Setelah mengenali tentang institusi “Parlimen” dan “Eksekutif” sebelum ini, hari ini kita melihat pula institusi “Kehakiman”.

16 Sept 1963. Tarikh keramat yang mengukir sejarah, tarikh terbentuknya Persekutuan Malaysia. Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung menjadi satu. Lahirlah negara baru “Malaysia”.

Perlembagaan Persekutuan adalah tunjang kepada negara ini.  Perlembagaan yang mulanya digubal untuk Persekutuan Tanah Melayu telah melalui pengubahsuaian ketara dengan terbentuknya Malaysia.

Sebagai menyambut hari yang penuh bermakna ini dan dengan semangat ingin merakyatkan Perlembagaan, Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam (“Jawatankuasa”) melalui kempen MyConstitution (PerlembagaanKu) mempersembahkan kempen-mini melalui internet yang dipanggil, “Menghitung Hari ke Hari Malaysia”.

Bermula dari 7 Sept 2011 hinggalah 15 Sept 2011, Jawatankuasa akan menyebar ke seluruh pelusuk internet dua inisiatif utama MyConstitution iaitu Buku Panduan Rakyat (Rakyat Guides (“RG”)) dan juga video-video Pesanan Khidmat Rakyat (Rakyat Service Advertisements (“RSA”)).

Setiap hari anda akan disajikan dengan tema yang berlainan berkenaan dengan konsep-konsep asas yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.  Kami akan memaparkan teks yang menjadi kandungan RG.  Kami juga akan mempertontonkan RSA kami sebagai kesinambungan kepada tema hari tersebut. Sekiranya anda mengikuti kempen-mini ini, anda boleh memahami asas Perlembagaan Persekutuan dalam masa sembilan hari!

Kami juga memerlukan kerjasama anda untuk membantu kami menyebarkan kempen-mini ini melalui saluran-saluran anda, supaya kita dapat sama-sama merakyatkan Perlembagaan.

Pesanan Khidmat Rakyat (RSA)

[youtube]CN–wNBGULY[/youtube]

Buku Panduan Rakyat (RG)

Apa itu Mahkmamah-mahkamah?

Perlembagaan menubuhkan Mahkamah-mahkamah yang berikut:-

  • Mahkamah Persekutuan
  • Mahkamah Rayuan
  • dua Mahkamah Tinggi, satu di Semanjung Malaysia yang dikenali sebagai “Mahkamah Tinggi Malaya” dan satu di Sabah dan Sarawak yang dikenali sebagai “Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak”.

Mahkamah-mahkamah ini dikenali “Mahkamah Atasan”.

Perlembagaan juga menubuhkan Mahkamah Khas untuk Yang di-Pertuan Agong (“YDPA”) dan Raja-raja.

Perlembagaan juga menyatakan bahawa Parlimen boleh menggubal undang-undang untuk membentuk “Mahkamah Bawahan”. Di bawah undang-undang persekutuan, Parlimen telah membentuk mahkamah-mahkamah seperti Mahkamah Sesyen, Mahkamah Majistret, Mahkamah Penghulu dan Mahkamah Perindustrian.

Mahkamah Atasan dan mahkamah-mahkamah yang ditubuhkan oleh Parlimen tidak memutuskan kes-kes yang hanya boleh diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

Apa yang dilakukan oleh Mahkamah Atasan?

Mahkamah Atasan mempunyai bidangkuasa untuk memastikan semua pihak termasuk Eksekutif, Negeri-negeri, Parlimen, pihak berkuasa awam dan badan swasta, mengikut Perlembagaan dan semua undang-undang.

Mahkamah Atasan boleh:

  • menentukan apa makna perkataan di dalam Perlembagaan atau undang-undang apabila terdapat pertikaian;
  • membuat deklarasi bahawa sesuatu undang-undang itu adalah bertentangan dengan Perlembagaan dan oleh itu tidak sah dan tidak perlu diikuti;
  • menentukan samada tindakan Eksekutif atau Negeri-negeri sah atau tidak melalui “semakan kehakiman”;
  • menguatkuasakan undang-undang jenayah; dan
  • menyelesaikan pertikaian di antara individu dan Eksekutif, Kerajaan Persekutuan dan Negeri-negeri atau di antara satu Negeri dengan Negeri yang lain.

Namun demikian, kuasa Mahkamah Atasan untuk menentukan perkara-perkara ini ada hadnya.

Had Kuasa Kehakiman

Sebelum Mac 1988, kuasa Mahkamah Atasan diberikan terus oleh Perlembagaan kerana Perlembagaan menyatakan bahawa kuasa kehakiman Persekutuan tertakluk di bawah Mahkamah Tinggi. Ini bermakna Mahkamah boleh menyemak undang-undang samada ia mengikut Perlembagaan dan juga menentukan samada apa-apa tindakan yang diambil adalah sah.

Pada Mac 1988, Parlimen meminda Perlembagaan untuk mengeluarkan pernyataan bahawa kuasa kehakiman Persekutuan tertakluk di bawah Mahkamah Tinggi dan menggantikan dengan pernyataan bahawa Mahkamah Tinggi hanya mempunyai bidangkuasa yang diberi oleh Parlimen di bawah undang-undang persekutuan. Ada yang berpendapat bahawa pindaan tersebut menghadkan kuasa Mahkamah kerana Mahkamah hanya boleh menyemak undang-undang dan tindakan yang dibenarkan oleh Parlimen. Tetapi, ada pendapat lain yang mengatakan bahawa pindaan 1988 itu adalah tidak memberi kesan kerana kuasa kehakiman yang diberikan kepada Mahkamah di bawah Perlembagaan adalah sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan yang tidak boleh dikeluarkan dengan pindaan Perlembagaan.

Apa itu Mahkamah Persekutuan?

Mahkamah Persekutuan adalah Mahkamah tertinggi di Malaysia dan apa-apa keputusan yang dibuat olehnya mesti diikuti oleh semua pihak dan juga Mahkamah Atasan yang lain dan juga Mahkamah Bawahan.

Hanya Mahkamah Persekutuan mempunyai bidangkuasa untuk menentukan:-

  • samada undang-undang yang digubal Parlimen atau Dewan Undangan Negeri adalah tidak sah kerana Perlembagaan tidka memberikan kuasa kepada mereka untuk menggubal undang-undang tersebut;
  • lain-lain pertikaian di antara Negeri-negeri atau di antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri-negeri.

Tetapi, mana-mana cabaran lain ke atas undang-undang atas alasan bahawa ia bertentangan dengan Perlembagaan boleh dibawa di mana-mana Mahkamah Atasan.

Mahkamah Persekutuan juga mendengar rayuan daripada keputusan-keputusan Mahkamah Atasan lain. Mahkamah Persekutuan adalah mahkamah rayuan terakhir di dalam negara.

Mahkamah Persekutuan juga memberi pendapat tentang Perlembagaan apabila diminta oleh YDPA.

Mahkamah Persekutuan terdiri daripada hakim-hakim yang berikut:-

  • Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan (“Ketua Hakim Negara”)
  • Presiden Mahkamah Rayuan
  • Hakim-hakim Besar Mahkamah Tinggi
  • dan sekurang-kurangnya 11 hakim yang lain.

Apa itu Mahkamah Rayuan?

Mahkamah Rayuan mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan rayuan daripada kebanyakan keputusan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi di dalam kes-kes sivil dan jenayah.

Mahkamah Rayuan terdiri daripada hakim-hakim yang berikut:-

  • Presiden Mahkamah Rayuan
  • 32 hakim-hakim yang lain.

Apa itu Mahkamah Tinggi?

Bidangkuasa Mahkamah Tinggi dibutirkan melalui undang-undang yang digubal Parlimen. Contohnya, Akta Mahkamah Kehakiman 1964 menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa sivil dan jenayah yang tidak terhad. Ini bermakna Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan semua kes sivil dan jenayah termasuklah rayuan daripada Mahkamah Sesyen dan Majistret.

Tetapi, bidangkuasa Mahkamah Tinggi telah dihadkan di dalam perkara tertentu oleh undang-undang yang digubal oleh Parlimen.

Kuasa Mahkamah Tinggi termasuklah kuasa untuk:-

  • mengarahkan mana-mana individu atau pihak berkuasa untuk membuat sesuatu atau berhenti membuat sesuatu;
  • membuat deklarasi bahawa tindakan seseorang atau pihak berkuasa adalah tidak sah dan tidak perlu diikuti;
  • mengarahkan mana-mana individu atau pihak berkuasa untuk membawa ke Mahkamah sesiapa yang ditahan secara tidak sah.

Mahkamah Tinggi Malaya mempunyai 14 cabang di seluruh Semenanjung Malaysia dan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak mempunyai 6 cabang di Sabah dan Sarawak.

Apa itu Mahkamah Khas?

Mahkamah Khas ditubuhkan untuk menentukan kes sivil atau jenayah yang dibawa oleh atau terhadap YDPA atau Raja-raja di dalam kapasiti peribadi mereka.

Apa-apa tindakan yang diambil terhadap YDPA atau Raja-raja di dalam kapisiti peribadi mereka harus mendapat kebenaran Peguam Negara. Keputusan Mahkamah Khas adalah muktamad dan tidak boleh dicabar.

Bagaimanakah Hakim-hakim dilantik?

Semua hakim-hakim Mahkamah Atasan, termasuk Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim-hakim Besar Mahkamah Tinggi, adalah dilantik oleh YDPA. YDPA harus mengikut nasihat Perdana Menteri (“PM”) tentang siapa yang akan dilantik. Tetapi YDPA harus berunding dengan Majlis Raja-raja sebelum membuat pelantikan. Sebelum PM memberi nasihat kepada YDPA, beliau harus berunding dengan:-

  • Untuk melantik hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, PM harus berunding dengan Ketua Hakim Negara.
  • Untuk melantik Presiden Mahkamah Rayuan, PM harus berunding dengan Ketua Hakim Negara.
  • Untuk melantik hakim-hakim Mahkamah Rayuan, PM harus berunding dengan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.
  • Untuk melantik Hakim Besar Mahkamah Tinggi, PM harus berunding dengan Ketua Hakim Negara dan Hakim Besar setiap Mahkamah Tinggi. Apabila melantik Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, PM juga harus meminta fikiran Ketua Menteri Sabah dan Sarawak.
  • Untuk melantik hakim-hakim Mahkamah Tinggi, PM harus berunding dengan Hakim Besar Mahkamah Tinggi yang berkenaan.

Selain daripada hakim-hakim, ‘pesuruhjaya kehakiman’ juga boleh dilantik apabila terdapat keperluan. Pesuruhjaya kehakiman mempunyai kuasa yang sama dengan seorang hakim Mahkamah Tinggi. Mereka dilantik oleh YDPA yang harus mengikut nasihat PM selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara.

Siapa boleh menjadi seorang Hakim?

Seseorang itu layak dilantik menjadi hakim Mahkamah Atasan sekiranya beliau adalah warganegara Malaysia dan samada:-

  • merupakan seorang peguam yang mengamal di mana-mana Mahkamah Tinggi untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum pelantikannya; atau
  • merupakan seorang anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang Persekutuan atau perkhidmatan undang-undang Negeri sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum pelantikannya.

Apa itu ‘Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman?

Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta tersebut) untuk membantu PM dalam menasihati YDPA dalam pelantikan hakim-hakim dan pesuruhjaya kehakiman, termasuklah pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-hakim Besar Mahkamah Tinggi.

Suruhanjaya ini memilih dan mengesyorkan kepada PM mereka yang layak untuk dilantik. Tetapi, Akta tersebut tidak menyatakan samada PM harus menerima nama-nama yang disyorkan oleh Suruhanjaya itu.

Akta tersebut juga menyatakan bahawa untuk dilantik sebagai hakim, pesuruhjaya kehakiman, Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan atau Hakim-hakim Besar Mahkamah Tinggi, seseorang itu harus mempunyai kualiti antara lain seperti integriti, pengalaman, keadilan, perwatakan moral yang baik dan kesihatan mental dan fizikal.

Bolehkah seseorang Hakim dipecat?

Semua hakim-hakim Mahkamah Atasan harus bersara apabila mereka berumur 66 tahun atau tidak lebih daripada enam bulan selepas mereka mencapai umur tersebut jika dibenarkan oleh YDPA. Tetapi, hakim boleh meletak jawatan pada bila-bila masa dengan memaklumkan kepada YDPA secara bertulis..

Hakim Mahkamah Atasan boleh dipecat sekiranya beliau:-

  • tidak mengikut Kod Etika Hakim; atau
  • tidak berupaya menjalankan tugasnya secara fizikal atau mental.

Untuk memecat hakim, PM atau Ketua Hakim Negara selepas berunding dengan PM, harus memberikan sebab kepada YDPA mengapa hakim itu harus dipecat. YDPA kemudian harus menubuhkan sebuah tribunal yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 5 hakim atau bekas hakim Mahkamah Atasan untuk menentukan samada hakim tersebut harus dipecat.

Sekiranya tribunal memutuskan bahawa hakim tersebut dipecat, ini disyorkan kepada YDPA yang kemudiannya mengarahkan hakim itu dipecat.

Apa itu Kod Etika Hakim?

Kod Etika Hakim 1994 menyatakan bagaimana hakim-hakim harus berkelakuan ketika menjadi hakim.

Contohnya, di bawah Kod itu seorang hakim tidak boleh:-

  • meletakkan kepentingan peribadi di atas tanggungjawabnya
  • menggunakan kedudukannya untuk mendapat faedahnya sendiri
  • berkelakuan tidak jujur dengan sedemikian cara sehingga memburukkan atau mencemarkan nama Kehakiman.
  • menganggotai mana-mana parti politik atau terlibat dengan aktiviti politik.

Bolehkah kelakuan hakim-hakim dibincangkan di dalam Parlimen?

Tidak, melainkan satu pertiga ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara bersetuju untuk mengemukakan Usul untuk membincangkannya.

Kelakuan seorang hakim tidak boleh dibincangkan di dalam sebuah Dewan Undangan Negeri.

Haruskah Hakim-hakim mengangkat sumpah?

Ya. Hakim-hakim Mahkamah Atasan mengangkat sumpah untuk menjalankan tanggungjawab mereka dengan sedaya-upaya dan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.

Adakah Hakim-hakim dibayar?

Ya. Parlimen menetapkan jumlah yang dibayar kepada hakim-hakim dan ia dibayar daripada Kumpulan Wang Disatukan. Jumlah ini dinyatakan di dalam Akta Saraan Hakim 1971.

Apakah itu Mahkamah Sesyen dan Majistret?

Mahkamah Sesyen dan Majistret diwujudkan oleh Akta Parlimen dan hanya mempunyai bidangkuasa yang diberikan kepada mereka oleh Parlimen. Di bawah Akta Mahkamah Rendah 1948 dan Kanun Acara Jenayah, Mahkamah Sesyen dan Majistret mempunyai bidangkuasa untuk mendengar kes-kes sivil dan jenayah yang tertentu.

’Hakim’ bersidang di Mahkamah Sesyen. Mereka dilantik oleh YDPA atas syor Hakim Besar Mahkamah Tinggi dan mesti merupakan seorang anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang. Perkhidmatan ini dibincang di dalam Buku Panduan Rakyat: 2. Institusi-institusi Perlembagaan dan Pemisahan Kuasa.

’Majistret’ bersidang di Mahkamah Majistret. Terdapat Majistret Kelas Pertama dan Kelas Kedua yang dilantik oleh YDPA atas syor Hakim Besar Mahkamah Tinggi. Majistret Kelas Pertama mesti merupakan seorang anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang.

Soalan-soalan Lazim

1. Apakah tanggungjawab paling penting Kehakiman?

Tanggungjawab paling penting Kehakiman adalah melindungi keutamaan Perlembagaan, untuk memastikan semua pihak mematuhi Perlembagaan. Hanya Kehakiman mempunyai kuasa untuk memberi intepretasi kepada Perlembagaan dan menentukan samada undang-undang yang digubal oleh Parlimen atau tindakan Eksekutif adalah mengikut Perlembagaan dan sah. Melalui kuasa ini, Kehakiman boleh menyemak apa-apa penyalahgunaan kuasa oleh Eksekutif dan Parlimen dan boleh memelihara hak asasi kita.

2. Adakah Hakim-hakim dilantik oleh Eksekutif?

Ya. Pada akhirnya, PM menentukan atau harus meluluskan pelantikan setiap hakim Mahkamah Atasan dan setiap Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-hakim Besar.

3. Adakah Kehakiman kita bertindak sebagai pemantau yang efektif untuk mengelakkan semua salahguna kuasa oleh Parlimen atau Eksekutif?

Tidak dalam semua kes. Mahkamah Persekutuan telah menerima bahawa di bawah Perlembagaan, Mahkamah hanya mempunyai bidangkuasa yang diberikan oleh Parlimen.

Ini bermakna Mahkamah tidak akan menyoal samada undang-undang yang digubal adalah adil tetapi hanya samada Parlimen mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang di bawah Perlembagaan. Contohnya, Mahkamah telah memutuskan sebagai sah undang-undang yang menghadkan hak kesaksamaan di bawah undang-undang dan hak seorang yang ditahan untuk berunding dengan peguamnya.

Ini juga bermakna Parlimen boleh menggubal undang-undang yang menghalang Mahkamah daripada menyemak sesuatu yang dilakukan oleh Eksekutif. Contohnya, Mahkamah telah memutuskan sebagai sah undang-undang yang menghalang Mahkamah daripada mempersoalkan alasan-alasan di sebalik perintah Menteri atau polis untuk menahan seseorang tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

4. Bolehkah Kehakiman melindungi Perlembagaan daripada ditukar?

Perlembagaan memberi kuasa kepada Parlimen untuk menukar apa yang terkandung di dalam Perlembagaan.

Tetapi, ramai berkata bahawa struktur asas Perlembagaan, seperti bahagian tentang kebebasan asasi, pengagihan kuasa di antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri dan pemisahan kuasa di antara Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman tidak boleh ditukar oleh Parlimen.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa Parlimen mempunyai kuasa untuk meminda dan menukar mana-mana bahagian Perlembagaan. Tetapi baru-baru ini Mahkamah Persekutuan telah menerima bahawa Perlembagaan mempunyai struktur asas yang tidak boleh ditukar oleh Parlimen dan ini termasuklah bahagian tentang kebebasan asasi.

Sila klik di sini untuk muat turun salinan PDF RG 6 bertemakan “Kehakiman”.

The collective persona of Lord Bobo's minions (yes, all the cheeky monkeys and monkettes). Haven't you heard? LoyarBurokking is a lifestyle. Join us, and your life will never be the same again. Because...