1. Bagaimana kita bermula? Kajian asas telah dijalankan untuk mengukur pengetahuan, sikap dan amalan komuniti orang asli di daerah Hulu Langat, penglibatan mereka dengan wakil rakyat dan pengetahuan mereka mengenai hak asasi manusia.
2. Hasil dari kajian tersebut, selain tanah, masalah lain yang dikongsi oleh orang asli di Hulu Langat ialah pendidikan, rumah, air dan pekerjaan. UndiMsiaChats – OA & 1 menerangkan hasil kajian tersebut kepada sukarelawan.
3. Latihan mengenai Deklarasi Hak Orang Asal Antarabangsa (UNDRIP) diadakan bersama pegawai dan wakil rakyat, sukarelawan dan NGO; dan orang asli sendiri. Ianya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mereka mengenai hak-hak orang asli di bawah UNDRIP.
4. Satu gameshop #IdolaDemokrasi telah diadakan di kampung orang asli, Kampung Genting Peres dan Kampung Sungai Gabai yang bertujuan untuk mendidik dan membantu komuniti orang asli memahami dan mengupas masalah setempat sebelum ianya dapat diselesaikan.
5. YB Turun padang! - Satu program di mana rakyat dan wakil rakyat duduk bersama bagi membincangkan masalah setempat dan mencari jalan penyelesaian dengan bantuan wakil yang dipilih.
6. Adopt-the-street merupakan satu projek pembaikan ameniti di mana masyarakat telah memilih padang bola untuk belia dan masyarakat setempat beriadah dan menjalankan upacara kemasyarakatan. Projek ini dijayakan hasil dari perbincangan semasa program YB turun padang! Perlancarannya telah diadakan pada 15 Mac 2014.
7. Pada masa yang sama kami bekerjasama dengan organisasi lain bagi menjayakan projek kami untuk ‘Memperkasakan Belia Orang Asli’. Antaranya BBTOAS atau Badan Bertindak Tanah Orang Asli Selangor, dimana satu program pemetaan komuniti telah dijalankan di Kampung Genting Peres yang merupakan kampung orang asli pertama di daerah Hulu Langat yang menjalankannya.
8. Suhakam turut membantu dan memberi kesedaran dan penerangan mengenai kepentingan pendidikan dan kemudahan-kemudahan yang disediakan kepada orang asli.
9. Infografik dan infovideo yang telah dihasilkan memberi impak dan membantu dalam menyampaikan penerangan kepada orang asli. Ianya dihasilkan melalui konsultasi dengan orang asli dan organisasi bukan kerajaan yang lain.
10. Masa depan – Kesinambungan. Rumput, pendidikan pra-sekolah, program celik huruf untuk dewasa, perpustakaan bergerak, kesedaran umum melalui media…
Pada 20 April 2014, satu mesyuarat akhir projek “UndiMsia! Memperkasakan Pemuda Orang Asli” telah diadakan di pejabat ADUN Dusun Tua, YB Razaly Hassan bersama organisasi-organisasi bukan kerajaan yang telah menjayakan projek ini bersama kami. Malangnya wakil dari orang asli yang terlibat tidak dapat hadir. Mesyuarat bertujuan untuk menilai aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan, kesannya dan rancangan masa hadapan.
Blog gambar ini ditulis oleh Mazni Ibrahim, Project Officer, Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights