Adakah ketenteraman awam tergadai sekiranya himpunan rakyat secara besar-besaran dibenarkan? Vince Tan mengulas isu ini berpandukan prinsip Rukun Negara.
Hak untuk berhimpun adalah hak setiap warganegara Malaysia mengikut Artikel 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan. Hak tersebut membuka ruang untuk seorang warganegara berhimpun secara aman, tanpa senjata. Hak berhimpun diiktiraf dalam undang-undang antarabangsa seperti Artikel 20(1) Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan Artikel 21 Waad Antarabangsa Mengenai Hak Awam dan Politik (ICCPR).
Dalam sebuah masyarakat sivil yang demokratik, adalah amat penting untuk suara rakyat disampaikan ke peringkat keputusan tertinggi negara ini. Rakyat perlu melibatkan diri dalam pelaksanaan keputusan negara, sama ada secara langsung atau tidak, dan salah satu caranya adalah dengan meluahkan pendapat masing-masing melalui perhimpunan aman, serta bantahan ataupun cadangan. Melalui demonstrasi dan perhimpunan rakyat, warga Malaysia dapat melalui satu proses luah perasaan untuk melepaskan rasa tidak puas hati terhadap keputusan-keputusan kerajaan yang mewakili kuasa terbesar negara. Disebabkan kuasa yang bagaikan mutlak di dalam tangan kerajaan, maka amat mudah untuk pihak kerajaan melanggar hak asasi seorang individu ketika menjalankan urus tadbir negara. Himpunan rakyat adalah penting bagi rakyat memastikan kerajaan boleh bertindak muhasabah dan melakukan penambahbaikan dalam pentadbiran mereka setelah mendapat maklumbalas dalam bentuk bantahan awam sebegini.
Himpunan rakyat wujud sebagai satu landasan untuk pandangan rakyat didengari, sama ada oleh pihak kerajaan mahupun di peringkat antarabangsa. Pandangan ini bukan sahaja mewakili suara bilangan peserta di perhimpunan tersebut, tetapi juga harapan mereka untuk melihat kehidupan yang lebih baik melalui desakan kepada pihak tertentu untuk mengambil tindakan. Ia juga boleh dilihat sebagai suatu kaedah ‘civil disobedience’, dimana desakan dibuat terhadap pihak kerajaan supaya tuntutan rakyat dipenuhi. Di dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, suara rakyat adalah amat penting, maka sebuah demokrasi tidak akan sempurna tanpa protes ataupun perhimpunan rakyat, yang keduanya merupakan elemen penting dalam pembinaan masyarakat sivil yang berasaskan Kedaulatan Undang-Undang dan menghormati Keluhuran Perlembagaan.
Walaubagaimanapun, tiada hak yang mutlak yang wujud di dunia ini, dan kawalan perlulah dilaksanakan untuk mengekalkan keamanan dan ketenteraman awam. Artikel 10(2)(b) memberi kuasa kepada Parlimen untuk membuat undang-undang mengekang kebebasan berhimpun atas alasan keselamatan negara dan ketenteraman awam. Di Malaysia, kita melihat Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai undang-undang utama yang mengawal perhimpunan aman di negara ini. Kekangan tersebut haruslah munasabah dan tidak menyekat kebebasan seseorang individu sehingga haknya tidak dapat dipraktikkan langsung. Jikalau kita mengkaji Akta Perhimpunan Aman tersebut, timbul juga beberapa seksyen yang tidak munasabah. Protes jalanan ditetapkan sebagai haram, dan protes jalanan diberi maksud perjumpaan di sesuatu tempat yang bergerak ke sesuatu tempat dalam kumpulan yang besar untuk tujuan tertentu. Individu berumur kurang daripada 21 tahun tidak dibenarkan berhimpun, dan ini bercanggahan dengan Artikel 15 Konvesyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, di mana kanak-kanak juga ada hak untuk berhimpun. Notis 10 hari tentang perhimpunan juga perlu diberi kepada pihak polis untuk himpunan di tempat yang bukan disediakan untuk himpunan. Pelanggaran syarat boleh menyebabkan penganjur didenda. Notis tersebut bukanlah untuk meminta kebenaran dari pihak polis untuk berhimpun, tapi tujuannya adalah untuk memberitahu polis untuk mengawal traffik demi memastikan perhimpunan tersebut berjalan dengan lancar.
Pihak kerajaan haruslah menghormati Kedaulatan Undang-Undang serta Keluhuran Perlembagaan, seperti mana yang terkandung dalam Rukun Negara, dan tidak menggubal undang-undang yang tidak berasaskan semangat kedaulatan undang-undang.
Contoh terbaik sebuah perhimpunan rakyat yang aman adalah Himpunan Kebangkitan Rakyat KL112 yang telah berlangsung di Stadium Merdeka awal tahun ini. Dengan ketiadaan Pasukan Simpanan Persekutuan atau Federal Reserve Unit kelihatan semasa perhimpunan tersebut, segala aktiviti yang dijalankan dapat berjalan dengan lancar. Pertama kali dalam sejarah negara kita perhimpunan sebesar ini diadakan yang dihadiri oleh rakyat dari seluruh negara. Pihak polis juga tidak menggunakan kekerasan semasa menjalankan tugasnya, berbanding dengan yang telah dilakukan pada BERSIH 2.0 dan BERSIH 3.0. Ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia sudah bersedia untuk demokrasi yang lebih telus.
Dengan ini, saya ingin menekankan bahawa himpunan rakyat tidak akan mengugat keamanan negara sekiranya semua pihak memberikan kerjasama. Pihak polis perlu menjaga ketenteraman awam supaya pihak yang ingin menimbulkan huru-hara dihalang dari berbuat demikian. Penganjur pula perlu memastikan perjalanan aktiviti sepanjang perhimpunan berjalan dengan lancar dan peserta mematuhi arahan pihak penganjur dan pihak polis, serta berkelakuan baik semasa perhimpunan tersebut. Hak untuk berhimpun secara aman perlulah disanjungi dan dihormati oleh semua pihak, termasuklah pihak kerajaan.
Imej hiasan oleh MSN Malaysia.