#MenghitungHariMalaysia Hari 2: Institusi Perlembagaan dan Pemisahan Kuasa

Semalam, kita mengenali “Apa itu Perlembagaan Persekutuan?”. Hari ini, mari kita mengenali pula tentang “Institusi Perlembagaan dan Pemisahan Kuasa”.

16 Sept 1963. Tarikh keramat yang mengukir sejarah, tarikh terbentuknya Persekutuan Malaysia. Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung menjadi satu. Lahirlah negara baru “Malaysia”.

Perlembagaan Persekutuan adalah tunjang kepada negara ini.  Perlembagaan yang mulanya digubal untuk Persekutuan Tanah Melayu telah melalui pengubahsuaian ketara dengan terbentuknya Malaysia.

Sebagai menyambut hari yang penuh bermakna ini dan dengan semangat ingin merakyatkan Perlembagaan, Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam (“Jawatankuasa”) melalui kempen MyConstitution (PerlembagaanKu) mempersembahkan kempen-mini melalui internet yang dipanggil, “Menghitung Hari ke Hari Malaysia”.

Bermula dari 7 Sept 2011 hinggalah 15 Sept 2011, Jawatankuasa akan menyebar ke seluruh pelusuk internet dua inisiatif utama MyConstitution iaitu Buku Panduan Rakyat (Rakyat Guides(“RG”)) dan juga video-video Pesanan Khidmat Rakyat (Rakyat Service Advertisements(“RSA”)).

Setiap hari anda akan disajikan dengan tema yang berlainan berkenaan dengan konsep-konsep asas yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.  Kami akan memaparkan teks yang menjadi kandungan RG.  Kami juga akan mempertontonkan RSA kami sebagai kesinambungan kepada tema hari tersebut. Sekiranya anda mengikuti kempen-mini ini, anda boleh memahami asas Perlembagaan Persekutuan dalam masa sembilan hari!

Kami juga memerlukan kerjasama anda untuk membantu kami menyebarkan kempen-mini ini melalui saluran-saluran anda, supaya kita dapat sama-sama merakyatkan Perlembagaan.

Pesanan Khidmat Rakyat (RSA)

Buku Panduan Rakyat (RG)

Pengenalan

Dalam Buku Panduan Rakyat : 1. Apa itu Perlembagaan Persekutuan?, kita telah mempelajari bahawa Perlembagaan membentuk sistem demokrasi kita, dan Perlembagaan  adalah undang-undang yang tertinggi di Malaysia.

Di dalam buku kecil ini, kita akan belajar pula mengenai pelbagai institusi yang ditubuhkan oleh Perlembagaan.  Apakah fungsi institusi-institusi ini dan mengapakah institusi-institusi ini amat penting?

Apakah Institusi-Institusi Perlembagaan?

Anda tinggal di Malaysia.  Anda mahu mengamalkan agama anda, mengemukakan pendapat, bekerja, bermain, makan angin, memiliki harta, dan hidup dengan aman.  Anda mahu jalanraya awam, air bersih, kuasa elektrik dan sistem pendidikan yang baik.  Perkara-perkara ini boleh dilakukan melalui undang-undang.

Tetapi siapakah yang membuat undang-undang ini?  Siapakah yang menguatkuasakannya?  Jika anda dan saya tidak bersetuju dengan maksud  sesuatu undang-undang, siapakah yang memutuskannya?  Di bawah Perlembagaan, institusi-institusi yang berlainan ditubuhkan untuk memastikan perkara-perkara ini dilaksanakan.

Terdapat tiga Institusi-Institusi Perlembagaan yang utama:

• Badan Perundangan (“Parlimen”) menggubal undang-undang

• Badan Eksekutif (“Kerajaan”) memerintah negara menurut undang-undang

• Badan Kehakiman (“Mahkamah”) memutuskan apa yang dimaksudkan oleh undang-undang dan boleh memastikan rakyat dan Kerajaan mematuhi undang-undang tersebut

Parlimen

Parlimen terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong (“YDPA”), Dewan Rakyat and Dewan Negara.

Parlimen merangka, meminda dan memansuhkan undang-undang yang dipanggil “Akta” atau statut.  Perlembagaan menentukan apa yang boleh atau tidak boleh digubal oleh Parlimen dan menetapkan prosedur untuk membuat undang-undang.

Kerajaan

Kerajaan terdiri daripada YDPA, Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet dan badan perkhidmatan awam.  Kerajaan memerintah negara menurut Perlembagaan dan undang-undang yang digubal oleh Parlimen.

Mahkamah

Terdapat beberapa jenis Mahkamah di Malaysia seperti mahkamah sivil, mahkamah Syariah dan mahkamah anak negeri.  Setiap mahkamah ini mempunyai kuasa dan fungsinya tersendiri.

Mahkamah memutuskan pertikaian undang-undang termasuk pertikaian sesama rakyat dan antara rakyat dengan Kerajaan.

Apakah Kedaulatan Undang-Undang?

Kedaulatan Undang-Undang merujuk kepada pelbagai gagasan yang unggul, antaranya adalah:

• Parlimen, Kerajaan, Mahkamah dan semua Institusi-Institusi Perlembagaan hanya boleh bertindak selaras dengan undang-undang

• Seseorang hanya boleh dihukum sekiranya Mahkamah mendapatinya bersalah kerana melanggar undang-undang

• Undang-undang mesti jelas dan senang dirujuk oleh semua rakyat

• Undang-undang mesti adil, saksama, dan perlu menghormati hak asasi manusia dan kebebasan Mahkamah

• Semua orang mesti mematuhi undang-undang

• Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang

Apakah Konsep Pemisahan Kuasa?

Anda mungkin bertanya mengapa Perlembagaan membentuk tiga institusi utama (Parlimen, Kerajaan dan Mahkamah) untuk memerintah negara, dan memberi setiap institusi tersebut fungsi dan kuasa yang berbeza. Mengapakah Perlembagaan tidak hanya membentuk satu institusi untuk memerintah negara?

Tujuannya dikenali sebagai Pemisahan Kuasa dan sistem semak dan imbang.

Kenapa kuasa perlu diasingkan?  Bayangkan jika dibawah Perlembagaan hanya sebuah Institusi X sahaja dibentuk.  Maka, Institusi X memiliki semua kuasa untuk memerintah negara. Institusi X ini akan memiliki kuasa untuk menggubal undang-undang, menguatkuasakan undang-undang dan memutuskan maksud undang-undang tersebut apabila berlakunya pertikaian.

Seterusnya, bayangkan jika Institusi X meluluskan undang-undang yang menyatakan bahawa mulai hari ini, semua hartanah adalah miliknya, dan tiada sesiapa berhak untuk memiliki hartanah.  Hartanah anda kemudiannya dirampas oleh Institusi X.  Anda percaya bahawa ini adalah salah kerana Perlembagaan menyatakan anda boleh memiliki hartanah.  Kepada siapakah akan anda mengadu tentang undang-undang yang digubal oleh Institusi X, dan bagaimanakah anda akan mendapatkan kembali hartanah anda? Memandangkan hanya Institusi X yang memiliki semua kuasa untuk memerintah negara, anda hanya boleh mengadu kepada Institusi X sahaja. Jangan lupa, inilah institusi yang telah menggubal undang-undang tersebut dan inilah juga institusi yang merampas hartanah anda.

Bukankah lebih baik sekiranya terdapat institusi yang berasingan dan bebas untuk mendengar aduan anda dan memutuskan sama ada undang-undang dan tindakan merampas hartanah anda adalah betul atau tidak? Bukankah lebih besar kemungkinannya sebuah institusi yang berasingan dan bebas boleh membuat keputusan yang lebih adil?

Pemisahan Kuasa bermaksud bahawa kuasa untuk memerintah negara dibahagikan antara institusi-institusi yang berlainan dan bebas.  Satu institusi menggubal undang-undang, satu institusi menguatkuasakan undang-undang, dan satu lagi institusi memutuskan apa yang dimaksudkan oleh undang-undang dan boleh memerintahkan rakyat untuk mematuhinya.  Ini memastikan bahawa tiada sebuah institusi yang terlalu berkuasa atau memiliki kuasa tidak terbatas.

Ini juga membolehkan satu sistem semak dan imbang wujud. Ini bermakna setiap institusi akan bertindak untuk menyemak atau mengawas institusi-institusi yang lain. Ini memastikan institusi-institusi tersebut bertindak selaras dengan peranan-peranan perlembagaan mereka dan tidak menyalahgunakan kuasa.

Apakah Institusi-Institusi Perlembagaan?

Di peringkat persekutuan, selain daripada tiga institusi-institusi utama tersebut (Parlimen, Kerajaan dan Mahkamah), Perlembagaan juga menubuhkan institusi-institusi lain yang memainkan peranan yang khusus.  Sebagai contoh:

• Majlis Tanah Negara

• Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan

• Suruhanjaya Perkhidmatan Awam

• Majlis Angkatan Tentera

• Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan

• Ketua Audit Negara

• Yang di-Pertuan Agong

• Majlis Raja-Raja

• Suruhanjaya Pilihanraya

• Lembaga Pengampunan

• Peguam Negara

• Tribunal Tanah

• Majlis Kewangan Negara

• Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan

• Suruhanjaya Pasukan Polis

Yang di-Pertuan Agong

Sembilan daripada negeri-negeri di Malaysia mempunyai Sultan dan setiap lima tahun, Sultan-Sultan memilih salah satu antara mereka sebagai YDPA.  YDPA mempunyai fungsi dan kuasa Badan Eksekutif dan Badan Perundangan. Dalam melaksanakan kebanyakan kuasa-kuasanya, YDPA perlu bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri atau Kabinet. Ini menunjukkan kuasanya terhad dan dizahirkan daripada Perlembagaan. Inilah sebabnya YDPA dikenali sebagai Raja Berperlembagaan. Contohnya, YDPA hendaklah mengikut nasihat Perdana Menteri atau Kabinet dalam pelantikan Menteri-menteri Kabinet, Peguam Negara, dan Senator-senator kepada Dewan Negara.

Akan tetapi, bagi fungsi dan  kuasa tertentu, YDPA mempunyai budibicara dan tidak perlu bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri atau Kabinet. Salah satu contoh adalah dalam pelantikan Perdana Menteri. Perdana Menteri mestilah seorang ahli Dewan Rakyat yang, pada pendapat YDPA, akan memperolehi kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

Peguam Negara

Peguam Negara (“PN”) merupakan penasihat undang-undang yang utama kepada Kerajaan dan YDPA. PN mempunyai kuasa dan budibicara untuk membawa, menjalankan atau memberhentikan sebarang perbicaraan dalam Mahkamah terhadap sesiapa untuk sesuatu kesalahan jenayah. PN dilantik oleh YDPA atas  nasihat Perdana Menteri.

Suruhanjaya Pilihanraya

Suruhanjaya Pilihanraya (“SPR”) mengendalikan proses pilihanraya di Malaysia. Bagi membolehkan SPR, menjalankan tugasnya, Parlimen telah memberi SPR pelbagai fungsi dan kuasa. SPR terdiri daripada seorang pengerusi, timbalan pengerusi dan lima ahli yang lain. Kesemuanya dilantik oleh YDPA setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. Dalam membuat pelantikan tersebut, pertimbangan utama yang perlu diambilkira oleh YDPA adalah sama ada SPR yang dilantik boleh memperoleh kepercayaan rakyat.

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (“SPA”) bertanggungjawab dalam pelantikan, kenaikan pangkat, pertukaran dan tindakan disiplin terhadap ahli-ahli perkhidmatan awam am Persekutuan serta gunasama antara persekutuan-negeri. Namun demikian, perkhidmatan kehakiman dan perundangan, pasukan polis dan perkhidmatan pendidikan tertakluk kepada suruhanjaya masing-masing. YDPA melantik ahli-ahli SPA setelah mempertimbangkan nasihat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan

Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang (“SPKP”) bertanggungjawab dalam pelantikan, kenaikan pangkat, pertukaran dan tindakan disiplin terhadap anggota-anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan. Kakitangan perkhidmatan ini termasuk majistret, hakim mahkamah sesyen, pendaftar mahkamah dan ahli-ahli kamar PN. SPKP terdiri daripada pengerusi SPA, PN dan sekurang-kurangnya seorang ahli lain yang dilantik oleh YDPA setelah berunding dengan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan.

Suruhanjaya Pasukan Polis

Suruhanjaya Pasukan Polis bertanggungjawab dalam pelantikan, kenaikan pangkat, pertukaran dan tindakan disiplin terhadap anggota-anggota pasukan polis. Pengerusi suruhanjaya ini adalah Menteri yang bertanggungjawab ke atas pasukan polis (yang pada masa ini adalah Menteri Dalam Negeri).

Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan

Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan bertanggungjawab dalam pelantikan, kenaikan pangkat, pertukaran dan tindakan disiplin terhadap anggota-anggota perkhidmatan pendidikan. Anggota perkhidmatan ini termasuk guru-guru dalam semua sekolah kerajaan. Ahli-ahli Suruhanjaya ini dilantik oleh YDPA mengikut budibicaranya setelah mempertimbangkan nasihat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Soalan-soalan Lazim

1. Apakah yang istimewa tentang Institusi-Institusi Perlembagaan?

Institusi-Institusi Perlembagaan istimewa kerana ditubuhkan dan diberikan fungsi dan kuasa oleh Perlembagaan. Sesebuah Institusi Perlembagaan hanya boleh dimansuhkan, atau sebarang kuasanya dilucutkan atau ditambahkan melalui pindaan kepada Perlembagaan. Secara amnya, ini memerlukan kelulusan oleh dua pertiga daripada ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Sesetengah pihak berpendapat bahawa Parlimen tidak boleh mengubah struktur asas Perlembagaan untuk memansuhkan Institusi-Institusi Perlembagaan, melucutkan hak-hak dan kebebasan atau mengganggu prinsip pemisahan kuasa kerana kesemuanya merupakan asas kepada Perlembagaan.

2. Adakah sesebuah Institusi Perlembagaan lebih penting daripada yang lain?

Tidak. Kesemua institusi adalah sama penting. Setiap institusi mempunyai fungsi dan peranan yang berlainan.

3. Pernahkah Parlimen meminda Perlembagaan untuk melucutkan kuasa Institusi-Institusi Perlembagaan? Apakah kesannya?

Ya. Contohnya, pada 1988, satu pindaan Perlembagaan telah dibuat oleh Parlimen untuk menghadkan kuasa Mahkamah-mahkamah.

Sebelum pindaan ini, kuasa Mahkamah tidak terbatas dan dizahirkan daripada Perlembagaan.

Akan tetapi, pindaan Perlembagaan 1988 cuba mengubah keadaan ini supaya Mahkamah akan hanya mempunyai kuasa yang diberikan oleh Parlimen. Justeru, Mahkamah hanya boleh menyemak undang-undang yang digubal Parlimen dan penggunaan kuasa Kerajaan sekiranya Parlimen membenarkan Mahkamah berbuat demikian.

Sekiranya posisi ini betul, Mahkamah tidak lagi berupaya berfungsi sebagai badan semakan yang berkesan ke atas Parlimen and Kerajaan. Ini bermakna tiada sistem semak dan imbang yang berkesan di antara Institusi-Institusi Perlembagaan utama.

Namun demikian, ramai yang berpendapat bahawa kuasa Mahkamah tidak boleh dilucutkan oleh Parlimen melalui pindaan kepada Perlembagaan kerana ia merupakan sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan, dan oleh itu, pindaan 1988 tidak berkesan.

4. Bagaimanakah ketiga-tiga Institusi-Institusi Perlembagaan utama menyemak kuasa antara satu sama lain di bawah prinsip Pemisahan Kuasa?

Contoh 1: Bagaimanakah kuasa Kerajaan disemak oleh Parlimen?

Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh meminta Perdana Menteri atau Kabinet untuk menjelaskan sebarang perkara yang dilakukan atau tidak dilakukan oleh Kerajaan. Sekiranya Kabinet bertindak bertentangan dengan kehendak Dewan Rakyat, Dewan Rakyat boleh meluluskan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri. Dalam keadaan demikian, Perdana Menteri serta Kabinetnya perlu meletakkan jawatan. Di sini, Dewan Rakyat (iaitu Parlimen) memastikan bahawa Kerajaan bertindak demi kepentingan rakyat dan tidak menyalahgunakan kuasanya.

Contoh 2: Bagaimanakah kuasa Kerajaan disemak oleh Mahkamah?

Mahkamah boleh menyemak tindakan Kerajaan dan sekiranya tindakan tersebut bertentangan dengan Perlembagaan atau undang-undang yang dibuat oleh Parlimen, maka Mahkamah boleh memperbetulkan tindakan tersebut. Ada yang berpendapat bahawa kuasa Mahkamah terhad dan oleh demikian, ia tidak boleh menyemak sesetengah tindakan yang diambil oleh Kerajaan. (Sila rujuk Soalan 3 di atas)

Contoh 3: Bagaimanakah kuasa Parlimen disemak?

Parlimen menggubal undang-undang tetapi Mahkamah mempunyai kuasa untuk menafsir undang-undang sekiranya terdapat ketidakpastian atau percanggahan undang-undang. Mahkamah juga boleh memutuskan bahawa sesuatu undang-undang bertentangan dengan Perlembagaan dan oleh itu, tidak perlu dipatuhi. Namun demikian, terdapat sesetengah perkara yang tidak boleh dipersoalkan oleh Mahkamah seperti prosiding-prosiding Parlimen

Contoh 4: Bagaimanakah kuasa Mahkamah disemak?

Sekiranya seorang Hakim didapati membuat salah laku, melanggar Kod Etika Hakim-hakim, atau tidak berupaya secara mental atau fizikal untuk terus menjalankan tugasnya, maka Perdana Menteri boleh menasihatkan YDPA untuk menubuhkan sebuah tribunal bagi memutuskan sama ada Hakim tersebut haruslah dipecat atau tidak. Tribunal ini dianggotai oleh hakim-hakim yang lain.

Dewan Rakyat atau Dewan Negara boleh membahaskan kelakuan seseorang Hakim tetapi hanya atas usul yang disokong oleh sekurang-kurangnya satu perempat daripada ahli-ahli Dewan tersebut.

Dalam kata lain, Parlimen dan Kerajaan boleh mencadangkan tindakan diambil ke atas seseorang Hakim yang menyalahgunakan kuasa, tetapi hanya hakim-hakim  lain yang boleh memutuskan sama ada Hakim tersebut boleh dipecat.

Contoh 5: Mengapakah kebebasan Mahkamah penting?

Mahkamah memainkan peranan penting dalam memastikan undang-undang yang digubal oleh Parlimen tidak bercanggah dengan Perlembagaan, dan dalam menyekat sebarang penyalahgunaan kuasa oleh Kerajaan. Bagi membolehkan Mahkamah terus memainkan peranan ini, adalah penting bahawa Parlimen dan Kerajaan tidak berkuasa untuk bertindak sendiri dalam melucutkan jawatan Hakim-hakim. Jika tidak, Hakim-hakim akan bimbang dan khuatir terhadap kedudukan jawatan mereka sekiranya mereka membuat sesuatu keputusan yang tidak memihak kepada Parlimen atau Kerajaan.

Sila klik di sini untuk muat turun salinan PDF RG 2 bertemakan “Institusi Perlembagaan dan Pemisahan Kuasa”.

 

Tags: , , , , ,


The collective persona of Lord Bobo's minions (yes, all the cheeky monkeys and monkettes). Haven't you heard? LoyarBurokking is a lifestyle. Join us, and your life will never be the same again. Because it's fun.

Posted on 9 September 2011. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by .

Read this first: LB Terms of Use