Dakwat kekal 1Malaysia | Sumber imej: PAS Selangor (Facebook)

Dr Zulqarnain bin Lukman membincangkan kronologi isu dakwat kekal dalam PRU13.

Pada 30hb April 2013, suatu sejarah baru telah tercipta di dalam negara Malaysia. Itulah julung kalinya dakwat kekal digunakan dalam suatu pengundian pilihan raya.

Per. 19(4) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 (PPP) menyatakan bahawa “…ketua tempat mengundi atau mana-mana orang yang bertindak di bawah kuasanya hendaklah membuat suatu tanda pada jari telunjuk kiri pengundi itu dengan menggunakan dakwat kekal….”

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selaku Pengerusi SPR telah banyak kali memberikan jaminan bahawa dakwat ini akan tahan sehingga tujuh hari, iaitu sehingga 5 Mei 2013. Tujuan dakwat kekal ini digunakan adalah untuk mengelakkan kebarangkalian para pengundi mengundi dua kali. Ini kerana sudah menjadi rahsia yang diketahui umum, bahawa berlaku banyak penindihan nama dalam daftar pemilih dan berlaku penyamaran di mana ada pihak yang keluar mengundi bagi pihak orang lain.

Pengerusi SPR bersama dakwat 'kekal' | Sumber imej: www.mykmu.net

 

Namun, harapan rakyat untuk melihat ketelusan SPR dalam penggunaan dakwat kekal ini akhirnya berkecai. Menurut laporan yang diberikan oleh saksi yang berwibawa, dakwat kekal ini hanya tahan 30 minit sahaja dan sangat mudah ditanggalkan. Laporan daripada petugas di Shah Alam menyatakan dakwat itu boleh ditanggalkan hanya dengan gosokan tisu. Ada yang memberitahu bahawa dengan tiga kali basuhan semua dakwat ‘kekal’ itu hilang sepenuhnya. Setelah itu, seorang suri rumah yang merupakan isteri kepada seorang pegawai polis telah membuat laporan polis berkaitan dakwat yang tidak kekal ini. Di Pulau Pinang, seorang mejar askar turut membuat laporan polis yang sama. Calon-calon Parti Keadilan Rakyat, Nurul Izzah dan Tian Chua juga telah membuat laporan polis yang sama.

Dalam kenyataan awal pada tengahari kejadian tersebut,  Pengerusi SPR telah menafikan perkara ini dan tetap menyatakan bahawa dakwat tersebut adalah dakwat kekal. Setelah tersebar meluas di media sosial gambar-gambar serta klip video yang menunjukkan bukti bahawa dakwat itu tidak kekal, maka SPR akhirnya mengakui dalam kenyataan yang berikutnya bahawa kejadian itu berlaku tetapi tidak secara meluas. Kemudian, diberikan pula alasan bahawa  dakwat itu hilang tetapi tidak hilang sepenuhnya. Setelah itu, diberi pula alasan bahawa dakwat itu masih boleh dilihat dengan kanta pembesar. Akhir sekali, Setiausaha SPR pula menyalahkan kerani SPR kerana gagal menggoncang botol dakwat menyebabkan ianya tidak sebati dan tidak kekal. Dinyatakan pula bahawa botol itu mesti digoncang setiap dua jam.

SPR boleh memberi pelbagai alasan tetapi janganlah alasan itu menghina akal dan intelek pengundi. Projek pembodohanrakyat oleh SPR ini nyata menaikkan amarah pengundi. Alasan demi alasan diberikan SPR tetapi pengundi semakin jelas bahawa SPR telah memberikan jawapan yang tidak konsisten.

Kemungkinan juga SPR telah ditipu dan disabotaj oleh pembekal dakwat. Siapa sebenarnya pembekal dakwat? Berapakah untung projek membekal dakwat ini? Siapakah pihak yang mendapat untung?

Dakwat kekal 1Malaysia | Sumber imej: PAS Selangor (Facebook)

Sebelum berlaku peristiwa yang memalukan ini, sudah ada desakan supaya SPR membuat demonstrasi calit dakwat, tetapi SPR dengan angkuhnya menyatakan bahawa hanya tiga orang sahaja yang tahu warna dakwat tersebut.

Sebenarnya, inilah kesilapan terbesar SPR dan pasukan guaman yang mendrafkan peraturan ini. Per. 19(4) PPP langsung tidak memperincikan takrifan ‘kekal’ dan tiada pula digazetkan spesifikasi  dakwat kekal ini. Sepatutnya spesikasi dakwat kekal ini digazetkan jika benar SPR jujur dan telus. Kami semua tertanya-tanya, berapa lamakah dakwat kekal ini boleh tahan? Apakah kandungan di dalamnya? SPR mendakwa ianya terdiri daripada silver nitrate yang akan meresap ke dalam kuku dan kulit tetapi nyata ianya omongan kosong Pengerusi dan Setiausaha SPR. Para pengundi masih ingat janji yang tidak ditepati Pengerusi SPR sebelum ini, Tan Sri Abdul Rashid Abd  Rahman sewaktu pilihan raya 2008, dimana beliau mengatakan dakwat kekal telah dibeli tetapi di saat akhir telah membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal tersebut.

Daripada rentetan kronologi peristiwa yang berlaku, dapat disimpulkan bahawa SPR tidak serius dalam isu penggunaan dakwat kekal ini. Peguam Negara gagal menasihati SPR dalam mendrafkan peraturan yang telus dan berkesan. SPR sendiri gagal melatih kakitangan dan kerani mereka untuk membuat goncangan ‘ala Gangnam Style’ ke atas botol dakwat, dan yang penting sekali, para pengundi sudahpun jelas sikap sebenar SPR ini. Integriti SPR sudah hilang sepenuhnya dan pengundi nampaknya tidak lagi boleh berharap kepada ketelusan SPR, kerana SPR sudah jadi bahan lelucon untuk PRU 13 ini.

Justeru, para pengundi sekalian, ini kali lah! Ubah untuk harapan masa hadapan!

 

An ordinary lawyer who aspires to be an extraordinary lawyer in new democratic Malaysia