islam. Tetapi yang pastinya seseorang Islam pula perlu patuh kepada peraturan Islam seperti mana kita mahu rakyat Malaysia mematuhi Perlembagaan.

Aston:

Oleh kerana itulah Saudara Fyrol, sesuatu prinsip, moraliti ataupun aspek akidah tidak boleh dipetik daripada Al-Quran untuk dijadikan Undang-Undang Am (general law) sebab dengan berbuat demikian akan terdapat, secara nyata ataupun tersirat, pemaksaan undang-undang Islam ke atas orang bukan Islam.

Itu jelas bertentangan dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang turut menyatakan bahawa agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

Mengenai isu moraliti agama saya tidak setuju. Apa-apa undang-undang yang digubal haruslah berdasarkan kajian dan penyelidikan yang sepenuhnya mengenai sesuatu masalah yang ingin ditangani. Undang-undang mesti berdasarkan fakta-fakta dan keterangan-keterangan (facts and evidence) yang diperolehi daripada hasil penyelidikan dan kajian tersebut.

Kita tidak boleh semata-mata membuka satu teks agama dan memetik undang-undang agama sebagai asas untuk menyelesaikan masalah yang dialami oleh masyarakat pada zaman ini.

Pemikiran manusia serta suara hati (conscience) manusia telah berubah dengan banyaknya sejak zaman Nabi-Nabi dahulu kala dan kita perlu menganalisi masalah-masalah yang dihadapi oleh manusia sekarang berdasarkan pemahaman dan ilmu kami pada masa kini.

Mengenai Rukun Negara, prinsip pertama tidak memestikan siapa-siapa untuk percaya kepada Tuhan. Rukun Negara itu bukannya satu undang-undang. Kemoralan itu, saudara Fyrol, tidak semestinya datang dari agama. Kemoralan itu boleh datang dari suara hati seseorang itu. Sebenarnya, saya percaya tanpa suara hati seseorang individu, Agama tidak akan wujud.

Apabila kami membaca sejarah, kami akan mendapati bahawa terdapat banyak orang yang tidak percaya kepada Tuhan tetapi telah memberikan banyak kebaikan dan ilmu kepada masyarakat; Bertrand Russell, Francis Crick, Stephen Fry, Jawaharlal Nehru dan Tariq Ali antara lain.

Aston suka berbasikal, bermain dengan mancis dan memakan rojak. Kadang-kadang dia suka membuat ketiga-tiga aktiviti tersebut pada masa yang sama.

Fyrol adalah seorang anak muda yang suka mengkritik mengenai politik dan sosial. Meletakan Islam dan keadilan sebagai keutamaan. Berusaha kearah politik tanpa perkauman, namun tidak akan membiarkan bangsa dan agamanya dihina. Bercita-cita untuk untuk memastikan Islam sebagai ad-deen dan bahasa Melayu mekar dan megah digunakan oleh semua rakyat Malaysia. Pandangannya tentang politik dan sosial boleh dilihat di http://penakiri.blogspot.com namun kini lebih rajin berfesbuk. Masih mempunya tiga kuata kekesongan, ayah kepada sepasang cahaya mata ini sebenarnya tidak menang tangan dengan kerja sukarelawan dan tanggung jawab hakiki mencari rezeki lebih-lebih lagi sejak Rosmah meminpin negara.

Rencana di atas merupakan pandangan peribadi penulis-penulis yang juga merupakan ahli Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan, Majlis Peguam Malaysia yang pada masa ini sedang menganjurkan Kempen PerlembagaanKu. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kempen ini, ikuti kami di laman web ini.

Ini adalah bahagian 1 daripada 6 bahagian LoyarBorak #3. Ikuti bahagian-bahagian berikutnya setiap Isnin & Khamis di blawg ini.

5 replies on “LoyarBorak #3 (Bhg. 1) — Perlembagaan: Pornografi, Moraliti & Undang-Undang”

  1. Berat dan berat.

    Mengikut Aston, tidak ada larangan kepada hak individu, tapi jika ia berleluasa mampu merosakan minda orang lain, termasuk kanak-kanak. Bagaimana?

    Bayangkan kanak-kanak tengok cerita lucah kerana tiada kawalan.

    Kajian dan agama. Buatlah kajian. Adakah larangan agama itu membawa kepada keburukan? Tapi rasanya masih menjurus ke arah yang positif. Katakan kita buang identiti agama tersebut. Masih lagi positif apabila kita mulakan pengawalan.

    Contoh kes:

    Anda buat pesta seks terbuka kerana anda mahukan hak anda. Tapi lihat kesan lain pula. Apa pandangan orang lain. Adakah ini menjadi ikutan kerana tiada larangan? Jangan sekat kerana ikut undang2 islam? Adakah ini bermoral? Adakah kita perlu buat kajian 10 tahun baru nak sekat kegiatan ini? Adakah kita mahu tunjuk bahawa sekatan sejenis ini unconstitutional?

    Yang pentingnya ialah moral, tetapi dimanakah letaknya moral apabila manusia tiada dibawah kawalan undang-undang.

    Logik apabila perlu kajian, tetapi rasanya buat apa nak kaji jika dah tentu "sudah terang lagikan bersuluh" jika aktiviti itu tidak bermoral?

    Lagi contoh.

    Katakan ada satu orang ini hendak jadi GAY. Maka dia jadilah seorang GAY. Tapi senyap2 sahaja lah. Jika dia nak jadi gay kita tak boleh larang. Tiada masalah.

    Atas hak asasi manusia, dia tubuhkan persatuan GAY pula, katanya kita patut menegakkan hak orang2 GAY. Gay dibenarkan itu, dan ini dan sebagainya.

    Dari segi Aston, dia patut menyokong dan Fyrol akan menolaknya.

    Kita berada di mana, patut atau tidak patut menyokong hal ini?

  2. Saya tak sabar nak baca bahagian LoyarBorak seterusnya – ingin membaca bagaimana saudara Fyrol mempertahankan pernyataan beliau.

  3. Rukun Negara yang pertama ialah kepercayaan kepada Tuhan.

    Oleh itu kerajaan ini berhak meletakan agama sebagai asas dalam pentadbirannya.

    ==============================

    LOL. That is such a pathetic and unconstitutionalargument!!

    Are you for real ah?

Comments are closed.