Rencana ini pertama kali diterbitkan dalam kolum saya di Sinar Harian pada 24 Oktober 2011 di sini.

Politik longkang masih mendominasi polemik politik tanah air. Terbaru, anak seorang ahli politik dituduh melalui blog-blog lawannya bahawa dia terlibat dalam masalah gangguan seksual. Siap dengan gambar ‘mangsa’. Tetapi nampaknya perkara itu hanyalah tuduhan tidak berasas. ‘Mangsa’ juga tidak ada kena-mengena dengan anak ahli politik tersebut.

Anak ahli politik tersebut masih belum cukup umur. Dia dihumban ke dalam kancah politik tanpa belas kasihan. Apa yang menyedihkan lagi, reaksi yang kita lihat daripada ahli politik lain. Mereka menghalalkan apa yang berlaku dengan alasan, perkara sama juga dilakukan oleh lawan mereka.

Terkejutkah kita dengan apa yang berlaku? Malang sekali, jawapannya tidak. Kita sudah terbiasa dengan gelagat ahli politik murahan daripada kedua-dua belah gabungan parti politik, yang tidak lebih daripada pecacai dan sanggup menggadaikan prinsip dan etika demi melepaskan das tembakan politik kepada lawan mereka.

Ya, politik itu kotor dan kadangkala keji. Kita semua tahu. Ahli politik sendiri mengakuinya. Namun sekian lama, kita disajikan dengan tanggapan bahawa walaupun politik itu keji dan kotor, politik sajalah jalan untuk seseorang itu cuba membawa perubahan yang bermakna. Banyak isu membelenggu negara ini sebenarnya. Isu-isu ini diselaputi dengan lendir politik kepartian. Terdapat juga hampas politik kepartian yang dijaja sebagai isu.

Malangnya, masyarakat masih memberi keutamaan kepada lendir dan hampas. Apa yang perlu kita lakukan adalah mengayak segala lendir dan hampas serta melihat kepada isu yang penting. Dalam bahasa Inggeris, isu-isu roti dan mentega. Memberi fokus semula kepada isu-isu ini.

Inilah matlamat utama UndiMsia! Ia merupakan suatu pergerakan berteraskan aktivisme anak muda.

Pernahkah anda mendengar tentang UndiMsia!? Pergerakan terbaru yang lahir beberapa bulan lepas, sedang menganjakkan revolusi kecil yang bermula di Lembah Kelang.

Pergerakan dipelopori rata-rata oleh anak-anak muda yang prihatin, dinamik dan bertenaga. UndiMsia! memberi penekanan kepada kuasa anak muda. Ini adalah suatu gerakan pendidikan bertujuan menggalakkan dan menambah lebih banyak penyertaan golongan muda Malaysia dalam proses demokrasi negara.

Untuk tahun pertama, UndiMsia! memberi tumpuan kepada tiga bidang utama. Pertama, hak sosioekonomi berkenaan dengan makanan dan perumahan. Kedua, hak sivil dan politik berkenaan dengan kebebasan bersuara. Ketiga, memahami belanjawan dan peruntukan mengenai pendidikan.

Cara mereka adalah dengan penubuhan Kumpulan Tindakan Belia, Youth Action Group (YAG) di setiap komuniti dan institusi. YAG bertujuan memperkasa anak-anak muda dalam penglibatan dan urusan mereka dengan wakil-wakil dan pemimpin-pemimpin komuniti untuk mengenal pasti isu-isu teras dalam kempen pilihan raya dan menapis lendir serta hampas retorik politik.

YAG juga akan memastikan pemimpin-pemimpin komuniti dapat memberikan golongan muda apa yang sewajarnya diberikan dan yang telah dijanjikan.

UndiMsia! telah memberikan landasan kepada golongan muda. Bagaikan si mengantuk yang disorong bantal, ia berjaya menarik sebegitu ramai anak muda yang sebelum ini dibelenggu kekecewaan kerana beranggapan, mereka tidak mempunyai landasan dan saluran untuk memberi sumbangan positif kepada negara. Mereka juga kecewa terhadap senario politik longkang tanah air. Mereka berfikiran bebas dan tidak enggan mendekati politik kepartian yang sempit.

Salah satu mantra UndiMsia! adalah untuk ‘memupuskan’ ahli politik. Jika individu dan komuniti diberi pengupayaan dan diaktifkan, banyak perkara sebenarnya boleh dilakukan tanpa memerlukan campur tangan politik. Kebergantungan kita kepada mereka akan dikurangkan, pada masa sama kita akan menumpulkan pengaruh mereka dalam masyarakat.

Cukuplah kita menjadi pengulas kedai kopi. Cukuplah kita menjadi pengkritik siber. Bangkit daripada kerusi kedai kopi. Bangkit daripada menghadap skrin komputer. Bergeraklah bersama UndiMsia!

Penulis seorang peguam muda yang mengamalkan undang-undang sebagai rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur.

[youtube]xshyMukVshI[/youtube]

Syahredzan Johan adalah seorang peguam muda dan seorang rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Dia melihat dirinya sebagai seorang pengkritik politik dan pengulas sosial. Tetapi dia sebenarnya...