Apakah Yang Boleh Pemimpin Kita Belajar Daripada Yuna dan Shila Amzah?

Tramizi Hussin ada cadangan tokoh-tokoh yang patut dicontohi para pemimpin Malaysia.

Meletakkan gabungan perkataan ‘pemimpin’ dengan Yuna dan Shila Amzah dalam satu tajuk artikel sebenarnya boleh mengundang gelak sinis ramai. Ditambah pula dengan seruan agar pemimpin kita belajar daripada dua orang penyanyi perempuan bertudung mungkin menyebabkan artikel ini tidak dipandang serius. Tetapi dalam keadaan semasa yang panas dan hangat, sekurang-kurangnya ia meredakan kemarahan terhadap pelbagai tindakan bodoh tidak masuk akal yang dilakukan oleh orang yang bertakhta di kerusi politik negara.

Persoalan pertama yang perlu dijawab sebelum artikel ini ditulis panjang ialah apakah istimewanya kedua penyanyi ini sehingga pemimpin kita boleh belajar daripada mereka? Bagi yang tidak mengenali Yuna dan Shila Amzah, eloklah anda luangkan masa menonton video-video mereka di YouTube. Anda boleh juga membaca perjalanan kareer kedua penyanyi ini yang sudah mula menerobos masuk ke dalam dua pasaran besar dunia: Amerika Syarikat dan China.

Yuna mencipta nama di Malaysia dengan merakam dan menjual album sendiri sebelum mendapat tempat dalam industri hiburan tempatan. Tidak puas dengan itu, dia mengorak langkah menembusi pasaran Amerika Syarikat. Iya, musiknya semakin berubah, dikatakan lebih ‘pop’ dan sudah tidak nampak original. Peminat tegar industri musik indie menyifatkan dia sudah ‘sell-out’, mengubah musiknya sehingga hilang identiti. Tetapi yang mengemukakan tuduhan itu masih lagi menyanyi di gig dan acara kecil, dan Yuna sudah berada di Amerika Syarikat, dinobatkan sebagai antara artis yang bakal mengegarkan industri musik sana pada tahun 2014.

http://www.youtube.com/watch?v=AtgmlH0fllU

Apa yang pemimpin kita boleh belajar dari Yuna?

Mereka boleh belajar yang tindakan dan langkah baru pastinya mendapat tentangan. Mereka boleh belajar keluar daripada isu dan kerangka perjuangan yang lama ke dalam satu daerah baru boleh dan perlu untuk dilakukan. Mereka boleh belajar yang matlamat tidak boleh diperbaharui kalau konteksnya masih sama. Mereka boleh belajar yang isu-isu lapuk perkauman, agama, perpaduan, korupsi ketirisan, semuanya sudah perlu dihentikan untuk bergerak pantas dalam proses pembangunan. Mereka boleh belajar daripada Yuna bahawa sebuah tindakan mungkin tidak popular tetapi ianya perlu dilakukan. Mereka boleh belajar yang kita perlu ada ‘telor’ untuk mengubah hidup secara total, untuk menjadi lebih baik.

Shila Amzah mencipta nama di China apabila memenangi pertandingan nyanyian realiti Asian Wave, menewaskan peserta-peserta daripada seluruh Asia dan China. Dalam pertandingan itu, dia menyanyikan lagu Melayu, Mandarin dan Inggeris. Dia meraikan kepelbagaian latar belakangnya, tidak malu untuk terus tetap dengan tradisi kepercayaan, tetapi juga tidak takut untuk mengadaptasi dengan persekitaran, s ehingga dia menyanyikan lagu tema Chinese Idol sebuah pertandingan realiti terbesar di China. Lagu ‘Zheng Fu’ dendangannya telah mengubah landskap industri musik China untuk menerima seorang wanita Islam bertudung kerana bakat besarnya.

Apa yang pemimpin kita boleh belajar dari Shila Hamzah?

Pemimpin kita boleh belajar yang kepelbagaian budaya tidak pernah menafikan wujudnya sebuah keperluan umum. Shila Amzah menonjolkan kepelbagaian untuk satu tujuan — untuk menghiburkan. Pemimpin kita boleh belajar bahawa tidak salah untuk menjadi sebuah Malaysia tanpa merujuk kepada budaya dominasi kaum tertentu. Pemimpin kita boleh belajar yang mana-mana agama dan kaum tidak boleh menjadi statik dan keras, tanpa mahu berubah kepada desakan semasa. Pemimpin kita boleh belajar bahawa tidak ada salahnya mengenali dan menghormati budaya lain. Pemimpin kita boleh belajar yang usaha untuk menawan hati bukannya milik mutlak menawan dan memuaskan nafsu kelompok tertentu. Pemimpin kita boleh belajar yang meraikan ialah untuk menerima seadanya, bukannya hendak mengubah gaya hidup orang lain. Pemimpin kita boleh belajar yang berbuat baik dengan orang lain ialah soal kemanusiaan, bukannya untuk menarik undi semata. Pemimpin kita boleh belajar bahawa matlamat memimpin ialah untuk menghapuskan kesemua perbezaan dalam negara, dengan syarat keperluan negara tidak bersandarkan acuan kepentingan pihak tertentu, tetapi untuk manfaat rakyat (definisi ‘rakyat’ ialah individu yang tinggal dalam negara, bukannya merujuk kepada kaum majoriti dan minoriti). Pemimpin kita boleh belajar bahawa merit suatu tindakan lebih penting daripada segalanya. Pemimpin kita boleh belajar yang identiti kaum, agama, budaya atau ideologi politik tidak boleh menjadi halangan dalam mengiktiraf kemampuan seseorang.

Yuna dan Shila Amzah mungkin bukan nama yang boleh diterima oleh anda yang membaca sebagai contoh terbaik. Tidak mengapa — semua orang ada pilihan masing-masing. Kerana matlamat utama artikel ini bukanlah untuk menjulang Yuna dan Shila, tetapi sekadar satu pemerhatian rawak bahawa pemimpin kita boleh belajar daripada rakyat biasa. Mereka boleh belajar daripada Yuna atau Shila Amzah atau Datuk Lee Chong Wei atau Tan Sri Tony Fernandes atau Mak Milah nasi lemak atau Macha Raju tukang potong rambut atau Lee tauke snooker. Atau sesiapa sahaja yang anda fikirkan pemimpin kita boleh contohi

Pemimpin kita perlu berhenti belajar daripada sesama sendiri. Kerajaan Barisan Nasional perlu berhenti belajar daripada Pakatan Rakyat; begitu juga sebaliknya. Mereka perlu belajar untuk berhenti bertanding siapa yang lebih elok membuat kerja, kerana kedua-dua sumbang tindaknya. Mereka perlu belajar daripada rakyat yang mengikat perut sebab kenaikkan harga, supaya berjimat cermat dengan tidak beli kereta baru atau menaikkan gaji elaun atau menaikkan semua harga barang dan perkhidmatan dalam masa terdekat. Mereka perlu belajar yang kalau satu pihak bagi bola tanggung, pihak satu lagi tidak perlu menyambutnya. Mereka perlu belajar yang kedua-dua pihak asyik memberikan jawapan yang sama tetapi berlainan konteks, semata-mata demi agenda politik sendiri. Mereka perlu belajar yang rakyat memberikan perhatian kepada mereka bukan atas dasar siapa yang lebih bagus antara keduanya, tetapi siapa yang kurang buruk antara keduanya. Dan penilaian ‘kurang buruk’ ini bukanlah indikator terbaik untuk menjadi pemimpin.

Kepimpinan melalui tauladan. Mungkin sudah masanya bukan pemimpin yang perlu kita contohi, tetapi rakyat yang perlu dicontohi pemimpin.

Maka apa yang pemimpin kita boleh belajar daripada anda, selaku rakyat marhaen?

 

Imej paparan dari Oh Bulan


Tags: , , , , , , ,


Seorang manusia dan rakyat yang selalu berfikir bukan-bukan dan kadang-kadang menulis bila dah tepu kepalanya.

Posted on 10 January 2014. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by .

Read this first: LB Terms of Use