Kita telahpun mengenali “Apa itu Perlembagaan Persekutuan” dan “Institusi Perlembagaan dan Pemisahan Kuasa”. Mari kita kenali pula “Hubungan Persekutuan-Negeri”.

16 Sept 1963. Tarikh keramat yang mengukir sejarah, tarikh terbentuknya Persekutuan Malaysia. Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung menjadi satu. Lahirlah negara baru “Malaysia”.

Perlembagaan Persekutuan adalah tunjang kepada negara ini.  Perlembagaan yang mulanya digubal untuk Persekutuan Tanah Melayu telah melalui pengubahsuaian ketara dengan terbentuknya Malaysia.

Sebagai menyambut hari yang penuh bermakna ini dan dengan semangat ingin merakyatkan Perlembagaan, Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam (“Jawatankuasa”) melalui kempen MyConstitution (PerlembagaanKu) mempersembahkan kempen-mini melalui internet yang dipanggil, “Menghitung Hari ke Hari Malaysia”.

Bermula dari 7 Sept 2011 hinggalah 15 Sept 2011, Jawatankuasa akan menyebar ke seluruh pelusuk internet dua inisiatif utama MyConstitution iaitu Buku Panduan Rakyat (Rakyat Guides(“RG”)) dan juga video-video Pesanan Khidmat Rakyat (Rakyat Service Advertisements (“RSA”)).

Setiap hari anda akan disajikan dengan tema yang berlainan berkenaan dengan konsep-konsep asas yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.  Kami akan memaparkan teks yang menjadi kandungan RG.  Kami juga akan mempertontonkan RSA kami sebagai kesinambungan kepada tema hari tersebut. Sekiranya anda mengikuti kempen-mini ini, anda boleh memahami asas Perlembagaan Persekutuan dalam masa sembilan hari!

Kami juga memerlukan kerjasama anda untuk membantu kami menyebarkan kempen-mini ini melalui saluran-saluran anda, supaya kita dapat sama-sama merakyatkan Perlembagaan.

Pesanan Khidmat Rakyat (RSA)

[youtube]37wZPdBqdNU[/youtube]

Buku Panduan Rakyat (RG)

Pengenalan

Di dalam Buku Panduan Rakyat: 2. Institusi Perlembagaan dan Pemisahan Kuasa, kita mempelajari bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan terdapat tiga institusi utama di dalam negara – Badan Perundangan (“Parlimen”), Badan Eksekutif (“Kerajaan Persekutuan”) dan Badan Kehakiman (“Mahkamah”).

Inilah cara negara kita, Malaysia, diuruskan. Tetapi Malaysia juga terdiri daripada 13 Negeri. Jika anda tinggal di dalam salah satu daripada Negeri-negeri ini, anda mungkin tahu bahawa Negeri anda boleh menggubal undang-undang dan mempunyai “Kerajaan Negeri”.

Bagaimana Kerajaan-kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bekerjasama? Apakah jenis undang-undang yang Parlimen dan Negeri-negeri boleh gubal?

Jawapannya terkandung di dalam Perlembagaan.

Malaysia adalah sebuah Persekutuan

Di sekolah, anda mungkin belajar bahawa Malaysia adalah sebuah Persekutuan. Ini bermakna terdapat sebuah institusi yang mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang bagi seluruh Malaysia (“Parlimen”) dan institusi yang mentadbir negara mengikut undang-undang (“Kerajaan Persekutuan”).

Pada masa yang sama, setiap 13 Negeri-negeri di Malaysia mempunyai “Parlimen” (yang dipanggil “Dewan Undangan Negeri” (“DUN”)) dan “Kerajaan” (yang dipanggil “Kerajaan Negeri”). DUN mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang bagi Negerinya manakala Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk mentadbir Negeri mengikut undang-undang tersebut.

Persekutuan Negeri
Siapa gubal undang-undang? Parlimen 

Kuasa perundangan bagi seluruh Malaysia

DUN 

Kuasa perundangan bagi Negeri

Siapa mentadbir mengikut undang-undang? Kerajaan Persekutuan mentadbir Malaysia Kerajaan Negeri mentadbir Negeri

Siapa memutuskan makna undang-undang Persekutuan dan Negeri?

Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret boleh memutuskan makna undang-undang Persekutuan dan Negeri. Wilayah Persekutuan dan setiap Negeri punya Mahkamah Syariah tersendiri untuk memutuskan makna undang-undang Syariah.

Namun begitu, semua undang-undang harus konsisten dengan Perlembagaan.

Bagaimanakah kuasa untuk menggubal undang-undang dibahagikan di antara Parlimen dan DUN?

Perlembagaan membahagikan kuasa untuk menggubal undang-undang di antara Parlimen dan DUN. Ini bermakna Perlembagaan menyatakan jenis undang-undang yang boleh digubal Parlimen dan jenis undang-undang yang boleh digubal DUN.

Terdapat tiga senarai di dalam Perlembagaan. “Senarai Persekutuan” menyenaraikan perkara-perkara yang terletak di bawah kuasa Parlimen. “Senarai Negeri” menyenaraikan perkara-perkara yang terletak di bawah kuasa DUN. “Senarai Bersama” menyenaraikan perkara-perkara yang mana Parlimen dan DUN boleh gubal undang-undang.

Contoh-contoh perkara-perkara yang terkandung di dalam Senarai-senarai tersebut adalah di bawah.

Senarai Persekutuan – Contoh-contoh
  • Hubungan luar seperti perjanjian antarabangsa dan pengeluaran pasport
  • Pertahanan termasuk ketenteraan laut, darat dan udara, serta khidmat nasional
  • Keselamatan dalam negeri seperti polis, penjara dan tahanan pencegahan
  • Undang-undang dan tatacara sivil dan jenayah termasuk bidangkuasa dan kuasa Mahkamah (kecuali mahkamah Syariah Negeri), rahsia rasmi, perjudian dan loteri.
  • Penentuan undang-undang Islam dan peribadi yang lain untuk tujuan undang-undang persekutuan
  • Kewarganegaraan Malaysia
  • Kewangan termasuk cukai, perbankan, pengawalan kredit, pinjaman wang Negeri-negeri dan tukaran wang asing
  • Perdagangan dan perindustrian termasuk import dan export, kawalan harga, kawalan makanan, dan insuran
  • Perkapalan termasuk pelabuhan
  • Perhubungan dan pengangkutan
  • Kerjaraya persekutuan termasuk bekalan air, sungai dan terusan kecuali bagi yang keseluruhannya adalah di dalam sebuah Negeri atau dikawal melalui perjanjian dengan Negeri-negeri berkenaan; pembuatan, pengagihan dan pembekalan kuasa air (kecuali Sabah dan Sarawak)
  • Pendidikan termasuk pendidikan rendah, menengah dan universiti
  • Perubatan dan kesihatan
  • Buruh dan keselamatan sosial
  • Kebajikan orang asli
  • Akhbar dan penerbitan
  • Penapisan
  • Pelancongan

 

 

Senarai Negeri – Contoh-contoh
  • Undang-undang Islam dan undang-undang peribadi dan keluarga bagi individu yang menganut agama Islam; mewujudkan mahkamah Syariah
  • Tanah
  • Pertanian dan hutan
  • Kerajaan tempatan termasuk perbadanan perbandaran, pihak berkuasa tempatan, pemilihan kerajaan tempatan
  • Pasar dan perlesenan teater, pawagam dan tempat-tempat hiburan awam
  • Kerjaraya Negeri dan air (kecuali pembekalan dan perkhidmatan air)
  • Cuti negeri

Contoh-contoh perkara tambahan bagi Sabah & Sarawak

  • Undang-undang anak negeri dan budaya
  • Tertakluk pada senarai Persekutuan, pembekalan dan perkhidmatan air

 

Senarai Bersama – Contoh-contoh
  • Kebajikan awam
  • Biasiswa
  • Perlindungan haiwan liar dan Taman-taman Negara
  • Perancangan bandar dan luar bandar
  • Kesihatan awam
  • Perparitan dan irigasi
  • Budaya dan sukan
  • Perumahan dan peruntukan bagi kemudahan perumahan
  • Tertakluk pada Senarai Persekutuan, pembekalan dan perkhidmatan air
  • Pemeliharaan warisan

Contoh-contoh perkara tambahan bagi Sabah & Sarawak

  • Undang-undang peribadi berkenaan dengan perkahwinan, perceraian, penjagaan, pengangkatan, alang atau pewarisan
  • Pengeluaran, pengagihan dan pembekalan kuasa air

Bagaimanakah Parlimen dan DUN kedua-duanya gubal undang-undang berkenaan dengan perkara yang sama di dalam Senarai Bersama?

Senarai Bersama membenarkan Parlimen dan DUN untuk menggubal undang-undang untuk perkara yang sama. Asalkan undang-undang tersebut tidak berlapik atau bercanggah, ia boleh terus wujud dan beroperasi bersama.

Tetapi, sekiranya undang-undang DUN di bawah Senarai Bersama bercanggah dengan undang-undang yang digubal Parlimen di bawah Senarai tersebut, undang-undang Parlimen menjadi undang-undang yang harus dipatuhi.

Bolehkah Parlimen gubal undang-undang bagi perkara di bawah Senarai Negeri?

Anda mungkin berfikir bahawa sekiranya sesuatu perkara itu di dalam Senarai Negeri, Parlimen tidak boleh gubal undang-undang mengenainya. Secara amnya ini adalah tepat. Tetapi, ada situasi di mana Parlimen boleh gubal undang-undang berkenaan dengan perkara di dalam Senarai Negeri. Situasi-situasi tersebut adalah:

  • Sekiranya terdapat Perisytiharan Darurat, Parlimen boleh gubal undang-undang untuk apa-apa perkara di dalam Senarai Negeri (kecuali undang-undang Islam, budaya Melayu, dan undang-undang anak negeri atau adat Sabah dan Sarawak).
  • Apabila Malaysia membuat perjanjian dengan negara lain atau pertubuhan antarabangsa, Parlimen boleh gubal undang-undang untuk perkara tersebut. Undang-undang sedemikian harus dipatuhi oleh Negeri-negeri walaupun undang-undang tersebut meliputi perkara-perkara di dalam Senarai Negeri.
  • Bagi Negeri-negeri Semenanjung, Parlimen boleh gubal undang-undang bagi perkara di dalam Senarai Negeri jika ianya adalah untuk menyelaraskan undang-undang bagi perkara tersebut dalam Negeri-negeri tersebut. Sekiranya undang-undang yang digubal Parlimen adalah mengenai tanah dan kerajaan tempatan, semua Negeri di Semenanjung harus mengikuti undang-undang itu. Tetapi sekiranya undang-undang itu bukan tentang tanah dan kerajaan tempatan, sesuatu Negeri tidak perlu mengikutinya kecuali DUN Negeri tersebut bersetuju menggunapakai undang-undang itu.
  • Parlimen boleh gubal undang-undang mengenai perkara di bawah Senarai Negeri jika diminta oleh DUN mana-mana Negeri. Tetapi, apabila Parlimen membuat undang-undang itu, DUN harus bersetuju untuk menggunapakai undang-undang itu sebelum ia berkuatkuasa di dalam Negeri itu.
  • Parlimen boleh gubal undang-undang tentang perkara di bawah Senarai Negeri untuk memberi kesan kepada sebuah Rancangan Pembangunan Negara.

Bolehkah DUN gubal undang-undang berkenaan dengan perkara di bawah Senarai Persekutuan?

DUN boleh berbuat demikian hanya jika Parlimen meluluskan undang-undang untuk memberi kuasa kepada DUN untuk berbuat demikian. Kuasa tersebut boleh ditarik balik oleh Parlimen.

Bagaimana pula jika sesuatu perkara tidak ada di dalam mana-mana senarai? Siapa yang mempunyai kuasa untuk gubal undang-undang untuk perkara itu?

Jika ada perkara yang tidak termasuk di dalam mana-mana Senarai, DUN akan mempunyai kuasa untuk gubal undang-undang bagi perkara tersebut. Ini dipanggil “kuasa residual”.

Bagaimanakah kuasa Eksekutif dibahagikan di antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri?

Di bawah Perlembagaan, Parlimen dan DUN mempunyai kuasa untuk gubal undang-undang. Kuasa untuk mentadbir mengikut undang-undang tersebut (dipanggil “kuasa eksekutif”) dimiliki oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri.

Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa eksekutif ke atas semua perkara yang Parlimen boleh gubal undang-undang. Kerajaan-kerajaan Negeri mempunyai kuasa eksekutif ke atas semua perkara yang DUN boleh gubal undang-undang.

Kuasa eksekutif Kerajaan Persekutuan kadangkala akan memberi kesan kepada kuasa eksekutif Kerajaan Negeri. Contohnya, di mana Kerajaan Persekutuan memerlukan tanah di dalam sebuah Negeri bagi kepentingan negara, Kerajaan Negeri harus menggunakan kuasanya untuk memastikan Kerajaan Persekutuan mendapat tanah tersebut.

Adakah terdapat Institusi-institusi Perlembagaan lain yang memberi kesan kepada Negeri-negeri?

Badan-badan pembuat dasar kebangsaan boleh mengawal jenis undang-undang yang digubal oleh Negeri-negeri, seperti Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (“MNKT”) dan Majlis Tanah Negara (“MTN”).

MNKT adalah sebuah badan yang merangka dasar kebangsaan untuk memajukan, membangunkan dan mengawal kerajaan tempatan di seluruh Malaysia. Kerajaan Persekutuan dan Negeri-negeri harus mengikut dasar-dasar yang dibuat oleh MNKT. Tetapi, Sabah dan Sarawak tidak perlu mengikuti dasar MNKT melainkan jika Parlimen gubal undang-undang yang menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak mesti mengikutinya dan DUN bagi Negeri tersebut bersetuju kepadanya.

MTN adalah sebuah badan yang membuat dasar kebangsaan berkenaan dengan tanah. Kerajaan Persekutuan dan Negeri-negeri harus mengikut dasar-dasar yang dibuat oleh MTN. Tetapi, Sabah dan Sarawak tidak perlu mengikuti dasar MTN melainkan jika Parlimen gubal undang-undang yang menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak mesti mengikutinya dan Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri tersebut bersetuju kepadanya.

MNKT dan MTN kedua-duanya terdiri daripada pengerusi yang merupakan seorang Menteri, seorang wakil dari setiap Negeri yang dilantik oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri dan secara amnya tidak lebih daripada 10 wakil Kerajaan Persekutuan.

Kewangan di dalam sebuah Persekutuan

Segala wang yang dikumpul oleh Kerajaan Persekutuan disalurkan kepada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan, antara lain, menerima hasil daripada imigresen, pasport, visa, cukai pendapatan, cukai jualan, cukai jalan, cukai syarikat lain dan duti kastam.

Segala wang yang dikumpul oleh Kerajaan Negeri disalurkan kepada Kumpulan Wang Disatukan Negeri tersebut. Antara lain, Negeri-negeri menerima hasil daripada kedai todi, tanah, lombong, hutan, duti  hiburan, majlis perbandaran, penyewaan harta Negeri, dan pulangan daripada jualan tanah.

Di samping itu, Negeri-negeri menerima wang daripada Kerajaan Persekutuan. Setiap tahun, Persekutuan memberi Negeri-negeri sejumlah wang mengikut bilangan penduduk (“pemberian ikut kepala”), dan juga untuk menyelenggara jalan-jalan Negeri.

Pemberian ikut kepala adalah RM72 seorang bagi setiap 100,000 orang pertama, RM10.20 seorang bagi setiap 500,000 orang berikutnya, RM10.80 seorang bagi setiap 500,000 orang berikutnya dan RM11.40 bagi setiap orang selepas itu.

Sabah dan Sarawak menerima pemberian tambahan daripada Kerajaan Persekutuan dan daripada (i) cukai, yuran dan duti hasil petroleum, balak, lain-lain hasil hutan dan galian (kecuali tin) dan (ii) lesen pembekalan dan perkhidmatan air.

Contoh-contoh Hubungan Persekutuan-Negeri

  • Anda sebagai warganegara Malaysia mengundi untuk memilih wakil anda di dalam Dewan Rakyat, iaitu salah satu Dewan di dalam Parlimen. Orang ini adalah Ahli Parlimen anda. Jika anda tinggal di dalam salah satu daripada 13 Negeri di Malaysia, anda juga boleh memilih wakil anda di dalam DUN. Orang ini adalah Ahli DUN anda.
  • Kadar jenayah di kawasan anda meningkat. Anda ingin tahu apa yang dilakukan oleh pihak polis untuk mengatasi masalah tersebut. Siapakah yang anda patut tanya – ADUN atau Ahli Parlimen anda? Di bawah Perlembagaan, polis dan keselamatan dalam negeri adalah perkara-perkara di bawah Senarai Persekutuan, maka anda seharusnya meminta Ahli Parlimen anda untuk menyoal Menteri Dalam Negeri di Parlimen tentang apa yang sedang dilakukan oleh pihak polis.

Soalan-soalan Lazim

  • Bolehkah Perlembagaan dipinda untuk menukar apa yang di bawah Senarai Persekutuan, Negeri dan Bersama?

Ya, Parlimen boleh meminda Senarai Persekutuan, Negeri dan Bersama untuk menambah atau menolak perkara-perkara di dalam Senarai-senarai tersebut. Tetapi, dua-pertiga Ahli Parlimen harus bersetuju untuk meminda Senarai-senarai itu. Di samping itu, Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Sarawak harus bersetuju untuk meminda Senerai-senarai itu jika ia memberi kesan kepada Sabah dan Sarawak.

  • Pernahkah Parlimen meminda Senarai Persekutuan, Negeri dan Bersama?

Ya, Parlimen pernah meminda Senarai tersebut. Contohnya, sebelum 2005 hanya Negeri-negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang berkenaan dengan pembekalan air di dalam Negeri tersebut dan memasuki perjanjian dengan Negeri lain tentang pembekalan air di antara Negeri-negeri. Tetapi, pada tahun 2005, Parlimen meminda Perlembagaan untuk mengalihkan kuasa Negeri untuk berbuat demikian dari Senarai Negeri ke Senarai Bersama. Ini bermakna Parlimen dan Negeri kini mempunyai kuasa ke atas perkara tersebut. Jika ada percanggahan di antara undang-undang Parlimen dan Negeri, undang-undang Parlimen akan dipakai.

  • Bolehkah Negeri-negeri Semenanjung membuat pilihanraya kerajaan tempatan?

“Pilihanraya kerajaan tempatan” adalah di bawah Senarai Negeri. Namun begitu, seperti yang dikatakan di atas, bagi Negeri-negeri Semenanjung, Parlimen boleh gubal undang-undang di dalam Senarai Negeri bagi memastikan undang-undang perkara tersebut adalah selaras di semua Negeri-negeri tersebut dan jika ia berkenaan dengan kerajaan tempatan, kebenaran Negeri tidak diperlukan. Pada tahun 1976, Parlimen meluluskan Akta Kerajaan Tempatan. Antara lain, Akta ini menyatakan bahawa semua undang-undang membenarkan pilihanraya kerajaan tempatan tidak lagi digunapakai. Namun begitu, ada yang hujah bahawa Akta Kerajaan Tempatan membenarkan Negeri-negeri untuk mengecualikan mana-mana kawasan di dalam Negeri daripada menggunapakai Akta tersebut dan dengan mengecualikan kawasan tersebut, Negeri berkenaan boleh membuat pilihanraya kerajaan tempatan di kawasan itu.

Sila klik di sini untuk muat turun salinan PDF RG 3 bertemakan “Hubungan Persekutuan-Negeri”.

 

The collective persona of Lord Bobo's minions (yes, all the cheeky monkeys and monkettes). Haven't you heard? LoyarBurokking is a lifestyle. Join us, and your life will never be the same again. Because...