Green Ink: Ayah, Anda Wira Saya Membantah Lynas!

Green Ink - LoyarBurok's Environmental Rights Column

Taman Gelora adalah sebuah taman rekreasi yang terletak di tepi pantai berpinggiran di Bandar Kuantan. Kawasan ini selalunya dipenuhi dengan warga-warga emas yang datang sembang-sembang, bersenam, tai chi dan jogging pada awal pagi serta petang.

Lama-kelamaannya, mereka telah bergabung menjadi satu pertubuhan senamrobik dan kumpulan tai chi di kawasan tersebut. Pada setiap hari dan masa yang tertentu, mereka akan berkumpul dan bersenam beramai-ramai. (Walau bagaimanapun, tidak pernah kita dengar mereka dihalau atau ditangkap polis sebab ‘berhimpun tanpa permit’.)

Namun begitu, taman rekreasi yang aman damai ini bukan lagi mengumpulkan warga emas yang bersenamrobik sahaja. Maka, tempat ini juga mengumpulkan 2000 orang lebih penduduk tempatan tanpa mengira umur, kaum dan bangsa pada Hari Bapa yang lepas ini.

Pada hari tersebut, penduduk-penduduk seramai ini berhimpun dengan satu tujuan yang sama, iaitu ingin menunjukan perasaan mereka yang menolak pancaran radiasi yang akan merbahayakan kesihatan orang ramai serta membantah kilang Lynas yang bakal beroperasi di Gebeng. Mereka berkumpul untuk mempertahankan rumah kediaman mereka, dan berhimpun demi generasi yang akan datang.

Pada awal pagi Hari Bapa, datuk nenek membawa cucu-cicit mereka bersenam di tempat ini. Mereka berpakaian baju Save Malaysia. Selepas sesi bersenam, ayah dan ibu membawa anak-anak mengambil bahagian dalam pertandingan berwarna yang terdapat logo anti radioaktif dalam lukisan. Budak-budak juga berpakaian dengan baju Save Malaysia.

Selain daripada senaman dan pertandingan mewarna, seratus lebih orang penduduk Kuantan yang berbaju Save Malaysia yang berwarna hitam turut duduk di atas halaman rumput tepi pantai untuk menyusun perkataan ‘STOP LYNAS’. Mereka berharap mesej hentikan Lynas dapat disampaikan kepada segenap lapisan masyarakat di Kuantan, Pahang mahupun kepada satu Malaysia.

Membantah Lynas!

Keadaan pada pagi Hari Bapa ini merupakan satu fenomena dan momentum yang agak luarbiasa kepada penduduk-penduduk Kuantan. Bandar yang aman ini tidak pernah berhimpun beberapa ribu orang ramai dengan agenda dan tujuan yang sama. Sudah tentu, pihak yang kononnya menamakan diri sendiri sebagai ‘badan bukan kerajaan’ yang memihak kepada Lynas Malaysia Sdn Bhd telah melesap dan menghilangkan diri pada himpunan Hari Bapa tersebut.

Penduduk Kuantan telah mencipta sejarah di Pahang. Bantahan kilang Lynas melalui kutipan 60,000 tandatangan petisyen bantahan, 1000 lebih penduduk berkumpul menghadiri candlelight vigil pada Hari Ibu,dan himpunan senaman oleh 2000 lebih penduduk tempatan – semua ini untuk sekaligus menolak bahaya radioaktif dan kilang Lynas.

Aktivisme seperti ini selama ini tidak pernah muncul, tidak pernah dilihat.

Ini telah membawa maksud penduduk-penduduk di Kuantan telah bangkit demi masa depan cucu cicit mereka. Jika pihak yang berkuasa atau kerajaan masih tidak melihat atau berpura-pura tidak kelihatan, jelas bahawa mereka bukan sahaja sibuk dengan kerja pentadbiran pemerintahan, maka, mereka telah cuba membutakan diri terhadap tanggungjawab dan masyarakat kita.

Namun begitu, apa yang telah menjadikan pihak pemerintah sanggup membutakan diri?

Ia mungkin melibatkan faedah dan kepentingan yang diberi dalam jangka pendek, faedah kroni-kroni, dan faedah berbau politik. Sistem dan polisi pentadbiran yang cacat adalah faktor utama yang menyumbang kepada pendirian pihak berkuasa yang bertentangan dengan pendapat umum daripada masyarakat.

Rakyat juga tidak dapat melaksanakan kuasa mengundinya dalam sistem yang adil dan bersih. Maka, Kerajaan dan wakil rakyat yang dipilih gagal dikawal dan menjadi setan yang turut membuli dan membebankan rakyat. Dengan itu, banyak lagi kes seperti Lynas akan muncul selepas ini jika sistem dan polisi di negara ini tidak berubah.

Bayi turut berkempen membantah Lynas

Hari Bapa pada tahun ini amat luar biasa kepada saya, walaupun saya tidak berpeluang untuk meraikan bersama bapa saya yang jauh daripada saya. Akan tetapi, saya berpeluang untuk meraikan Hari Bapa bersama dengan beberapa ratus ‘ayah’ dan keluarga mereka masing-masing. Saya amat gembira apabila berjumpa dengan ramai ayah-ayah yang sanggup membawa anak-anak mereka menghadiri himpunan tersebut. Saya menghormati mereka yang melaungkan Stop Lynas! demi masa hadapan generasi akan datang.

Kita telah berhimpun untuk seluruh masyarakat Kuantan, kita menolak radioaktif demi anak-anak kita, dan kita membantah Lynas untuk menyelamatkan Malaysia!

Ayah, anda wira saya!



Tags: , , , , , , ,

Posts by

Sze Ming is a nature lover who grew up enjoying the paddy fields in Kedah. Green warrior, she believes going green is the only way for longer lives. Currently she doing her Master of Public Policy in University Malaya. Tweets @szeming87

Posted on 30 June 2011. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.

Read more articles posted by .

Read this first: LB Terms of Use

One Response to Green Ink: Ayah, Anda Wira Saya Membantah Lynas!

  1. Pingback: Ayah, Anda Wira Saya Membantah Lynas! oleh Sze Ming « Chean Chung ???