Loyar terkemuka Syahredzan Johan kembali dengan edisi istimewa Mythbusters bersempena #PRU13

Saya terpanggil menjadi mythbuster selepas melihat kisah dongeng dan mitos yang dijaja sempena PRU13. Saya memang tidak boleh duduk diam apabila melihat kebatilan di depan mata yang dicanangkan sebagai kebenaran.

Mitos 1:

“Malaysia akan menjadi negara Kristian sekiranya parti A berkuasa”

Fakta:

Malaysia adalah negara berpelembagaan. Maknanya, Perlembagaan Persekutuan adalah tunjang negara. Apa-apa undang-undang atau tindakan yang diambil yang tidak mengikut Perlembagaan adalah tidak berperlembagaan (unconstitutional lah!).

Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak dan institusi raja-raja semua terpelihara dan termaktub di dalam perlembagaan.

Untuk meminda mana-mana peruntukan Perlembagaan memerlukan sokongan 2/3 ahli Parlimen Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Ahli Parlimen beragama Kristian, sekiranya semua menang sekalipun, tidak sampai separuh daripada ahli Dewan Rakyat, apatah lagi boleh mencapai bilangan 2/3 Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang diperlukan untuk meminda Perlembagaan.

Maka, mustahil untuk menukar negara ini menjadi negara Kristian sekiranya ada agenda kristianisasi sekalipun.

Mitos 2:

“Hak Melayu akan terhapus sekiranya parti A berkuasa”

Fakta:

Apa yang disebut sebagai ‘hak Melayu’ itu sebenarnya ‘kedudukan istimewa’, bukannya ‘hak’.

Kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak termaktub di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Untuk meminda Perkara 153, perlu sokongan 2/3 ahli Parlimen Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Lebih penting lagi, ia juga memerlukan perkenan Majlis Raja-raja.

Jadi, mustahil ahli-ahli Parlimen Melayu-Islam dan Majlis Raja-raja akan bersetuju untuk menghapuskan atau meminda Perkara 153 ini.

Mitos 3:

“Malaysia akan menjadi republik sekiranya parti A berkuasa”

Fakta:

Sekali lagi, peruntukan mewujudkan institusi Yang di-Pertuan Agong dan juga Majlis Raja-raja, serta kuasa raja-raja Melayu dipelihara oleh Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri-negeri.

Apa-apa pindaan berkenaan dengan Majlis Raja-raja perlu sokongan 2/3 ahli Parlimen Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan juga mendapat perkenan Majlis Raja-raja.

Mustahil Majlis Raja-raja akan memberi perkenan untuk menghapuskan diri mereka sendiri.

Mitos 4:

“Parti A akan melaksanakan hudud sekiranya diberi kuasa”

Fakta:

Ada orang kata hudud tidak perlu pindaan Perlembagaan untuk dilaksanakan.

Orang yang kata sedemikian ini tidak tahu apa itu hudud dan tidak faham konsep keperlembagaan.

Hudud adalah sejenis undang-undang jenayah di dalam sistem undang-undang Islam. Jenayah hudud adalah jenayah yang paling berat iaitu jenayah-jenayah terhadap hukum Allah.

Hudud tidak boleh dilaksanakan dalam keadaan negara sekular (atau separa-sekular, terpulang siapa yang anda tanya) sekarang, di mana Perkara 4 meletakkan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan harus dipinda untuk meletakkan al-Quran dan Sunnah sebagai undang-undang tertinggi persekutuan, barulah hudud boleh dilaksanakan. Barulah jenayah terhadap hukum Allah boleh dijadikan undang-undang.

Kesimpulan

Pepatah internet ada mengatakan, apabila tidak tahu – Google. Saya pula kata, sekiranya tidak tahu, beli senaskah Perlembagaan Persekutuan (hanya RM15.00 di mana-mana kedai buku) dan baca sendiri.

Kalau tidak pun, dapatkan satu set Rakyat Guides yang diterbitkan oleh kempen MyConstitution dan boleh didapati di sini.

 

Syahredzan Johan adalah seorang peguam muda dan seorang rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Dia melihat dirinya sebagai seorang pengkritik politik dan pengulas sosial. Tetapi dia sebenarnya...