Bergeraklah dengan UndiMsia! melalui #IdolaDemokrasi ke arah demokrasi penyertaan.

Wajah-wajah masa depan Malaysia! | Gambar oleh Benazir Japiril @ LoyarBurok

Saya berpeluang untuk mengikuti GameShop ataupun bengkel UndiMsia! #IdolaDemokrasi yang telah diadakan di @PusatRakyatLB pada 22 Oktober 2011 yang lalu.

GameShop #IdolaDemokrasi yang pertama kali diadakan ini telah disertai seramai 30 pencinta demokrasi dan majoritinya terdiri daripada golongan pelajar institusi-institusi pengajian tinggi.

Berasaskan konsep demokrasi penyertaan, GameShop ini merangkumi modul-modul yang mengamalkan proses penyertaan secara langsung para peserta dalam penyelesaian masalah-masalah yang dihadapi dan juga pencarian penyelesaian terhadap masalah-masalah tersebut.

#IdolaDemokrasi juga mengamalkan penglibatan secara langsung para peserta dalam memilih dan menentukan keputusan yang terbaik untuk perkara-perkara yang melibatkan diri mereka.

Kesedaran, artikulasi, tindakan | Gambar oleh Benazir Japiril @ LoyarBurok

Para peserta telah dibahagikan kepada 4 kumpulan dan setiap kumpulan telah memilih satu masalah yang dihadapi dalam kehidupan seharian.  Empat isu yang telah dipilih kumpulan-kumpulan tersebut adalah : pengangkutan awam, sistem pendidikan, keselamatan awam dan perumahan.

Para peserta telah menyenaraikan masalah-masalah dan faktor-faktor yang telah mendatangkan masalah yang dihadapi dalam setiap isu yang telah dipilih. Modul ini bertujuan untuk menyedarkan para peserta betapa pentingnya untuk mengenal pasti isu-isu yang memberi kesan dalam kehidupan seharian.

 

Macam mana ni? | Gambar oleh Benazir Japiril @ LoyarBurok

 

Modul terakhir GameShop#IdolaDemokrasi merupakan pembentangan pelan sistem demokrasi sebenar yang diamalkan di Malaysia selama 54 tahun merdekanya negara ini. Para peserta yang telah dibimbing oleh saudara Hasbee telah sama-sama melakarkan pelan tersebut dan ia telah menunjukkan bahawa rakyat Malaysia hanya berpeluang bersuara 5 tahun sekali dalam pilihanraya umum, iaitu dengan sekadar menconteng di atas kertas undi.

Pelan tersebut telah membuktikan bahawa sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia selama ini tidak memberi peluang secara langsung kepada rakyat untuk berbincang bersama-sama dengan wakil mereka dalam membuat keputusan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka dalam kehidupan seharian.

 

Macam ini lah! | Gambar oleh Benazir Japiril @ LoyarBurok

GameShop #IdolaDemokrasi oleh UndiMsia! berinisiatif untuk menyedarkan rakyat Malaysia bahawa demokrasi bukan sekadar tentang mengundi tetapi ia menekankan bahawa betapa pentingnya kuasa rakyat dalam menentukan keputusan-keputusan dalam menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka dalam kehidupan seharian.

Sesungguhnya GameShop #IdolaDemokrasi oleh UndiMsia! telah memberikan suatu kesedaran dalam diri saya bahawa peri pentingnya penglibatan anak-anak muda khususnya dalam sistem demokrasi negara kita dan betapa pentingnya untuk rakyat mengenalpasti isu-isu kempen pilihanraya dalam memilih wakil rakyat yang akan memimpin mereka.

Saya menyarankan agar rakan-rakan semua datanglah dengan hati yang terbuka ke @PusatRakyatLB untuk bersama-sama menyertai #IdolaDemokrasi, dan juga #UndiMsia!Chats yang diadakan setiap pagi Sabtu.

Bertindaklah sebelum anda mengeluh dan menyesal di hari tua nanti!

A Sabahan who used to be ignorant of what is happening in the country and now she dreams of a better Malaysia. Someone with a stand and prefers to have teh tarik and discuss about politics rather than...