Haji Musa (dua dari kanan) yang berjaya dibunuh pasukan keselamatan mempunyai pertalian rapat dengan bekas pemimpin Umno tempatan

Ahli-ahli Umno terlibat dalam ‘penjajahan’ Lahad Datu? Adakah apa-apa alasan untuk mengharamkan parti Umno kerana dianggotai pengganas-pengganas yang berkaitan dengan episod Lahad Datu?

Statistik disebut Datuk Seri Nazri Aziz Menteri di Jabatan Perdana Menteri tahun lepas menunjukkan lebih 889,779 orang kemasukan warga asing ke Sabah. Terlampau ramai perlarian Filipina yang menjadi warganegara Malaysia mendapat kad pengenalan biru secara automatiknya layak mendapat pelbagai faedah sebagai warganegara termasuklah puak Sulu yang berjaya menjadi ahli parti Umno, memegang jawatan dalam parti Umno, dijemput hadir ke Perhimpunan Agung Umno, mengadakan pertemuan dengan YAB Perdana Menteri malah Sultan Sulu yang juga ahli Umno mempunyai penasihatnya sendiri yang terdiri daripada kalangan pemuda Umno.

Al Fatihah untuk semua anggota keselamatan negara kita yang terkorban, InsyaAllah mereka syahid kerana terkorban mempertahankan kedaulatan tanahair tercinta dan kesemua wang derma yang telah dikutip dan dijanjikan untuk didermakan pada keluarga mereka mestilah disampaikan sepenuhnya tanpa menggunakan wang berkenaan untuk apa-apa tujuan lain seperti membina bangunan dan sebagainya. Kesetiaan tak berbelah bagi pasukan PDRM dan ATM pada arahan ketua amat disanjung tinggi rakyat Malaysia sekalipun mereka terkorban ketika berjuang.

Kembali kita ke isu pengganas Sulu; ada dilaporkan sebagai mempunyai kad pengenalan biru dan juga ahli Umno. Sebagai satu dari banyak contoh salah seorang ketua mereka Hj Musa yang berjaya dibunuh pasukan keselamatan kita anak perempuannya ahli Umno yang berkahwin dengan anak lelaki Ahmad Malandi, Ketua Umno Cawangan Sungai Nyamuk. Ini bermaksud 8 orang anggota PDRM dan 2 orang anggota ATM terkorban dibunuh ahli Umno serta saudara mereka dari Filipina yang berkait-rapat dengan ahli serta pemimpin Umno tempatan. (Nota: Rujuk tulisan Mutalib MD, ‘Pencerobohan Lahad Datu: Ketua Cawangan Umno @ Ketua Mundu/Ketua Lanun’.)

Tulis Mutalib MD lagi:

Manakala pemimpin Nombor 1 kumpulan tersebut, Datu Ibrahim @ Datu Kuin Jamalul Kiram pula bernikah dengan anak Ketua Cawangan UMNO Sungai Bilis 2, Hussin Oyung. Agak mengejutkan kerana saya mendapat tahu anak Datu Ibrahim @ Amirul Kiram di Malaysia iaitu Datu Amir Datu Amirul  ialah Ahli UMNO Cawangan Sungai Bilis 2.

Secara tidak langsung parti Umno kini boleh dianggap sebagai telah mempunyai elemen pengganas di mana ahli-ahli Umno atau saudara-saudara mereka di Lahad Datu yang membunuh pasukan keselamatan kita. Ini memerlukan penyiasatan terperinci yang telus oleh pihak PDRM.

Apakah tindakan yang boleh dilakukan oleh Pendaftar Pertubuhan?

Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) memberi pelbagai kuasa kepada Pendaftar Pertubuhan termasuk meminta penjelasan bertulis, menyiasat malah juga jika sesuai, membatalkan pendaftaran pertubuhan Umno.

Jika pada tahun 1988 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pernah mengisytiharkan parti Umno sebagai pertubuhan tidak sah (yang dikenali umum sebagai parti haram) maka kali ini lebih teruk lagi, mungkinkah pertubuhan Umno boleh diisytiharkan sebagai pertubuhan subversif?

Perlu diingatkan selepas parti Umno diisytiharkan sebagai pertubuhan yang tidak sah pada tahun 1988, Umno telah pun mengambil langkah memastikan supaya perkara berkenaan tidak berulang dengan memastikan Kerajaan meminda Akta Pertubuhan 1966 dengan memasukkan Seksyen 18C yang melarang apa jua perkara dalaman parti di bawah ke Mahkamah.

Namun bila melibatkan elemen keganasan ianya bukan lagi perkara dalaman parti ianya melibatkan ketenteraman dan kepentingan awam maka Mahkamah mempunyai kuasa untuk membuat keputusan yang munasabah dengan mengisytiharkan Umno sebagai parti yang terlibat dengan keganasan seterusnya mengeluarkan perintah pembatalan parti Umno.

Seksyen 13(1)(ii) memberi kuasa kepada Pendaftar Pertubuhan untuk membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan jika Pendaftar Pertubuhan berpuashati yang pertubuhan berkenaan dipergunakan untuk tujuan menyalahi undang-undang yang tidak selari dengan keamanan di Malaysia. Manakala sekyen 2A(a) dan (e) turut memberi kuasa pada Pendaftar Pertubuhan untuk membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan yang melanggar batas-batas demokrasi serta kepentingan sah komuniti lain. Prosedur pembatalan pertubuhan juga turut dinyatakan dalam pelbagai seksyen di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Pokoknya, bila pertubuhan Umno mempunyai ahli-ahli Umno yang disahkan terlibat sebagai kumpulan pengganas Sulu maka Pendaftar Pertubuhan perlu bertindak berani dengan memulakan proses pembatalan pertubuhan Umno di bawah pelbagai seksyen-seksyen yang berkaitan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Presiden Parti SAPP Datuk Yong Teck Lee dan bekas OCPD Lahad Datu dilaporkan akhbar Daily Express Sabah pada 15 Mac 2013 sebagai berkata pimpinan Umno dan Barisan Nasional yang mengetuai Kerajaan Persekutuan di Putrajaya gagal mengambil serius dari pelbagai amaran awal yang diberi 5 tahun lalu tentang isu keselamatan di Lahad Datu dan Sabah keseluruhannya. Bila sudah berlaku baru PM mahu mengambil pelbagai tindakan yang tentunya sudah agak terlewat kata mereka yang turut dilaporkan oleh pelbagai akhbar lain di Sabah.

Gambar para pengganas dan pemimpin Sulu yang dipercayai ahli Umno yang sedang menjalani upacara jampi juga turut tersebar di internet membawa maksud Umno boleh dianggap di bawah seksyen 52 Akta Pertubuhan 1966 sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang yang seterusnya memberi kuasa untuk Pendaftar Pertubuhan membatalkan pendaftaran Umno dan mengambilalih segala asset Umno sepertimana yang dinyatakan dibawah seksyen 53 sekiranya terbukti kesemua mereka yang berkenaan di dalam gambar berkenaan adalah ahli Umno. Namun tuduhan ilmu hitam ini perlulah disiasat rapi terlebih dahulu kerana ianya dimulakan di media arus perdana yang telah sekian lama hilang kredibiliti sebagai media memandangkan gambar yang disiarkan di sini juga menunjukkan mereka cuma sedang khusyuk berdoa.

Satu Suruhanjaya Di Raja perlu ditubuhkan segera untuk merungkaikan isu keselamatan yang amat penting bagi rakyat Malaysia ini. Dengan terbongkarnya segala misteri terbunuhnya anggota keselamatan kita barulah sekurang-kurangnya kita dapat mengelakkan insiden seperti di Lahad Datu berulang. Jika Umno disahkan sebagai parti yang mengandungi pengganas sebagai ahli dan bekas pemimpin Umno di Sabah maka pihak PDRM wajar menahan reman beberapa pemimpin tertinggi Umno kerana menyebabkan pasukan keselamatan terbunuh akibat perbuatan mereka yang mengizinkan pengganas menjadi ahli dan memegang jawatan dalam parti mereka malah ketua pengganas dilaporkan pernah menjadi ADO di Kudat. Berita yang melaporkan ADO Kudat bukan warganegara Malaysia perlu diteliti semula kerana sejak bila negara kita mengimport warga asing untuk menjadi Penolong Pegawai Daerah sepertimana yang biasa dilakukan untuk pemain bola sepak professional.

Kenapa disarankan penahanan reman pimpinan tertinggi parti Umno? Jawapannya ialah untuk berlaku adil.

Jika kita toleh kembali peristiwa penahanan pemimpin Al-Arqam Allahyarham Ustaz Ashaari ialah kerana kononnya beliau dan pengikut pengikutnya membahayakan keselamatan negara. Namun dalam isu Ustaz Ashaari, tiada sebarang pertempuran, tiada pertumpahan darah serta tiada anggota pasukan keselamatan terkorban tetapi tetap beliau ditahan bersama para pemimpin tertinggi Al-Arqam. Malah sebelum beliau meninggal, beliau telah dibuang daerah dan terpaksa tinggal di Labuan yang akhirnya menyebabkan beliau telah gagal untuk mengeluarkan suaranya lagi dan terpaksa berkomunikasi menerusi bahasa isyarat bila Allahyarham dapat kembali ke Semenanjung. Rakyat menerima penahanan Ustaz Ashaari pemimpin tertinggi Al-Arqam ketika itu kerana alasan diberi pihak berkuasa yang diberi nampak logik.

Tetapi dalam kes Lahad Datu, 10 anggota keselamatan telah terkorban di bunuh ahli Umno atau saudara mereka yang sebenarnya pengganas Sulu yang menjadi rakyat Malaysia dengan kemungkinan mendapat kad pengenalan biru dengan cara yang tidak sah yang kini dalam siasatan Suruhanjaya Di Raja di Sabah. Yang disebut oleh saksi sebagai turut terlibat ialah Wan Ahmad yang kini memegang jawatan Timbalan Pengerusi SPR. Maka amatlah adil dan molek sekiranya PDRM dapat menahan reman pimpinan tertinggi Umno serta Wan Ahmad yang membantu dalam proses mendapatkan kad pengenalan biru kepada perlarian Filipina di Sabah.

Tindakan segera menahan reman mereka berkenaan amat perlu memandangkan kini nyawa pasukan keselamatan khususnya yang bertugas di sekitar Sabah mungkin dalam bahaya, begitu juga dengan rakyat sekitar Sabah di mana mereka tinggal bercampur bersama hampir 900 ribu perlarian Filipina yang kesetiaan mereka tentulah kepada negara asal mereka, bangsa mereka dan kaum mereka.

Segala sumbangan wang ringgit setiap sen dari rakyat Malaysia mestilah sampai terus kepada keluarga pasukan PDRM dan ATM yang terkorban. Keikhlasan Kerajaan Selangor menilai pengorbanan anggota keselamatan terbukti dengan pengumuman awal peruntukan RM10 juta manakala Kerajaan Pulau Pinang menyediakan RM30 ribu untuk setiap keluarga mangsa yang terkorban yang turut diumumkan sebaik saja 2 anggota PDRM dilapor terkorban. Ini tidak termasuk derma dan bantuan lain dari pelbagai pihak termasuk Kerajaan Persekutuan yang kini telah menyumbang antara RM5,000 sehingga RM20,000 pada setiap keluarga namun tidak pula dinyatakan dengan jelas samada sudahkah dibuat keputusan akhir berapa yang Kerajaan Persekutuan yang ada hari ini hendak sumbangkan kepada balu dan anak-anak mangsa.

Pimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan yang diterajui Umno Barisan Nasional sebenarnya pada awalnya seolah-olah menghina pengorbanan pasukan keselamatan bila diumumkan kenaikan pangkat yang sedikit untuk mereka yang terkorban: apakah bezanya jika pencen di bawah pangkat baru cuma sekadar beberapa ratus ringgit? Malah Kerajaan Kelantan lebih maju ke hadapan kerana diumumkan kini sedang mengkaji untuk mewujudkan Taman Perwira iaitu menyediakan rumah-rumah kediaman yang selesa untuk wira-wira negara yang terkorban.

Perlu dijelaskan di sini tiada siapa di kalangan rakyat Malaysia yang waras menganggap perkara terkorbannya wira-wira negara sebagai sandiwara. Tiada, kerana telah 10 nyawa melayang.

Yang jelas menyebut perkara kematian ini kononnya sandiwara ialah pimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan ketika berucap di hadapan para pemimpin agama di Stadium Bukit Jalil dengan penuh perasaan yang nampak sedih. Namun apa yang sebenarnya dipertikaikan ialah beberapa tindakan tidak logik para pemimpin Umno yang memegang jawatan dalam Kabinet Persekutuan dalam isu Lahad Datu.

Pendedahan bekas Ketua Cawangan Khas PDRM Sabah yang dilaporkan dalam harakahdaily.net pada 23 Mac 2013 (juga edisi naskah Harakah bertarikh 25-28 Mac 2013) yang menyimpulkan penubuhan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengurangkan kuasa PDRM untuk bertindak dengan efektif kerana terpaksa bergantung kepada MKN yang di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Kenyataan bercanggah dengan kepentingan keselamatan nyawa pasukan keselamatan dikeluarkan oleh menteri-menteri Persekutuan pada peringkat awalnya seolah-olah mereka memang mahu ada anggota keselamatan yang terkorban dengan mengatakan mereka cuma penceroboh dan sebagainya.

[youtube]CNo0BicRM8k[/youtube]

Ini perlulah disiasat dengan teliti kerana jika kita ingat filem Wag The Dog di mana Presiden Clinton yang berdepan masalah skandal seks dalam pejabat bersama Monica akan menghadapi Pilihanraya Umum 11 hari lagi telah menangguhkan kepulangannya daripada lawatan rasmi ke China kerana kononnya faktor keselamatan yang memerlukan beliau mengarahkan supaya negara Albania diserang. Akibatnya, rakyat terleka dengan kisah peperangan yang dicipta oleh pengarah terkenal Hollywood lengkap dengan media live feed serta keranda berbalut bendera Amerika.

Rakyat Amerika terus lupa kisah Presiden melakukan oral sex bersama Monica dalam Oval Office tetapi sebaliknya bersatu menyokong Presiden Amerika dalam peperangan dengan Albania. Bila CIA mengetahui perkara yang sebenar, CIA serta-merta mengisytiharkan peperangan telah tamat di media sebagaimana rakyat Malaysia telah kononnya dianggap mula melupakan kes pembunuhan Altantuyaa yang tengah hangat diperkatakan selepas mendiang PI Bala berjaya melakukan beberapa road show sebelum kematian mengejutnya. Kematian mengejut kedua berlaku sehari selepas itu bila peguam yang menguruskan perjanjian kapal selam Scorpene dijumpai mati terapung di sebuah pulau persendirian miliknya seperti yang dilaporkan BBC News dibiar berlalu begitu sahaja memandangkan Lahad Datu terus menjadi agenda utama media perdana. Semoga roh-roh PI Bala dan peguam berkenaan bersemadi dengan aman mengikut kepercayaan agama mereka masing-masing.

Sama-samalah kita renung berdasarkan akuan bersumpah PI Bala dan pelbagai bukti lain, sedangkan nyawa seorang kekasih sendiri menjadi tidak bernilai boleh ditembak mati di kepala dan mayatnya diletupkan C4, inikan pula nyawa mereka mereka yang bukan kekasihnya. Inilah barangkali the worst application of the Machiavellian principles of the ends justify the means di Malaysia.

Namun dalam episod Lahad Datu, kematian anggota keselamatan benar-benar berlaku, Al Fatihah untuk roh-roh mereka semoga ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh.

Anggota keselamatan setia bertugas mempertahankan kedaulatan Malaysia. Persoalannya mengapakah sejak Perdana Menteri Pertama sehingga Perdana Menteri Ke-5, masalah pengganas Sulu seperti tidak wujud? Kenapa pula di saat-saat Malaysia nak menghadapi Pilihanraya Umum Ke-13 tiba-tiba pengganas Sulu yang selama ini hidup aman sebagai pemegang kad pengenalan biru, menjadi ahli Umno, memegang jawatan dalam parti Umno, mengikat silaturrahim dengan perkahwinan dengan anak bekas pemimpin Umno tempatan, diundang ke Perhimpunan Agung Umno dan sebagainya berkaitan Umno kini tiba-tiba membuat keputusan untuk mengganas. Amatlah tidak bijak untuk mereka mengganas dengan tiba-tiba memandangkan negara kita lengkap dengan pelbagai peralatan pertahanan yang canggih sekalipun mungkin para pengganas tidak membaca laporan internet dari bekas pegawai tinggi tentera yang ada juga besi buruk jet pejuang buatan Amerika yang dilaporkan disimpan di Arizona dan tidak dapat dibawa pulang ke Malaysia.

Sultan Sulu bersama Perdana Menteri

Kad nama Datu Sri Panglima Lokman Nor Adam dari Pemuda Umno yang menjadi Penasihat Sultan Sulu
Sultan Sulu hadir dijemput Umno ke Perhimpunan Agung Umno 2012
Haji Musa (dua dari kanan) yang berjaya dibunuh pasukan keselamatan mempunyai pertalian rapat dengan bekas pemimpin Umno tempatan
Persatuan Suluk Bersatu Sabah ada 800 ribu ahli dan 20 ribu menetap di Johor.
Ketua pengganas Sulu yang juga adik Sultan Sulu pernah memegang jawatan dalam Kerajaan Sabah di Kudat sebagai ADO

Isu-isu yang disebut di sini juga tidaklah termasuk pelbagai isu penting yang didedahkan di forum mengenai Lahad Datu di Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur Selangor baru-baru ini, di forum sejarah Lahad Datu anjuran Fakulti Sejarah Universiti Malaya pada 21 Mac 2013 dan di pendengaran Suruhanjaya Di Raja Projek IC yang sedang berjalan di Sabah, sekalipun tanpa artikel ini pun sudah mampu menjana pelbagai persoalan yang masih belum dapat dijawab dengan sempurna.

Seterusnya agak menarik untuk disebut di sini Geneva Convention 1949 telah diterimapakai di negara kita dengan menjadikannya satu Akta yang telah diluluskan di Parlimen iaitu Geneva Convention Act 1962 (Akta 5 tahun 1962 dan Akta 512 pada 8 Oktober 1993) yang digazetkan untuk Semenanjung Malaysia pada 16 April 1962 dan Sabah dan Sarawak pada 10 Mac 1966.

Sekalipun negara kita telah menerimapakai Geneva Convention dengan diluluskan di Dewan Rakyat tetapi mengikut rekod terkini Wikipedia sejak Protokol I, II dan III dikeluarkan, negara kita tidak mengambil apa-apa tindakan untuk menerimapakai protokol protokol berkenaan. Seperkara yang perlu disebut di sini ialah dengan menjadikan Geneva Convention satu Akta Parlimen di negara kita maka negara kita terpaksa patuh kepadanya sekalipun asasnya mana-mana Convention sepatutnya bersifat secondary (maksudnya Convention adalah berstatus lebih rendah daripada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara kita sendiri terutamanya Akta Parlimen).

Justeru itu amatlah munasabah jika kita mengambil sedikit risiko untuk mengabaikan Geneva Convention untuk menyelamatkan nyawa pasukan keselamatan kita sendiri, apakah agaknya yang pemimpin Kerajaan Persekutuan sebenarnya nak buat bila menggunakan alasan Geneva Convention, adakah mereka hendak mendaulatkan undang-undang asing yang amat kurang penting berbanding dengan undang-undang negara kita sendiri. Kita tidak perlu bercakap mengenai menghormati undang-undang antarabangsa bila pelbagai undang-undang di negara kita sendiri, kita gagal untuk menghormati contohnya 3 nyawa melayang dalam kes kapal selam iaitu Altantuyaa, PI Bala dan yang terbaru peguam Scorpene tetapi perancang pembunuhan sebenar masih bebas sekalipun PI Bala dan Deepak serta juga pengakuan pendedahan peguam kanan di mesyuarat Badan Peguam. Kanun Keseksaan bukan undang-undang antarabangsa kita masih lagi gagal nak kuatkuasakan untuk menuduh si perancang pembunuhan, kenapa pula Kerajaan Persekutuan beria-ia nak hormati undang-undang antarabangsa yang asalnya bukan bersifat utama ianya cuma berstatus konvensyen.

Geneva Convention 1949 diterima di 194 negara dengan beberapa pengubahsuaian mengikut negara masing-masing manakala menurut laporan Wikipedia, Malaysia cuma menandatangani Geneva Convention I-IV (1864, 1906, 1929, 1949) sahaja pada 1962 tetapi Malaysia selepas itu tidak pun direkodkan menandatangani Protokol I, II dan III. Jika Malaysia menganggap Geneva Convention sebagai penting maka mengapa pula Protokol I, II dan III yang telah lama dikeluarkan tidak pun ditandatangani Malaysia.

Alasan pemimpin Kerajaan Persekutuan yang menyerang selepas 3 minggu cuma selepas anggota keselamatan terbunuh menunjukkan Kerajaan lebih mementingkan nyawa pengganas daripada nyawa pasukan keselamatan negara kita sendiri. Beberapa laporan daripada pegawai tertinggi ATM yang bersara menyebut tiada clear chain of command bila pemimpin politik yang membuat keputusan akhir yang sepatutnya dibuat oleh pasukan keselamatan sendiri. Atau memang Kerajaan sengaja mahukan anggota keselamatan kita terkorban supaya keranda berbalut jalur gemilang wujud supaya dapat disambut dengan acara sedih ringkas di lapangan terbang TUDM Subang demi memenuhi matlamat politik untuk pimpinan Kerajaan Persekutuan.

Tentu ramai yang faham aspek perundangan bertegas menyatakan Geneva Convention adalah berstatus mengikat ataupun binding kepada negara kita. Namun ingin saya tegaskan sebelum kita cuba menghormati undang-undang antarabangsa yang cuma diterimapakai menerusi proses Dewan Rakyat, adalah lebih wajar menghormati undang-undang negara kita sendiri dahulu seperti seksyen 302 Kanun Keseksaan berkaitan dengan kesalahan membunuh. Sampai bilakah dalang pembunuhan akan dibiar terlepas tanpa penahanan reman untuk siasatan sekalipun pelbagai bukti bertalu-talu telah dikemukakan dan adakah 3 nyawa melayang untuk kes yang sama merupakan satu kebetulan?

Daulatkan undang-undang negara kita demi keselamatan pasukan keselamatan dan bila perlu abaikan Geneva Convention, biarlah sekalipun kita nak dituduh melanggar undang-undang antarabangsa asalkan kita beri keutamaan kepada keselamatan pasukan PDRM dan ATM negara kita sendiri dahulu. Negara Amerika berulang-kali melanggar Geneva Convention malah berulang-kali tidak disokong Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu serta ada masa dibantah secara terang-terang oleh Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu namun tiada sebarang akibat buruk yang jelas pada Amerika

Contoh tahun 1986, Amerika mengebom beberapa lokasi ketenteraan di Libya sebagai membalas dendam letupan di Berlin yang mengorbankan 2 tentera Amerika dan mencedarakan 78 rakyat Amerika sebagai self defence di bawah Artikel 51 Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu telah ditolak mentah-mentah oleh dunia tetapi tiada apa yang berlaku pada mereka.

Contoh kedua, 20 Ogos 1998, Amerika melancarkan 79 peluru berpandu Tomahawk kepada kem latihan tentera di Afghanistan dan kilang ubat di Sudan yang didakwa membuat senjata kimia dengan alasan self defence juga di bawah Artikel 51 Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu kerana kejadian pengeboman Kedutaan Amerika di Nairobi telah ditentang Russia, Pakistan dan negara-negara Arab malah dikritik tegas oleh Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu ketika itu Kofi Annan namun tiada apa yang berlaku pun pada Amerika. (Nota: Rujuk maklumat lanjut dalam buku oleh Shirley V Scott, International Law in World Politics, edisi ke-2)

Sebagai penutup, selain dari pentingnya satu Suruhanjaya Di Raja ditubuhkan segera bagi menyiasat pelbagai aspek yang membawa kepada tercetusnya kejadian Lahad Datu, penulis percaya rakyat Malaysia serta KBDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja sempena sambutan Hari Polis tahun ini, akan menyokong penuh PDRM yang dipimpin YDH Tan Sri IGP untuk melakukan segala tindakan yang perlu bagi memastikan mereka yang bersalah ditahan reman untuk siasatan sekalipun jika ianya melibatkan pemimpin tertinggi Kerajaan.

MKN yang ditubuhkan tidak dapat mengatasi kuasa Ketua Polis Negara yang mendapat kuasa secara langsung daripada Akta Polis 1967 dan jika kedua-duanya dikaji maka pastilah mengikut aturannya Akta Parlimen yang utama iaitu Akta Polis 1967 mengatasi kuasa-kuasa MKN yang bersifat secondary semata-mata. Malah segala command and control PDRM adalah kuasa penuh Tan Sri IGP maka semestinya semua pihak di negara ini yang cintakan keamanan serta keadilan dan profesionalisme polis akan meletakkan sepenuh keyakinan kepada PDRM untuk melakukan segala tindakan yang adil demi menyelamatkan negara daripada menjadi tidak stabil ditadbir mereka yang berada di dalam Kabinet Persekutuan yang mungkin mempunyai kepentingan tertentu.

Sepertimana yang pernah disebut sebelum ini, hubungan PDRM dengan Kerajaan Persekutuan tidaklah perlu disalah-ertikan memandangkan hubungan rasmi keduanya sekadar untuk hal-hal pentadbiran, logistik dan bajet yang sepatutnya tidak menyekat tindakan segera PDRM untuk menahan reman mana-mana pimpinan tertinggi Kabinet Persekutuan yang disyaki terlibat melakukan jenayah serius.

Jika Allah swt mentakdirkan kesudahan parti Umno dengan keadaan yang amat mengaibkan kerana terlibat dengan keganasan disebabkan ahli-ahli Umno yang secara mee segera itu membunuh pasukan keselamatan kita maka jika cuba dihalang atau ditutup bagaimana sekalipun tiada manusia biasa akan dapat melawan ketentuan Allah swt, InsyaAllah. Inilah barangkali doa Al Marhum Uztaz Fadzil Noor untuk membiarkan pemimpin Umno sendiri melihat kemusnahan yang mereka telah lakukan akibat perbuatan mereka sendiri.

Namun, pengharaman parti Umno jika dilakukan oleh Pendaftar Pertubuhan bukanlah bermakna parti Umno tidak boleh didaftarkan sekali lagi dengan mengikut prosedur di bawah Akta Pertubuhan 1966 sepertimana yang pernah berlaku pada tahun 1988 dulu. YA Bhg Tun Dr Mahathir berjaya menghidupkan kembali parti Umno dengan mematuhi pelbagai prosedur yang telah ditetapkan di bawah Akta Pertubuhan 1966. Cuma mungkin kali ini prosedur sedikit berbeza dan amat ketat disebabkan isu keganasan dan pengganas yang menjadi Umno pertubuhan tidak sah.

Jadi kepada para pencinta setia pejuang tulen Parti Kebangsaan Melayu Bersatu atau Pekembar atau Umno dulu kini dan selamanya tidak perlu gusar kerana pembatalan yakni pengharaman cumalah bertujuan untuk membersihkan Umno daripada elemen-elemen pengganas dalam pertubuhan Umno. Serentak dengan pembersihan elemen pengganas setelah Umno diisytiharkan tidak sah maka amatlah sesuai juga segala bentuk elemen samseng termasuklah kumpulan-kumpulan samseng lain yang sering berlagak seperti watak filem P Ramlee Sharif Dol Kampung Dusun dibersihkan dari Umno sebelum Pendaftar Pertubuhan dapat mempertimbangkan permohonan baru menubuhkan parti yang sama dengan nama yang mungkin sedikit berbeza pada awalnya. Wallahualam.

Islamic Finance | Financial Crimes Practitioner | Corporate Advisor | Arbitrator | Mediator | Part-time Law Lecturer | Admitted to the Bar 23 August 1991 | Presenter | Panelist | Trainer | Currently completing...